Author: Admin

  • PGA rampas rokok, kretek RM505,600

    PGA rampas rokok, kretek RM505,600

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Miri merampas 70 kotak rokok putih dan kretek yang disimpan dalam lori ketika Op Kontraban di Jalan Miri-Bintulu, Miri pada pukul 10.30 pagi semalam.

    Menurut Komander PPMW5 Sarawak, Komander Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali, ketika pemeriksaan di laluan terbabit, pasukan Unit Risikan Marin (URM) mengesan lori model dalam keadaan mencurigakan lalu menjalankan pemeriksaan.

    “Pasukan URM menjalankan pemeriksaan ke atas lori terbabit dan mendapati ianya membawa 60 kotak rokok putih dan 10 kotak kretek yang dianggarkan bernilai RM505,600.

    “Hasil semakan mendapati kesemua rokok putih dan kretek terbabit tidak bercukai sekaligus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Pemandu lori berusia 50 tahun turut ditahan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, suspek beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke PPMT Miri dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk siasatan lanjut.

  • Muhyiddin diberi mandat bincang bentuk ‘jajaran politik baharu’

    Muhyiddin diberi mandat bincang bentuk ‘jajaran politik baharu’

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diberi mandat oleh partinya bagi menganjurkan perbincangan dengan parti-parti lain untuk membentuk ‘jajaran politik baharu’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Malaysiakini yang memetik Sinar Harian melaporkan, perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Menurut beliau, langkah itu penting bagi membolehkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) membentuk pakatan politik yang boleh mengalahkan Barisan Nasional (BN).

    Wan Saiful menambah, PN dan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa BN akan beroleh manfaat jika mereka tidak bersatu.

    “Biarpun belum ada kata sepakat namun semua parti sama ada dalam PN dan PH masih terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai pembentukan jajaran baharu politik menjelang PRU-15.

    “Di pihak Bersatu dan PN, kita jarang mengeluarkan kenyataan media kerana belum ada keputusan muktamad.

    “Jika ada keputusan barulah kita akan keluarkan kenyataan rasmi. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR mengakui ada berlaku perbincangan ke arah itu.

    “Justeru, kita tunggu dan lihat hasilnya apabila tiba masanya nanti,” katanya lagi.

    Sejak beberapa minggu lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengadakan perbincangan dengan Anwar serta Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung mewujudkan gabungan politik menjelang PRU-15.

    Muhyiddin sejak itu menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin selain BN kerana keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menunjukkan BN hanya memenangi dua pilihan raya itu kerana undi pembangkang berpecah.

    Beliau berkata, majoriti telah mengundi menentang BN pada dua pilihan raya itu kerana mereka menentang pemimpin kleptokrasi.

  • Penganggur didakwa miliki ganja

    Penganggur didakwa miliki ganja

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memiliki ganja pada Ahad lepas.

    Tertuduh, Munzir Azmeer Abd Rahim, 28, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood.

    Bagaimana pun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang dipercayai menyebabkan nahas lima kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dalam miliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 3.39 gram.

    Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada 5 Jun lepas pukul 10.25 pagi dalam kereta Perodua Myvi di Kilometer 242.9 Lebuhraya PLUS arah Selatan.

    Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (akta 234) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Rembau.

  • Tiada lagi transaksi tunai di Puspakom mulai 1 Julai

    Tiada lagi transaksi tunai di Puspakom mulai 1 Julai

    TRANSAKSI pembayaran bagi semua jenis pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan beralih kepada pembayaran tanpa tunai mulai 1 Julai depan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan urus niaga tanpa tunai berkenaan akan dikuatkuasakan di semua 54 pusat pemeriksaan agensi itu di seluruh negara mulai tarikh itu.

    Katanya, pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.

    Menurutnya, Puspakom menerima pembayaran tanpa tunai melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

    “Sejak April tahun lalu, pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas telah dilaksanakan. Namun, pembayaran secara tunai masih dibenarkan ketika itu atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit.

