Author: Admin

  • Polis bongkar sindiket edar dadah, empat termasuk warga Ukraine ditahan

    Polis bongkar sindiket edar dadah, empat termasuk warga Ukraine ditahan

    Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu terbongkar dalam serbuan di bangunan kedai di Batu 11, Cheras, Kajang, 24 Mei lalu.

    Harian Metro melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 6 petang.

    “Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 44 tahun yang sedang leka mengangkat kotak.

    “Kami turut menemui satu kotak bungkusan teh cina serta plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 39 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.

    “Kami turut menyita tiga kereta iaitu Mercedes Benz, Toyota Vios serta Perdua Bezza; wang tunai berjumlah RM20,380; wang tunai 35,000 baht atau RM4,503 dan beberapa barang kemas bernilai RM109,200 menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM389,083,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

    Ahmad Jefferi berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum diedarkan kepada pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

    “Semakan dilakukan mendapati pasport milik individu warga Ukraine berkenaan adalah sah. Dia sudah dua kali datang ke Malaysia iaitu pada April lalu sebelum keluar ke Thailand dan datang semula awal bulan lalu (Mei).

    “Hasil ujian saringan dilakukan mendapati dua daripada empat suspek berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan kes dadah serta jenayah,” katanya.

    Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada saki baki sindiket ini yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

    “Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 Mei lalu hingga esok dan permohonan untuk melanjutkan reman akan dilakukan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Top Glove didenda RM50,000, tanggal meter Syabas

    Top Glove didenda RM50,000, tanggal meter Syabas

    MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap syarikat pengeluar sarung tangan, Top Glove Sdn Bhd atas dua pertuduhan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Perundangan Subsidiari Akta berkenaan.

    Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) didenda masing-masing RM30,000 dan RM20,000 bagi kesalahan menggunakan peranti iaitu ‘Electromagnetic Flowmeter’ yang tidak standard, dan menanggalkan meter yang dipasang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tanpa kebenaran.

    Menurut kenyataan itu yang dilaporkan Harian Metro hari ini, syarikat berkenaan melakukan kedua-dua kesalahan terbabit pada 28 Mei 2019 di premis di Jalan Teratai, Batu 5, off Jalan Meru, Kapar.

    Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira penghujahan Pegawai Pendakwa SPAN Suhaidariah Ahmad dan mitigasi daripada peguam bela OKS, Mohd Khairul Azri Mohd Badroldin.

    OKS diwakili Pengurus Pembuatan syarikat, Foong Hua Yeang Anthony.

    “Kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 129 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] iaitu seseorang yang menggunakan apa-apa peranti yang tidak standard yang dia mempunyai alasan untuk mempercayai adalah peranti yang tidak standard untuk digunakan bagi tujuan memasang peranti itu.

    “Jika disabit kesalahan boleh dihukum mengikut subseksyen yang sama iaitu tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    “OKS juga didakwa mengikut Subkaedah 73(3) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 iaitu seseorang yang menanggalkan meter yang dipasang oleh pemegang lesen pengagihan air tanpa kebenaran, melakukan suatu kesalahan, dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah subkaedah yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya,” tulis kenyataan itu.

    Dalam pada itu, menerusi pendakwaan itu SPAN turut berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penggiat industri air dan orang awam tentang tanggungjawab untuk mematuhi peruntukkan-peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan perundangan subsidiari di bawah Akta tersebut.

  • Rafizi jadi pilihan 26 cabang di Johor

    Rafizi jadi pilihan 26 cabang di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN bersandarkan kapasiti sebagai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ‘tidak berdaya’ apabila tewas di kesemua cabang negeri Johor dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

    Pengaruh bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Johor khususnya menyaksikan beliau yang ‘meninggalkan’ seketika parti berkenaan dan arena politik menang besar dengan 4,022 undi.

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar baharu itu pula hanya memperoleh 1,062 undi jauh ketinggalan berbanding jumlah diterima Rafizi.

    Dalam proses pemilihan di Cabang Tebrau, Rafizi menerima 576 undi berbanding Saifuddin yang hanya mendapat 119 undi.

    Cabang Batu Pahat juga menyaksikan Saifuddin ketinggalan jauh apabila 412 undi memihak kepada Rafizi, sementara beliau memperoleh 197 undi.

    Hanya lima cabang yang dilihat Saifuddin ‘mampu’ memberi saingan apabila tewas dalam angka yang kecil kepada Mohd. Rafizi, berbanding baki 21 cabang lagi yang menyaksikan jurang besar kekalahan beliau.

    Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh akhirnya menang bagi jawatan Ketua Cabang Ledang selepas menewaskan lawannya, Muhammad Azhar Hafiz Mohd. Shafi’e dengan 127 undi berbanding 7 undi.

    Syed Ibrahim tewas perebutan jawatan itu pada 2018 apabila beliau dikalahkan penyandang jawatan itu, Dr. Chong Fat Full yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang menyertai PKR pada November tahun lalu menang sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam setelah memperoleh 109 undi dalam pemilihan berkenaan.

