Author: Admin

  • Sokong Anwar jadi PM kalau mahu kerjasama PKR

    Sokong Anwar jadi PM kalau mahu kerjasama PKR

    MESTI sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya ingin bekerjasama dengan PKR.

    Ketetapan itu ditegaskan oleh bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Beliau berkata, sokongan terhadap kepimpinan Anwar adalah amat penting bagi parti itu dan sekutunya selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sarawak dan Melaka.

    “Dalam Pakatan Harapan (PH), masih sama; Anwar satu-satunya calon perdana menteri. Parti lain yang mahu bekerjasama mesti terima ketetapan itu.

    “Kita mesti rapatkan saf di belakang Anwar, semua sebagai satu suara, dan percaya pada kepimpinannya. Jika kita satu suara, masyarakat akan terima mesej kita,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

    Namun, syarat itu agak sukar dipenuhi oleh parti-parti lain dalam kem pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.

    Malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini pernah menyebut bahawa rakyat mahu melihat perubahan kepimpinan.

    Farhash percaya, PKR dan sekutunya dalam PH mempunyai kekuatan secukupnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau menambah, sebarang kerjasama lanjut dengan parti pembangkang lain haruslah dikaji secara mendalam dan mestilah mengambil kira pandangan akar umbi.

    Dalam pada itu, Farhash berkata, PKR mahu melangkah ke PRU-15 dengan kemahuan dan keyakinan untuk menang.

    “Jangan tawar hati dengan cakap-cakap kononnya kita tidak akan dapat memenangi dua pilihan raya akan datang. Politik boleh berubah bila-bila masa, jangan menyerah kalah,” katanya.

    Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa PH memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan pilihan raya untuk menawan Putrajaya.

    Farhash berkata, PKR dan PH mesti mendengar denyut nadi akar umbi dan pengundi jika mahu faham sentimen di lapangan, serta meningkatkan peluang mereka menjelang PRU15.

    Mengulas mengenai pemilihan PKR tidak lama lagi, Farhash berkata pemilihan itu langkah perlu untuk ‘membersihkan’ parti dan mengisi kekosongan dalam saf kepimpinan.

    “Pemilihan ini salah satu langkah untuk kami merapatkan saf dan kembali lebih kuat,” katanya.

    “Ketika ini ada kekosongan yang ketara. Kami tiada timbalan presiden, banyak naib presiden tidak ada, malah ada kekosongan jawatan di beberapa bahagian.”

    Farhash berkata PKR perlu mengisi kekosongan di jawatan-jawatan penting parti agar dapat menghadapi PRU15 dengan sempurna.

  • Kejayaan PRN Johor bukan jaminan kemenangan BN PRU-15

    Kejayaan PRN Johor bukan jaminan kemenangan BN PRU-15

    KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas tidak menjamin kemenangan sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.

    Beliau berkata banyak perkara dan cabaran perlu diteliti BN bagi persediaan menghadapi PRU15 termasuk memastikan Ikhtiar BN Johor dipantau serta ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI).

    “Kita anggap apabila sampai pilihan raya nanti, cabaran yang ada perlulah kita teliti kerana kejayaan PRN Johor tidak menjamin kejayaan pada PRU15.

    “Sebagai contoh harga barang terus meningkat, tidak pasti sama ada sebelum akhir tahun harga boleh dikawal atau turun. Begitu juga (kelulusan pengeluaran) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)…kalau itu dianggap ‘feel good factor’ (faktor yang menyenangkan) tetapi dalam empat atau lima bulan ke hadapan tidak pasti lagi,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika ditanya sama ada BN dapat mengekalkan momentum kemenangan PRN Johor pada PRU15.

    Bekas Menteri Besar Johor itu pada masa sama berkata prestasi Belanjawan Johor 2022 juga perlu diambil perhatian.

    “Kita lihat bahawa pada peringkat awal ini, kita akan pastikan Ikhtiar BN dipantau dan ditetapkan KPI, selain daripada Belanjawan 2022.

    “Sekiranya PRU15 berlaku tahun ini, dengan adanya KPI dan pemantauan khusus dibuat pada Ikhtiar BN dan prestasi belanjawan, kita yakin kita akan dapat lebih bersedia hadapi cabaran PRU yang dijangka diadakan tidak lama lagi,” katanya.