    “Bagaimanapun, data menunjukkan lebih 90 peratus pelanggan Puspakom kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami.
    Ini jelas menunjukkan pembayaran tanpa tunai menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat dari segi kebersihan tatkala pandemik masa kini,” katanya dalam kenyataan itu.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di pautan www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd. – Bernama

  • Polis Thailand dipenjara seumur hidup dera tahanan sampai mati

    Polis Thailand dipenjara seumur hidup dera tahanan sampai mati

    SEORANG polis Thailand yang digelar ‘Joe Ferrari’ dipenjara seumur hidup kerana mendera seorang suspek kes dadah hingga mati ketika proses soal siasat.

    Mahkamah di Bangkok mendapati, Thitisan Utthanaphon bersalah kerana membunuh dengan melakukan seksaan sehingga menyebabkan kemarahan orang ramai, dan menunjukkan kezaliman polis dan rasuah di dalam pasukan keselamatan itu.

    Rakaman video yang tular menunjukkan Thitisan dan enam pegawai lain membungkus tujuh beg plastik di kepala Jirapong Thanapat, 24, ketika melakukan soal siasat dan cuba memeras ugut USD60,000 (RM263,690) yang menyebabkan kematian mangsa.

    Hakim di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku Bangkok menjatuhkan hukuman mati Thitisan, 41, tetapi segera menukarnya kepada penjara seumur hidup.

    “Saya berasa tidak berdaya ketika keputusan itu, dan isteri saya menangis.

    “Ketujuh-tujuh pegawai itu harus belajar dan mengambil pengajaran atas jenayah yang mereka lakukan,” kata Jakkrit Klandi, bapa mangsa di luar mahkamah.

    Mahkamah mengurangkan hukuman Thitisan kepada penjara seumur hidup kerana dia cuba memberi bantuan kecemasan kepada suspek berkenaan dan membayar perbelanjaan pengebumian untuk keluarga itu.

    Namun, ibu Jirapong, Penh Thanapat tetap tidak berpuas hati dan memberitahu wartawan, dia tidak mahu melihat wajah Thitisan.

    “Saya mahu (hukuman mati). Saya mahu perkara berlaku kepadanya seperti yang berlaku kepada anak saya,” katanya, lapor Berita Harian.

    Thitisan kelihatan sihat dan dilihat bergelak ketawa dengan pengawal di dalam bilik mahkamah sebelum keputusan itu, tetapi menutup matanya ketika hukuman dibacakan.

    Lima daripada enam pegawai lain yang terbabit dalam kes itu didapati bersalah membunuh dan turut menerima hukuman penjara seumur hidup.

    Suspek ketujuh pula dihukum lima tahun dan empat bulan penjara selepas memberikan keterangan.

    Thitisan dan pegawai lain mempunyai tempoh sebulan untuk merayu terhadap keputusan itu, menurut peguam mereka.

  • 40 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    40 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 40 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat perairan Pulau Burung, Seberang Perai Selatan (SPS) antara pukul 2.40 hingga 3 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, semasa bot ronda KILAT 26 melaksanakan rondaan rutin, anggota penguat kuasa telah menemukan beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

    “Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,800 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pemeriksaan lanjut pihak maritim kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang individu tidak bertanggungjawab

    Tegas beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Jelasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
     
    “Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

    Dalam pada itu tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram tersebut dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas sebanyak 554 liter minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM118,691 dalam dua serbuan di Butterworth, semalam.

    Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai, Butterworth kira-kira pukul 11 pagi hasil maklumat awam.

    Dalam serbuan itu juga jelas beliau, dua warga asing berumur antara 30 hingga 40 tahun turut ditahan.

    “Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.

    Serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai kira-kira pukul 11 pagi

    “Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI (pendatang asing tanpa izin) dan sebagainya kepada PPM Wilayah Satu Pulau Pinang supaya tindakan segera dapat diambil.