    Seramai 62,404 ahli PKR layak memilih di negeri ini termasuk mereka yang dikategorikan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sementara proses pengundian di Johor berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

  • PGA 8 rampas 541 burung murai batu bernilai RM541,000

    PGA 8 rampas 541 burung murai batu bernilai RM541,000

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) berjaya merampas sebanyak 541 burung murai batu bernilai RM541,000 dari negara jiran sebelum bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di Kampung Jubakar Tumpat, Kelantan petang semalam.

    Menurut Penolong Pegawai Pemerintah PGA 8, Deputi Superintendan K. Ramesh, rampasan dan penahan lelaki tersebut dibuat pada pukul 4 petang selepas anggotanya menahan kereta jenis Chery Eastar dalam keadaan mencurigakan.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan anggotanya menemui 32 bakul plastik mengandungi 541 burung murai batu dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok.

    “Hasil soal siasat, semua burung itu akan dibawa ke utara untuk pasaran di sana. Semua barangan dirampas, manakala pemandu kenderaan yang beralamat di Grik, Perak itu pula ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Ramesh, semua burung berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.

    Beliau berkata, dalam penugasan PGA sempena Op Wawasan bermula 26 Mei lalu, sebanyak sembilan kes direkodkan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.

    “Sebanyak 12 tangkapan dilakukan dan tujuh kenderaan turut dirampas.

    “Kita akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin serta jenayah rentas sempadan,” ujar beliau.

  • Pendengaran 1MDB ditangguh, Muhammad Shafee demam dan sakit tekak

    Pendengaran 1MDB ditangguh, Muhammad Shafee demam dan sakit tekak

    PERBICARAAN perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terpaksa ditangguhkan selepas peguam bela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengalami demam dan sakit tekak.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Berita Harian, ketika awal prosiding hari ini, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berkata menerima panggilan telefon daripada Muhammad Shafee, yang memaklumkan tidak dapat hadir pada pendengaran hari ini.

    Menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Shafee, Rahmat berkata suaranya kedengaraan seperti pelakon Hollywood, mendiang Sean Connery.

    “Muhammad Shafee mengalami demam panas dan sakit tekak.

    “Apabila beliau (Shafee) menelefon (saya awal pagi ini untuk memaklumkan tentang perkara ini), beliau (suaranya) kedengaran seperti Sean Connery,” kata peguam itu memetik laporan berkenaan.

    Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, bagaimanapun berkata contoh yang diberikan itu bukan satu tindakan yang baik memandangkan pelakon berkenaan sudah meninggal dunia.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap penangguhan berkenaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat minggu ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy supaya memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    MalaysiaKini pula melaporkan mahkamah turut menetapkan perbicaraan utama disambung semula pada 21, 25 dan 28 Oktober.

    Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon memanggil Arul Kanda untuk bertindak sebagai saksi terhadap Najib.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

  • Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    POLIS tidak menolak kemungkinan kes bunuh seorang wanita asing di sebuah bilik sewa di premis rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah, Kuching Ahad lalu berpunca daripada cemburu dan samun.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, didapati beberapa barangan milik mangsa hilang, menurut laporan aSTRO Awani.

    Namun, dalam kenyataan yang dibuat beliau, tiada kesan pecah masuk di lokasi kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak forensik.

    “Tindakan yang akan diambil termasuk mendapatkan makluman daripada saksi kejadian termasuk merakam percakapan anak mangsa.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian juga akan dibuat,” katanya.

    Sementara itu, anak mangsa akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh siasatan.

    “Kes ini telah dimaklumkan kepada pihak Konsulat Indonesia di Sarawak dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Ahad, seorang wanita warganegara Indonesia ditemui mati di rumah sewanya dengan beberapa kesan tikaman di badan.

    Mangsa dikenali sebagai Dea Noviyanti, 35, dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan kini tinggal bersama anaknya berusia lima tahun di rumah sewa tersebut.

    Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita itu dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya.

    Sumber itu turut berkata kejadian disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

    Mangsa dipercayai maut akibat kecederaan luka besar yang dialami di bahagian leher, disyaki dikelar dengan senjata tajam.

  • Kereta dinaiki tujuh sekeluarga terjunam dalam sungai

    Kereta dinaiki tujuh sekeluarga terjunam dalam sungai

    TUJUH sekeluarga berdepan detik cemas selepas kereta Proton Exora dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Haji Abdul Manan, Klang, Selangor.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, dua parah manakala lima yang lain mengalami cedera ringan dalam kejadian pada malam Ahad itu.

    Menurutnya, laporan kejadian diterima pada pukul 11.46 malam dan dipercayai mereka dalam perjalanan dari arah Bukit Kapar ke Rantau Panjang, Klang.

    “Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah membantu mengeluarkan lima mangsa dan terdapat dua lagi mangsa yang tersepit pada stereng dikeluarkan pasukan penyelamat.

