Author: Admin

  • Bersatu Terengganu tanding 2 kerusi Parlimen, 10 DUN pada PRU-15

    Bersatu Terengganu tanding 2 kerusi Parlimen, 10 DUN pada PRU-15

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu pada dasarnya bersetuju membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di dua kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, berdasarkan perbincangan awal PN membabitkan Bersatu dan Pas, kesemua kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah di kawasan milik UMNO.

    “Melalui perbincangan awal berhubung agihan kerusi, Pas secara kasarnya bersetuju untuk membenarkan kita bertanding di semua kerusi milik UMNO atas nama PN.

    “Ini termasuklah dua kerusi Parlimen di Besut dan Hulu Terengganu. Bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu, kita akan cadangkan kepada Presiden Parti untuk mengekalkan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid bertanding di kerusi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Bahagian Marang di Kampung Rhu Muda hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Rosol Wahid.

    Razali yang juga Naib Pengerusi Satu PN Terengganu berkata, bagi kerusi DUN pula melibatkan Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Seberang Takir, Kijal, Telemong, Bukit Besi, Langkap, Batu Rakit dan Permaisuri.

    Menjawab satu soalan, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Terengganu tidak dapat pastikan bilakah perbincangan fasa kedua antara Bersatu dan Pas akan diadakan bagi membincangkan secara khusus persediaan menghadapi PRU-15.

    Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih mengguna pakai perbincangan yang diadakan sebelum ini.

    Menurut beliau kerja-kerja persiapan awal bagi nenghadapi PRU-15 telah digerakkan dan Bersatu Terengganu telah menghantar senarai nama-nama calon kepada pucuk pimpinan untuk dinilai.

    “Tiga orang senarai calon bagi setiap kerusi yang bakal kita tandingi telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dinilai”, ujar beliau.

  • Pas-UMNO tidak perlu hipokrit bicara isu penyatuan ummah

    Pas-UMNO tidak perlu hipokrit bicara isu penyatuan ummah

    PENGERUSI Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim menempelak Pas dan UMNO dan mengingatkan dua parti itu agar tidak hipokrit dalam membicarakan isu penyatuan ummah jika mereka sendiri gagal menanganinya.

    Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor berkata, soal penyatuan ummah yang sebenar juga bukan hanya milik dua parti berkenaan.

    “Kita kena faham satu, mereka hendak bersatu contohnya di Selangor, Pas ajak UMNO hendak bekerjasama.

    “Saya hendak tanya adakah perpaduan Melayu Islam (penyatuan ummah) ini orang Pas dan orang UMNO sahaja.

    “Orang Amanah ini bukan orang Islam ke? Orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan ke? Dalam DAP pun ada orang Islam.

    “Kalau betullah hendak beri mesej majlis perpaduan bersama kena panggil semualah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Izham berkata, di negeri lain Pas dan UMNO tidak sehaluan namun di Selangor mereka mahu bekerjasama yang kononnya atas nama perpaduan.

    “Di negeri lain mereka bergaduh, di Selangor ini kononnya perpaduan, apa mesej yang mahu dibawa saya pun tak faham,” katanya.

    Pada 11 Mei lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, Pas tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, parti itu masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuhkan politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan, pihak yang cuba mengganggu-gugat gagasan berkenaan memberhentikan perbuatan mereka kerana ia akan hanya menyebabkan usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu di negara ini terjejas.

  • Omicron BA.4, BA.5 dikesan di Singapura

    Omicron BA.4, BA.5 dikesan di Singapura

    KEMENTERIAN Kesihatan di Singapura melaporkan bahawa negara itu telah mengesan dua kes Covid-19 varian BA.4 dan satu jangkitan varian BA.5, menurut laporan dikeluarkan Bernama.

    “Ini merupakan kes pertama yang melibatkan komuniti dalam negara yang dijangkiti varian BA.4 dan BA.5 Omicron,” kata kementerian itu menerusi laman sesawang mereka.

    Varian yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah ini disahkan kementerian tersebut selepas menjalankan penjujukan genom keseluruhan (WGS) kepada sampel yang diperolehi.

    “Semua kes tersebut tidak mempunyai gejala ataupun bergejala ringan seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak, serta tidak perlu dimasukkan ke hospital.

    “Ketiga-tiga mereka sudah lengkap divaksin dan telah menerima dos penggalak sebelum ini,” katanya, lapor Satu Berita.

    Kementerian itu melaporkan bahawa kesemua yang terlibat sedang menjalani kuarantin kendiri sebaik saja diuji positif Covid-19.

    Sebelum ini, kedua-dua varian tersebut pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada awal tahun 2022 yang mempunyai ketahanan lebih kuat terhadap sistem imunisasi dan lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron yang lain.

    Memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian itu berkata, terdapat sekurang-kurang 1,000 kes BA.4 dan BA.5 dikesan di sekurang-kurang 16 negara, setakat 11 Mei lalu.

    “Kami akan meningkatkan usaha pengawasan dan terus memantau penularan varian berkenaan di Singapura,” jelas kementerian itu.

  • Guru besar, pengetua tak boleh halang guru mohon pertukaran

    Guru besar, pengetua tak boleh halang guru mohon pertukaran

    GURU boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KKM).

    Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengumuman pertukaran guru turut diubah kepada empat kali setahun berbanding dua kali sebelum ini.

    Jelasnya, itu adalah berdasarkan garis panduan baharu bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

    “Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

    “Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti,” katanya menurut Free Malaysia Today yang memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali Ke-51 yang bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

    Tahun lalu katanya, 55 peratus daripada keseluruhan permohonan pertukaran guru diluluskan oleh kerajaan.

  • Kedai makan ditutup akibat keracunan makanan

    Kedai makan ditutup akibat keracunan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan tiga notis dan mengarahkan sebuah kedai makanan di Taman Sentosa, Johor Bahru,ditutup selepas dilaporkan berlaku keracunan makanan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, berlaku keracunan makanan selepas pelanggan mereka makan sandwich di kedai tersebut dan isu berkenaan menjadi tular sejak semalam.

    “Siasatan lapangan mendapati tahap kebersihan kedai tersebut adalah tidak memuaskan.

    “Arahan penutupan premis dan sebanyak tiga (3) Notis dibawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan atas kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Siasatan di lapangan mendapati tahap kebersihan kedai tersebut adalah tidak memuaskan sebelum tiga notis dikeluarkan

    Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru masih melakukan pengesanan kes keracunan makanan secara aktif yang berkaitan kejadian itu menerusi fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan.

    Orang ramai juga katanya, dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan antaranya dengan memilih kedai makan yang mengamalkan tahap kebersihan adalah memuaskan.

    “Amalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk elakkan keracunan makanan. Mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit birit hendaklah mendapatkan rawatan segera,” katanya.

  • Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    SEORANG wanita yang disahkan meninggal dunia oleh doktor tiba-tiba ‘hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pengebumiannya.

    Memetik laporan Mirror, Fagilyu Mukhametzyanov, 49, dari Kazan, Rusia sebelum itu pengsan di rumahnya setelah mengalami kesakitan pada bahagian dada.

    Suaminya yang berumur 51 tahun membuat keputusan untuk meletakkan mayat isterinya dalam keranda terbuka pada majlis penghormatan terakhirnya.

    Namun, dia menerima kejutan yang besar ketika memberi penghormatan terakhir terhadap isterinya di mana wanita itu tiba-tiba bangkit di hadapannya.

    Selepas mendengar hadirin berdoa untuk rohnya, Fagilyu membuka matanya dan mendapati dia berada dalam situasi yang pelik.

    Kemudian, dia mula menjerit sekuat-kuat hati sehingga menyebabkan semua yang hadir terkejut.

    Mereka kemudian segera membawanya ke hospital namun dia hanya sempat hidup selama 12 minit ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi.

    Kali ini, Fagilyu pergi untuk selama-selamanya.

    “Saya sangat marah dan mahu penjelasan. Dia tidak mati pada mulanya dan mereka boleh menyelamatkannya,” kata suaminya.

    Sementara itu, jurucakap hospital, Minsalih Sahapov berkata, siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.

    Kejadian ‘mayat hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir itu bukan yang kali pertama berlaku.

    Awal bulan ini, Mirror melaporkan seorang wanita di Lambayque, Peru mengetuk kerandanya pada majlis tersebut.

    Sebelum itu, Rosa Isabel Cespedes Callaca disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

  • Lapan PATI Indonesia dicekup selepas pulang beraya

    Lapan PATI Indonesia dicekup selepas pulang beraya

    LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk untuk kembali bekerja di Sabah selepas pulang bercuti hari raya di negara asal gagal apabila diberkas pasukan keselamatan, semalam.

    Semua PATI itu yang menaiki sebuah bot laju di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air di Kampung Titingan, Tawau pukul 4.15 petang.

    Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, PATI berkenaan kemudian dilihat menaiki sebuah teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar.

    “Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) mengekori teksi terbabit sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua Pati terbabit.

    “Kesemua Pati terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Abdul Karim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki pasport dan permit kerja yang sah, namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.

    Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia itu memaklumkan tujuan masuk ke Sabah kerana mahu kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga sempena hari raya.

    “Kesemua Pati terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Anggota polis disaman guna telefon bimbit ketika memandu

    Anggota polis disaman guna telefon bimbit ketika memandu

    TINDAKAN seorang anggota polis menggunakan telefon bimbit sambil memandu kereta Proton Preve pasukan keselamatan tersebut di Lebuhraya Persekutuan menghala Petaling Jaya, semalam, membawa padah apabila disaman.

    Sebelum itu video perbuatan anggota polis tersebut yang berdurasi 14 saat menjadi tular dalam dalam sosial.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 9 pagi semalam anggota polis yang terlibat telah dipanggil untuk siasatan.

    “Saman telah dikeluarkan terhadap pemandu tersebut di bawah Kaedah 17(A) LN 166/59,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

    “Kita tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota yang melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas,” tegasnya.

  • Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun di Carr Lane, Milnrow dekat Rochdale, United Kingdom mati dipercayai akibat serangan anjing liar.

    Memetik laporan Mirror, polis Rochdale sedang menyiasat insiden yang berlaku semalam itu.

    Mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital namun dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.

    Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis sedang mengesan punca sebenar kematian.

    Jurucakap polis, Detektif Superintendan Jamie Daniels menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tragik dan pihaknya turut bersimpati dengan keluarga mangsa.

    “Kami sedang menyiasat insiden ini dan yang sebelumnya melibatkan anjing di lokasi yang sama.

    “Walaupun siasatan kami masih lagi dalam peringkat awal, kami mengesyaki kanak-kanak kecil ini mengalami kecederaan akibat serangan anjing.

    “Saya faham bahawa semua yang terbabit tertekan akibat insiden yang menggemparkan masyarakat ini.

    “Saya memberi jaminan bahawa kami akan bekerja keras untuk menyiasat punca kejadian dan siasatan pada masa ini menjurus kepada kes jenayah.

    “Anggota polis akan ditempatkan di kawasan ini untuk menjalankan siasatan serta menangani isu yang dibangkitkan oleh penduduk,” katanya.

    Beberapa bulan lalu, seorang nenek diserang oleh tiga ekor anjing jenis Stafforrdshire Bull Terrier di jalan berhampiran lokasi kanak-kanak tiga tahun itu diserang.

    Namun, pada masa ini, tiada petunjuk yang mengaitkan dua insiden tersebut.

    Wanita berumur 69 tahun itu mendakwa dia diserang oleh anjing-anjing liar terbabit ketika dia dan cucunya membawa anjing mereka bersiar-siar.

    Dua ekor anjing telah menggigitnya namun dia berjaya melepaskan diri.

  • Maritim tahan nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut

    Maritim tahan nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut

    SERAMAI 21 nelayan Vietnam termasuk tekong bersama-sama dua tan hasil laut yang dicuri di perairan negara ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, kelmarin.

    Maritim menahan nelayan berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun yang menaiki sebuah bot nelayan asing itu ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu pukul 5.30 petang.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati semua kru dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara. Kita turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan hasil serta peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, bot dan hasil rampasan serta nelayan berkenaan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara.

    Katanya, orang ramai disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman ditalian 09-8581653.