Author: Admin

  • PASLEAK tidak libatkan sebarang perancangan

    PASLEAK tidak libatkan sebarang perancangan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak melihat sebarang perkara luar biasa dalam dokumen dikenali sebagai ‘Pasleak’, yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

    Bersandarkan penelitiannya ke atas dokumen tersebut, Annuar berpandangan dokumen tersebut hanyalah sekadar catatan hasil pertemuan atau siri ‘engagement’ diadakan pemimpin Pas untuk kegunaan parti itu.

    “Saya tak tahu dokumen itu benar atau tidak tetapi apabila saya membacanya, kalau ia benar sekali pun, pada saya itu bukanlah sesuatu yang bersifat seperti satu perancangan.

    “Bagi saya itu cuma satu catatan siri ‘engagement’ dibuat Pas bagi melaksanakan ‘fact finding’ atau dalam usaha Pas memahami pandangan tokoh pelbagai parti seperti UMNO, Parti Pejuang Tanah Air dan sebagainya.

    “Bagi saya itu hanya catatan namun saya tak dapat mengesahkan sama ada ianya betul atau tidak,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis berbuka puasa di Alor Setar, semalam.

    Beliau menambah, adalah sesuatu yang lumrah untuk semua parti politik membuat ‘engagement’ atau tinjauan bagi menentukan strategi masing-masing mendepani pilihan raya umum.

    Menjawab pertanyaan wartawan sama ada beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu perancangan menjatuhkan UMNO seperti didakwa sesetengah pihak, Annuar berkata, perkara itu jika benar sekali pun bukanlah sesuatu yang luar biasa.

    “Kalau benar itu satu perancangan menjatuhkan UMNO, sebagai parti berlawan bukankah memang hendak menjatuhkan? Apa yang luar biasanya?

    “Tidakkah UMNO juga mahu jatuhkan Pas? Di Kelantan atau Terengganu UMNO isytihar nak berlawan dengan Pas, jadi apa maknanya?

    “Maknanya UMNO nak berlawan dan kalau boleh nak kalahkan Pas di sana. Kecualilah jika dia berada dalam gabungan bersama kita kemudian dia buat perkara menentang UMNO, maka itu peliklah,” katanya.

    Tambahnya, sebelum ini UMNO sendiri yang mengisytiharkan untuk bersama Pas dalam pilihan raya akan datang.

    “Jadi kalau mereka sedang buat penilaian untuk mengetahui apa yang patut dilakukan, bagi saya itu perkara lazim dan kita tak ada hak nak pertikaikan.

    “Macam main bola, apabila pasukan lawan buat pelbagai strategi dalam keadaan kita anggap dia lawan, bagi saya itu satu kelaziman,” katanya.

  • Lelaki Indonesia maut terjatuh pangsapuri dengan kaki terikat besi

    Lelaki Indonesia maut terjatuh pangsapuri dengan kaki terikat besi

    PENDUDUK di sebuah pangsapuri di Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi di pekarangan tempat meletak kenderaan pangsapuri itu petang semalam.

    Mayat lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 5.30 petang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan pangsapuri tersebut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan berketurunan Cina.

    Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian termasuk mengesan rakan serumah mangsa yang berusia 54 tahun.

    Tambahnya, mangsa ditemui dalam keadaan berdarah pada bahagian kepala dan pemeriksaan lanjut di dalam bilik dipercayai tempat dia terjun mendapati tiada sebarang kesan pergelutan,” jelasnya.

    Tambah beliau, seorang saksi yang juga penghantar makanan memaklumkan sempat berjumpa dengan salah seorang rakan mangsa pukul 5 petang semalam.

    Ujarnya, siasatan awal polis mendapati mangsa dan rakannya itu datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman ersebut sejak 13 April lalu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar mereka ke sini termasuk motif kejadian sama ada terjun mahupun sebaliknya.

    “Kita juga sedang giat mengesan rakan mangsa itu,” jelasnya.

    Tambah Soffian, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

  • Lelaki maut terkena renjatan pagar elektrik di kebun sawit

    Lelaki maut terkena renjatan pagar elektrik di kebun sawit

    SEORANG lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kebun sawit di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai, pada pukul 7 pagi semalam.

