KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghantar stok bekalan ayam ke negeri-negeri yang mengalami masalah bekalan sumber makanan tersebut sebagai alternatif penyelesaian jangka pendek ekoran penutupan sebuah ladang ternakan akibat berhadapan masalah pengeluaran.

Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, KPDNHEP akan mengenal pasti kawasan yang terjejas teruk bagi menyalurkan bekalan untuk menampung permintaan.

Menurut beliau, misalnya kekurangan berlaku di Perlis, pihaknya akan cuba tampung lebihan ayam yang ada di Pulau Pinang.

“Langkah itu bagi meredakan keresahan pengguna berikutan kekurangan bekalan ayam yang dialami beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Hulu Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Rosol, setakat ini kementeriannya menerima maklumat hanya sebuah ladang yang tidak dapat mengeluarkan ayam pada 22 dan 23 Mei kerana mengalami masalah pengeluaran di mana ayam di ladang tersebut tidak mencapai berat yang sepatutnya untuk dipasarkan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan mendapati ayam di ladang ternakan tersebut mengalami masalah disebabkan kurang bekalan makanan selain dijangkiti penyakit.

“Kita ada bukti di mana melalui gambar yang diambil menunjukkan ayam-ayam tersebut mengalami penyakit selain ada yang hanya mencapai berat 1.2 kilogram (kg) berbanding berat sepatutnya untuk dipasarkan iaitu 1.8kg,” katanya.

Sementara itu Rosol berkata, isu mengenai bekalan ayam di pasaran sepatutnya tidak berlaku kerana terdapat penambahan 6.6 juta ekor ayam berbanding 6 juta sahaja untuk permintaan biasa bagi bekalan ayam di pasaran negara.

Beliau berkata, sepatutnya masalah kekurangan bekalan ayam tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan ayam telah ditambah disebabkan peningkatan permintaan.

“Jadi, kita akan turun padang untuk menyiasat sekiranya ada unsur menyorok bekalan bagi tujuan menaikkan harga yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

Menurut Rosol, siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya berlaku kes menyembunyikan ayam bagi tujuan manipulasi harga.

Media pada Khamis lalu melaporkan dijangka berlaku kekurangan bekalan ayam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis bagi tempoh dua hari ekoran penutupan ladang ternakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here