Author: Admin

  • Hormati hak Ismail Sabri tentukan bila PRU-15

    Hormati hak Ismail Sabri tentukan bila PRU-15

    KEGHAIRAHAN dan keterujaan beberapa pemimpin kanan UMNO yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika rakyat dan negara sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi termasuk kenaikan harga barang amat memualkan.

    Apa yang berlaku ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini jelas membuktikan kelompok tersebut yang sebelum ini begitu hebat bercakap soal kestabilan politik, hakikatnya tidak pernah padam mahu melaksanakan agenda politik mereka.

    Sebelum ini, mereka juga begitu gah bercakap soal prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk  melantik anggota Kabinet apabila Bersatu mahu mengisi kekosongan bagi jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi selepas Datuk Zuraida Kamaruddin meletak jawatan.

    Tetapi anehnya kenapakah dalam soal penetapan tarikh pilihan raya, mereka tidak mahu menghormati kuasa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri? Kenapakah mahu memberi tekanan kepada beliau sehingga sanggup meminta hadirin pada konvensyen itu bangun jika mereka mahu PRU diadakan secepat mungkin?

    Tidak cukupkah lagi semasa Perhimpunan Agung UMNO dahulu pemimpin yang sama juga berkata, ‘’jadi hendak tunggu apa lagi bubarlah Parlimen’’?

    Dalam usaha mereka untuk memastikan PRU diadakan mengikut tempoh yang dimahukan, mereka terus menggunakan ‘modal lapuk, hujah basi’ apabila bercakap soal kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

    Ada yang berhujah dengan berkata, ‘’biarpun ketika ini UMNO dan BN menerajui kerajaan Persekutuan, namun usaha untuk membuat polisi dan dasar yang bersesuaian sukar dilakukan dalam keadaan ‘terhad’ dan ‘tangan terikat’.’’

    Sama ada stabil atau tidak, terhad atau tidak, tangan terikat atau tidak, ia bergantung kepada pemimpin-pemimpin UMNO di luar kerajaan. Kelompok ini sepatutnya tidak banyak membuat kenyataan yang boleh mengganggu tumpuan Ismail Sabri menguruskan negara dalam sebuah kerajaan yang dibentuk atas kesepakatan bersama.

    Cukuplah sekali rakyat menyaksikan bagaimana gerakan pemimpin tertentu dalam UMNO sehingga berjaya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan paling malang ia dilakukan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

    Apa lagi pemimpin-pemimpin tersebut mahukan memandangkan ketika ini Perdana Menteri adalah daripada UMNO. Mereka sepatutnya tidak mengganggu perjalanan kerajaan dengan mendesak PRU diadakan secepat mungkin…tidak kiralah apapun agenda di sebalik desakan tersebut.

    Rakyat sekarang tengah susah akibat kenaikan harga barang manakala ringgit pula belum stabil, pada masa sama inflasi pula tengah meningkat, adakah pemimpin-pemimpin yang mahu pilihan raya itu tidak memikirkan soal ini?

    Sebab itulah Ismail Sabri cuba ‘menenangkan keadaan’ apabila meminta BN bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya pada bila-bila masa di konvesyen itu tetapi sudah memberi bayangan ketika di Jepun bahawa sekarang bukan masa sesuai memandangkan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup.

    Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan berkata, beliau masih menunggu waktu sesuai untuk membubarkan Parlimen.

    Oleh itu hormatilah pendirian Perdana Menteri, kenapa perlu ‘menggelupur’ seperti ‘ikan keli disimbah garam’ semata-mata mahukan PRU segera? Begitulah juga dengan hujah melambatkan PRU boleh mendatangkan bahaya kepada BN.

    Kenapa perlu takut? Kalaulah BN sudah kata rakyat kini telah kembali menyokong parti itu, buat pilihan raya bila-bila pun tidak akan ada masalah tetapi masalahnya sesetengah pemimpin BN mahu pilihan raya sebab mereka mencongak parti-parti pembangkang tengah lemah dengan menjadikan pilihan raya negeri Melaka dan Johor sebagai ukuran.

