SATU sindiket curi berjaya ditumpaskan selepas polis menahan sembilan lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di empat negeri sejak Disember tahun lalu hingga Isnin lalu.
Modus operandi sindiket itu adalah menukar identiti kenderaan curi berkenaan dengan mendapatkan maklumat berkaitan kenderaan dilupus atau kenderaan diisytihar ‘total loss’ (musnah sepenuhnya).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan sebuah kenderaan mewah hilang di sebuah kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Disember tahun lalu.
“Susulan itu, kita menjalankan siasatan yang membawa kepada penahanan sembilan lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an.
“Kita merampas 26 kenderaan mewah membabitkan Toyota Vellfire, Mercedes, BMW, Ford Ranger dan Mazda yang dianggarkan bernilai RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.
Azmi berkata, sindiket berkenaan memperoleh maklumat menerusi satu laman sesawang insurans, kemudian digunakan bagi menggantikan identiti kenderaan curi sebelum ia didaftarkan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebahagian daripada kenderaan mewah yang dirampas selepas polis berjaya menahan sembilan lelaki yang disyaki dalang sindiket kecurian kereta mewah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Selepas identiti ditukar, setiap kenderaan itu akan dijual dan meraih keuntungan antara RM30,000 sehingga RM40,000 bagi setiap satu,” katanya.
Azmi berkata, pihaknya menerima 26 laporan berkaitan kehilangan kenderaan mewah di ibu negara sejak tahun lalu dan percaya ada lagi laporan yang berkait dengan sindiket berkenaan.
“Semakan dilakukan mendapati ada di antara suspek yang mempunyai rekod jenayah curi kenderaan.
“Dua daripada sembilan suspek berkenaan masih dalam tempoh reman untuk membantu siasatan,” katanya
JAMBATAN Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau juga dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang menawarkan diskaun tol sebanyak 30 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
JKSB dalam kenyataan hari ini berkata, pemberian diskaun kepada semua kelas kenderaan itu akan bermula pukul 12 tengah malam 30 April (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam 1 Mei (Ahad) ini.
Tambahnya, pemberian diskaun juga akan diberikan bermula pukul 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam 8 Mei (Ahad) ini.
“Inisiatif yang diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia ini disokong oleh JKSB dalam usaha mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, JSAHMS merupakan pilihan untuk para pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau selain merupakan ‘direct dual carriageway’ yang menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang (LTAPP).
Tambahnya, para pengguna akan sampai ke kawasan tersebut dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius.
“Tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain, tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna, JSAHMS merupakan alternatif terbaik,” katanya.
KERAJAAN memutuskan pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada dalam bangunan dan dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan.
“Pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya, hari ini.
Berikut petikan kenyataan beliau:
Pemakaian pelitup muka adalah WAJIB apabila berada di dalam bangunan (indoor) dan di dalam pengangkutan awam termasuk e- Hailing.
• Namun pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional) tetapi AMAT DIGALAKKAN kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan;
A. Dalam Bangunan (Indoor) dan Pengangkutan Awam termasuk e- hailing
• Pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di dalam bangunan (indoor) termasuk gedung membeli belah dan pengangkutan awam termasuk e-hailing;
• Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini; dan
• Pelitup bagaimanapun muka boleh ditanggalkan:
o Semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman tersebut
o Sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang. o Ketika sedang makan, minum
o Ketika sedang berucap
o Membuat persembahan
• Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan
pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling kita, terutama mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised.
B. Luar Bangunan (Outdoor)
• Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan (outdoor).
Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik;
• Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila:
− Berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazaar ramadan, pasar malam, stadium;
− Individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema;
− Individu yang berisiko tinggi;
− Melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.
DOKUMEN Pas Leak yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu diyakini palsu bersandarkan kepada ciri-cirinya yang sama sekali tidak menepati format minit mesyuarat ditetapkan parti itu.