    “Dua mangsa alami parah iaitu pemandu dan penumpang hadapan. Semua mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, kira-kira 30 minit masa diambil bagi operasi menyelamat itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • PM Sri Lanka jemput penunjuk perasaan sertai kerajaan

    PM Sri Lanka jemput penunjuk perasaan sertai kerajaan

    KERAJAAN Sri Lanka menjemput penunjuk perasaan dalam kalangan belia untuk menjadi sebahagian daripada pemerintah di bawah reformasi politik.

    Perdana Menteri Sri Lanka mencadangkan perkara itu untuk menyelesaikan krisis politik akibat daripada kejatuhan ekonomi.

    Menurut Ranil Wickremesinghe, di bawah cadangan reformasi perlembagaan, kuasa Presiden akan dikurangkan dan kuasa Parlimen diperkukuhkan.

    Jelasnya, tadbir urus akan dilaksanakan secara meluas melalui jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab bagi subjek yang berbeza.

    “Ini akan membolehkan penggubal undang-undang, belia dan pakar bekerjasama,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ranil menyeru belia untuk perubahan dalam sistem sedia ada, oleh itu kerajaan mencadangkan untuk melantik empat wakil belia bagi setiap 15 jawatankuasa.

    Penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda telah berkhemah di luar pejabat Presiden selama lebih 50 hari.

    Mereka menuntut peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa selain meminta beliau dan keluarganya bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi terburuk negara.

    Mereka juga mahukan rombakan tadbir urus kerana menyatakan pentadbiran sejak merdeka daripada Britain pada 1948 telah membawa kepada krisis ekonomi dan sosial.

    Pelajar telah mengetuai protes hampir setiap hari dan ada yang ganas di ibu negara, Colombo dan tempat lain ketika Sri Lanka berada di ambang muflis.

  • Johari Abdul kalah perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Petani

    Johari Abdul kalah perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Petani

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul kalah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani dalam Pemilihan PKR 2022 yang diumumkan keputusannya semalam.

    Keputusan yang dipaparkan di laman web https://pemilihankeadilan2022.com menunjukkan Johari memperolehi 464 undi iaitu ketinggalan 103 undi di belakang Simon yang mendapat 567 undi.

    Seorang lagi pencabar, Mohd. Zaid Othman gagal memberi saingan apabila hanya memperolehi 142 undi.

    Selain memegang jawatan Pengerusi PH Kedah, Johari turut memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah.

    Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun.

    Anaknya, Mohd Firdaus Johari turut tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Jerai apabila sekadar meraih 141 undi berbanding 191 diperolehi pemenang jawatan itu, Nazri Abdullah.

    Di Pokok Sena, bekas Pengerusi PKR Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad turut kalah dalam perebutan jawatan Ketua Cabang.

    Che Mat Dzaher yang juga Pengerusi PKR Kedah sekadar memperolehi 137 undi berbanding Mohd. Altab Pa Ibrahim yang mendapat 181 undi.

  • Kalah pemilihan PKR, Farhash mahu audit forensik terhadap keputusan

    Kalah pemilihan PKR, Farhash mahu audit forensik terhadap keputusan

    SETELAH tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa agar audit forensik dijalankan terhadap keputusan pemilihan PKR.

    Memetik laporan FMT, bekas pegawai khas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendakwa berlaku percanggahan antara jumlah undi dikira dan pengundi.

    Beliau kalah di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Farhash Wafa Salvador akan membantah keputusan ‘tidak munasabah’ undian secara fizikal dan dalam talian di cabang Gombak.

    “Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau mendakwa, berdasarkan keputusan yang disiarkan di laman sesawang PKR hari ini, jumlah undian dikira tidak sama dengan jumlah pengundi.

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang PKR, Amirudin menundukkan Farhash dengan 1,858 undi berbanding 1,215 undi.

    Farhash berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan pimpinan parti akan mengambil tindakan sewajarnya serta membetulkan keadaan sekiranya terbukti pemilihan dan keputusan dikompromi.

    Kebimbangan dibangkitkan bekas Ketua PKR Perak itu berhubung pemilihan parti adalah yang terbaharu dalam beberapa siri rungutan dilaporkan calon dan ahli.

    Selain dakwaan pengundi hantu dan ahli ‘meragukan’ yang layak mengundi, pemilihan PKR kali ini turut dicemari masalah teknikal yang mengganggu pengundian di lapan bahagian pada hujung minggu lalu.

    Pemilihan PKR kali ini juga dipecayai menyaksikan peratusan mengundi yang rendah, dengan kurang 13 peratus daripada 1.1 juta ahlinya mengundi secara fizikal atau dalam talian.

    Terdahulu, JPP dilaporkan berkata, pemilihan parti sudah berakhir dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres PKR pada 25 serta 26 Jun ini, manakala keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman sesawang parti mulai hari ini.