    Pada masa sama, dalam kalangan pemimpin kanan UMNO boleh dianggap ‘sudah menyampah’ melihat ahli-ahli Parlimen Bersatu dalam kerajaan, justeru mereka tidak sabar lagi mahu menyingkirkan Bersatu…itu sahaja.

    Tetapi walaupun Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO namun beliau adalah Perdana Menteri yang disokong oleh parti-parti lain. Dan setakat ini parti-parti tersebut tidak mengganggu beliau melaksanakan tugasnya apatah lagi mengugut mahu menarik sokongan seperti dilakukan oleh segelintir ahli Parlimen UMNO ke atas Muhyiddin dahulu.

    Sepatutnya daripada mendesak Perdana Menteri mengadakan pilihan raya, lebih baik tunjuklah keberanian dengan mengadakan pemilihan dalam parti. Usah bersusah payah mahu mengubah Perlembagaan bagi menangguh pemilihan UMNO.

    Kalaulah begitu yakin bahawa ahli-ahli UMNO mempunyai solidariti yang kukuh, tak perlu bimbang soal perpecahan, buatlah pemilihan parti tetapi sebenarnya bukan soal perpecahan yang dibimbangi oleh pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO sebaliknya lebih kepada kebimbangan tewas dalam pemilihan bagi jawatan tertinggi.

    Dengan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, beliau ada kelebihan untuk menerajui UMNO dan BN, malah sebagai calon Perdana Menteri, beliau yang sepatutnya menentukan siapa calon PRU bagi parti berkenaan.

    Namun selagi Ismail Sabri hanya menjadi Naib Presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau tiada kuasa penuh menentukan calon.

    Atas sebab itulah, Ismail Sabri perlu berhati-hati dalam percaturan politik dalam UMNO, kalaulah orang lain ada kuasa menentukan calon dan menandatangani watikah calon, Ismail Sabri hanya ada satu kuasa sahaja iaitu membubarkan Parlimen.

    Selagi beliau bertegas dengan pendirian untuk menyelesaikan dahulu masalah rakyat dan negara sebelum memikirkan bila PRU-15 dan tidak tunduk dengan tekanan parti, beliau masih ‘digeruni’ tetapi kalau beliau membubarkan Parlimen sebelum masanya, percayalah calon PM sekadar ‘janji manismu’.

    Ismail Sabri perlu menumpukan perhatian urus masalah rakyat dan negara, PRU boleh diadakan bila tiba masanya, lagipun  tempohnya tamat tahun depan, jadi tidak perlu melayan kerenah politik’ sesetengah pemimpin UMNO yang kita faham mereka pun ‘ada masalah’ sendiri.

  • MCA persoal agenda Ketua UMNO Alor Setar

    MCA persoal agenda Ketua UMNO Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MCA Alor Setar mempersoalkan agenda sebenar Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail yang sering bercakap mengenai perlunya kerusi Parlimen tersebut ditandingi UMNO berikutan peratusan pengundi kaum Melayu yang lebih tinggi di kawasan tersebut.

    Menurut Ketua Pemuda MCA Alor Setar, Phee Kuan Joo, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Mohd. Yusof itu hanya akan membuatkan masyarakat berbilang kaum ragu untuk memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang boleh mewakili suara mereka.

    “Jika Mohd. Yusof terus meminta kerusi untuk UMNO dan membezakannya dengan pengundi Cina, bagaimana beliau boleh membuatkan rakyat percaya BN adalah pilihan sebenar setiap orang dan bukan untuk kaum tertentu saja?