    Mangsa, Rohafizi Ismail, 36, dari Kampung Jelkis telah ditemui tidak sedarkan diri di kebun sawit tersebut.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki dikenali sebagai Limi yang telah menjumpai mangsa di tempat kejadian.

    “Limi kemudian membuat panggilan untuk memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa iaitu adiknya, Abdul Halim Ismail, 22, berkenaan kejadian tersebut.

    “Rohafizi dipercayai terkena renjatan elektrik daripada pagar elektrik yang dipasang di kebun sawit tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, pada jam 12.28 tengah hari, anggota dari Balai Polis Laloh dan pegawai perubatan Kesihatan Manek Urai telah dikerahkan ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi mendapati mangsa telah meninggal dunia.

    Suzaimi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan punca kematian adalah disebabkan oleh ‘consistent with electrocution’.

  • Tiga remaja maut semasa berlumba motosikal

    Tiga remaja maut semasa berlumba motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    (KEMAS KINI) TIGA remaja maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 10.30 malam.

    “Semua mangsa berusia 15 dan 16 tahun itu masing-masing menunggang motosikal bergesel sesama sendiri sebelum mengakibatkan kemalangan.

    “Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan.

    “Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah remaja berumur 15 hingga 16 tahun manakala yang cedera parah berumur 17 tahun. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pihak polis menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal atas jalan raya dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.

    Sementara itu, seorang saksi yang juga rakan mangsa hanya mahu dikenali sebagai Apit, 16, berkata, kejadian itu berlaku semasa dua kunpulan motosikal dipercayai sedang berlumba di jalan berkenaan.

    “Motosikal mereka kemudian bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka semua melarikan diri selepas kemalangan tersebut.

    “Saya lihat tiga mangsa nazak di tempat kejadian termasuk rakan saya manakala seorang lagi dikatakan kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

    Tinjauan Sinar Harian di lokasi kemalangan mendapati, darah dan cebisan daging mangsa bertebaran di pinggir jalan tersebut sebelum dibersihkan penduduk setempat.

  • Kerajaan tarik pelabur dari Mesir dan Qatar untuk sektor getah – Zuraida

    Kerajaan tarik pelabur dari Mesir dan Qatar untuk sektor getah – Zuraida

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi komited untuk menggalakkan penyertaan syarikat serta pelabur dari Mesir dan Qatar bagi memanfaatkan fasiliti Bandar Getah Kedah selain mengambil peluang daripada pasaran berpotensi di ASEAN.

    Menurut Majlis Getah Malaysia dalam satu kenyataan, ini berikutan misi kementerian baru-baru ini ke Mesir dan Qatar yang diketuai oleh Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengenal pasti potensi pasaran termasuk peluang perkongsian bagi sektor getah di Timur Tengah dan ASEAN.

    “Syarikat-syarikat dan pelabur dari kedua-dua rantau ini akan dapat meneroka kemungkinan membentuk perkongsian dengan syarikat Malaysia dalam sektor getah seperti dalam pembuatan produk getah.

    “Sebagai contoh, Qatar dapat meneroka kemungkinan membentuk kerjasama, terutamanya dalam pembuatan tayar kerana Malaysia kini mengimport tayar bernilai lebih daripada RM2 bilion (AS$830 juta), oleh itu, kerajaan sangat menyokong pembuatan tayar,” kenyataan itu memetik Zuraida hari ini.

    Zuraida berkata para pelabur dapat memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada pengeksport utama produk getah dan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN lain (AFTA), yang mana, kebanyakan produk getah di kalangan anggotanya mempunyai tarif import sifar.

    Pada 2021, Malaysia mengeksport produk getah bernilai AS$15.9 juta kepada Qatar, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 110 peratus dari 2019 hingga 2021.

    Sarung tangan getah adalah produk utama yang dieksport ke Qatar dari Malaysia dengan 70 peratus bahagian pasaran dan nilai eksport sebanyak AS$14.4 juta, manakala produk getah lain yang dieksport termasuk hos, penutup, dapra dok dan kasut. – Bernama

  • Warga emas, menantu dicederakan wanita asing mengamuk depan rumah

    Warga emas, menantu dicederakan wanita asing mengamuk depan rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas dan menantunya cedera parah selepas terkena besi dilibas seorang wanita warga asing yang mengamuk di hadapan rumah mereka di Taman Setia Jaya, Batu Pahat, pukul 5.30 petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula apabila wanita warga asing itu, 37, datang ke pekarangan rumah mangsa lalu membuat bising dan menjerit-jerit sambil melibas sebatang besi.

