Author: Admin

  • Kes penyelewengan dana kerajaan:tiada pemimpin politik Melaka disiasat-SPRM

    Kes penyelewengan dana kerajaan:tiada pemimpin politik Melaka disiasat-SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat mana-mana ahli politik di Melaka berhubung salah laku rasuah berhubung dakwaan kes penyelewengan dana kerajaan serta pelaksanaan projek mega di negeri itu.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada mana-mana pihak terhadap mana-mana ahli politik setakat ini.

    “Suka saya nyatakan di sini, sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan terhadap ahli politik di Melaka. Itu (dakwaan) lebih kepada khabar angin, kita tak tahu apa yang berlaku, (namun) kita boleh sahkan tidak ada sebarang siasatan membabitkan ahli politik atau mana-mana pihak (berkepentingan),” katanya, lapor Berita Harian.

    Mohd. Shahril ditemui media selepas menyertai program Ujian Melepaskan Tembakan dan Kemahiran Pengendalian Senjata Api SPRM Melaka bersama media di Lapang Sasar, Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tiang Dua, Melaka, hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan terdapat beberapa ahli politik Melaka bergelar Datuk dan Datuk Seri sama ada sudah dan akan disiasat oleh SPRM dalam tempoh terdekat berkaitan kes berkenaan.

    Sementara itu, Mohd Shahril berkata, jumlah senjata api bagi kegunaan pegawai SPRM Melaka dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah rasuah masih mencukupi.

    “Walaupun sedikit, ia masih mampu menampung keperluan tugasan pegawai, terutama ketika menjalankan operasi di negeri ini.

    “Untuk kapasiti dan jenis senjata yang digunakan, ia sudah mencukupi kerana sekiranya ada operasi besar membabitkan agensi lain, pasukan masing-masing akan bawa senjata sendiri, jadi tiada isu,” katanya.

  • Lelaki lemas selepas perahu dinaiki karam

    Lelaki lemas selepas perahu dinaiki karam

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam berdekatan projek Empangan Baleh, di Putai, Kapit tengah malam Rabu lalu, ditemukan lemas, pukul 4.11 petang tadi.

    Mayat Julius Melina, 36, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di hilir sungai berdekatan Klinik Kesihatan Nanga Merirai, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari tempat perahunya karam.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, “mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”

    Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak polis, mangsa bersama dua rakannya menaiki sebuah perahu untuk menangkap ikan pada tengah malam, Rabu lalu.

    “Sampai di satu lokasi perahu yang mereka naiki karam menyebabkan mangsa hilang manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, operasi SAR membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, empat anggota polis, tiga anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

  • Ibu, nenek saudara ditahan bantu siasatan kes dera 2 kanak-kanak

    Ibu, nenek saudara ditahan bantu siasatan kes dera 2 kanak-kanak

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    DUA wanita iaitu ibu kandung serta nenek saudara masing-masing berumur 28 dan 52 tahun ditahan polis Pulau Pinang hari ini bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan.

    Kedua-dua suspek ditahan di sebuah flat di Air Itam, Georgetown oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira pukul 11.15 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua wanita berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan di Balai Polis Air Itam, kira-kira pukul 8 pagi ini.

    Jelas beliau, laporan itu berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook mengenai gambar dua anak-kanak yang sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan pada bahagian muka.

    “Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa kepada penderaan.

    “Hasil serbuan dan pemeriksaan polis di sebuah rumah flat telah berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan dan lelaki yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

    “Dalam serbuan tersebut, kita juga menahan dua wanita tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua kanak-kanak terbabit menjumpai kesan luka dan lebam pada bahagian muka dan badan disyaki akibat penderaan.

    Sehubungan itu katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

    “Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta KanakKanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.

  • Tokoh Islam Indonesia, Buya Shafii meninggal dunia hari ini

    Tokoh Islam Indonesia, Buya Shafii meninggal dunia hari ini

    TOKOH Islam Indonesia, Ahmad Shafii Maarif atau Buya Syafii Maarif meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun di kediamannya di Kabupaten Sleman, Yogyakarta, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, waktu tempatan.

    Ketua Umum Pengurus Pusat (PP) Muhammadiyah Haedar Nashir, kehilangan allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Umum PP tersebut membuatkan rakyat republik tersebut berduka.

    “Muhammadiyah dan bangsa Indonesia berduka. Telah wafat Buya Prof Dr. H. Ahmad Syafii Maarif.

    “Semoga beliau husnul khatimah, diterima amal ibadahnya, diampuni kesalahannya, dilapangkan di kuburnya, dan ditempatkan di jannatun na’im.

    “Mohon dimaafkan kesalahan beliau dan do’a dari semuanya,” katanya menurut Astro AWani yang memetik laporan Agensi.

    Berita sedih itu turut mendapat perhatian Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyampaikan ucapan takziah menerusi laman Instagram rasmi beliau.

    Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu Buya Syafii di kediamannya di Kabupaten Sleman ketika tokoh tersebut baru selesai terima rawatan dan menurut Jokowi, pada waktu itu, Buya Syafii kelihatan sihat.

    “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Atas nama pemerintah, rakyat Indonesia, saya menyampaikan belasungkawa yang dalam atas berpulangnya Buya Syafii.

    “Semoga segala amal ibadah almarhum diterima oleh Allah SWT, diampuni kesalahannya, dan segenap keluarga yang ditinggalkan sabar dan tabah.

    “Selamat jalan Sang Guru Bangsa,” tulis beliau dalam status yang dimuat naik kira-kira pukul 2 petang tadi.

    Buya Syafii sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital pada 14 Mei lepas akibat mengalami sesak napas.

    Begitupun, keadaan bekas Ketua PP Muhammadiyah – dari tahun 1998 hingga 2005 – itu semakin baik bahkan doktor juga membenarkan Buya Syafii pulang ke rumah.

  • Untitled post 36297

    Jawatan Menteri Perladangan, Komoditi kuota Bersatu.

    Betul, kena pegang janji, jangan jadi munafik.

  • Mayat terikat disumbat dalam guni terapung di sungai

    Mayat terikat disumbat dalam guni terapung di sungai

    SATU mayat lelaki dalam keadaan tangan serta kaki diikat manakala kepala sehingga pinggang diserkup guni ditemukan terapung di Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, Sungai Petani, hari ini.

    Mayat berkenaan ditemukan dua lelaki yang sedang memukat ikan di kawasan berhampiran pada 9.30 pagi sebelum menghubungi polis.

    Kedua-duanya sebelum itu terhidu bau busuk dan mereka terkejut apabila melihat mayat dalam keadaan terlentang serta terapung yang dihanyutkan arus berada sebelah bot.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk G. Suresh Kumar berkata, mayat berkenaan masih belum dikenal pasti identitinya.

    “Pemeriksaan mendapati mayat sudah mengelupas kulit dengan kaki serta dua tangan tangan diikat menggunakan tali biru.

    “Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya mangsa dibunuh serta sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

    “Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan dalam guni dan dicampak ke dalam sungai ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, setakat ini polis tidak menemui kesan kecederaan di tubuh mangsa kemungkinan kerana keadaan mayat yang mengelupas kulit akibat terendam terlalu lama.

    “Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Mayat lelaki terbabit ditemukan hanya berbaju T merah tanpa berseluar selain cincin perak di jari telunjuk dan jari manis tangan kiri.

    Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan yang mempunyai ciri-ciri seperti dinyatakan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk maklumat lanjut.

  • Kes seludup 119 etnik Rohingya disiasat:SPRM Kedah

    Kes seludup 119 etnik Rohingya disiasat:SPRM Kedah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes empat lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam yang disyaki terlibat menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah, baru-baru ini.

    Tindakan awal SPRM adalah mengenal pasti kesalahan yang berlaku sekiranya mengesan sebarang bukti rasuah.

    Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, SPRM akan mengambil tindakan jika ada bukti-bukti berlaku perbuatan rasuah.

    “Kita amat memandang serius perlakuan terbabit dan mana-mana pihak perlu diberi amaran kerana tali barut penyeludup manusia ini boleh menggugat keselamatan negara.

    “Orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit kepada SPRM,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit kepada SPRM.

    Media melaporkan cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada Selasa.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

    Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

    Warga tempatan terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

  • Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan selepas merompak seorang wanita.

    Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ali Zainal, 36, selepas lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Majistret di Kuala Pilah, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pukul 5.30 petang pada 23 Mei lalu di kaunter sebuah syarikat insuran di Bahau dengan merompak sebuah telefon bimbit jenama iPhone 12 pro.

    Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan seorang wanita berusia 42 tahun dalam ketakutan dan kecederaan boleh berlaku serta merta.

    Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Mengikut fakta kes, tertuduh meluru masuk dan menuju ke kaunter dalam keadaan tergesa-gesa sambil memasukkan tangan ke dalam beg sandang yang dibawanya sebelum diminta keluar oleh staf lain namun tertuduh enggan dan berlaku pertengkaran mulut.

    Ini menyebabkan staf di premis berkenaan ketakutan dan terus berlari ke belakang sebelum seorang wanita terlihat tertuduh mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kaunter.

  • Polis tahan lelaki ugut pecahkan kepala ibu

    Polis tahan lelaki ugut pecahkan kepala ibu

    POLIS menahan seorang lelaki di Kampung Husaja Jana, Miri, pada 12.25 tengah hari, semalam kerana mengugut mahu pecahkan kepala ibunya.

    Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan terhadap suspek yang berusia 28 tahun dibuat susulan laporan diterima memaklumkan lelaki itu mengamuk dan mengugut hendak memecahkan kepala ibunya.

    “Suspek juga merosakkan motosikal milik mangsa (ibu) yang berusia 55 tahun.

    “Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, dalam dalam kes berasingan, Alexson berkata, pihaknya menahan seorang lelaki pada petang semalam kerana disyaki membuat laporan palsu bagi mendapatkan tuntutan insuran, dengan mendakwa motosikal yang baru saja didaftar atas namanya hilang.

    Katanya, soal siasat terhadap suspek mendapati keterangannya mencurigakan.

    “Selepas selesai disoal siasat, suspek mengaku membuat laporan palsu dan tujuan laporan adalah untuk tuntutan insuran,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang laporan palsu dan mereka cerita yang tidak betul.

  • Tak salah Bersatu namakan calon pengganti Zuraida

    Tak salah Bersatu namakan calon pengganti Zuraida

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LANGKAH Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan individu tertentu bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, tidak seharusnya menjadi perdebatan oleh mana-mana pihak.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun hak untuk melantik menteri merupakan prerogatif Perdana Menteri, Bersatu tetap berhak untuk memberi nama bagi dipertimbangkan sebagai pengganti kerana kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri, adalah atas kuota Bersatu.

    Menurutnya, pelantikan menteri sebelum ini juga sememangnya dibuat berdasarkan pencalonan dari parti.

    “Pelantikan Perdana Menteri pun dibuat berdasarkan sokongan dari parti. Kalau kita kata Perdana Menteri boleh buat apa saja, lebih baik jadi Perdana Menteri bebas kerana mereka takkan terikat dengan keputusan parti mahu pun gabungannya.

    “Kita bergabung bertujuan memastikan berlaku pembahagian tanggungjawab serta amanah, demi menjaga kebajikan rakyat. Memanglah betul urusan pelantikan menteri merupakan prerogatif Perdana Menteri tetapi beliau tentunya bertindak mengikut cadangan dari parti,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pemandu teksi di Changlun, hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika bercakap kepada sebuah akhbar semalam meminta semua pihak untuk menghormati hak prerogatif Perdana Menteri dalam pelantikan menteri seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Khairy, semua pihak tidak seharusnya memberi tekanan kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

    Sementara itu Wan Saiful berkata, beliau merasakan Bersatu tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi nama kepada Perdana Menteri mengenai individu yang dirasakan layak menggantikan Zuraida.

    “Saya pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ada calon yang difikirkan sesuai sebab isu Zuraida ini bukan baru timbul.

    “Ketika ini Perdana Menteri dan Zuraida, kedua-duanya ada di luar negara. Jadi kita berilah masa agar setiap prosedur dapat berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya.