Author: Admin

  • 11 hari hilang, ibu bapa anak sindrom down harap anak selamat

    11 hari hilang, ibu bapa anak sindrom down harap anak selamat


    IBU bapa seorang lelaki sindrom down Mohd Fareez Dorajak, 34 yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sehari sebelum Aidilfitri pada 1 Mei lepas, berharap anaknya dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat seperti sebelum ini.

    Bapanya Dorajak Kazamad, 63, berkata semasa kejadian, dia dan isteri sedang sibuk mengemas rumah untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan mereka tidak menyedari Mohd Fareez keluar secara sembunyi.

    “Selepas solat Subuh, kami sibuk berkemas dan tidak sedar anak saya sudah curi-curi keluar melalui pintu belakang kira-kira pukul 6.30 pagi. Saya fikirkan dia keluar untuk membeli air dan roti di kedai berhampiran.

    “Ini kerana, menjadi kebiasaan Mohd Fareez curi-curi keluar pada waktu pagi untuk membeli air, kemudian balik ke rumah semula. Namun, kali ini dia tidak pulang ke rumah dan kami sekeluarga sangat risau keadaannya,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Desa Dahlia, Senawang, hari ini.

    Dalam pada itu, Dorajak berkata kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini Mohd Fareez pernah hilang tetapi berjaya ditemukan orang awam dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) beberapa hari kemudian.

    “Dua tahun lepas, dia pernah hilang dan dijumpai oleh JKM di Perak selepas empat hari. Tahun ini sekali lagi dia hilang dan tidak balik ke rumah lebih 10 hari, yang sangat membimbangkan kami dan diharapkan anak saya itu ditemui dalam keadaan baik serta selamat,” katanya.

    Dorajak berkata dia bersama isteri Fadilah Mohamad Laji, 62, telah membuat laporan di Balai Polis Senawang pada hari pertama Aidilfitri iaitu pada 2 Mei lepas selain mencari Mohd Fareez di sekitar Senawang dan Seremban terutama di terminal bas, kawasan kedai dan klinik namun gagal menemukannya.

    Bapa kepada enam anak itu berkata Mohd Fareez seorang anak yang sangat baik dan tidak bermusuh dengan sesiapa.

    “Dia anak istimewa dan memang mudah merajuk, jadi kita memang kena selalu pujuk dia. Kami harap Mohd Fareez pulang dalam keadaan selamat dan kami sentiasa mendoakan agar dia dilindungi walau di mana jua dia berada” katanya.

    Sehubungan itu, Dorajak meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya yang kali terakhir dilihat memakai kemeja-T merah dan berseluar ‘track’ hitam untuk menghubungi pihaknya di talian 017-2678673 atau untuk menghubungi balai polis berdekatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan lelaki orang kurang upaya (OKU) itu dan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenainya, menyalurkan ke balai polis berhampiran.

    “Kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan pihak polis sedang giat mengesan mangsa,” katanya. – Bernama

  • Kes basikal lajak: 28 Jun pengurusan kes selanjutnya

    Kes basikal lajak: 28 Jun pengurusan kes selanjutnya

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak.

    Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

    Peguam Harvinderjit Singh dan Faizal Mokhtar yang mewakili Sam menghadiri prosiding pengurusan kes itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan.

    Ketika dihubungi, Harvinderjit Singh berkata, timbalan pendaftar menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya untuk mendapatkan rekod rayuan dan bagi membolehkan rekod rayuan itu diserahkan kepada pihak dalam kes itu.

    Beliau berkata, dia juga memaklumkan kepada Mohd Khairi bahawa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sudah dilantik sebagai peguam utama dan beliau (Harvinderjit) sebagai peguam bersama untuk mewakili Sam dalam rayuannya.

    Harvinderjit Singh berkata, pihak pendakwaan juga mengesahkan mereka sudah menerima notis rayuan yang difailkan Sam.

    Beliau berkata, pihak pembelaan memaklumkan kepada timbalan pendaftar mereka mahukan rekod rayuan, nota prosiding dan hujahan untuk rayuan terdahulu pada 2019 oleh pihak pendakwaan dimasukkan ke dalam rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

    “Ini kerana isu kes prima facie juga akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.

    “Mahkamah memerintahkan supaya surat ditulis kepada Mahkamah Tinggi Johor Baharu untuk memohon perkara yang sama,” katanya.

    Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

    Lapan remaja yang terbunuh dalam insiden itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Sam untuk membela diri atas tuduhan memandu secara melulu.

    Majistret Siti Hajar Ali, yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Tinggi.

    Pada 13 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Sam atas pertuduhan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

    Sam mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu terhadap sabitan dan hukuman penjaranya.

    Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya. – Bernama

  • Bayi 6 bulan maut, telinga ibu hampir putus ditetak

    Bayi 6 bulan maut, telinga ibu hampir putus ditetak

    SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan maut manakala ibunya parah selepas ditetak datuk saudaranya di sebuah rumah di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan, pukul 2 petang semalam.

    Telinga kiri ibu bayi berkenaan yang berusia 35 tahun dilaporkan hampir putus akibat serangan lelaki terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang.

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi mendapati bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia akibat ditetak di bahagian kepala.

    “Ibunya pula mengalami parah di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus akibat tetakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dzulbaharin berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    “Pasukan polis kemudiannya mengesan dan menangkap suspek di kebun sawit di lokasi sama.

    “Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa,” katanya.

    Menurutnya, suspek berusia 60 tahun merupakan warga Filipina dan dibawa ke IPD Kinabatangan untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan suspek akan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya.

  • Enam lelaki ditahan bantu siasatan ugut sebar video bogel

    Enam lelaki ditahan bantu siasatan ugut sebar video bogel

    POLIS menahan enam lelaki dipercayai terlibat sindiket pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel yang melibatkan kerugian berjumlah RM22,200.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kesemua mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Op Bugil dengan dua daripadanya mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.

    “Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa melalui aplikasi media sosial dan menyamar sebagai wanita seksi yang hendak mencari kenalan melalui aplikasi MiChat, WeChat, Facebook dan WhatsApp.

    “Sindiket kemudian bertindak membuat panggilan video kepada mangsa serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa untuk melakukan adegan lucah yang dirakam tanpa disedari mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

    Mancha berkata, selepas itu mangsa akan diugut dan diarahkan membuat pembayaran sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan bagi mengelak rakaman itu disebarkan.

    “Mangsa akan mengalami tekanan perasaan dan malu kerana tercalarnya maruah diri akibat ugutan penyebaran gambar dan video tersebut serta kerugian wang ringgit,” katanya.

    Beliau berkata, selain penahanan kesemua lelaki itu, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

    Katanya kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 384 dan 506 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • PAS konsisten perkukuhkan MN, perkasa PN menjelang PRU-15

    PAS konsisten perkukuhkan MN, perkasa PN menjelang PRU-15

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PAS konsisten berpegang kepada keputusan dibuat parti itu sebelum ini, untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, partinya konsisten terhadap keputusan itu memandangkan kedua-dua gagasan tersebut memiliki matlamat sama iaitu membawa kepada penyatuan ummah.

    Katanya, langkah untuk memperkukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan menyatupadukan ummah amat penting ketika cabaran kepada umat Islam di seluruh dunia kini dilihat semakin hari, semakin meningkat.

    “Cabaran kepada umat Islam ini datang dari pelbagai penjuru dan ‘ubat’ untuk menghadapi semua isu ini adalah memperkukuhkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan umat Islam.

    “Pas tak ada masalah untuk bekerjasama dengan PN mahu pun MN dalam memperkukuhkan umat Islam di Malaysia terutamanya dalam bidang politik. Kedua-dua gagasan itu ada kepentingan untuk Islam dan Melayu,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, walau apa pun alasan diberikan pihak lain untuk menolak apa-apa gagasan, Pas tetap mengajak untuk memperkukuhkan perpaduan Melayu politik Islam di negara ini.

    Katanya, kuasa politik Melayu mesti dominan berdasarkan komposisi kaum di Malaysia dan sejarah latar belakang negara.