    Hasni juga berkata UMNO Johor dan kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama strategik menerusi penubuhan jawatankuasa penyelaras, yang akan dianggotai empat wakil UMNO Johor dan empat wakil kerajaan negeri yang berkemungkinan daripada kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

    Beliau berkata Onn Hafiz juga telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk mempertimbang serta mengambil inisiatif itu bagi memastikan hubungan kerjasama yang lebih strategik antara parti dan kerajaan.

    Ini merupakan kali pertama Onn Hafiz menghadiri mesyuarat badan perhubungan itu selepas dilantik sebagai Menteri Besar ke-19 susulan kemenangan BN pada PRN Johor 12 Mac lepas. – Bernama

  • Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    SEORANG peluncur udara warga Bangladesh maut selepas tersangkut di atas sebatang pokok balak ketika melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pukul 5.02 petang.

    “Mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44 yang merupakan warga Bangladesh tidak sedarkan diri ketika ditemui dan cedera patah kaki serta mengalami pendarahan.

    “Orang Asli di kawasan itu bertindak memanjat pokok tersebut dan mengikatnya menggunakan tali paragliding untuk menurunkan mangsa bagi mengelakkan mangsa terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, bagaimanapun, pihak ambulans dari Hospital Kuala Kubu Bharu mengesahkan mangsa disyaki meninggal dunia semasa tersangkut di atas pokok tersebut.

  • PKR Cabang Gombak tidak perlukan ketua baharu:Husaini

    PKR Cabang Gombak tidak perlukan ketua baharu:Husaini

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gombak tidak perlukan ketua baharu kerana masih yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengemudi Gombak dan juga Selangor.

    Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak, Muhammad Husaini Mohd. Yunos berkata, PKR Cabang Gombak pernah melalui fasa sukar, malah sudah
    jauh meninggalkan siri pengkhianatan disebabkan Langkah Sheraton.

    Sinar Harian melaporkan, Amirudin telah berusaha membina keyakinan kepada anggota parti Gombak untuk teguh bersama PKR.

    “Ini jelas terbukti melalui kredibiliti dan kepemimpinan Amirudin yang kekal di tahap terbaik serta tidak terjejas sedikit pun kerana pengkhianatan bekas pemimpinnya.

    “Kerja keras ini bukan sahaja diakui oleh anggota bawahan tetapi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan pujian secara terbuka menerusi program bersama anggota dan pimpinan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam sebuah portal berita yang memberitahu mempunyai masalah kepercayaan dengan kepimpinan Amirudin sebagai Ketua PKR Cabang Gombak.

    Farhash akan mencabar Amirudin bagi jawatan Ketua PKR Cabang Gombak selain turut bersaing bagi kerusi Naib Presiden PKR.

    Muhammad Husaini berkata, Farhash tidak perlu menjadi jaguh di Gombak susulan anggota parti tekad memberikan kepercayaan kepada Amirudin untuk kekal memimpin.

    “Insya-Allah, kami berterima kasih dengan apa jua usaha dan daya memperkukuh parti di mana-mana tahap, namun kami istiqamah tidak memerlukan hero kesiangan untuk mengajar kami,” katanya.

  • PasLeak: Tiada komplot campuri urusan mahkamah – Mursyidul Am Pas

    PasLeak: Tiada komplot campuri urusan mahkamah – Mursyidul Am Pas

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin yakin partinya tidak menggerakkan sebarang komplot untuk mencampuri urusan kehakiman demi percaturan politik seperti didakwa dalam dokumen ‘PASLeak’.

    Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata dakwaan itu juga sudah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Naib Presiden Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semalam.

    “Saya yakin juga tiada komplot untuk mencampuri hal terutama yang berkaitan dengan penghakiman. Malah isu ini pun sudah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Datuk Idris,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Pas Perlis, hari ini.

    Beliau yang sebelum itu menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, diminta mengulas dakwaan tular dalam media sosial mengenai beberapa keratan dikatakan minit mesyuarat Pas yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Ia termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke penjara, selain turut dikatakan menyentuh masa depan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Mengenai gesaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkaitan agenda ‘Khemah Besar’ membabitkan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), Hashim berkata, beliau tidak mengikuti pandangan bekas Naib Presiden Pas itu.

    “Saya minta maaf saya tidak mengikuti pandangan Salahuddin bukan disebabkan dia (parti Amanah), tetapi saya tidak begitu tahu gesaannya itu,” katanya.

    Mengenai pertemuannya dengan Annuar, beliau berkata, perbincangan mereka antara lain berkaitan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

    “Saya sudah dapat ‘tenaga baharu’ selepas bertemu Tan Sri (Annuar). Kita bincang dan saya nampak jalan hadapan dalam kerjasama kita (MN) semakin terang dan cerah untuk kebaikan perpaduan ummah dalam negara,” katanya.

    Hashim juga yakin apa yang dibincangkannya dengan Annuar menunjukkan hubungan kedua-dua parti berkenaan masih boleh diselamatkan.

    “Sebelum ini wujud kejadian Puteri UMNO buat isyarat ‘sayonara’ (selamat tinggal) kepada Pas. Saya terkejut juga kerana ia melambangkan bahawa kita ini (Pas dan UMNO) sudah berputus harap terhadap kerjasama yang terjalin.

    “Apakah kita hendak berputus harap? Saya berazam dengan kawan-kawan lain dalam Pas, apa pun halangan di hadapan, kita akan teruskan perjuangan ke arah perpaduan ummah dalam negara kita. Berjaya atau tidak, itu terpulang kepada Allah. Kita hanya berusaha ke arah itu,” katanya.

  • Warisan bertanding di Semenanjung pada PRU15

    Warisan bertanding di Semenanjung pada PRU15

    PARTI Warisan (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Shafie berkata, keputusan itu diambil bagi meneruskan saingan parti yang berpangkalan di Sabah itu di Semenanjung selepas kemunculan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas.

    “Bukan sahaja kami mahu mempertahankan kemenangan (PRU14) di peringkat negeri Sabah, bahkan juga mahu menawarkan diri di Semenanjung,” katanya kepada pemberita di Majlis Sumbangan dan Iftar Warisan Labuan, Labuan, hari ini.

    Menurut Shafie pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu.

    Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menyatakan kesediaan pembangkang meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang selepas 31 Julai depan, Shafie berkata, Warisan tidak pernah menyokong agar MoU itu diteruskan.

    “Apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, itu adalah hak dia untuk bersuara, bagi saya, saya tidak setuju dari awal lagi, sebab itu saya tidak menandatanganinya,” katanya.

    Pada Mac lepas, Anthony Loke ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata pembangkang bersedia meneruskan MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan. – Bernama

  • Kerajaan akan umum kelonggaran tiga SOP utama-PM

    Kerajaan akan umum kelonggaran tiga SOP utama-PM

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran tiga prosedur operasi standard (SOP) utama yang diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19.

    Jelas Perdana Menteri, melibatkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan keperluan menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.

    “Tiga perkara ini sedang dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan diumumkan selepas meneliti kebaikan dan keburukannya.

    “Saya tak pasti bila ia akan diumumkan tapi KKM sedang berbincang, bermesyuarat tentang pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR-RTK sebaik tiba di lapangan terbang.

    “Ada tiga perkara besar, tunggulah kita akan umum. Kita doakan berita gembira,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

    Menurutnya, sebagaimana dimaklumkan sebelum ini kerajaan tidak akan kembali mengetatkan SOP dan kelonggaran akan diberi dari semasa ke semasa.

    Jelas beliau, kelonggaran diberi sememangnya menggembirakan rakyat tetapi pada masa sama ada yang bimbang jika terlampau diberi kebebasan.

    “Itu sebabnya kena seimbangkan. Jika kita terlampau bebas, rakyat takut tapi seperti saya kata, kerajaan tidak akan mengundur ke belakang dan beri kelonggaran dari semasa ke semasa.

    “Sekarang ini kita dah boleh balik kampung beraya dan sebagainya tapi masih perlu memakai pelitup muka, walaupun tiada lagi penjarakan fizikal seperti dulu yang menyebabkan tindakan boleh diambil jika ada melanggarnya ” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan lebih banyak kelonggaran SOP yang diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19 dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

    Difahamkan, antara lain ia membabitkan kelonggaran terhadap arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2020.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital, KKM dijangka mengumumkan sedikit kelonggaran dari semasa ke semasa.

  • Ibu tunggal bekas kakitangan kerajaan diperdaya lebih RM1 juta

    Ibu tunggal bekas kakitangan kerajaan diperdaya lebih RM1 juta

    SEORANG ibu tunggal kerugian lebih RM1.1 juta diperdaya sindiket Macau Scam selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai dan namanya terbabit dengan pengubahan wang haram, bulan lalu.

    Sebelum itu wanita warga emas berusia 77 tahun yang berasal dari Seremban itu menerima panggilan daripada seorang wanita ketika berada di rumahnya kira-kira 10 pagi, 21 Mac lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya bernama Noraini Tan Abdullah.