Malah menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya mengenai perkara tersebut, turut mempersoalkan ‘Jebon’ mana yang menulis minit mesyuarat tersebut.
Selaku individu yang berada dalam hierarki kepimpinan parti katanya, beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan berhubung perkara yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.
“Saya kalau bincang nak perang Amerika semua itu, saya tak tulis. Yang tulis itu orang bodoh saja, ada ke tulis lepas tu ‘pi’ bagi orang baca.
“Entah siapa tulis tu? Jebon mana ‘pi’ tulis minit mesyuarat?” Soalnya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan dokumen itu dibuat oleh pasukan ‘Cyber Trooper’ pihak tertentu, yang mahu mendapatkan kepentingan daripada kewujudan dokumen tersebut.
“Contohnya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jali yang asyik desak Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar buat sumpah laknat. Isham Jali tu ada kepentingan atas dokumen tersebut dan dia sedang menggunakan dokumen itu.
“Orang macam itu ada potensi buat dokumen tersebut,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pernah membincangan mengenai khemah besar yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) dengan Pas sudah pun membuat keputusan untuk tidak menyertainya.
“Pas menolak rancangan itu. Kalau Pas tak turut serta, PN pun tak cukup kerusi dan tak boleh ‘pi’ la untuk sertai khemah besar itu.
“Ada orang kata khemah besar itu melibatkan DAP, tetapi ada juga yang kata tanpa DAP. Tanpa DAP atau tidak, tak mungkinlah kami sertai khemah besar itu,” katanya.
Tambahnya, pengalaman selama 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) merupakan antara faktor mengapa Pas memilih untuk tidak menyertai gabungan baharu yang dirancang itu.
“Benda yang kita pernah buat dengan PKR, semua strategi dalam pakatan itu tak akan berulang,” katanya.
MENJADI pemimpin memang bukan tugas mudah, sesiapa pun akan ‘cuba elak’ jika ada pilihan. Tetapi rencana dan takdir Allah SWT menentukan segalanya termasuk dalam isu pelantikan Menteri Besar Johor ke-19.
Rezeki itu sudah tertulis untuk Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kini menggalas tanggungjawab besar mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sejak 15 Mac lalu iaitu selepas dua tahun hanya sebagai Exco menguruskan portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan.
Tidak sama seperti semasa menjadi Exco yang mungkin Onn Hafiz cekap dengan hal ehwal ditadbirnya, tetapi sebagai Menteri Besar semua selok belok dan urusan negeri perlu ada dalam tangannya agar mudah untuk berhadapan rakyat, pembangkang dan ‘rakan media’.
Beliau mungkin boleh dikira sebagai jaguh dalam menyalurkan maklumat, berkongsi aktiviti dan pengumuman tertentu kerana pantas memuat naik perkara-perkara itu dalam Facebooknya setiap masa setelah selesai sesuatu program atau lawatan dihadiri.
Dalam hal ini, nampak seperti Onn Hafiz dan pasukannya telah ‘memudahkan’ tugas wartawan kerana tidak perlu bersusah payah mengejarnya di program atau menghubungi beliau melalui telefon bagi mendapatkan komen.
Tetapi sayang beribu-ribu kali sayang, langkah itu tidak banyak membantu pun ‘rakan media’ yang mahu membantu beliau pula kerana apa yang dikongsikan tidak ubah seperti kad laporan harian seorang wakil rakyat.
Tiada isi penting dan kadang kala memeningkan kepala wartawan untuk mencari ‘point’ yang sesuai bagi dijadikan bahan berita sehingga kerap kali terpaksa diabaikan kerana tiada nilai berita.
Mungkin ini kesannya apabila beliau jarang mahu bertemu dan berkomunikasi dengan ‘rakan media’ secara dua hala sehingga tidak pasti apa sebenarnya bahan diperlukan untuk penulisan berita yang boleh membantu pentadbiran beliau di Johor.
