Author: Admin

  • Tiada rekod rasuah babitkan kakitangan, pegawai MAIK

    Tiada rekod rasuah babitkan kakitangan, pegawai MAIK

    TENGKU Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menegaskan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak mengesan sebarang rekod rasuah membabitkan kakitangannya termasuk pegawai masjid setakat ini.

    Beliau yang juga Yang Dipertua MAIK bekata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mewujudkan langkah pencegahan untuk mengesan sebarang kemungkinan aktiviti rasuah atau penyelewengan dalam organisasi itu.

    “Dalam mendokong dan menyokong prinsip amanah serta intergriti dalam perkhidmatan, pihak pengurusan MAIK menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan untuk mengadakan kursus pengurusan kewangan masjid kepada semua pegawai dan jawatankuasa masjid mukim di seluruh negeri.

    “Kursus ini penting bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai tatacara pengurusan kewangan yang mematuhi kehendak perakaunan dan yang lebih penting adalah bagi mengelakkan kebocoran serta ketirisan dalam pengurusan kewangan masjid.

    “Melalui pengurusan kewangan masjid yang cekap dan efektif, ia akan memberikan imej yang baik kepada masyarakat seterusnya menambah kepercayaan mereka terhadap pihak jawatankuasa masjid,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Ikrar Bebas Rasuah Dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan Pegawai Masjid Mukim Tahun 2022 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau mengharapkan dengan Ikrar Bebas Rasuah yang diadakan itu dapat memberikan iltizam kepada semua pegawai masjid mukim bagi melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berintegriti, seterusnya menunjukkan teladan serta qudwah yang baik kepada masyarakat secara amnya.

    “Sebelum ikrar ini diadakan, memang dalam Islam pun tidak boleh mengambil rasuah dan paling utama adalah institusi masjid terutamanya di kampung-kampung di mana jemaahnya menganggap mereka contoh yang perlu diteladani dan dalam hal ini kita cuba terapkan lagi dengan lebih jelas mengenai gejala rasuah.

    “Ini secara tidak langsung dapat memberikan lagi keyakinan kepada jemaah-jemaah masjid selain MAIK juga sentiasa menekankan ketelusan membabitkan apa-apa aktiviti yang kita lakukan. Perkara ini juga kita menyebut di dalam khutbah Jumaat untuk mengingati semua,” katanya.

    Beliau berkata, pada masa hadapan, pihak MAIK akan memastikan lebih 1,700 pegawai masjid mukim di seluruh negeri melafazkan Ikrar Bebas Rasuah.

  • Muhammad Sanusi enggan ulas polemik babitkan bola sepak negara

    Muhammad Sanusi enggan ulas polemik babitkan bola sepak negara

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas enggan memanjangkan lagi polemik berkaitan isu bola sepak tanah air apabila beliau tidak mahu mengulas lanjut pertanyaan wartawan mengenai perkara itu.

    Malah belum sempat wartawan menghabiskan soalan mengenai perkara itu, Muhammad Sanusi terlebih dulu ‘memotong’ dan meminta agar soalan tersebut tidak ditanyakan kepadanya.

    “Soalan itu ‘toksah’ tanya. Tak ada komen… Sat lagi ‘depa’ kata saya lawan raja pula.

    “Mereka ini apabila tak ada hujah, kata saya lawan rajalah, derhaka… Ini bola, derhaka apa,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir ke Rumah Terbuka Hari Raya di Pusat Pembangunan Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (Kismec) di Kulim, Kedah, hari ini.

    Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Twitter baginda menggesa Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) supaya membuat pendedahan berhubung dakwaan menyatakan terdapat individu tertentu yang mengawal Liga Malaysia.

    Tunku Ismail yang juga pemilik JDT turut mendesak Muhammad Sanusi menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dikatakan berbuat demikian.

  • Bot tunda bawa 3 kru hilang

    Bot tunda bawa 3 kru hilang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot tunda yang hilang di kawasan 35 batu nautika barat laut, Pulau Mantanani, Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

    Bot tunda Megah Jaya 2 yang disyaki karam itu difahamkan membawa tiga kru warga tempatan, iaitu Lim Chung Siong, 24, Wilson Paul Joseph, 31 dan Yee Lih Min, 22, seperti yang dilaporkan Berita Harian.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd. Rosli Abdullah, laporan kehilangan bot berkenaan dibuat pemilik kapal sejurus menyedari akan kehilangannya pada pukul 9.30 pagi.

    Operasi CARILAMAT terus diaktifkan dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi untuk melakukan pemantauan dan pencarian
    awal.

    “Kawasan pencarian bot tunda Megah Jaya 2 ini terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan keseluruhan 176 batu nautika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, operasi pencarian itu turut membabitkan agensi berkaitan, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Orang ramai yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini diminta menyalurkannya terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

  • Polis akan panggil Kit Siang selepas lengkap siasatan

    Polis akan panggil Kit Siang selepas lengkap siasatan

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan melengkapkan siasatan berhubung ciapan dimuat naik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

    Polis sedang melengkapkan siasatan dan selepas itu pihaknya akan memanggil veteran politik daripada DAP itu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pada masa ini Kit Siang masih belum dipanggil bagi dirakam percakapan.

    “Selepas siasatan dilengkapkan kita akan memanggil beliau,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan siasatan dijalankan JSJ Bukit Aman terhadap ciapan dimuat naik Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

    Imej tangkap layar ciapan terbabit turut tular melalui aplikasi WhatsApp sejak ia dimuat naik.

    Lim dipercayai mengeluarkan kenyataan ‘Will The Houses Of The Prime Minister and Ministers of Malaysia Be Set On Fire by Angry Protestors As Happened in Sri Lanka Last Week’ (Adakah Rumah Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Malaysia Dibakar oleh Penunjuk Perasaan Seperti Berlaku di Sri Lanka, Minggu Lepas).

  • Jumlah kes HFMD di Kedah melonjak

    Jumlah kes HFMD di Kedah melonjak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah terus meningkat apabila seramai 790 individu, disahkan menghidap penyakit tersebut pada minggu epidemiologi ke-20 antara 15 hingga 21 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu epidemiologi ke-19 antara 8 hingga 14 Mei yang mencatat hanya 419 kes.

    Katanya, peningkatan sebanyak 371 kes atau 89 peratus itu turut disumbangkan oleh kemunculan 13 wabak baharu melibatkan sembilan Taska, dua tadika dan dua pra-sekolah.

    “Sembilan daripada premis berkenaan telah diarah untuk ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala empat yang lain menutup operasi mereka secara sukarela.

    “Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan pesakit hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

    “Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hayati menambah, secara keseluruhannya kes HFMD di Kedah pada tahun ini setakat 21 Mei lalu sudah pun mencecah 2225 kes.

    “Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 1,437 kes atau 196 peratus jika dibandingkan dalam tempoh sama, sewaktu sebelum kedatangan pandemik Covid-19 pada 2019,” katanya.

    Katanya, daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 509 kes atau 22.9 peratus diikuti Kubang Pasu yang mencatatkan sebanyak 361 kes atau 16.2 peratus.

    “Di Kota Setar pula sebanyak 299 kes atau 13.4 peratus dicatatkan dan di Kulim pula ada sebanyak 207 atau 9.3 peratus kes,” ujarnya.

    Beliau turut memaklumkan, sebanyak 40 wabak HFMD telah dilaporkan di negeri ini dengan 39 daripadanya melibatkan pusat pendidikan seperti Taska, Tadika dan Pra sekolah.

    “Kesemua 39 premis berkenaan telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi serta pencegahan jangkitan,” katanya.

  • 6 sekeluarga termasuk suami isteri warga emas aktif edar syabu dicekup polis

    6 sekeluarga termasuk suami isteri warga emas aktif edar syabu dicekup polis

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH keluarga terdiri daripada ibu dan bapa berusia 64 dan 62 tahun serta tiga anak dan seorang menantu mereka masing-masing berusia antara 36 hingga 38 tahun ditahan polis dipercayai menjadi sindiket pengedaran dadah jenis syabu di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu bermula pukul 6 petang hingga 9.50 malam pada 18 Mei lalu di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.28 kilogram bernilai RM298,332 daripada sindiket terbabit.

    Sindiket itu didalangi salah seorang anak lelaki pasangan warga emas berkenaan berusia 38 tahun yang ditahan bersama dua lagi adik beradiknya yang lain termasuk sepasang suami isteri.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komissioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan di Sungai Bakap yang mana polis berjaya menahan ketua sindiket berkenaan.

    Katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu van ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram bernilai RM223,596.

    Tambah beliau, susulan tangkapan pertama itu, polis menyerbu pula sebuah rumah di Bukit Tengah dan menahan empat suspek iaitu ibu bapa lelaki tersebut serta adiknya bersama isteri dan merampas dadah jenis syabu seberat 2.07 kilogram bernilai RM74,736.

    “Serbuan kemudian dilakukan di sebuah lagi rumah di Taman Bagan, Butterworth yang mana kita menahan seorang wanita berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

    “Wanita berkenaan dipercayai ahli sindiket tersebut namun tiada rampasan dadah dibuat ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shukhairy, keluarga berkenaan dipercayai mula aktif dalam kegiatan pengedaran dadah itu sejak Mei tahun lalu untuk pasaran tempatan.

    Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah namun semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    Ujarnya, selain rampasan dadah pihaknya turut menyita sebanyak empat buat kereta dan barang kemas berjumlah RM119,204 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi itu sebanyak RM417,536.

    “Kesemua suspek direman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, di Melaka hari ini menjaatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam kerana merogol anak tirinya dua tahun lalu.

    Harian Metro melaporkan, Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pendakwaan hari ini.

    Terdahulu, selepas menimbangkan keterangan tujuh saksi dan hujah pihak pendakwaan, Maziah Joary memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.

    Bagaimanapun tertuduh berusia 27 tahun dan berasal dari sebuah kampung di Bukit Katil, di sini, memberitahu mahkamah dia ingin menukar pengakuan.

    Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Mac 2020 serta menjalani kaunseling pemulihan serta dua tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman mengikut peruntukan Seksyen 26 (1) dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun enam bulan di dalam bilik kedua di sebuah rumah di Bukit Katil pada 19 Februari 2020, kira-kira pukul 2 pagi.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukannya iaitu merogol anak tiri.

    “Tertuduh juga hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan (bermula 5 April 2021) yang mana di akhir kes pendakwaan hari ini dia diperintah membela diri selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.

    Peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chia Cheng Wee ketika merayu hukuman ringan memohon mahkamah menimbangkan tertuduh seorang OKU lembam yang hanya bekerja kampung dan menanggung isteri yang juga pesakit psikiatri dan tiga anak termasuk dua anak tiri.

  • Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis hari ini menafikan anggotanya menyalah guna kuasa ketika menahan orang awam di sebuah gerai makan di Jalan Cheras Utama, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pihak polis sebelum itu terkesan satu hantaran menerusi aplikasi Twitter yang dimuat naik seorang pemilik akaun mendakwa anggota polis menyalah guna kuasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, semakan mendapati anggota Balai Polis Cheras sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah mengesan seorang lelaki disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian dengan menggunakan aplikasi WhatsApp pada pukul 2.30 petang.

    “Ketika pihak polis mahu memeriksa telefon bimbit secara terperinci, individu tersebut tidak memberi kerjasama dan beredar dari tempat tersebut dengan menaiki kereta ke rumah saudaranya.

    “Anggota polis telah maklum dan meminta bantuan Ketua Balai Polis Cheras. Pegawai polis yang hadir ke rumah tersebut telah menerangkan tujuan dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu tersebut mendapati aplikasi WhatsApp telah dinyah pasang menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram dalam talian tidak dapat diperolehi.

    “Setelah selesai proses dokumentasi, individu tersebut telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini,” ujarnya.

    Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

  • Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang di kedudukan 0.5 batu nautika timur Pangkalan Weld, Georgetown pukul 1.20 petang semalam selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, turut ditahan ialah nakhoda bot bernombor pendaftaran PPP 02307-P itu iaitu warga tempatan berumur 25 tahun.

    Menurut beliau, nakhoda itu ditahan berikutan namanya tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan sekali gus disyaki melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.

    “Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang.

    Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang

    “Bot serta nakhoda ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang mematuhi undang-undang yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Tambah beliau, orang ramai serta komuniti maritim turut diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. 

  • Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    POLIS Indonesia kini serang memburu seorang ratu cantik yang mewakili negara Estonia setelah menuduh pihak berkuasa di Bali mengamalkan rasuah dan korup.

    Veleria Vasilieva bakal mengikuti pertandingan Miss Global 2022 yang akan berlangsung di pulau berkenaan tidak lama lagi.

    “Namanya Veleria dan dia merupakan perwakilan dari Estonia yang bertanding Miss Global di sini.

    “Kita belum tahu apa aktiviti mereka di sini kerana belum ada maklumat mengenainya,” wakil polis, Nanang Peihasmoko dalam satu sidang media di Denpasar, lapor Satu Berita.

    Setelah tersebarnya video yang menuduh pihak polis terlibat dengan rasuah, mereka terus mencari Veleria untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu berkenaan.

    Pihak polis juga buntu kerana acara tersebut masih lagi belum bermula dan tidak dapat mengesan penganjur acara untuk membantu siasatan.

    “Setelah melakukan siasatan ke atas hotel tempat dia menginap, kami ke sana namun tidak menjumpai wanita tersebut.

    “Dia ada bergambar di sebuah hotel di Bandung namun sudah meninggalkan lokasi berkenaan saat kami tiba. Pihak kami masih lagi mencari lokasi sebenarnya,” tambah Nanang lagi.

    Pihak polis percaya Veleria masih lagi berada di Bali dan masih belum ada rekod dia keluar daripada pulau berkenaan berdasarkan rujukan kepada pihak imegresan.

    Pihak Kementerian Undang-Undang di Bali pula menganggap kes ini mencalarkan reputasi pihak polis di pulau berkenaan.

    “Kes ini sudah viral dan ia memang memberikan reputasi buruk kepada pihak polis,” kata Anggiat Napitulupu pula.