    “Bagi berdepan cabaran masa depan pula, kita mesti bersatu padu. Benda lain yang mengganggu-gugat usaha menyatu padukan Melayu dan Islam, perlu diketepikan oleh sesiapa pun.

    “Ketepikan kepentingan diri, peribadi dan kelompok. Marilah bersatu-padu untuk mengukuhkan kuasa politik umat Islam dan Melayu,” katanya.

    Ditanya sama ada pegangan tersebut bermaksud Pas sedia bekerjasama dengan UMNO dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi kata partinya itu langsung tiada masalah dengan perkara itu.

    “Pas tak ada masalah apa. Kalau UMNO ada masalah, itu mereka punya pasal. Jadi merekalah yang kena selesaikan,” katanya.

  • Anthony Loke nafi lebih ramai MP DAP tak tanding PRU-15

    Anthony Loke nafi lebih ramai MP DAP tak tanding PRU-15

    SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan lebih ramai ahli Parlimen parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Namun Ahli Parlimen Seremban itu berkata, PRU-15 akan datang bakal menyaksikan lebih ramai calon baharu daripada DAP.

    “Setahu saya, satu-satunya ahli Parlimen yang membuat pengumuman ini ialah Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi). Tiada pengumuman lain dibuat dan tiada keputusan lain oleh ahli parlimen lain.

    “Tetapi dalam setiap pilihan raya, pasti akan pembaharuan, akan ada calon baru,” katanya dalam sidang media di Kajang, hari ini yang turut dihadiri Kian Ming, lapor MalaysiaKini.

    Bekas Menteri Pengangkutan itu mengulas sama ada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua akan mengikut jejak Ong.

    Pada 9 Mei lalu, Kian Ming mengumumkan keputusannya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon untuk PRU-15 akan datang.

    Susulan pengumuman beliau berehat daripada politik dan tidak menyertai pilihan raya akan datang, spekulasi bertiup kencang bahawa Tony Pua mungkin akan melakukan tindakan serupa.

    Kawasan parlimen Bangi mempunyai tiga kerusi DUN – Sungai Ramal, Balakong dan Seri Kembangan.

    Kerusi Sungai Ramal disandang oleh Mazwan Johar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Balakong dan Seri Kembangan diwakili oleh Wong Siew Ki dan Ean Yong Hian Wah, daripada DAP.

    Kain Ming yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pertama kali menang kerusi Serdang pada 2013 dengan menewaskan veteran MCA dan bekas ahli Parlimen Yap Pian Hon dengan mengundi 79,238 undi (67.98 peratus).

    Pada 2018, beliau mempertahankan parlimen Bangi yang lebih luas (dinamakan semula selepas persempadanan semula 2018) dengan menewaskan Liew Yuen Keong daripada MCA, Shafie Ngah daripada Pas dan Dennis Wan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas meraih 102,557 undi (65.6 peratus).

  • Guru taska ditahan dera kanak-kanak

    Guru taska ditahan dera kanak-kanak

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menahan seorang guru taska bagi membantu siasatan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera.

    Suspek wanita berusia 24 tahun itu ditahan polis di tepi jalan di Jalan Putih, Skudai, Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan dera terhadap mangsa, kelmarin.

    Katanya, polis menerima laporan daripada ibu mangsa semalam bahawa anak perempuannya didera di taska asuhan yang beralamat di Tampoi.

    “Mangsa berusia empat tahun itu merupakan seorang kanak-kanak yang hiper aktif dan mempunyai masalah lambat bertutur.

    “Taska berkenaan pula merupakan pusat jagaan bagi kanak-kanak normal dan juga kanak-kanak khas.

    “Berdasarkan video yang tular, suspek dipercayai telah menarik telinga mangsa dan juga menekap muka mangsa menggunakan bantal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah Rupiah, pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati mangsa mengalami kesan lebam di bahagian telinga kanan dipercayai akibat didera.

    Beliau berkata, polis telah menjalankan operasi bagi mencari suspek sebelum berjaya menahan wanita itu kira-kira pukul 9 malam tadi.

    “Suspek kini dikenakan tahanan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Rupiah turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi polis ditalian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

  • Keluar masuk parti politik untuk jaga kepentingan rakyat:Hamzah

    Keluar masuk parti politik untuk jaga kepentingan rakyat:Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pemimpin politik yang keluar masuk parti sama sebagai bukan isu baharu malah menganggapnya untuk menjaga kepentingan rakyat.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata, situasi tersebut sudah berlaku sekian lama dalam melindungi kemaslahatan dan kepentingan rakyat seperti dilakukan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Pada saya, apa sahaja yang sudah berlaku dalam tiga tahun lalu, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) sudah pun terjadi. Ada yang berlaku dengan perancangan dan ada yang berlaku kerana strategi tertentu, tetapi semuanya untuk kepentingan rakyat.

    “Saya sendiri tidak pernah keluarkan kenyataan untuk membabitkan sesiapa, yang penting adalah supaya kerajaan ketika ini adalah kerajaan stabil yang mampu memastikan agenda kerajaan dilakukan dengan terbaik, juga supaya rakyat tidak hidup kegelisahan dalam keadaan kepemimpinan yang terumbang ambing.

    “Sama ada ahli parti keluar masuk, ia berlaku sejak dulu lagi. Almarhum Tunku Abdul Rahman sendiri pernah keluar parti, begitu juga Dr Mahathir,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad, yang menganggap mereka yang meninggalkan parti itu suatu ketika dahulu mempunyai alasan dan sebab tersendiri.

    Berikutan itu, tegas Md. Alwi, UMNO tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu terbabit.

    Hamzah berkata, kepentingan rakyat menjadi tunjang utama dalam tindakan yang dilakukan oleh ahli dan pemimpin parti politik.

    “Agenda utama adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya individu. Sama ada guna kaedah kepartian, yang penting adalah apabila lakukan sesuatu dan harus dilakukan, ia perlu dilaksana dengan terbaik serta niat yang baik. Tidak timbul kehendak sendiri, sebaliknya (demi) kemaslahatan yang lebih besar,” katanya.

  • Pemuda mengaku tidak bersalah tipu 5 peniaga sewa tapak bazar Ramadan

    Pemuda mengaku tidak bersalah tipu 5 peniaga sewa tapak bazar Ramadan

    SEORANG pemuda dihadapkan di lima Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan menipu lima peniaga dengan menawarkan tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil yang tidak wujud, bermula Februari lalu.

    Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusoff, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Noorelynna Hanim Abd Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kesemua pertuduhan, pemuda itu didakwa menipu empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 24 hingga 35 tahun, dengan memperdaya mangsa dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil yang tidak wujud.

    Perbuatan itu telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,800 yang mana mereka tidak akan memberikannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Ia melibatkan jumlah terendah sebanyak RM1,500 manakala tertinggi ialah RM2,700.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat kediaman mangsa sekitar Cheras, Puchong dan Bukit Jalil serta satu bank di Taman Shamelin di Kuala Lumpur, antara 7 Februari hingga 30 Mac lalu.

    Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam, Mu’az Alwwal Mohamad Zafarullah.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,700 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 Jun, 4 dan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Kelmarin media melaporkan, pihak polis menahan seorang pemuda yang disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil.

    Kesemua mangsa mendakwa ditipu selepas bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak dibuat seterusnya gagal menerima duit pendahuluan mereka.

  • 2,000 liter diesel bernilai RM54,300 dirampas

    2,000 liter diesel bernilai RM54,300 dirampas

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu berjaya merampas 2,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM54,300 selepas menahan sebuah lori di Jalan Bintulu-Bakun, semalam.

    Pemeriksaan terhadap lori tiga tan itu dilakukan pasukan Unit Risikan Marin (URM) dalam Op Kontraban di tepi Jalan Simpang Daiken.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah 2,000 liter diesel yang diletakkan dalam dua buah tong segi empat berwarna putih di bahagian belakang lori.

    “Hasil soal siasat terhadap pemandu yang berumur 31 tahun mendapati dia gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan.

    “Suspek serta barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak KPDNHEP Bintulu untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.