    “Isu utama di Alor Setar adalah bagaimana kita boleh melakukan sesuatu untuk rakyat di sini dan bukannya soal siapa calon yang akan bertanding. Kita mesti tahu apa yang perlu difokuskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebelum ini Mohd. Yusof telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengenai perlunya UMNO diberi peluang bertanding di Parlimen itu setelah MCA didakwa ditolak pengundi di Parlimen berkenaan dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

    Terbaru dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu lalu, Mohd. Yusof mendakwa kegagalan parti-parti komponen BN menyumbang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan antara faktor kepada kekalahan gabungan tersebut para Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Menurut Mohd. Yusof, keadaan itu berpunca daripada penolakan pengundi terhadap calon diketengahkan parti komponen tersebut terutamanya MCA.

    Kuan Joo menambah, jika Mohd. Yusof perlu sedar bahawa pada PRU-14, BN kehilangan semua kerusi di Parlimen Alor Setar termasuk ketiga-tiga DUN di situ.

    “Beliau patut tahun rakyat bukan tolak MCA atau UMNO saja tetapi menolak BN dalam PRU-14 yang lalu. Dalam keadaan sekarang, beliau patut bertanyakan dirinya sendiri apa yang boleh dibuat k membantu BN dan bukan apa yang boleh beliau minta dari BN.

    “Kalau nak minta pengundi sokong BN, beliau harus mula bertindak dan kurangkan bercakap kosong,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, sepanjang pengetahuannya Mohd. Yusof sebelum ini tidak pernah menyebut mengenai mengambil kerusi Parlimen Alor Setar dalam mesyuarat BN.

    “Tetapi beliau selalu bercakap tentang isu ini secara terbuka. Jadi saya ingin bertanya, apa sebenarnya agenda beliau?

    “Kita mengalu-alukan sebarang pendapat tetapi kami mahukan cadangan yang berfaedah,” katanya.

  • Tun Mahathir mesti terima Anwar atau lupakan kerjasama PH-Pejuang

    Tun Mahathir mesti terima Anwar atau lupakan kerjasama PH-Pejuang

    PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mesti menerima Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu bekerjasama dalam kerangka ‘khemah besar’.

    Kata dua itu ditegaskan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ekoran sikap Dr Mahathir yang berkeras enggan menerima Anwar.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, PH sememangnya berhasrat membuka pintu rundingan dengan Pejuang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun mungkin terpaksa melupakannya ekoran pendirian Dr Mahathir itu.

    “Pimpinan PH sekarang ialah Anwar, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, tapi dia tolak kerjasama dengan PH disebabkan Anwar pengerusi (PH), jadi tak perlu kerjasama lagi. Begitu…mudah sahaja,” katanya kepada FMT.

    Berhubung dakwaan Dr Mahathir bahawa kejatuhan PH pada 2020 adalah susulan kesilapan Anwar, Guan Eng berkata, dakwaan sedemikian adalah salah dan tidak adil.

    Terdahulu, Dr Mahathir menegaskan partinya enggan bekerjasama dengan Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang bawah pendekatan ‘khemah besar’ untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi Pejuang itu berkata, sikap pemimpin pembangkang yang ‘tidak lurus’ menjadi sebab mengapa partinya menolak konsep ‘khemah besar’.

    Beliau turut mengulangi kekesalannya berhubung kejatuhan PH pada 2020 yang didakwanya adalah susulan kesilapan Anwar, sekali gus memberi laluan kepada UMNO dan BN kembali mendominasi kerajaan sedia ada sekarang.

  • Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    DESAKAN pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak wajar memandangkan ketika ini rakyat agak terbeban dengan isu ekonomi dan kos sara hidup, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, Pas bersedia untuk berdepan PRU-15 pada bila-bila masa, namun kesusahan rakyat perlu diberi keutamaan dan diselesaikan.

    “Berdasarkan perkembangan ekonomi dunia banyak pihak yang terkesan akibat peperangan antara Rusia-Ukraine di samping krisis harga minyak yang turut mempengaruhi ekonomi negara.

    “Tambahan pula, Covid-19 masih belum diisytiharkan tamat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, kerajaan tidak perlu tunduk desakan mana-mana pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

    “Kita tidak bergantung kepada desakan sesiapa. Mereka (yang mendesak) hanya mahukan kuasa.