    “Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan terus melalui talian telefon 04-6558222,” ujar beliau.

  • 700 karton bir tanpa cukai dirampas

    700 karton bir tanpa cukai dirampas

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu merampas sejumlah 700 karton bir pelbagai jenama tanpa cukai kastam di sebuah kafe muzik di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Sarawak, petang Rabu.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata, hasil risikan dijalankan, Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis terbabit.

    “Tiba di lokasi, anggota URM dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah memperkenalkan diri kepada seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai penjaga premis itu,” katanya, lapor Satu Berita.

    Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan menemukan 700 karton bir dianggarkan bernilai RM114, 984 yang disimpan dalam premis berkenaan.

    Zulfikar berkata, semakan yang dijalankan turut mendapati penjaga premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan minuman keras itu.

    Tangkapan serta barangan yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

  • Elaun petugas pentaksiran, pemeriksaan SPM 2021 dibayar mulai hari ini-Dr. Radzi

    Elaun petugas pentaksiran, pemeriksaan SPM 2021 dibayar mulai hari ini-Dr. Radzi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengarahkan pembayaran elaun kepada petugas pentaksiran dan petugas pemeriksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 segera diselesaikan.

    “Saya menerima makluman tentang elaun petugas pentaksiran dan elaun petugas pemeriksaan #SPM2021 masih belum diterima.

    “Saya telah mengarahkan supaya Lembaga Peperiksaan untuk meneliti perkara ini dan membuat bayaran kepada guru yang terlibat dengan segera. Kita usahakan agar bayaran berkenaan dibuat mulai esok,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya, malam tadi.

  • DAP cuma mahu 3 kerusi, tetapi Warisan tuduh angkuh

    DAP cuma mahu 3 kerusi, tetapi Warisan tuduh angkuh

    TIADA syarat yang ditetapkan oleh DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pendirian yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa DAP meletakkan syarat tertentu untuk menjalinkan kerjasama.

    Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Rasah itu berkata, DAP hanya menyatakan ‘pendirian’ untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenanginya di Sabah pada PRU-14.

    Kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

    “Kita tidak minta banyak. Kita tidak mempunyai banyak kerusi (di Sabah).

    “Sebaliknya saya dituduh sebagai angkuh. Bagi saya ini seolah-olah seperti alasan untuk tidak berunding mengenai kerusi,” katanya dalam segmen di Facebook bertajuk #AnthonyJawabJujur.

    Semalam, Mohd Shafie berkata, DAP tidak sepatutnya menetapkan syarat apabila berunding dengan Warisan mengenai kemungkinan kerjasama pada PRU-15.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anthony bahawa parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti dari Sabah yang lain selagi mereka mengekalkan hak bertanding di tiga kerusi itu.

    “Ini aliran trafik sehala, nak bincang, bincanglah. Tetapi ini ada letak syarat. Hanya boleh bincang kecuali penuhi kehendak mereka.

    “Kita tidak boleh terlalu angkuh, tujuan kita nak menang. Maka rundinglah macam dulu, sebelum kita berhadapan PRU-14. Ketika itu, kita runding sebaik mungkin bukan hanya pembahagian kerusi tetapi hala tuju kerjasama,” kata Mohd Shafie seperti yang dipetik sebelum ini.

    Anthony turut menyatakan, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan dan terpulang kepadanya untuk menerima tawaran itu.

    Namun katanya, komen yang dibuat oleh parti itu memberi gambaran bahawa ia tidak berminat untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan.

    Pada Mac lalu, Anthony mengakui bahawa hubungan DAP dan Warisan agak ‘tegang’ disebabkan ‘pendekatan konfrontasi’ yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan bertanding di kerusi yang dimenangi DAP pada PRU-14.

    Jumaat lalu, Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Warisan nampaknya tidak mungkin berlaku kerana mereka menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang.