Author: Admin

  • Tiada kesan kehadiran harimau di Kemensah Height – Perhilitan

    Tiada kesan kehadiran harimau di Kemensah Height – Perhilitan

    Siasatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati tiada sebarang tanda atau kesan kehadiran harimau di kawasan Kemensah Height, Hulu Kelang, eperti yang tular di media sosial sejak semalam.

    Memetik laporan Astro Awani, Perhilitan Selangor menjelaskan sembilan kakitangan daripada Ibu Pejabat Perhilitan, Perhilitan Wilayah Persekutuan dan Selangor ke lokasi kejadian selepas menerima aduan penemuan seekor harimau berkeliaran di Jalan Tropika Kemensah 3, kira-kira pukul 3 petang semalam.

    “Sebaik laporan diterima kita menjalankan pemantauan susulan di kawasan aduan antara pukul 11.30 malam dan 3 pagi tadi.


    “Tiada kesan jejak Harimau Belang dijumpai di lokasi itu dan laluan rentis di sekitarnya kawasan aduan, malah pengawal keselamatan yang didakwa melihat haiwan berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan kehadiran hidupan liar itu,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi Instagram, hari ini.

  • SUPP mampu menang tujuh kerusi tradisi di Sarawak pada PRU-15

    SUPP mampu menang tujuh kerusi tradisi di Sarawak pada PRU-15

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) yakin kepada Sarawak United People’s Party (SUPP) akan menang kesemua tujuh kerusi tradisi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat itu semua parti komponen perlu bekerjasama sebagai satu pasukan.

    Beliau tidak mahu berlakunya situasi tikam belakang atau sabotaj di dalam kepimpinan dan antara penyokong parti di peringkat akar umbi.

    Premier Sarawak itu berkata, setiap individu yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan perlu mendapat sokongan penuh rakyat dan mengenepikan kepentingan peribadi demi melaksanakan perkhidmatan yang terbaik.

    “SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) adalah satu bentuk kesatuan yang unggul di dalam pentadbiran di Sarawak, kita akan mempertahankan Sarawak dari setiap sudut jangan sesekali ada sabotaj di kalangan parti, ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan rakyat.

    “Terutama menjelang musim pilihan raya yang semakin dekat, jangan memperjudikan nasib parti, semarakan semangat perpaduan dan adakan perjumpaan dikalangan ahli, dalam waktu perperangan (pilihan raya) kelak, saya berharap SUPP akan menang di semua kerusi yang mereka tandingi,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Persidangan Perwakilan SUPP ke-25 di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat SUPP di Kuching, hari ini.

    Tambahnya, pencapaian yang cemerlang SUPP semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 lalu bukti kejayaan parti tertua di Sarawak itu kembali mendapatkan keyakinan rakyat khasnya komuniti Cina di negeri itu.

    “Pilihan raya yang lalu SUPP berjaya sapu rata semua kerusi di Miri iaitu di Senadin, Piasau, dan Pujut, kemudian berjaya menguasai kembali Bintulu terutama di kerusi Tanjung Batu termasuklah beberapa kerusi kuat pembangkang di Sibu.

    “Ini buktinya SUPP telah berjaya mengembalikan kepercayaan komuniti Cina di Sarawak, kita telah laksanakan polisi yang inklusif buat mereka dan mengangkat isu pendidikan terutama mewujudkan pelan pembangunan jangka panjang di kawasan Bukit Assek, Sibu agar kita bangunkan semua sekali sebagai sebuah pusat bandar yang baharu,” katanya.

    SUPP pada PRN12 mempersembahkan pencapaian yang terbaik sejak tahun 1959 dengan memenangi 13 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan.

    Kemenangan parti yang tertua di Sarawak itu sekaligus menutup rekod kekalahan teruk SUPP pada PRN 2016 dengan kekalahan di 13 kerusi daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.

  • Polis tahan pengawal keselamatan warga Bangladesh dakwa nampak harimau di Kemensah

    Polis tahan pengawal keselamatan warga Bangladesh dakwa nampak harimau di Kemensah

    SEORANG lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu mendakwa terlihat kelibat harimau yang dikatakan terlepas dari Zoo Negara. 

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah itu, ditahan di pondok pengawal di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Height, Kuala Lumpur sekitar 7 malam tadi.

    Beliau berkata suspek dipercayai bertanggungjawab menyebar maklumat melihat harimau berkenaan.

    “Polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu yang menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa melihat kelibat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk setempat berjaga-jaga.

    “Pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat kerana setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah dan siasatan juga dibuka berhubung isu tular di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

    Semalam, tular di media sosial dakwaan seekor harimau muncul dan berlegar di kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Klang, namun Zoo Negara telah mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari premisnya. –Bernama

  • Pejuang belum putuskan kaedah kerjasama hadapi PRU-15

    Pejuang belum putuskan kaedah kerjasama hadapi PRU-15

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

    “Kita masih mencari kaedah sesuai untuk mewujudkan gabungan seperti mana dilaksanakan pada PRU-14.

    “Jadi saya kira semua faham bahawa ada beberapa cara perkara ini boleh berlaku. Salah satunya adalah untuk mewujudkan gabungan seperti mana yang telah dibuat pada PRU14 lalu atau satu pakatan politik semata-mata untuk mengurangkan pertindihan semasa pilihan raya.

    “Jadi dua pendekatakan ini belum lagi diputuskan dan dengan siapa pun belum kita putuskan,” ujar Mukhriz dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Pemukiman Pejuang Sabah di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana perkembangan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU-15 terutama di Sabah ketika ini.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun menegaskan, kerjasama itu nanti mestilah dengan parti yang boleh berkongsi prinsip dengan Pejuang.

    “Yang paling penting bagi kami, siapa juga yang kita mahu pupuk kerjasama mestilah berkongsi prinsip. Jadi kalau ada prinsip tertentu yang bertentangan, itu kita akan jadikan satu faktor dalam kami membuat keputusan.

    “Kami terbuka untuk berbincang dengan parti lain baik, besar yang berkaitan kerajaan mahu pun yang kecil-kecil yang belum pernah bertanding, kita terbuka dalam hal itu,” katanya.

    Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kerusi untuk PRU15, Mukhriz berkata, perkara itu sedang melalui proses perbincangan di peringkat parti.

    “Buat masa ini, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara kita perlu melalui satu proses yang agak menyeluruh berkaitan dengan jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan, di mana apa kekuatan kita di kawasan-kawasan itu sebelum kita membuat sebarang pengumuman.

    “Seperti mana parti lain, saya kira antara kriteria paling penting adalah jumlah keahlian, berapa ramai terlatih untuk menghadapi pilihan raya, adakah kita mempunyai tokoh yang boleh kita calonkan dan kebarangkalian untuk kebolehmenangan kita di situ. Jadi semua perkara ini akan kita pertimbangkan,” katanya.

  • SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, ia berkata siasatan telah selesai pada Rabu lalu dan kini menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Nazlan ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan RM210 juta bagi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas. Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam rayuan terakhir mereka, pasukan peguam Najib cuba memburukkan Nazlan dengan mendakwa hakim itu mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini kerana Nazlan pernah menjadi peguam am Maybank, dan tempoh perkhidmatannya bertepatan dengan masa bank komersial itu mengeluarkan pinjaman kepada syarikat induk SRC, 1MDB.

    Najib berharap bukti baru itu dapat menjamin perbicaraan barunya.

    Penulis blog Raja Petra Kamaruddin juga menuduh Nazlan mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan’.

    Nazlan telah membuat laporan polis berhubung artikel itu.

    SPRM berkata ia telah melancarkan siasatan terhadap Nazlan sebagai satu prosedur selepas laporan dibuat terhadapnya.

  • Mansuh AP, Kerajaan Pusat perlu berbincang dengan nelayan, pekebun – Muhyiddin

    Mansuh AP, Kerajaan Pusat perlu berbincang dengan nelayan, pekebun – Muhyiddin

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memanggil persatuan nelayan, pekebun-pekebun sayur serta pengusaha berkaitan untuk berbincang kesan yang bakal dihadapi mereka ekoran keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) makanan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dapat membayangkan rata-rata golongan terbabit tidak bersetuju sepenuhnya dengan pelaksanaan dasar baharu tersebut.

    Jelas beliau, golongan terbabit mungkin berasakan pemansuhan AP yang akan menyaksikan pelaksanaan pasaran terbuka akan menyebabkan hasil pertanian mereka tidak akan terjual disebabkan lambakan makanan import.

    “Apabila sesuatu dasar itu berubah, kerajaan perlu memastikan pengusaha-pengusaha tempatan ini tidak rugi, jadi kita minta kerajaan berhati-hati dalam membuka pasaran terbuka ini,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang di Juru Auto City hari ini.

    Pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

    Menurut Ismail Sabri, dengan pemansuhan keperluan permit itu bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini berbanding kemestian AP. 

    MAFI bagaimanapun memperincikan hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair, tidak lagi dikenakan AP atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

    AP untuk pengimportan beras pula masih lagi berkuat kuasa.

  • Rakyat tidak akan biarkan pemimpin ‘kleptokrat’ kembali kuasai Kerajaan Pusat – Muhyiddin

    Rakyat tidak akan biarkan pemimpin ‘kleptokrat’ kembali kuasai Kerajaan Pusat – Muhyiddin

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN yang dipimpin oleh pemimpin ‘kleptokrat’ dilihat tidak akan dibenarkan kembali berkuasa dalam negara kerana akan mengundang masalah yang lebih besar.

    Sehubungan itu Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggabungan kuasa antara parti berlainan boleh dipertimbangkan sekiranya dapat membantu menstabilkan dan membawa negara kembali kepada keadaan yang lebih baik berbanding ketika ini.

    Ujar beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), gabungan antara parti itu juga adalah antara penyelesaian kepada pembentukan kerajaan memandangkan tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mutlak.

    “Jika rakyat memberi sokongan kepada sesebuah parti misalnya PN antara 55 atau 60 peratus, maka gabungan PN dan parti lain yang sehaluan mungkin akan memberi kekuatan kepada kerajaan untuk menguruskan negara dalam keadaan lebih tersusun dan teratur sekali gus mengembalikan semula keyakinan rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang di Juru Auto City hari ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau turut beranggapan parti-parti politik yang sanggup ‘bergabung’ serta sama-sama berusaha menyelesaikan masalah rakyat dengan mengambil kira kepentingan negara melebihi kuasa mungkin sudah pasti mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ini kerana jelas beliau, majoriti rakyat ketika ini sudah tidak berminat dengan parti yang hanya memikirkan soal kemenangan atau mahukan kuasa semata-mata.

    Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, parti itu tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk PN dan Bersatu dalam persediaan berdepan PRU-15.

    Kenyataan itu bagi menjawab kemungkinan PH bekerjasama dengan PN pada PRU-15 di bawah khemah besar dalam usaha memastikan pertandingan satu lawan satu dengan calon BN sekali gus mencerahkan semula peluang untuk merampas Kerajaan Pusat.

  • Anggota bomba tidak bertugas jadi ‘hero’ selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang

    Anggota bomba tidak bertugas jadi ‘hero’ selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang hari ini.

    Difahamkan, anggota bomba berkenaan yang ketika itu tidak bertugas kebetulan berada di lokasi kejadian iaitu di Kilometer (KM) 3.4, dari Perai menghala ke bahagian pulau.

    Dalam video kejadian itu yang tular di dalam media sosial petang ini, kelihatan anggota bomba terbabit meluru ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di tebing Jambatan Pulau Pinang dipercayai untuk terjun.

    Anggota bomba itu kemudiannya berjaya menyelamatkan wanita berusia 43 tahun berkenaan sebelum beberapa individu lain dipercayai anggita keluarga atau kenalannya turut menyelamatkan wanita terbabit.

    Dalam pada itu, jurucakap PBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati wanita berkenaan telah pun diselamatkan.

    “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.25 petang,” katanya.

    Difahamkan, ini merupakan kes keenam terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulau Pinang sepanjang bulan ini sehingga hari ini.

  • KPM perkukuh pendidikan digital di sekolah

    KPM perkukuh pendidikan digital di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang berusaha untuk memperkukuhkan pendidikan digital di sekolah bagi mendapatkan impak yang optimum.

    Justeru kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, seluruh ekosistem pendidikan negara perlu bersama-sama bergerak ke arah perubahan bagi meningkatkan kualiti pendidikan untuk masa depan generasi hari ini.

    “Saya telah mengadakan lawatan ke Bexleyheath Academy, United Kingdom untuk meninjau pengoperasian sekolah yang merupakan salah satu daripada 57 buah sekolah di bawah Academies Enterprise Trust (AET).

    “Dalam lawatan itu, Pengetua Bexleyheath Academy telah berkongsi bagaimana transformasi sekolah ke arah pendidikan digital dilaksanakan.

    “Kami juga sempat berjumpa dengan pelajar yang berkongsi pengalaman dan cabaran mereka dalam fasa perubahan mengikuti pendidikan secara digital,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jelas Mohd Radzi, secara keseluruhan, kejayaan transformasi pendidikan sekolah tersebut melibatkan komitmen yang tinggi daripada seluruh warga sekolah.

    Justeru, beliau melihat pentadbir dan guru memainkan peranan penting dalam penyediaan kurikulum serta menerajui penggunaan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran.

    “Begitu juga dengan penglibatan AET membantu pihak sekolah dalam pelbagai aspek, termasuk pengukuhan tenaga pengajar,” ujar beliau.

  • Along guna cap, logo LHDN perdaya mangsa

    Along guna cap, logo LHDN perdaya mangsa

    SATU sindiket yang aktif menawarkan pinjaman kepada orang ramai sejak beberapa bulan lalu dikesan menggunakan resit dengan cap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengaburi dan memperdaya mangsa.

    Bagaimanapun taktik itu terbongkar selepas beberapa mangsa membuat aduan kepada Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) selepas menyedari tertipu dengan skim kononnya disahkan kerajaan itu.

    Aktif mengiklankan pinjaman berkenaan di Facebook, sindiket dipercayai didalangi along itu akan meminta peminjam membayar wang proses, duti setem dan pelbagai bayaran perkhidmatan lain sebelum permohonan diluluskan.

    Harian Metro melaporkan, terbaru, seorang lelaki berusia 48 tahun kerugian RM380 selepas diperdaya ‘ejen kerajaan’ ketika ingin membuat pinjaman baru-baru ini.

    Mahu dikenali sebagai Ramlan, dia berurusan dengan seorang lelaki untuk memohon pinjaman selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.

    Katanya, dalam perbualan melalui WhatsApp, dia diyakinkan bahawa semua pembayaran akan diberikan resit LHDN sebagai bukti ia skim pinjaman yang disahkan.

    “Ejen itu meminta saya memasukkan RM380 sebagai bayaran proses. Dia berulang kali meyakinkan saya ia adalah pinjaman boleh dipercayai serta diluluskan pihak berkuasa.

    “Tidak lama kemudian, saya menerima salinan resit dengan logo dan cop LHDN,” katanya yang membuat aduan kepada Ketua Jabatan Aduan Amal Sejagat, Syed Kamarul Al Masyhur.

    Ramlan berkata, selepas itu dia dihubungi ejen berkenaan dan kali ini meminta dia membayar yuran guaman dan menyerahkan kad bank miliknya bagi tujuan transaksi.

    Katanya, dia yang terdesak memerlukan wang, menyerahkan dua kad ATM kepada ejen berkenaan.

    “Selepas itu, saya dihubungi lagi. Kali ini dia minta wang untuk duti setem pula. Saya mula rasa tak kena dan buat aduan kepada Amal Sejagat kerana bimbang jadi mangsa sindiket haram,” katanya.

    Sementara itu, Syed Kamarul berkata, pihaknya menerima lima aduan serupa dalam tempoh dua bulan lalu.

    Katanya, Amal Sejagat sudah merujuk kes berkenaan kepada LHDN untuk tindakan susulan kerana ia membabitkan imej agensi itu.

    Menurutnya, ini adalah taktik terbaru along menjerat mangsa terutama ketika negara baru saja memasuki fasa peralihan endemik ketika ini.

    “Kita bimbang ramai lagi yang akan menjadi mangsa kerana yakin ia pinjaman yang diluluskan.

    “Dalam kes Ramlan, kita juga bimbang kad bank yang diserahkan itu akan digunakan untuk aktiviti keldai akaun. Jadi kita sudah nasihatkan dia supaya batalkan kad bank berkenaan,” katanya.