    Kita bukan nak kuasa kita mahu kepada rakyat sahaja, jangan susahkan rakyat.

    “Mereka yang mendesak supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi ini hanya pentingkan diri sendiri,” ujar beliau.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menyangkal pandangan mengatakan 32 kerusi Pas kritikal jika tiada kerjasama dengan BN dalam PRU-15.

    “Kita ada kajian kita sendiri di mana post- mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kita dapati undi BN tak berganjak.

    “Mereka yang undi Pakatan Harapan (PH) pula sudah tidak undi PH malah undi kita meningkat 100 hingga 200 peratus,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU-15 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

    Ahmad Zahid berkata, pertemuan bersama Ismail Sabri serta ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen yang dijangka berlaku bila-bila masa.

  • Hans Isaac, Afdlin Shauki bertanding jawatan MPP PKR

    Hans Isaac, Afdlin Shauki bertanding jawatan MPP PKR

    DATUK Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki masih tidak berputus asa walaupun tewas dalam pertandingan merebut jawatan ketua cabang PKR.

    Kedua-duanya ingin bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pula.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkembangan itu dapat diketahui melalui aplikasi ADIL.

    Hans dan Afdlin telah mencalonkan diri bersaing jawatan anggota MPP PKR yang akan diadakan pada kongres parti pada 25 Jun ini di IDCC Shah Alam.

    Setakat ini, mereka merupakan antara 74 ahli PKR yang bertanding merebut 20 jawatan ahli MPP.

    Proses pencalonan yang bermula pada 30 Mei akan berakhir pada 12 malam 4 Jun ini.

    Sebelum ini, Hans dan penyanyi rap, Altimet bertanding jawatan ketua cabang di Ampang tetapi tewas kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang menang dengan mendapat 942 undi.

    Hans Isaac, berada di kedudukan kedua dengan undian sebanyak 609. Sementara itu, Altimet yang juga komposer berada di tempat ketiga memperolehi 589 undian.

    Sementara itu, Afdlin kalah dalam saingan merebut Ketua PKR Cabang Setiawangsa apabila memperoleh 372 undi berbanding Nik Nazmi yang memperoleh 482 undi.

  • Ditinggalkan suami yang berkahwin baharu, kini jaga anak hidap jantung berlubang

    Ditinggalkan suami yang berkahwin baharu, kini jaga anak hidap jantung berlubang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itu perumpaan paling sesuai bagi Norizan Marsandi selepas ditinggalkan suami yang berkahwin baharu dan dia kini seorang diri menjaga anaknya yang menghidap sakit jantung berlubang.

    Bagi Norizan, 46, dari Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat, hidup perlu diteruskan dan harus kuat menempuh cabaran yang datang terutama demi kelangsungan hidup Muhammad Raeez Ramadhan Mohd. Zulkiflee yang menghidap jantung berlubang sejak kecil.

    Menurutnya, Muhammad Raeez Ramadhan, 13, memerlukan dana RM65,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan secepat mungkin di Institut Jantung Negara (IJN).

    Katanya, anak kelima daripada enam beradik itu ketika ini meneruskan kehidupan seperti biasa dengan hadir dalam kelas bahagian pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di Segamat.

    “Apa yang membimbangkan, doktor memberitahu saiz lubang di jantungnya kini sebesar syiling 50 sen dan dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan segera.

    “Saya risau dengan keadaan Muhammad Raeez Ramadhan sekiranya pembedahan lambat dilakukan. Kalau boleh saya mahu dia mendapat rawatan pembedahan segera kerana keadaannya semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu.

    “Muhammad Raeez Ramadhan akan cepat penat selain kuku dan bibirnya akan selalu biru. Sebelum ini pihak hospital ada memasukkan alat pada leher untuk bantuan pernafasan selain mencabut 12 batang giginya pada 22 April 2015 untuk tujuan pembedahan.

