Author: Admin

  • Toyota Camry terbakar, lelaki nyaris rentung

    Toyota Camry terbakar, lelaki nyaris rentung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TINDAKAN pantas seorang lelaki yang keluar dari kereta jenis Toyota Camry miliknya yang secara tiba-tiba terbakar menyelamatkannya daripada rentung dalam kejadian pukul 7.50 malam tadi.

    Mangsa seorang lelaki berusia 33 tahun itu pada mulanya mendapati berlaku kebakaran pada bahagian enjin ketika sedang memandu di Kilometer 162.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berdekatan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    Ketika kejadian, dia sedang memandu dari arah Butterworth menuju ke Nibong Tebal.

    Mangsa tidak mengalami kecederaan dan api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba tidak lama selepas kejadian

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa terlihat bahagian enjin keretanya mula terbakar dan terus memberhentikan kereta di lorong kecemasan sebelum keluar dari kenderaan.

    “Lelaki itu tidak mengalami kecederaan dan api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba tidak lama selepas kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, kejadian tersebut turut tular di dalam media sosial sejak malam tadi dengan netizen tertanya-tanya mengenai nasib pemandu kereta berkenaan.

  • Jenazah Ahmad Naim, mangsa kemalangan lima sekawan selamat dikebumi

    Jenazah Ahmad Naim, mangsa kemalangan lima sekawan selamat dikebumi

    JENAZAH salah seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora semalam, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kijal, kira-kira 8.15 pagi tadi.

    Jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Pantai Penunjuk, Kijal pada 3.15 pagi selepas disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, Perak selepas Isyak malam tadi.

    Suasana pilu dan hiba menyelubungi suasana tanah perkuburan apabila ahli keluarga arwah dilihat tidak dapat menahan kesedihan ketika urusan pengebumian dijalankan.

    Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, penduduk kampung dan rakan mangsa hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa.

    Ibu arwah, Shamila Abdullah, 44, berkata dia berasa lega kerana semua urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah anak sulungnya itu berjalan dengan lancar dan selesai dalam masa singkat. 

    Shamila turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk hospital, USAS dan rakan-rakan yang membantu melancarkan urusan berkenaan.

    “Walaupun sedih, saya dan suami tetap reda dengan pemergiannya kerana arwah adalah anak yang sangat baik dan menyenangkan hati ibu bapa. Arwah adalah abang dan contoh terbaik kepada tiga adiknya, walaupun dia sudah tiada, doa saya tetap bersamanya,” katanya.

    Selain Ahmad Naim yang merupakan pelajar semester dua Ijazah Sarjana Kaunseling Islam USAS, empat lagi yang rentung akibat kemalangan itu terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. –Bernama

  • Mayat kru kapal layar ditemui hari ini

    Mayat kru kapal layar ditemui hari ini

    SELEPAS tiga hari mencari kru kapal layar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, petang kelmarin, mayat lelaki berkenaan ditemui lemas, pukul 7.20 pagi tadi.

    Mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) sudah pergi ke titik koordinat bagi proses pengambilan mayat dan dibawa ke Jeti Marble, Langkawi.

    “Pengecaman mayat dilakukan oleh bapa, ibu dan kakak mangsa, sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shariman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Pangkalan Hadapan Carilamat ditutup pukul 9 pagi tadi.

    Sementara itu, bapa mangsa, Ibrahim Majid, 68, ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya yang tiba dari Alor Setar sejak semalam, reda dengan pemergian anak bongsunya itu.

    “Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya selepas mayat ditemui dan saya dan isteri, Norhayati Saad, 60, serta keluarga telah membuat keputusan untuk kebumikan jenazah arwah di sini (Langkawi),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kru kapal layar, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah di sini, pada 5 petang Rabu.

    Ketika kejadian mangsa dilaporkan terlewat hadir bertugas dan mengemudi bot bersendirian dari Jeti Marble dan cuba mengejar kapal layar di kawasan berhampiran.

    Nelayan yang dalam perjalanan pulang menemui sepasang selipar dan satu topi terapung berhampiran bot kecil sebelum mendapat pertolongan rakan dan menghubungi polis.

  • Selesai segera isu kanak-kanak gelandangan di Sabah

    Selesai segera isu kanak-kanak gelandangan di Sabah

    PEMUDA Parti Liberal Demokratik (LDP) menggesa kerajaan segera menyelesaikan masalah kanak-kanak gelandangan di Sabah.

    Ketua Pemuda LDP Pusat Jimmy Lai berkata, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan wajar bersama-sama kerajaan mencari jalan penyelesaian berkenaan.

    “Ia bagi mengelak daripada terjadinya masalah sosial apabila pelancong datang semula ke sini kerana isu berkenaan mampu menjejaskan imej Sabah.

    “Walaupun pelbagai pihak sudah mengutarakan perkara berkenaan tetapi sehingga kini tiada tindakan positif diambil oleh pihak berwajib,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, kanak-kanak gelandangan ini juga mengganggu pengguna jalan raya dengan mengetuk cermin kereta di lampu isyarat untuk meminta duit.

    Katanya, keadaan itu menyebabkan rakyat kecewa dengan pihak berwajib dan perkara berkenaan boleh membawa kepada insiden tidak diingini.

    Menurutnya, semua pihak tanpa mengira perbezaan perlu bersama-sama mengatasi masalah itu.

    “Jangan sampai terjadinya sesuatu yang tidak diingin baharulah tergesa-gesa untuk mengatasinya.

    “Satu tindakan perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas dan bukannya membiarkan keadaan seumpamanya berlaku sehingga mampu menjejaskan imej Sabah di mata pelancong seluruh dunia,” katanya.