    Beliau berkata, melihat kekecohan yang berlaku kedua-dua mangsa kemudian keluar dari rumah dan menenangkan wanita asing tersebut.

    “Kedua-duaa mangsa meminta suspek yang merupakan jiran mereka supaya pulang ke rumah. Mereka turut risaukan perbuatan suspek akan mengenai dan merosakkan sebuah kereta milik keluarga mangsa yang berada depan rumah.

    “Suspek sebaliknya semakin bertindak agresif dan mula menyerang serta mengejar seorang wanita daripada keluarga mangsa kerana merakamkan perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, dua mangsa tersebut yang merupakan suami dan bapa wanita berkenaan cuba menenangkan serta menghalang tindakan suspek namun mereka berdua terkena libasan besi.

    Menurutnya, suami wanita berkenaan yang berusia 41 tahun luka di bahagian hidung dan bibir manakala bapa wanita itu yang berusia 65 tahun bengkak mata kanan dan patah sebatang gigi.Kedua-dua mangsa katanya, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat sementara wanita yang cuba diserang suspek tidak mengalamai sebarang kecederaaan.

    “Sejurus menerima laporan kejadian ini pihak polis pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek serta merampas besi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, suspek direman selama lima hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau sebat.

  • PRU-15:PH sedia kerjasama termasuk dengan Bersatu, Pas jika tiada kekuatan tewaskan BN

    PRU-15:PH sedia kerjasama termasuk dengan Bersatu, Pas jika tiada kekuatan tewaskan BN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) boleh menimbang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Tegasnya, pendirian itu wajar dibuat sekiranya PH mengandaikan tidak mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

    Saifuddin Nasution berkata, pendirian itu juga merupakan satu daripada enam ketetapan yang dipersetujui kepimpinan PH ketika mengadakan ‘retreat’ di Port Dickson pada tahun lalu.

    “Reaksi setiap pimpinan itu berbeza (berhubung kerjasama khemah besar), tetapi saya berpegang kepada ketetapan keputusan resolusi temu rapat dahulu, hendak kata apa sekalipun kita masih berpandu kepada apa yang disepakati dahulu.

    “Jadi pendekatan itu adalah PH sedia berbincang dengan semua pihak, semua pihak itu pula boleh jadi sesiapa sahaja, berbincang dengan semua.

    “Kita ‘register’ dahulu untuk sedia ambil pendekatan terbuka dan berbincang, itu adalah satu kenyataan yang ‘open ended’ dan itu adalah ayat asal dalam resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini beberapa kepimpinan parti komponen PH menyuarakan pendapat yang berbeza berhubung penglibatan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam konsep khemah besar yang dipelopori mereka.

    Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dilaporkan enggan melibatkan kedua-dua parti berkenaan manakala Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa perbincangan diadakan dengan kedua-dua parti itu.

    Sementara itu, apabila ditanya tentang keyakinan dan kekuatan PH menjelang PRU-15 yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, Saifuddin berkata, perkara tersebut adalah sangat dinamik.

    “Itu dinamik, buat masa sekarang kita fokus untuk mengukuhkan PH, tetapi pada masa sama kita juga baca isyarat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    “Usaha pengukuhan ini boleh dibuat melalui beberapa kaedah antaranya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih kerap, memperbaiki kelemahan satu sama lain dan menggerunkan jentera pilihan raya bersama-sama,” katanya.

  • Malaysia sudah memberi layanan yang sepatutnya terhadap pelarian

    Malaysia sudah memberi layanan yang sepatutnya terhadap pelarian

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia telah memberi layanan sepatutnya kepada pelarian yang masuk ke negara ini termasuk Rohingya melibatkan semua aspek.

    Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Larut itu berkata, negara telah menanggung kos operasi pusat tahanan sebagai tempat tinggal semua tahanan terbabit selain menyediakan keperluan makanan.

    “Mereka mahu kita layan sebagai apa kerana mereka ini adalah pelarian, itu kita kena faham.