    “Sindiket mendakwa warga emas itu mempunyai hutang cukai atas nama syarikat Nilam Kenari Trading sebanyak RM18,336.

    “Pesara kerajaan itu kemudiannya menafikan mempunyai syarikat berkenaan sebelum sindiket menyambungkan panggilan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kononnya untuk membuat laporan memandangkan syarikat didaftarkan di Kedah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Jelas Aibee, mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Amir Hamzah sebelum disambungkan kepada Inspektor Fazli Yusuf.

    “Inspektor itu memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap kerana syarikat milik warga emas itu ditubuhkan untuk tujuan pengubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.

    “Mangsa lalu bercakap pula dengan seorang pegawai bernama Koh Eng Guan daripada bahagian risik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan akan membantu mangsa menyelesaikan masalah dihadapinya.

    “Mangsa diperdaya supaya memberikan semua sembilan maklumat akaun miliknya termasuk satu akaun bersama anaknya. Mangsa juga diminta memberikan salinan MyKad dan gambar melalui WhatsApp,” katanya.

    Aibee berkata, pada 22 Mac pegawai itu menghantar surat mengenai penyerahan dan penyiasatan aset mangsa kononnya daripada Mahkamah Persekutuan dan mendakwa semua wang mangsa perlu dimasukkan ke akaun Bank Negara untuk tujuan siasatan.

    “Mangsa lalu memasukkan semua wang ke dua akaun miliknya sebelum sindiket dipercayai memindahkan wang itu ke enam akaun yang tidak dikenali dengan jumlah keseluruhan RM1,174,589.

    “Warga emas itu memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum menyedari ditipu sindiket. Semua wang diambil dari Mac hingga 18 April lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seremban, semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas

    3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM305,348 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seri Kembangan dan Kajang, semalam.

    Dalam serbuan pertama pada pukul 10.30 pagi, dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun ditahan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 (Bn4) PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, turut dirampas enam buah kenderaan yang di parkir di Pangsapuri Putra Impian, Seri Kembangan.

    “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan dan merampas 3,030 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM268,764.

    “Nilai cukai berjumlah RM409,570. Nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai RM943,054,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Rizal berkata, dalam serbuan kedua pula, pihaknya berjaya menahan seorang lagi ahli sindiket yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Berlian, Sungai Jelok, di Kajang sekitar jam 6 petang.

    “Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai 247 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam rumah terbabit serta 73 karton lagi disembunyikan dalam kenderaan.

    “Turut dirampas adalah kenderaan terbabit dan telefon bimbit pelbagai jenama. Anggaran nilai rampasan sebanyak RM36,584 manakala anggaran nilai cukai rokok pula berjumlah RM42,836.00,” katanya.

    Beliau berkata, nilai cukai kesemua 3,359 karton rokok yang dirampas berjumlah RM452,496 manakala nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai RM943,054 termasuk tujuh kenderaan dan lima telefon bimbit.

    Sindiket tersebut katanya, disyaki aktif mengedar rokok seludup berkenaan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Kajang untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

  • Rossa dipanggil beri keterangan kes pelaburan haram

    Rossa dipanggil beri keterangan kes pelaburan haram

    JIKA sejumlah selebirti Indonesia sebelum ini sudah dipanggil membantu siasatan kes penipuan skim atas talian DNA Pro, kali ini giliran Rossa pula dipanggil memberikan keterangan.

    Ketua Bahagian Penerangan Awam Bahagian Perhubungan Awam Polis, Komisioner Gatot Repli Handoko mengesahkan perkara tersebut.

    Jelasnya, penyanyi yang popular dengan lagu Takkan Berpaling Dari-Mu itu hadir pada petang kelmarin memberikan keterangan apabila namanya terkait sama.

    “Rossa sudah mengesahkan kehadiran untuk pemeriksaan pada petang Khamis,” ujarnya menurut Satu Berita yang memetik laporan media tempatan di sana.

    Bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi sejauh mana penglibatan penyanyi tersebut dengan syarikat yang menjerat sejumlah selebriti sebelum ini.

    Selain Rossa, antara selerbiti lain yang sudah dipanggil memberi keterangan adalah Ivan Gunawan, Billy Syahputra, pasangan Rizky Billar dan Rizky Kejora, dan Yosi.

    DNA Pro merupakan sebuah syarikat yang menjalankan pelaburan saham atas talian dan telah beroperasi secara haram.

    Aktiviti penipuan mereka mula dihidu sejak awal April dan kerugian semua mangsa terlibat dianggarkan kira-kira RM23 juta.