Johor pula bukan negeri yang biasa-biasa, bersempadan pun dengan negara maju, Singapura yang pastinya setiap apa diperkatakan beliau akan menjadi perhatian republik itu berdasarkan hubungan erat Johor-Singapura sejak dahulu kala.
Sekiranya Onn Hafiz berterusan ‘menjauhkan’ diri daripada media, tiada apa yang dapat dibantu. Untuk rekod, setakat ini hanya tujuh sidang akhbar dilakukan beliau sejak mengangkat sumpah.
Itu pun tiga daripadanya merupakan sidang akhbar tanpa sesi soal jawab iaitu kehadiran wartawan hanya untuk mendengar apa yang mahu dikatakan beliau dan bakinya hanya boleh tanya hal berkaitan program sahaja, tiada soalan tambahan.
Media sebenarnya faham beliau masih baharu sebagai Menteri Besar tetapi dari situlah sebenarnya permulaan untuk membentuk keyakinan beliau berhadapan dengan wartawan yang kadang jadi kawan, ada masa jadi lawan. Apa yang penting kena yakin dan bijak menjawab.
Dalam hal ini, rasanya elok juga Onn Hafiz merujuk kepada bapa saudaranya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang amat mesra media tanpa perlu berlari dan mengelak jika mahu disoal.
Cara Hishammuddin menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya sentiasa tenang, tidak takut dan sesuai dengan keadaan. Rasanya ramai masih ingat sekitar 2014 bagaimana Ahli Parlimen Sembrong itu mengendalikan sidang akhbar berkaitan pesawat Malaysia Airlines, MH370.
Ketika itu beliau Menteri Pertahanan dan memangku tugas Menteri Pengangkutan, setiap hari bukan setakat rakyat Malaysia yang menonton sidang akhbar secara langsung tetapi seluruh dunia melihat Hishammuddin menyampaikan maklumat terkini untuk diketahui umum.
Soalan-soalan yang ditanya media antarabangsa pula bukan calang-calang, tetapi Hishammuddin tidak berganjak atau memilih untuk memuat naik kenyataan di Facebook sahaja. Raut wajah beliau sentiasa tenang dan meyakinkan mereka yang menonton.
Maka, Onn Hafiz sewajarnya mencontohi Hishammuddin kerana dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor nanti pula, beliau akan berdepan pula dengan wakil rakyat pembangkang yang jauh lebih berpengalaman.
Malah, tak salah rasanya jika beliau mencontohi sikap pendahulunya, Datuk Seri Hasni Mohammad yang ada hubungan baik dan erat dengan media, tidak pernah tiada sidang akhbar kecuali dalam hal-hal tertentu dan sentiasa menyapa rakan media ketika di mana-mana program.
Walaupun Barisan Nasional (BN) ada kedudukan selesa dengan 40 daripada 56 kerusi, tetapi Onn Hafiz kena ingat Ketua Pembangkang nanti ialah Liew Chin Tong yang bergandingan pula dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub selain wakil-wakil rakyat ‘junior’ yang petah berhujah seperti Marina Ibrahim, Amira Aisya Abd. Aziz dan lain-lain.
Tidak perlu takut berhadapan media, tidak perlu bimbang dikritik dengan apa yang akan diperkatakan kerana seorang pemimpin yang berkaliber perlu berani menghadapi semua itu, sama seperti beliau mengkritik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dahulu.
Jadi, sudah pasti Onn Hafiz sudah tahu selok-belok atau cara menjawab serta membalas hujah agar tidak lagi beliau selepas ini terus diberi gelaran MB FB (Menteri Besar Facebook).
PARA perantau anak Kelantan diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika pulang menyambut Aidilfitri kerana polis mengenalpasti terdapat 16 lokasi yang sering berlaku kemalangan maut di negeri itu.
Ia penting bagi mengelak berlakunya tragedi berdarah.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, di Kota Bharu terdapat tiga lokasi maut melibatkan Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (JalanTok Guru), Jalan Salor Baru-Pasir Mas dan Jalan Binjai-Bachok (Padang Bongor).
Menurut beliau, ia diikuti lokasi di Gua Musang Kilometer (km) 59-62 Jalan Gua Musang-Kuala Lumpur di Sungai Bayu dan km 52-59 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Air Panas), Machang (km 48-52 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai serta Jalan Machang-Tanah Merah, Wakaf Bata) dan Pasir Mas (km 7-31 Jalan Kota Bharu-Pasir Mas dan km 5-14 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Tanah Merah (Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli).
“Sementara itu di Kuala Krai (km 57-60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Keroh), Jeli (km 115-125 Jalan Jeli-Grik), Tumpat (km 3-7 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor), Bachok (Jalan Jelawat-Beris Lalang-Tok Bali) dan Pasir Puteh (km 47-51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Bukit Yong) masing-masing melibatkan satu kawasan panas yang sering berlaku kemalangan maut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa di pasir Puteh, Kelantan hari ini Sinar Harian.
Hadir sama Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Menurut Muhamad Zaki, penempatan anggota secara bergerak dan bergilir-gilir di lokasi-lokasi maut akan dilakukan dari semasa ke semasa, langkah ini supaya masyarakat dapat melihat kehadiran pihak berkuasa di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pendekatan dibuat merupakan salah satu usaha melihatkan langkah itu mampu mengurangkan risiko kemalangan atau sebaliknya.
“Saya harap pengguna jalan raya dapat mematuhi segala peraturan bagi mengelakkan insiden tidak diingini daripada berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, mengenai Op Selamat, pihaknya masih lagi mengekalkan objektif sama iaitu berkait dengan aspek keselamatan jalan raya dan di rumah.
SEBUTLAH mana-mana parti pembangkang sama ada berada dalam Pakatan Harapan (PH) atau berada di luar gabungan itu, lawan mereka hanya satu iaitu Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Bila bercakap pasal parti ini, wah! berdegar-degar semua kata pasal ‘kluster mahkamah’.
Tetapi malangnya apabila ada ruang untuk kembali bekerjasama seperti mana tahun 2018, masing-masing mula dok bagi macam-macam alasan. Yang peliknya hanya dalam Bersatu sahaja yang nampak semua sepakat serah kepada Presiden parti, Muhyiddin Yasssin…parti-parti lain berantakan.
Namun masa masih ada untuk berpakat. Semua kena ketepi ego masing-masing. Jangan dok perasan sangat bila bertarung sendirian dan tak nak bergabung dengan sesiapa, mereka boleh tumbangkan BN dan UMNO…mimpi boleh la..mahu tak mahu semua parti kena gabung lawan BN kecuali lah mereka memang nak BN menang mudah dalam PRU-15.
Beberapa pilihan raya kecil dan PRK di Johor dan Melaka dah tunjuk hanya PN dan DAP saja boleh beri saingan kepada BN/UMNO tu pun belum cukup kuat nak kalahkan BN/UMNO.
Tiada formula lain untuk tumbangkan BN/UMNO kecuali parti-parti lawan mereka BERGABUNG dan pastikan pertarungan SATU LAWAN SATU dalam PRU-15. Inilah faktanya! Tak kanlah pakar-pakar strategik dalam parti-parti pembangkang tak faham-faham! Sebagai seorang yang berpengalaman Muhyiddin amat memahami fakta ini.
Pasal itulah beliau bersedia berunding dengan parti-parti lain, walaupun ada pemimpin UMNO dok ‘meroyan’ tuduh Muhyiddin ada agenda mahu jadi PM kembali dan ‘khianat’ sebab Bersatu sebahagian daripada kerajaan sedia ada. Puak yang cakap macam ni ‘tak cerdik’. Habis tu kalau tak nak jadi PM buat apa jadi Presiden parti? Lagipun Muhyiddin bukan ada kes mahkamah atau apa-apa tuduhan salahguna kuasa. Lainlah ‘orang tu’ jadi Presiden tetapi orang lain akan jadi calon PM.
