SEORANG penunggang motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mencederakan warga emas, Ahad lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussain di Padang Jawa, Shah Alam pada pukul 12 tengah hari, lapor Harian Metro.
Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa atau saksi berkaitan kes berkenaan.
Tertuduh yang diwakili peguam Abi Mursyidin Awal memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik serta perlu menanggung ibu bapanya di kampung.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi berkaitan.
Ahad lalu, seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memukul warga emas di tengah jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa.
Kejadian itu tular di media sosial.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.
SEKURANG-KURANGNYA 14 terbunuh manakala 32 lagi cedera dalam empat insiden letupan yang menggegarkan Kabul dan Mazar-i-Sharif pada Rabu, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Di Kabul, sekurang-kurangnya lima jemaah terbunuh dan 17 lagi cedera selepas letupan menggegarkan sebuah masjid ketika solat maghrib di Kolola Pushta.
Kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat di Masjid Hazrat-e-Zekria, kata jurucakap polis, Khalid Zadran di Twitter.
Letupan berlaku kira-kira sejam selepas tiga letupan berturur-turut berlaku di Mazar-i-Sharif, meragut sembilan nyawa dan mencederakan 15 yang lain, kata jurucakap polis wilayah itu, Mohammad Asif Waziri.
Tiga bas menjadi sasaran dalam insiden itu.
Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini. – Bernama
SATU kejadian tembakan dan letupan bom berlaku di daerah Takbhai, Thailand, pada malam tadi menyebabkan penduduk setempat di Tumpat terkejut dan cuba mengetahui keadaan sebenar.
Bunyi tembakan bertalu-talu jelas kedengaran dan sesekali detuman bom kedengaran dan situasi tegang berkenaan dapat disaksikan menerusi video di media sosial.
Berita Harian melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 (waktu Malaysia) dan dipercayai berlaku berhampiran di wilayah Narathiwat yang menyasarkan pihak berkuasa.
Berdasarkan beberapa video yang tular, ia memaparkan situasi tegang dengan dentuman bom dan tembakan bertalu-talu, sehingga menimbulkan huru-hara.
Dikatakan serangan itu dibuat terhadap pasukan tentera Thailand dan beberapa tangkapan sudah dibuat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, yang ditemui di sini, turut memaklumkan kejadian itu yang berlaku dekat Tumpat.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana tembakan berlaku di dalam wilayah Thailand.
CUBAAN dua lelaki menyeludup keluar barang kawalan termasuk 27 tong gas cecair petroleum (LPG) tanpa permit di perairan Kuala Sungai Melayu, Tawau, semalam, berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pihak maritim pada awalnya mengesan dua bot kargo mencurigakan bergerak secara bersama dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik, iaitu pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Kuala Sungai Melayu, pukul 5.15 petang.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, curiga dengan pergerakan itu, aset APMM yang sedang dalam tugasan Ops Sejahtera kemudiannya menahan kedua-dua bot kargo terbabit untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan awal ke atas bot kargo pertama yang dikendalikan juragan tempatan berusia 55 tahun menemukan lima tong gas LPG yang disembunyikan di sebalik timbunan kotak polisterin.
“Pemeriksaan ke atas bot kargo kedua dengan seorang tekong warga tempatan berumur 49 tahun, menemukan muatan barangan runcit serta 22 tong gas LPG berisi yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Shahrizan berkata, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan pemilikan barangan kawalan yang dibawa.
Katanya, kedua-kedua juragan ditahan bersama bot kargo serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dua bot kargo berserta enjin dianggarkan berjumlah RM80,000 dan kes masing-masing disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan tempoh perkhidmatan guru interim lantikan tahun 2019 di bawah KPM akan dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.
KPM dalam satu kenyataan memberitahu, pelanjutan tempoh tersebut adalah bagi membolehkan urusan temu duga dan lantikan tetap bagi guru yang telah memenuhi syarat diselesaikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Sementara itu, bagi guru interim lantikan sebelum tahun 2019, mereka juga hendaklah memastikan syarat lantikan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dipenuhi bagi membolehkan perakuan dibuat oleh KPM sebelum dikemukakan kepada SPP untuk urusan temuduga dan lantikan tetap.
“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” menurut kenyataan seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
SERAMAI 11 bayi yang baharu lahir meninggal dunia dalam kebakaran sebuah hospital di bandar Tivaouane, Senegal, pada malam Rabu.
Presiden negara itu, Macky Sall menerusi ciapannya dalam Twitter miliknya pada Rabu, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kepada ibu dan keluarga mereka, saya merakamkan rasa simpati yang mendalam,” ciap Sall pada lewat malam, menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang kebakaran itu yang berlaku pada Rabu dan Sall dilaporkan berada di Angola dalam satu lawatan negara.
Tragedi itu berlaku di Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di hab pengangkutan Tivaouane dan berpunca daripada litar pintas, menurut seorang ahli politik Senegal, Diop Sy.
Kebakaran merebak dengan cepat, katanya.
Menteri kesihatan Senegal, Abdoulaye Diouf Sarr yang berada di Geneva untuk Perhimpunan Kesihatan Sedunia berkata, beliau akan segera kembali ke Senegal.
Datuk Bandar itu, Demba Diop berkata, tiga bayi telah diselamatkan.
Menurut media tempatan, Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh baru sahaja dirasmikan.
Kejadian serupa pernah berlaku di bandar utara Linguere pada akhir April lalu apabila kebakaran berlaku di sebuah hospital dan empat bayi yang baharu lahir terkorban.
Datuk bandar bandar itu telah menyatakan kerosakan elektrik pada unit penghawa dingin di wad bersalin sebagai punca kebakaran.
AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan langkah itu dibuat selepas mengambil pertimbangan mendalam.
“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.
“Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” katanya.
Beliau bersyukur kerana pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah selari dengan pendirian PBM.
Zuraida akan bertemu Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Beliau juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri Kabinet.
“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian. Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin,” katanya.
Jelasnya, persidangan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dan seterusnya beliau akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia.
Pada 22 Ogos 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama Timbalan Presiden PKRDatuk Seri Mohamed Azmin Ali, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu.
Semuanya menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Muhyiddin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan mereka bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berpegang teguh dengan pendirian berjuang demi hak dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama meskipun kini menyertai Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, sejak penubuhan parti itu pada tarikh hari ini pada 54 tahun lalu, parti Gerakan tetap mengutamakan dan melindungi hak serta kepentingan semua kaum.
Ujarnya, Gerakan akan terus bersuara demi rakyat, mempertahankan kesaksamaan dalam sebarang polisi yang berhubung kait dengan kepentingan serta kebajikan rakyat.
“Parti Gerakan merupakan sebuah parti yang ahlinya terdiri daripada pelbagai etnik. Kami akan terus berpegang dan memperjuangkan ideologi Parti sungguhpun kami merupakan ahli keluarga PN.
“Kami tetap akan bersuara demi kepentingan rakyat dan memantau kerajaan yang memerintah kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, serangan dan penularan Covid-19 telah mengakibatkan ekonomi dan kehidupan rakyat berubah.
Sehubungan itu katanya, adalah penting kepada kerajaan kini untuk memberi tumpuan mengendalikan hal-ehwal negara, memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara supaya rakyat hidup bersatu padu dan harmoni.
“Memandangkan keadaan penularan wabak Covid-19 di negara kita semakin pulih, dan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) telah diumumkan kerajaan, kami berharap kerjasama antara kerajaan dan rakyat dapat diteruskan dan dieratkan lagi.
“Ini untuk membanteras Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara kita secepat mungkin supaya kehidupan rakyat kembali normal,” katanya.
ADA juga yang tidak percaya apabila pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan tentang penyakit misteri yang dihidapinya baru-baru ini.
Malah sebahagian daripada mereka mengeluarkan kata-kata sinis dengan mempersoalkan bagaimana beliau yang mempunyai kebolehan merawat individu yang disihir boleh terkena penyakit itu.
Namun, dalam program bual bicara MeleTOP semalam, Ustaz Kazim menyatakan bahawa apa yang dialaminya itu adalah benar.
“Kalau ada kata ini propa untuk filem saya, tak! Orang dah tahu cerita saya sakit sejak berpuluh tahun dulu,” jelasnya dalam program yang dihoskan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu dan dipetik oleh Astro Awani.
Beliau turut menafikan bahawa pendedahannya itu bukan gimik untuk melariskan produk yang berkaitan.
“Saya baru habis penggambaran sebuah filem dan ia mengambil aspirasi daripada kisah hidup saya yang mana saya dilanda pelbagai masalah dan penyakit sejak tahun 1997.
