Author: Admin

  • Sulaiman perlu segera ganti Rauf sebagai Pengerusi UMNO Melaka

    Sulaiman perlu segera ganti Rauf sebagai Pengerusi UMNO Melaka

    UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan agar Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali segera dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

    Cadangan tersebut disuarakan pemangku Ketua Bahagian, Datuk Rospandi Leman yang mahu jawatan tersebut digantikan dengan Sulaiman, susulan timbul spekulasi gerakan untuk menyingkirkan Sulaiman baru-baru ini.

    Menurut Rospandi, langkah itu untuk mengukuhkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian serta negeri sekiranya KM adalah individu yang sama memegang kedua-dua jawatan tersebut.

    “Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Gajah juga berpendirian, fokus utama kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah untuk memulihkan semula pembangunan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat selepas pandemik Covid-19.

    “Bukan hal-hal yang tidak sepatutnya sehingga boleh merencatkan usaha dan perancangan kerjaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Satu Berita.

    Tambah Rospandi, UMNO bahagian itu menyatakan pendirian yang jelas dan tegas serta menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sulaiman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.

    Katanya, pendirian bahagian itu selaras dengan aku janji yang dibuat oleh UMNO dan BN bahawa Sulaiman akan terus kekal dilantik sebagai KM jika parti terus diberikan mandat baharu.

    “Sebarang cubaan menganggu gugat kepimpinannya sebagai Ketua Menteri, perbuatan untuk mengkhianati mandat besar yang telah diberikan oleh pengundi dan rakyat Melaka,” katanya.

    Sebelum ini, khabar angin yang sama turut tersebar mendakwa terdapat langkah untuk menggulingkan Sulaiman oleh seorang lagi pemimpin parti, yang dikatakan sedang mengintai jawatan KM Melaka.

    Walaupun tidak memegang sebarang jawatan kanan dalam UMNO Melaka, pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman untuk menerajui negeri itu semula selepas BN muncul pemenang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lepas.

    Sulaiman mengangkat sumpah sebagai KM Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pada 21 November lalu, selepas BN memenangi PRN Melaka.

    Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai KM Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik KM Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.

  • Dua ditahan curi tabung jualan peniaga nasi lemak

    Dua ditahan curi tabung jualan peniaga nasi lemak

    POLIS menahan dua individu kerana mencuri tabung jualan peniaga nasi lemak di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 9, Putrajaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, perbuatan mereka dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kuarters berkenaan sekali gus membantu penahanan mereka.

    “Suspek berusia 21 dan 24 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Seorang suspek sudah dituduh di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan manakala, seorang lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

    “Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan meletakkan nasi lemak dan kuih-muih di lobi kuarters berkenaan bersama tabung duit bagi memudahkan pelanggan membeli barangan yang dijual,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Peniaga terbabit juga katana, mendakwa duit yang diletakkan dalam tabung jualan itu hilang dua kali sebelum ini.

    Katanya, siasatan mendapati, kedua-dua suspek bukan penduduk Putrajaya.

  • Pasangan suami isteri tuntut RM2 juta jika anak, menantu tak lahirkan cucu

    Pasangan suami isteri tuntut RM2 juta jika anak, menantu tak lahirkan cucu

    GARA-gara mahukan cucu, suami isteri di India memfailkan tuntutan mahkamah terhadap anak dan menantu.

    Memetik laporan Harian Metro, pasangan itu menuntut jika anak dan menantu tidak melahirkan anak dalam tempoh setahun, mereka akan menuntut ganti rugi bernilai 50 juta rupee (RM2,842,992.47).

    Nilai itu sebagai ganti rugi bagi membiayai pendidikan anaknya sehingga bergelar juruterbang, majlis perkahwinan mewah di hotel serta bulan madu anak menantu mereka.

    Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka kehabisan wang simpanan untuk membesarkan dan mendidik anak mereka sehingga menjadi juruterbang serta membayar kos majlis perkahwinannya.

    Dalam satu petisyen yang difailkan di mahkamah di Haridwar minggu lalu, pasangan itu mahukan bayaran balik kos berkenaan kerana anaknya masih belum dikurniakan anak.

  • Video muzik kontroversi, Vida dipanggil SKMM

    Video muzik kontroversi, Vida dipanggil SKMM

    SELEPAS Datuk Seri Aliff Syukri, kini usahawan sensasi Datuk Seri Vida pula dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam, bagi membantu siasatan video muzik raya yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini. 

    Vida dalam satu hantaran di media sosial berkata, dia menuruti segala arahan SKMM selepas terdapat pihak yang melaporkan mengenai MV terbabit kepada pihak berkuasa.

    “Saya tak tahulah nak cakap macam mana sebenarnya. Untuk MV lagu Muah Muah Raya itu, saya sebenarnya tak adalah promosi sangat selepas Datuk Aliff Syukri dipanggil SKMM sebelum ini.

    “Tapi, untuk pengetahuan, saya dah buat benda ini sebelum Aliff Syukri lagi tapi tetap kena panggil, maka saya kena pergilah untuk diambil keterangan berhubung lagu Muah Muah Raya.

    “Saya ini pun sedang dalam keadaan tak sihat. Sakit kepala tapi saya turuti arahan SKMM itu. Saya cuma fikir, apa yang saya buat itu sebagai hiburan saja, tiada apa-apa,” katanya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram, kelmarin, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, Vida dihimpit kecaman ramai apabila dia tampil dengan video muzik raya yang dianggap tidak sesuai dengan sambutan Aidilfitri.

    MV terbabit memaparkan kumpulan penari ‘drag queen’ sekali gus menyebabkan Vida terpalit dengan isu cuba mempromosi elemen LGBT.

    Malah, ia juga mengheret Vida kepada isu cuba mencemarkan kesucian agama Islam menerusi penghasilan MV terbabit. 

    Sebelum ini usahawan Aliff Syukri turut dipanggil SKMM untuk memberi keterangan selepas lagu dan MV raya berjudul Kelepok Raya menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. 

  • Persoal Aminuddin berpindah keahlian PKR ke Port Dickson

    Persoal Aminuddin berpindah keahlian PKR ke Port Dickson

    BEKAS Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tampin, Jeffery Young Ahmad, kesal terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berpindah keahliannya di Cabang Port Dickson tanpa memaklumkan kepada ahli Cabang Tampin.

    “Walaupun keputusan itu hak Aminuddin, namun sepatutnya dimaklumkan kepada ahli-ahli Cabang Tampin kerana beliau merupakan Ketua Cabang itu sebelum ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Jeffery Young mempersoalkan mengapa tidak dimaklumkan beliau keluar dari Cabang Tampin?

    “Soal perpindahannya ke Port Dickson pun kami tahu daripada laporan media saja.

    “Saya sebagai individu yang membawa beliau ke Tampin pada 16 Julai 2018 sangat kecewa kerana bukan saja saya tidak dimaklumkan perkara ini tetapi juga ahli-ahli lain,” katanya lagi.

    Beliau juga mengakui tidak pasti apa motif sebenar Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) PKR Negeri Sembilan itu berbuat demikian namun tindakannya itu memperlihatkan dirinya yang tidak berani.

    Ujarnya, bukan sengaja mahu menimbulkan isu ketika berlangsungnya pemilihan PKR ketika ini tetapi sekadar meluahkan rasa kecewa.

    “Keahlian saya juga digantung gara-gara memberi teguran. Bagaimanapun, saya tetap sayangkan PKR dan tidak pernah terfikir untuk sertai parti lain.

    “Walaupun ketika ini saya tiada hak lagi sebagai ahli parti, saya sangat berharap proses pemilihan PKR kali ini berjalan dengan telus dan kita dapat memilih pemimpin parti yang terbaik,” katanya.

    Media pada Mac lalu melaporkan, Aminuddin menegaskan perpindahan keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson pada 31 Januari lalu merupakan kehendak sendiri.

    Aminuddin menyifatkan dalam politik, perpindahan merupakan perkara biasa dan tiada campur tangan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

  • Kes HFMD meningkat 6.8 kali ganda di Johor

    Kes HFMD meningkat 6.8 kali ganda di Johor

    JOHOR mencatatkan peningkatan penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) sebanyak 6.8 kali ganda tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Sehingga Minggu Epid 18/2022, sebanyak 640 kes HFMD dilaporkan berbanding 94 kes pada tempoh yang sama.

    Jelas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, peningkatan itu sudah dijangka berlaku tahun ini berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selari dengan peningkatan kes itu di negara ini.

    “Bagaimanapun, situasi masih terkawal memandangkan bilangan ini adalah rendah berbanding situasi pra Covid-19, iaitu 1,015 wabak pada 2019.

    “Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia sehingga enam tahun iaitu sebanyak 614 kes (96 peratus), diikuti kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun iaitu 22 kes (3 peratus), dan selebihnya berusia lebih daripada 13 tahun.

    “Sehingga kini, sebanyak 24 wabak HFMD dilaporkan. Daerah tertinggi ialah Johor Bahru iaitu 10 wabak, diikuti daerah Kluang (6) dan daerah Kota Tinggi, Kulai dan Segamat (masing-masing 2 kes),” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Tian Soon berkata, majoriti lokasi penularan berlaku di taska dengan catatan 17 wabak, diikuti oleh tadika (3 wabak), rumah persendirian (2 wabak) dan pusat jagaan kanak-kanak (1 wabak).