Kena fahamlah… Muhyiddin mahu pembangkang bergabung sebab tak nak ‘kluster mahkamah’ kembali berkuasa. Bukan kata Muhyiddin, beberapa pemimpin pembangkang lain pun tahu perkara ini tetapi ada pemimpin pembangkang yang ego. Kena buang ego…tu saja cara nak pastikan pembangkang bentuk kerjasama ampuh. Patutnya duduk la berbincang dulu, cari formula, cari jalan macam mana nak pakat bukan awal-awal lagi dah bantah atau tolak.
Pemimpin UMNO tahu kalau pembangkang bergabung, tu ‘petaka politik’ untuk mereka. Sebab itulah ada pemimpin UMNO dah jadi ‘cacing kepanasan’ mula dok kata pasal ‘Pakatan Harapan 2.0’….TT pun faham pasal apa pemimpin tu ‘rasa panas’, maklumlah, hasil tindakan berani Muhyiddin… segala kepincangan dalam kerajaan BN masa tu terbongkar…hasilnya BN hilang kuasa…ada pemimpinnya naik turun mahkamah setiap hari.
Jadi kalau pembangkang bergabung sekali lagi, ni pasti akan beri ancaman kepada BN dan UMNO. Statistik beberapa pilihan raya dah tunjuk, kalau pertarungan satu lawan satu, belum tentu BN boleh menang. Tetapi jika pembangkang dan parti yang menentang BN/UMNO tak mahu bekerjasama…bersedialah duduk kat blok pembangkang sampai pencen…
Lepas pilihan raya kalau BN/UMNO buat apa-apa dasar atau tindakan atau ‘kluster mahkamah’ kembali berkuasa, jangan dok nak salah sesiapa..tak payah nak kritik… terima saja apa yang berlaku…sebab peluang dah ada untuk sekat BN/UMNO disia-siakan..
Jadi TT minta pemimpin fikir betul-betul…duduk berunding cara titik persefahaman.
Kalau itu tak dapat dibuat, maknanya apa yang puak-puak pembangkang dok ‘bantai’ Kluster Mahkamah tu hanya retorik dan sandiwara politik kelas tertinggi…
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.
SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya seorang wanita melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM61,050 antara 25 November hingga 21 Disember tahun lalu.
Nurfatin Natasha Abdullah, 28, membaut pengakuan itu selepas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu rakan sekerjanya, Aida Masirah Mohd Salleh, 51, dengan cara memperdayakan mangsa melalui tawaran pelaburan emas yang tidak wujud dan dengan curang mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.
Memetik laporan Harian Metro, perbuatan itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian antara 25 November 2021 sehingga 21 Disember 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kes berkenaan serius dan membabitkan penipuan.
Tertuduh memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
SEORANG bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Rabu atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender kepada empat syarikat miliknya, pada 2017 hingga 2019.
Tertuduh Azlinda Abd Aziz, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail, secara berasingan.
Mengikut kertas pendakwaan, bagi 30 pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera KKM atas nama tiga syarikat dengan niat supaya dokumen-dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.
Sementara baki tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia, Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB Malaysia dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Ketiga-tiga sijil berkenaan sebenarnya tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara November 2017 hingga Oktober 2019 di Unit Perolehan Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Iskandar Puteri, dekat sini.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan juga denda.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Matthews Jud dan Omar Kutty Maiadr.
Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamkn warga tempatan dan pasport diserahkan kepada pihak Mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh penghantaran dokumen.
DATIN Rashidah Ismail, 60, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli meninggal dunia akibat penyakit spinocerebellar ataxia, pada awal pagi tadi.
Pegawai Media ADUN Serting Zainaul Abidin Raub berkata Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi tadi di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.
“Allahyarhamah menghidap penyakit berkenaan sejak lima tahun lepas namun kesihatannya merosot sejak kebelakangan ini. Allahyarhamah meninggalkan dua orang anak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Keli, Batu Kikir selepas solat zohor hari ini. – Bernama