    “Diberikan makan percuma, tempat tinggal juga percuma, jadi layanan apa lagi yang mereka mahukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Perikatan Nasional (PN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Larut, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan beberapa pihak yang menuduh kerajaan memberi layanan buruk kepada pelarian dalam tahanan.

    Semalam, Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) dilapor menyalahkan kerajaan atas kematian tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu.

    Kumpulan itu mendakwa, tiada sebab untuk memadatkan pelarian di pusat tahanan sementara kerana mereka tidak boleh dihantar pulang atas prinsip ‘non-refoulment’.

    Hamzah berkata, tindakan dan layanan yang diberikan kerajaan terhadap pelarian selama ini dilakukan bukan atas dasar signatory (penandatangan), tetapi rasa simpati dan sifat kemanusiaan.

    “Mereka yang kita tangkap ini kerana tidak ada dokumen yang sah, kita tahan dalam tempoh lama sebab nak mereka tahu, bahawa jika datang tanpa dokumen, maka kita akan letakkan dalam penjara sampai satu tempoh mereka jemu duduk dalam tahanan.

    “Jadi kalau rasa nak bebas, tak perlulah lagi datang ke Malaysia dan kalau mereka rasa mereka tidak dilayan dengan elok, sepatutnya mereka baliklah ke negara mereka,” katanya.

    Setakat ini, seramai 432 tahanan etnik Rohingya daripada 528 tahanan yang melarikan diri sudah ditahan semula.

    Jumlah itu menjadikan 96 lagi tahanan masih belum ditemukan.

    Mengulas lanjut, Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan isu lari dalam tahanan kerana mereka yang terlibat bukanlah dalam kalangan pengganas.

    “Saya nak maklumkan kepada orang kampung supaya janganlah bila tengok orang-orang Rohingya seolah-olah mereka itu adalah penjenayah. Mereka semua ini adalah pelarian.

    “Kalau rasa nampak seperti orang luar, maklumkan secepat mungkin supaya kita dapat tangkap dan masukkan ke pusat tahanan semula,” katanya.

  • Nenek 73 tahun diberkas, dadah 1.45 kilogram dirampas

    Nenek 73 tahun diberkas, dadah 1.45 kilogram dirampas

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik menahan seorang wanita warga emas berusia 73 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taiping, kelmarin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat satu kilogram dalam rumah itu.

    “Selain itu turut dirampas 30 bungkusan plastik mengandungi bahan dadah disyaki heroin, anggaran berat 450 gram.

    “Kita turut merampas peralatan membungkus dadah dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM115,750,” katanya.

    Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif dan suspek juga tidak mempunyai rekod sabitan lampau.
    Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih kurang 10,300 orang penagih dadah.

    “Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan. Suspek telah direman selama lima hari bermula daripada 21 April 2022 sehingga 25 April 2022.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi satu serbuan berasingan pada hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Bandar Seri Botani, Ipoh dan menjumpai dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 3.1 kilogram, bernilai kira-kira RM111,580.

    Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine di samping mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

    Suspek direman enam hari sehingga 26 April dan kes juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Beli pistol tiruan kerana hobi, juruteknik didenda RM2,000

    Beli pistol tiruan kerana hobi, juruteknik didenda RM2,000

    SEORANG juruteknik didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pistol tiruan yang dibeli secara dalam talian, dua hari lepas.

    Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rashid Shuhaimi, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Abdul Rashid membayar denda tersebut.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Mageswary menyoal tertuduh sebab dia membeli pistol itu dan Abdul Rashid menjawab: “Beli untuk hobi, sukan menembak”.

    Mageswary menasihatkan bapa kepada seorang anak itu agar mengikuti kursus menembak untuk mendapatkan lesen sekiranya berminat sukan itu, bukannya memiliki pistol tiruan.

    Abdul Rashid didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama GLOCK, sebuah kelopak warna hitam dan 128 butir peluru di sebuah rumah di Perumahan Rakyat Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields, Kuala Lumpur pada 3.45 pagi, 20 April lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, peguam Zolazrai Zolkapli mewakili Abdul Rashid merayu hukuman minimum kerana anak guamnya yang mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh bulan.

    “Anak guam saya membeli pistol itu di platform jualan dalam talian, jadi orang awam boleh membelinya bila-bila masa. Anak guam saya juga membeli senjata berkenaan hanya untuk permainan, bukan tujuan jenayah,” kata peguam itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – Bernama