“Salah satunya adalah masalah berkaitan kulit saya yang selama ini saya rahsiakan kepada orang ramai.
“Apabila sampai babak itu, make up artist solekkan bahagian tangan saya, memang tangan saya tak ada apa-apa.
“Ramai orang jumpa saya nak tengok tangan… mana ada. Tangan saya okey. Cuma yang berlaku (masalah kulit) itu di tempat lain (sambil pegang paha). Takkan saya nak tunjukkan tempat itu. Ia benda yang aib untuk saya.
“Jadi saya letakkan pada tangan. Kapsyen pun saya tak katakan keadaan tangan saya sekarang. Saya kata kepada sesiapa yang boleh tolong saya, rawatlah saya. Tapi itu memang yang terjadi sebenarnya keadaan saya selama ini,” katanya.
Dalam program tersebut, secara eksklusif Ustaz Kazim memadamkan solekannya demi membuktikan masalah kulit pada wajah dan bengkak pada telinga kirinya adalah benar.
“Saya tak boleh tidur bertahun dah. Saya hanya boleh tidur dalam kereta, ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) saya nak tidur mana sebab tak boleh jalan?
“Tapi paginya saya perlu bekerja. Tapi Alhamdulillah Allah tak bagi saya letih, tak penat.
“Orang kata sihat, segak. Tengok kesannya, betis dan paha saya macam budak sekolah.
“Sekarang bila nak keluar rumah saya terpaksa pakai foundation, solek tebal nak tutup muka saya. Menyebabkan saya stress.
“Saya dah pakai face mask bertahun, sebab nak cover muka saya. Kadang-kadang pakai serban tutup muka nampak mata je sebab tak larat nak solek. Lama-lama jadikan saya malu nak jumpa orang.
“Kemudian saya berubat, jumpa pakar dan pengamal perubatan tapi Allah belum izinkan.
“Sebab itu saya kata tolong bantu saya. Lima pembedahan saya dah buat, empat MRI dah buat untuk semak penyakit saya. Saya tak perlukan simpati, ia tak dapat membantu saya pun,” katanya yang turut menunjukkan bahagian betis kakinya yang lebam-lebam.
Ustaz Kazim menambah, keadaan bengkak di telinganya tidak dapat dipastikan punca dan jenis penyakit namun keadaan sama pernah berlaku di bahagian kakinya yang apabila diusik akan menyebabkan kecederaan lagi parah.
“Tiba-tiba saja naik, pengamal perubatan tak tahu. Katanya normal. Saya tak berani usik, sebab pernah naik di kaki, bila usik rosak. Saya tak nak usik takut jejaskan muka saya.
“Di muka pula, ia hanya akan ada satu garisan dan keluar darah. Tiba-tiba je, saya tak usik tak garu, tak gatal. Sembilan doktor kata bukan ekzema, katanya ini normal untuk orang tua walhal umur saya tak sampai 50 tahun lagi.
“Di peha dan perut pun ada kesan yang sama seperti di kaki. Itu tak perlu marketing. Nama saya tak perlu marketing. Sewaktu berlakon saya banyak sorok dari kru filem, sampai tahap nak tunjukkan kulit, saya perlu tunjuk,” dedahnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pernah mengalami kesukaran akibat tidak dapat membuat air kecil selama sebulan.
Katanya, semasa pembedahan, doktor mendapat ada benda putih yang tersangkut pada saluran kencingnya namun ia hilang sebelum sempat dikeluarkan.
ENAM pengarah dan pemilik syarikat berbeza ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menggunakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan tender dari sebuah syarikat pembersihan di utara tanah air.
Sumber memaklumkan, kesemua yang ditahan itu merupakan lelaki berusia antara 38 hingga 49 tahun.
Katanya, seorang daripada individu terlibat ditahan di Pejabat SPRM Kedah manakala lima yang lain ditangkap di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Selain merakam percakapan individu ditahan, pihak SPRM turut merakam percakapan saksi-saksi terlibat serta mendapatkan dokumen yang relevan. Semua individu ditahan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 berserta penjamin,” katanya.
Difahamkan kes tersebut mempunyai kaitan dengan tender penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.
Kesemua kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2019.
Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi Warta Rakyat mengesahkan penahanan keenam-enam individu berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Menurutnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.