Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak melihat sebarang perkara luar biasa dalam dokumen dikenali sebagai ‘Pasleak’, yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

Bersandarkan penelitiannya ke atas dokumen tersebut, Annuar berpandangan dokumen tersebut hanyalah sekadar catatan hasil pertemuan atau siri ‘engagement’ diadakan pemimpin Pas untuk kegunaan parti itu.

“Saya tak tahu dokumen itu benar atau tidak tetapi apabila saya membacanya, kalau ia benar sekali pun, pada saya itu bukanlah sesuatu yang bersifat seperti satu perancangan.

“Bagi saya itu cuma satu catatan siri ‘engagement’ dibuat Pas bagi melaksanakan ‘fact finding’ atau dalam usaha Pas memahami pandangan tokoh pelbagai parti seperti UMNO, Parti Pejuang Tanah Air dan sebagainya.

“Bagi saya itu hanya catatan namun saya tak dapat mengesahkan sama ada ianya betul atau tidak,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis berbuka puasa di Alor Setar, semalam.

Beliau menambah, adalah sesuatu yang lumrah untuk semua parti politik membuat ‘engagement’ atau tinjauan bagi menentukan strategi masing-masing mendepani pilihan raya umum.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu perancangan menjatuhkan UMNO seperti didakwa sesetengah pihak, Annuar berkata, perkara itu jika benar sekali pun bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Kalau benar itu satu perancangan menjatuhkan UMNO, sebagai parti berlawan bukankah memang hendak menjatuhkan? Apa yang luar biasanya?

“Tidakkah UMNO juga mahu jatuhkan Pas? Di Kelantan atau Terengganu UMNO isytihar nak berlawan dengan Pas, jadi apa maknanya?

“Maknanya UMNO nak berlawan dan kalau boleh nak kalahkan Pas di sana. Kecualilah jika dia berada dalam gabungan bersama kita kemudian dia buat perkara menentang UMNO, maka itu peliklah,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini UMNO sendiri yang mengisytiharkan untuk bersama Pas dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi kalau mereka sedang buat penilaian untuk mengetahui apa yang patut dilakukan, bagi saya itu perkara lazim dan kita tak ada hak nak pertikaikan.

“Macam main bola, apabila pasukan lawan buat pelbagai strategi dalam keadaan kita anggap dia lawan, bagi saya itu satu kelaziman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here