    “Dia kini mendapat rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. Kos pembedahan sebelum ini hanya RM15,000 tetapi kini sudah mencecah RM65,000,” katanya ditemui dirumahnya, hari ini.

    Norizan berkata, kos untuk pembedahan Muhammad Raeez Ramadhan terlalu tinggi dan dan keluarganya tidak mampu membiayainya.

    Dia yang sebelum ini memperoleh pendapatan dengan menghantar mi dan kuih ke gerai berdekatan rumah, kini menyewa kedai sejak sebulan lalu menjual sarapan pagi dan makanan tengah hari.

    Kata Norizan, pendapatannya tidak cukup kerana perlu menanggung lima anak yang lain selain kini dalam proses fasakh dan suaminya kini tidak lagi mengambil tahu masalah Muhammad Raeez Ramadhan.

    Dia berkata, Muhammad Raeez Ramadhan dikesan menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia enam bulan sebelum keadaan bertambah teruk apabila meningkat dewasa dan kini perlukan rawatan di IJN.

    “Semuanya saya kena buat sendiri termasuk berulang alik dari HDS ke HSA. Kalau nak diikutkan memang sukar tetapi kekuatan saya adalah anak-anak. Saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan Muhammad Raeez Ramadhan sihat seperti rakan sebanyanya,” katanya.

    Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi 01078020381310 Bank Islam akaun Norizan Marsandi atau boleh berhubung dengannya menerusi talian 011-3554 2726.

  • PKR jangan terlalu yakin dengan kekuatan sendiri

    PKR jangan terlalu yakin dengan kekuatan sendiri

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    BERDASARKAN keputusan tidak rasmi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ahli parti itu telah menyatakan pilihan mereka apabila memilih bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti.

    Rafizi mendapat 68,992 undi meninggalkan pesaingnya, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat undi sebanyak 50, 038.

    Pada pemilihan kali ini juga, tiga daripada empat jawatan Naib Presiden dimenangi orang Rafizi iaitu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang (41,209 undi); Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (40,506 undi) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (38,894 undi).

    Seorang lagi dari Kem Rafizi iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail memenangi jawatan Ketua Wanita PKR dengan majoriti tipis 21,962 undi menewaskan pencabarnya, Fadhlina Sidek (21,502).

    Dengan kemenangan ramai pemimpin daripada Kem Rafizi, Nik Nazmi telah membuat andaian bahawa kemenangan mereka adalah manifestasi ahli PKR menolak pendekatan ‘khemah besar’.

    Katanya, anggota parti telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sedia ada.

    Namun, adakah Nik Nazmi dan penyokong PKR sedar bahawa adalah sukar untuk PH menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  jika tiada kerjasama politik dengan parti lain bagi membolehkan strategi satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

    Walaupun ada cakap-cakap mengatakan sentimen di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah berbeza, tapi sebenarnya ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bahawa jika berlaku pertandingan tiga penjuru, maka BN akan mempunyai kelebihan.

    Ini kerana pengundi yang menolak BN tidak tahu mahu mengundi parti mana menyebabkan undi golongan itu berpecah dan buktinya walaupun BN menang di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, undi popular tidak memihak kepada mereka.

    Pengajaran daripada PRN Melaka dan Johor juga amat besar jika diambil sebagai penanda aras bagaimana PKR tidak memenangi satu kerusi pun di Melaka dan di Johor hanya memenangi satu kerusi.

    Dan jika PKR dengan yakin mengatakan mereka mampu menarik pengundi atas pagar untuk menyokong mereka pada PRU15, ia adalah amat sukar kerana dalam Pemilihan PKR sendiri, hanya 12 peratus daripada 1.1 juta ahlinya keluar mengundi.

    Jadi usaha untuk menarik ahli sendiri untuk mengundi pun gagal, bagaimana mahu menarik orang luar yang tidak mempunyai ‘DNA’ politik untuk menyokong PKR.