  • PGA rampas 55,200 liter diesel bersubsidi

    PGA rampas 55,200 liter diesel bersubsidi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan satu sindiket seludup minyak diesel subsidi selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Taman Beroleh, Batu Pahat malam kelmarin.

    Serbuan dilakukan pegawai dan anggota pada pukul 11.30 malam itu menahan tiga lelaki tempatan dan merampas sebuah lori tangki dan beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan menyeludup minyak diesel bersubsidi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 55,200 liter minyak diesel subsidi, sembilan buah mesin pam minyak dan 11 hos getah lutsinar.

    “Turut dirampas dua buah tangki putih bersaiz 1,000 liter, empat buah tangki besi bersaiz 16,000 liter hingga 20,000,

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek yang berusia 24 hingga 54 tahun itu, mereka membekalkan minyak diesel bersubsidi tanpa permit yang sah di sekitar kawasan Batu Pahat.

    “Anggaran rampasan diesel sahaja berjumlah RM118,250 manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM505,308,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki tempatan ditahan untuk siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi secara haram di sekitar daerah Batu Bahat

    Katanya, semua suspek dan rampasan dibawa ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

    Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah ini.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Beliau menyeru orang awam terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • Wanita didakwa cederakan polis guna penyapu

    Wanita didakwa cederakan polis guna penyapu

    MAHKAMAH Majistret di Melaka hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang penganggur wanita selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis berpangkat Koperal, minggu lalu.

    Tertuduh, Hasrina Osman, 42, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar harian.

    Berdasarkan pertuduhan, Hasrina didakwa dengan sengaja mencederakan Muhammad Taufik Sayutin semasa dia melakukan tugasnya sebagai seorang penjawat awam yang sah.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya pada pukul 10.45 malam pada 7 Mei lalu.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian tertuduh mengamuk dengan memecahkan barang dan menyuruh abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Shah Alam.

    Abangnya yang tidak dapat mengawal keadaan menghubungi Balai Polis Banda Hilir di sini untuk mendapatkan bantuan dan mangsa ke lokasi kejadian.

    Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan mencederakan mangsa menggunakan batang penyapu sehingga menyebabkan kecederaan.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius kerana ia membabitkan penjawat awam.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman tertuduh diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatan tersebut.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar.

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Tiga rakan didakwa membunuh

    Kes tembak di Bukit Bintang: Tiga rakan didakwa membunuh

    TIGA rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Bukit Bintang, awal bulan ini.

    T Muniswaran, 49; S Katharavello, 52; dan Mohd Zulbihar Ali Khan Kamaldin, 48, didakwa bersama-sama membunuh S. Prabah, 49, di sebuah bilik di Hotel Capitol, Jalan Bulan, Off Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur pukul 6.05 petang hingga 6.40 petang pada 3 Mei lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas dia mendaftar masuk. – Bernama.

  • Pemandu lori didakwa rompak penyampai berita TV

    Pemandu lori didakwa rompak penyampai berita TV

    SEORANG pemandu lori mengaku didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan merompak seorang penyampai berita televisyen, minggu lalu.

    Tertuduh, Muhammad Qayyum Mazlan, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa merompak beg hitam bernilai RM500 dan wang RM100 milik Khairul Rizuan Azizan, 34, di tepi jalan berhampiran Exclusive Perdana, Damansara Perdana, pada pukul 3.40 petang, 5 Mei lalu.

    Itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana pertuduhan yang dibuat termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

    “Kesalahan itu serius kerana kerugian melibatkan harta rompak malah jika tertuduh diberi ikat jamin ada kemungkinan dia akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

    “Kes ini tular dan mendapat perhatian umum selain mangsa merupakan seorang penyampai berita maka ada kemungkinan tertuduh akan mencari serta mengganggu saksi tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin dengan alasan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

    “Ini kerana dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun di Teluk Intan.

    “Meskipun kesalahan berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin, namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberi ikat jamin kepada tertuduh,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Jun depan.

    Pada Jumaat lalu, media melaporkan, polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang penyampai berita di Damansara Perdana.

    Bagaimanapun adik perempuan suspek yang berusia 24 tahun, telah diberi jamin polis.

    Minggu lalu, seorang lelaki cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya sebelum cedera akibat diseret kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek.

    Video berkenaan tular dalam media sosial selepas pelakon dan penyanyi Janna Nick, yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun Instagram dan Tiktok miliknya.