  • Malaysia, Indonesia setuju perkukuh perpaduan, kekuatan kepusatan ASEAN – Azmin

    Malaysia, Indonesia setuju perkukuh perpaduan, kekuatan kepusatan ASEAN – Azmin

    MALAYSIA kini menyuarakan nada yang sama, lebih daripada sebelum ini, dengan Indonesia bahawa sudah sampai masanya untuk memperkukuh perpaduan dan kekuatan kepusatan ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Menerusi catatan di Twitter pada Khamis, beliau berkata selepas mengadakan mesyuarat dua hala yang aktif dan paling memberangsangkan dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi di luar Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN pada Khamis, kedua-duanya bersetuju mengenai kepentingan untuk mengekalkan suara ASEAN didengar di wacana antarabangsa yang diadakan di platform plurilateral dan multilateral.

    “Mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, kami berkongsi pendirian yang sama bahawa inisiatif itu harus bersifat inklusif, tidak kurang pentingnya mendukung kepusatan ASEAN,” katanya.

    Mohamed Azmin berkata untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara strategik itu serta isu penting lain yang berkaitan, Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Indonesia sebagai tuan rumah Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Bali pada 18 Mei, 2022. – Bernama

  • Budaya kerja toksik tidak wajar berlaku: Khairy

    Budaya kerja toksik tidak wajar berlaku: Khairy

    BUDAYA kerja toksik tidak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan dan perlu dihapuskan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, persekitaran pekerjaan pada masa ini tidak lagi sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

    “Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, persekitaran pekerjaan mesti ada hormat-menghormati, sokongan dan pemerkasaan bukannya kata-kata kesat dan memalukan.

    Dalam pada itu, Khairy turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuannya dengan doktor pelatih di Hospital Selayang awal pagi tadi.

    Khairy mengumumkan anggota pasukan petugas bebas diberi masa dua bulan bagi menyiasat dan membuat syor berhubung budaya kerja warga KKM.

    “Mendengar pengalaman doktor pelatih pagi ini sebelum memulakan ‘rounds’ mereka pada jam 6 pagi di Hospital Selayang,” katanya.

    Beliau berkata, banyak perkara yang diluahkan doktor pelatih kepadanya.

    “Ada jabatan yang mempunyai persekitaran pekerjaan yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” ujarnya.

    Sementara itu, Khairy berkata, beliau akan mengumumkan anggota pasukan petugas bebas bagi menyiasat dan membuat syor berhubung budaya kerja warga KKM.

    “Pasukan ini diberi masa selama dua bulan,” jelasnya.

  • Untitled post 34886

    Najib-Anwar debat malam ini sapa menang?

    Sapa menangpun apa rakyat dapat…

  • Gadis dibelasah kawan lelaki selepas enggan ikut masuk bilik hotel

    Gadis dibelasah kawan lelaki selepas enggan ikut masuk bilik hotel

    SEORANG pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dibelasah rakan lelakinya selepas dia enggan mengikutnya ke bilik hotel.

    Memetik laporan Malaysiakini, mangsa yang berumur sekitar 20-an ditumbuk pada muka, ditendang dan disamun oleh suspek dalam kejadian di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu, kelmarin.

    Gadis berkenaan kemudian ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek di tepi jalan.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa sebelum itu keluar bersama suspek kira-kira pukul 10 malam untuk makan malam.

    Menurut beliau, selepas itu, mangsa diajak suspek menemaninya untuk berjumpa dengan seorang rakan lain di sebuah hotel.

    “Semasa berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan.

    “Mangsa takut dan curiga dengan tindakan berkenaan menyebabkan dia meminta suspek menghantarnya pulang.

    “Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran antara mereka. Susulan itu, suspek memberhentikan kereta dan bertindak menumbuk serta menendang mangsa,” katanya hari ini.

    Mohd Rosdi memberitahu, suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan.

    “Mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.

    Dalam kejadian itu, mangsa mengalami bengkak serta lebam pada muka dan hidung dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

    Mohd Rosdi menambah, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    “Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

    Menurut Mohd Rosdi, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas mereka tampil menyerah diri.

    “Sehubungan dengan itu, pihak polis berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    LIMA mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di Ipoh, dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ipoh.

    Memetik laporan Sinar Harian, pelajar-pelajar lelaki terbabit ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

    Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan, kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.

    Beliau berkata, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.

    “Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.

    “Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.

    “Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    https://youtu.be/kXc3zcTnAJM

    Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

    “Pada masa sama, kereta jenis Honda City sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

    “Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Chukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.

    “Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan kesemua mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dan rentung sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • Murid 7 tahun diculik lelaki pesakit psikiatri

    Murid 7 tahun diculik lelaki pesakit psikiatri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG murid Tahun Satu berdepan detik cemas apabila diculik seorang lelaki dengan menunggang motosikal di Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, pagi tadi.

    Semasa kejadian tersebut, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sedang berjalan kaki sebelum suspek datang dan mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikannya.

    Difahamkan suspek kemudian berhenti di sebuah stesen minyak bersebelahan sebuah restoran makanan segera sebelum kanak-kanak itu menjerit meminta tolong orang ramai.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang lelaki membuat panggilan di Balai Polis Taman Scientex pada pukul 11.30 pagi memaklumkan suspek sudah ditahan orang awam di restoran makanan segera tersebut.

    “Sepasukan anggota cegah jenayah dari Balai Polis Taman Scientex bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

    Menurutnya, suspek yang berusia 20-an juga masih dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

    Polis Johor menasihatkan ibu bapa, penjaga dan pelajar agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.

    Hari ini penduduk Pasir Gudang digemparkan dengan kejadian tersebut selepas tular rakaman video dan gambar seorang lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang dan berseluar panjang berjalan sambil mendukung kanak-kanak berkenaan.