    Tambahan pula, sebelum ini pernah didedahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sukar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

    Oleh sebab itu, PKR tidak boleh menolak sepenuhnya pendekatan ‘khemah besar’ kerana ia adalah satu-satunya jalan untuk menghalang BN yang didominasi kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

    Matlamat untuk menghalang BN kembali berkuasa adalah lebih besar berbanding ideologi politik masing-masing kerana apabila kluster mahkamah mendapat kuasa, maka adalah mencabar bagi parti pembangkang untuk bangkit semula.

    Maka, dengan sebab itu parti-parti selain BN perlu bergabung, mengetepikan ego dan prinsip tidak bertempat kerana semuanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam menghadapi PRU15.

    Berbincanglah dengan teliti dan bersatu demi rakyat kerana tarikh PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa kerana BN ketika ini dilihat amat agresif mendesak supaya pilihan raya disegerakan kerana mereka tahu pihak lawan masih belum bersatu.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

  • Pekerja jatuh bumbung, JKPP keluar notis larangan, sita lokasi kejadian

    Pekerja jatuh bumbung, JKPP keluar notis larangan, sita lokasi kejadian

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja lelaki warga tempatan maut selepas terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan bumbung di kawasan tapak pembinaan tempat meletak bas di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

    Dalam kejadian pukul 1.40 petang kelmarin itu, mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter.

    Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan satu Notis Larangan dan menyita lokasi kejadian serta-merta sehingga siasatan berhubung insiden tersebut selesai dijalankan.

    JKPP Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat jabatan itu telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan mengenai kemalangan tersebut.

    “Mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter dan dihantar ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia di hospital pagi semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

  • 7 dibekas ketika pindah minyak diesel bersubsidi, rampasan RM5 juta

    7 dibekas ketika pindah minyak diesel bersubsidi, rampasan RM5 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUJUH lelaki yang sedang leka melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi dari lori ke dalam bot terkejut apabila diserbu di kawasan tepi jalan berhampiran hutan Kampung Belungkor, Kota Tinggi malam tadi.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri semasa diserbu dalam Op Kontraban pada pukul 8.30 malam.

    “Kita menahan tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 55 tahun ketika mereka melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut.

    “PPM Wilayah Dua merampas 200,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM430,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil soal siasat mendapati minyak diesel itu akan dijual keluar negara dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran tempatan.

    Kesemua yang ditahan katanya, gagal mengemukakan sebarang dokumen sama ada memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tersebut.

    Tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing ditahan ketika melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut

    Menurutnya, PPM Wilayah Dua turut merampas sebuah bot yang telah diubah suai, tiga buah lori, lima tangki dan lima unit pam dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai berjumlah RM5.505 juta.

    Tambahnya, semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    PPM Wilayah Dua menyeru orang ramai terutama masyarakat maritim agar menyalurkan maklumat perlanggaran undang-undang khususnya jenayah kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221 atau 07-2372222

  • Penuntut kolej, penganggur warga Yaman, Sudan berdepan hukuman mati

    Penuntut kolej, penganggur warga Yaman, Sudan berdepan hukuman mati

    TIGA lelaki warganegara asing berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua warga Yaman, Hussein Mohamed Ali, 30, dan Ahmed Mohamed Qasem, 23, yang juga penuntut kolej swasta serta penganggur, Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, dari Sudan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

    Harian Metro melaporkan, tidak pengakuan direkodkan berikutan kes itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 205 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian, Petaling Jaya pukul 8.30 malam pada 22 Mei lalu.

    Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.

    Tertuduh Hussein dan Ahmed Mohamed diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli, manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.

    Mahkamah menetapkan 10 Ogos nanti untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

    Pada 23 Mei lalu, media melaporkan polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankan pukul 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.

    Katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pukul 8.30 malam yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing.

    Dalam serbuan itu, pihak polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.