Author: Admin

  • Budak lelaki dua tahun tembak, bunuh bapa

    Budak lelaki dua tahun tembak, bunuh bapa

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun secara tidak sengaja menembak dan membunuh bapanya menggunakan pistol yang ditinggalkan tanpa pengawasan di rumah mereka pada 26 Mei lalu di Amerika Syarikat.

    Menurut pihak berkuasa, polis tiba di rumah mangsa menerusi panggilan 911 pada 26 Mei lalu, dan mendapati ibu kanak-kanak itu, Marie Ayala sedang berusaha menyelamatkan suaminya, Reggie Mabry, 26.

    Penguatkuasa undang-undang Orange County, John Mina menyatakan pada awalnya mangsa telah menembak dirinya sendiri, tetapi anak sulungnya kemudian memberitahu penyiasat bahawa picu pistol ditarik oleh adik lelakinya yang berusia dua tahun.

    Difahamkan, pistol itu berada dalam beg yang ditinggalkan Mabry dan kanak-kanak itu ternampak lalu menembak bapanya di belakang semasa bermain permainan video di komputer.

    “Disebabkan Pemilik senjata api yang tidak menjaga senjatanya, dengan hanya sesaat saja, satu tragedi boleh berlaku di rumah.

    “Kini, kanak-kanak kecil ini telah kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka. Bapa mereka telah mati, ibu berada dalam penjara dan seorang anak kecil terpaksa menjalani kehidupannya dengan mengetahui bahawa dia menembak bapanya,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AFP, hari ini.

    Difahamkan, kedua-dua ibu bapa itu juga sedang berada dalam pemerhatian polis berikutan beberapa kesalahan pengabaian kanak-kanak dan penggunaan dadah.

    Tragedi sebegini bukan perkara luar biasa di Amerika Syarikat di mana pada Ogos 2021, seorang kanak-kanak berusia dua tahun menemui pistol yang ditinggalkan dalam beg galas Paw Patrol dan menembak ibunya di kepala semasa sedang dalam persidangan video.

    Kemalangan terbaharu itu juga berlaku ketika perdebatan mengenai peraturan senjata api di negara itu selepas beberapa tembakan besar-besaran berlaku di pasar raya, hospital dan sekolah rendah.

  • Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    SEORANG wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 182.6 Lebuhraya utara selatan arah utara, Bagan Serai petang semalam.

    Mangsa, Lau Boon Lan, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, lapor Astro Awani hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 6.08 petang.

    Seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal skuter jenis Honda Vario telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Mangsa disahkan maut oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

    Kenyataan itu memberitahu, anggota bomba kemudiannya bertindak membantu mengangkat mayat dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai oleh PBK II Zakaria Mustafa itu tamat pada pukul 6.54 petang.

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    SEORANG wanita warga emas meninggal dunia dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat yang disewanya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk, Melaka, pukul 9.30 malam tadi.

    Mangsa melecur hampir 70 peratus pada anggota badan ditemukan di tingkat atas unit rumah kedai itu yang didiami sejak lebih 70 tahun.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang maut dikenali sebagai Koo Kim Foong.

    Menurutnya, hasil temubual dengan anak mangsa difahamkan wanita itu tinggal seorang diri di rumah kedai terbabit yang disewakan kepada keluarganya.

    Pihaknya menerima panggilan daripada Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) pada 9.35 malam sebelum pasukan bomba tiba lapan minit kemudian.

    “Mengikut saksi yang juga anak mangsa, ibunya berusia 75 tahun tinggal sendirian di bangunan itu.

    “Selepas 30 minit api dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat mangsa di tingkat atas rumah kedai terbabit dan pemeriksaan mendapati mangsa melecur antara 60 hingga 70 peratus di bahagian paha dan perut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan oleh unit Forensik Bomba bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Anuar memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan padam sepenuhnya pada 9.42 malam,” katanya.

  • Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    GARA-gara tayar belakang pecah secara tiba-tiba dan berdepan masalah brek, sebuah lori muatan barang runcit hilang kawalan lalu merempuh tujuh kenderaan lain di Kilometer 81.5 Jalan Ipoh- Butterworth, Butterworth pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan empat orang pemandu termasuk seorang penunggang motosikal cedera.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang memaklumkan terdapat lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu.

    “Kenderaan yang terlibat ialah Proton Saga, Proton Wira, Perodua Axia, Toyota Wald, dua buah Perodua Myvi, Yamaha Ego dan lori jenis Hino.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Axia, Toyota Wald, Perodua Myvi dan penunggang motosikal mengalami kecederaan, manakala pemandu lain selamat,” katanya seperti dalam laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu dari arah Kamunting ke Kuala Kangsar.

    “Sampai di tempat kejadian semasa pemandu lori meneruskan perjalanan, tiba-tiba tayar belakang sebelah kirinya pecah.

    “Dalam masa sama lori itu mengalami masalah brek, menyebabkan dia hilang kawalan dan merempuh tujuh lagi kenderaan lain,” katanya lagi.

    Osman berkata, ujian saringan air kencing pemandu lori itu juga negatif.

    “Tiada sebarang tangkapan dibuat, punca kemalangan disebabkan pemandu lori hilang kawalan,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    SEORANG pesara guru maut selepas tercampak apabila trak pikap dipandunya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kampung Pichin, Kilometer 14, Jalan Tebedu-Serian, Serian, pukul 10.30 pagi tadi.

    Insiden itu membabitkan trak pikap Isuzu Dmax, van dan motosikal turut mengorbankan penunggang motosikal berusia 62 tahun.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, pemandu pikap, Bernard Lohin, 63, dari Kampung Tebedu Mawang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara penunggang motosikal, Mat Lumpeng, 62, dari Kampung Pichin yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serian.

    “Pikap yang dipandu pesara guru itu bergerak dari arah Serian menuju ke Tebedu tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang.

    “Mangsa terlanggar dan mengheret motosikal itu sebelum bergesel dengan sebuah van lalu terbalik,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.52 pagi.

    Menurutnya, tujuh anggota termasuk dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

  • Umat elak dinasihat tidak sertai Bon Odori, bimbang jatuh syirik

    Umat elak dinasihat tidak sertai Bon Odori, bimbang jatuh syirik

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam mengelak daripada menyertai festival Bon Odori kerana dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah SWT.

    Menurut beliau, festival itu yang ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

    Malah jelasnya, di dalam Islam cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh mereka agar dirahmati oleh Allah SWT serta diampunkan segala dosa mereka.

    Tambah beliau, waris mereka yang sudah meninggal dunia juga disarankan supaya selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran dan bersedekah dengan diniatkan pahala segala amalan baik itu sampai kepada arwah ahli keluarga yang telah berpindah ke alam abadi.

    “Cara memperingati roh nenek moyang dengan menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam.

    “Maka, saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiyah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, menggesa umat Islam supaya tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama Bon Odori yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Sabtu hadapan.

    Selain di Shah Alam, festival itu juga dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama, Georgetown pada 30 Julai depan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.

    Difahamkan, aktiviti itu yang merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

  • Juruteknik didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja 13 tahun

    Juruteknik didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja 13 tahun

    SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas enam tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja perempuan pada Mac dan Mei lalu.

    Tertuduh, Norhairul Fitri Norhan, 25, mengaku tidak bersalah selpas pertuduhan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

    Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol remaja yang ketika kejadian berusia 13 tahun 10 bulan di sebuah bilik hotel di Melaka Tengah, kira-kira 2 petang 15 Mac lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama pada tarikh, tempat dan masa sama.

    Dia juga didakwa merogol remaja itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun di hotel pada 3 petang, 18 Mei lalu, manakala bagi pertuduhan keempat dan kelima, Norhairul Fitri didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama.

    Tertuduh menghadapi pertuduhan keenam, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada tarikh, tempat dan masa sama.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan; Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan; serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari menawarkan jaminan RM30,000 terhadap semua pertuduhan dan syarat tidak mengganggu mangsa sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

  • Zahid kaya, mungkin tak terasa dengan kos hidup – Pemuda Amanah

    Zahid kaya, mungkin tak terasa dengan kos hidup – Pemuda Amanah

    PEMUDA Amanah menyifatkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera dilihat sebagai biadab kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

    Naib ketuanya, Abbas Azmi berkata, Seri Paduka pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bertitah agar semua pihak tidak meletakkan masa depan negara dan nasib rakyat sebagai taruhan dalam percaturan politik demi mencapai agenda tertentu.

    “Masalah rakyat hari ini ialah bebanan kos barangan harian melampau.

    “Masalah kenaikan harga dan juga bekalan makanan terhad sepatutnya menjadi keutamaan sebenar kerajaan ketika ini, dan bukannya pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Ahmad Zahid ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) 1 Jun lalu sekali lagi mendesak agar PRU-15 diadakan segera.


    Katanya, empat tahun sudah berlalu sejak PRU-14 dan ini menjadikan pilihan raya seterusnya boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin menegaskan kuasa untuk membubarkan parlimen dan pengumuman tarikh PRU-15 terletak di bawah YDPA.

    Kata Perdana Menteri, meskipun beliau berupaya untuk menasihati Agong untuk membubarkan parlimen, namun ia adalah salah daripada segi perlembagaan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya akan datang.

    Mengulas lanjut, Abbas berkata, kenaikan mendadak harga barang keperluan dan kadar inflasi makanan yang berada pada kadar 4.1 peratus adalah di luar kawalan dan sangat menekankan rakyat.

    “Bak kata pepatah, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Itulah yang sesuai untuk digambarkan nasib rakyat ketika ini,” katanya.

    Abbas juga menyindir Ahmad Zahid dengan berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mungkin tidak terkesan dengan situasi hari ini ‘kerana beliau seorang yang kaya raya’.

    “Biarpun ayam, daging, sayuran dan lain-lain makanan asas harganya naik 100 peratus pun, beliau tidak akan merasa apa-apa.

    “Tetapi, bagaimana dengan basib rakyat B40? Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” soalnya.

  • Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    SEORANG pekerja pembekal makanan dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan memukul kepala isterinya menggunakan kerusi.

    Tertuduh, A. Ramasamy, 48, dikenakan hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada Sabtu lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 44 tahun dengan memukul menggunakan kerusi di bahagian kepala.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah flat projek perumahan rakyat (PPR) di Kepong, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang, 4 Jun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

    Semasa prosiding, tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman pemenjaraan pada kadar minimum kerana perlu menjaga keluarga termasuk empat anaknya yang berusia 23 hingga enam tahun.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

  • Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang bayi lelaki patah tulang tangan kiri disyaki akibat didera di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Setar, minggu lepas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian menimpa bayi tersebut yang difahamkan baru beberapa hari dipindahkan ke taska tersebut, berlaku pada 2 Jun lalu.

    Katanya, keluarga bayi tersebut membuat laporan polis sehari kemudian sebelum bayi itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Pada awalnya doktor mendapati terdapat bengka pada lengan kiri namun tiada kesan luka. Setelah dirujuk ke pakar tulang Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), bayi tersebut disahkan patah tulang di bahagian atas lengan kiri.

    “Berikutan itu pihak polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang merupakan pengasuh di taska terlibat, untuk membantu siasatan,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak polis masih menyiasat punca kejadian itu serta beberapa perkara berkaitan.

    “Wanita yang ditahan itu direman selama enam hari hingga 9 Jun depan.

    “Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.