Author: Admin

  • 840kg ganja dirampas di Pulau Pinang, terbesar tahun ini

    840kg ganja dirampas di Pulau Pinang, terbesar tahun ini

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 840 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM2.12 juta daripada satu sindiket di negeri itu iaitu rampasan terbesar bagi tahun ini.

    Rampasan itu dilakukan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lalu di Sungai Bakap dan Nibong Tebal.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan antara pukul 10.50 malam hingga 1 pagi itu, seramai lapan lelaki iaitu enam rakyat tempatan dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 59 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk dadah ganja dari selatan Thailand melalui jalan laut untuk diedarkan di pasaran tempatan.

    “Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak hujung 2021 dan dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai kira-kira 1.68 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Polis turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta

    Menurut Ayob Khan, ujian air kencing ke atas suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang positif morfin.

    Sementara itu tambahnya, seramai lima daripada mereka juga didapati mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan jenayah.

    “Menerusi operasi ini juga, kita turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Jun lalu bagi membantu siasatan.

  • Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob.

    Menurut laporan Berita Harian, tertuduh berusia 39 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun tanpa kerelaan di sebuah rumah di Tanah Merah, kira-kira pukul 12 tengah malam 31 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

    Sebelum ini, Ahmad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan membabitkan kesalahan serius.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

  • Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella disuap secara paksa sepinggan nasi goreng bersama jumlah cili yang banyak oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, membuat pendedahan tersebut ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.

    Menurut Suhana, tindakan Siti Bainun itu dilihat ketika bersama-sama beberapa penghuni berada di Rumah Bonda untuk makan tengah hari.

    “Saya nampak Siti Bainun letak sepinggan nasi goreng dan cili dipotong yang pada saya nisbah cili tu banyak berbanding nasi.

    “Dia (Siti Bainun) gaul dan nampk dia pegang dagu Bella untuk suapkan Bella…Bella mengelak tapi terpaksa makan sebab dipaksa..Dalam hati saya kenapa jadi macam ini?.

    “Saya terkejut tapi tidak cakap apa-apa sebab tidak mahu ada tegur dengan Siti Bainun pada waktu itu sebab bimbang dan tak pasti reaksi dia (Siti Bainun),” katanya dalam sesi pemeriksaan utama, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dalam sesi sama, Suhana memaklumkan dia melihat keadaan Bella yang tidak terurus dengan kesan lebam pada muka remaja itu ketika datang ke Rumah Bonda pada 13 Jun 2021 selepas diajak Siti Bainun untuk makan ‘king crab’.

    Beliau berkata, ketika tiba pukul 5 petang di rumah berkenaan, dia terkejut apabila nampak rambut Bella sudah dipotong pendek dengan potongan tidak kemas.

    “Saya nampak bahagian kanan muka Bella ada lebam sebesar tapak tangan dari atas kening hingga bawah mata.

    “Muka Bella ketakutan sangat dan ini adalah keadaan Bella paling teruk, rambut ‘tobek’ dan berbaju lengan panjang. Ketika itu saya agak emosional dan ada bertanyakan kepada Siti Bainun kenapa teruk sangat keadaan Bella.

    “Siti Bainun memaklumkan Bella bergaduh (dengan penghuni lain) dan hanya letak ubat sendiri tanpa bawa ke klinik.

    “Dalam hati saya dah marah…saya tidak tanya lebih lanjut sebab tidak mahu bergaduh…saya nampak Bella beberapa kali dan dalam hati saya kata ini tidak betul..saya rasa marah dengan keadaan Bella,” katanya.

    Suhana juga memaklumkan dia dan beberapa rakan rapat dengan Siti Bainun mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan Bella kerana bimbang remaja itu akan disorok selain mereka tidak lagi boleh bertemu.

    Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    SEORANG tukang masak ditemukan meninggal dunia semasa ingin menongkat motosikal di tepi jalan dekat Taman Cengal Emas, Subai Petani, kira-kira 12 tengah hari semalam.

    Seorang saksi melihat Tan Kean Ong, 55, rebah di hadapan rumahnya menyebabkan bertindak mendapatkan bantuan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Saksi ternampak mangsa berhenti dan semasa ingin menongkat motosikal, dia telah terjatuh dan tidak sedarkan diri.

    “Maklumat dari ahli keluarga memaklumkan, lelaki terbabit bekerja sebagai tukang masak dan tinggal seorang diri setelah berpisah dengan bekas isteri serta sentiasa berpindah rumah sewa.

    “Kali terakhir mereka bertemu ialah pada sambutan Tahun Baharu Cina 2022,” katanya menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Zaidy, proses sanitasi dilakukan pihak kesihatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi tujuan ujian swab Covid-19 serta bedah siasat.

  • Harga alat ganti tidak terkawal, tambang bas sekolah dikaji semula

    Harga alat ganti tidak terkawal, tambang bas sekolah dikaji semula

    KENAIKAN mendadak kos penyelenggaraan kenderaan menyebabkan pengusaha bas sekolah terpaksa mengkaji semula tambang ditetapkan.

    Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, pihaknya terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos operasi serta penyelenggaraan kenderaan yang terpaksa ditanggung mereka.

    “Ibu bapa sedia maklum dengan kos operasi yang terlalu tinggi sekarang. Cuma saya jangkakan pengusaha akan bagi kelonggaran.

    “Contohnya dalam satu keluarga itu sekiranya ada lima orang naik bas yang sama, seorang sahaja yang akan dinaikkan tambang,” katanya, lapor Astro Awani, hari ini.

    Mohd. Rofik berkata, pengusaha bas sekolah sebenarnya tersepit dengan kos operasi yang meningkat.

    “Jika dilihat daripada kos alat ganti, langsung tidak terkawal. Harga alat ganti dan tayar (semuanya) naik,” ujarnya.

    Di samping itu, katanya, industri bas juga mengalami kekurangan pemandu sama ada melibatkan pemandu bas sekolah atau bas ekspres.

    “Boleh dikatakan 80 peratus dulunya pemandu bas sekarang ini sudah bawa lori. Bila sudah bawa lori, mereka tak mahu bawa semula bas sekolah.

    “Hampir 60 peratus pengusaha bas sekolah juga sudah ‘gulung tikar’. Mereka tak mampu lagi (tanggung kos operasi) sebab sudah dua tahun tersadai,” ujarnya.

  • Wanita maut dipijak gajah, dihempap gajah sama sekali lagi ketika pengebumian

    Wanita maut dipijak gajah, dihempap gajah sama sekali lagi ketika pengebumian

    TULAR di India, wanita maut dipijak gajah, mayatnya diserang sekali lagi oleh haiwan yang sama ketika pengebumian.

    Seorang wanita berusia 70 tahun dilaporkan maut selepas dipijak oleh seekor gajah dan kemudian mayatnya dihempap oleh haiwan yang sama ketika di majlis pengebumiannya.

    Wanita tersebut diserang oleh gajah itu ketika mengambil air dalam kejadian di kampung Raipal, India Timur pada Khamis lalu, menurut Satu Berita yang memetik laporan Daily Mail.

    Mendiang kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami beberapa kecederaan akibat dipijak oleh gajah itu.

    Pegawai polis Rasgovindpur, Lopamudra Nayak berkata haiwan tersebut datang semula ke majlis pengebumian wanita itu pada waktu petang.

    Ia dipercayai memijak dan menghempap mayat wanita itu untuk kali kedua ketika upacara terakhir pengebumian sedang berlangsung.

    Namun demikian, keluarga mangsa dikatakan tetap meneruskan upacara tersebut selepas gajah berkenaan beredar dari situ.

    Difahamkan, gajah tersebut telah ‘merantau’ dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Darma di negeri Jharkhand, iaitu 200 kilometer dari Raipal.

    Sehubungan itu, kira-kira 100 orang dilaporkan telah terbunuh setiap tahun di India disebabkan oleh serangan gajah.

    Susulan itu juga kerajaan India telah mengambil langkah membendung kejadian seperti itu dengan meletakkan kolar radio pada haiwan tersebut dan memaklumkan kepada penduduk tempatan melalui mesej teks apabila haiwan itu mengembara melalui zon yang dihuni manusia.

    Tahun lepas, tular satu video di negara tersebut yang menyaksikan seorang lelaki dihempap oleh seekor gajah.

    Video yang dipercayai dirakam di daerah Dhubri itu mempamerkan haiwan liar tersebut tiba-tiba muncul dari hutan dan mengejar mangsa.

    Mangsa dilaporkan selamat akibat serangan itu tetapi mengalami kecederaan yang serius.

  • Pelantikan Dr. Sahruddin teraju PN Johor mampu bawa kemajuan

    Pelantikan Dr. Sahruddin teraju PN Johor mampu bawa kemajuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELANTIKAN Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor adalah tepat sekali dan diyakini mampu membawa kemenangan dan kemajuan gabungan berkenaan di negeri ini.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti tersebut yakin dengan kemampuan dan kebolehan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong itu serta akan memberikan sokongan penuh terhadapnya.

    “Pas Johor mendoakan semoga Datuk Dr. Sahrudddin dan seluruh saf kepimpinan PN Negeri Johor akan terus beristiqamah dan bersemangat memikul tanggungjawab ini dengan jayanya.

    “Pas Johor akan menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau. Semoga PN Negeri Johor akan terus maju dan mencapai kemenangan demi masa hadapan bangsa dan negeri Johor khasnya dan negara kita Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan mengumumkan Dr. Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor berkuat kuasa serta-merta.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam semalam yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.

    Mereka termasuk Lau, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Star Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.

    Sementara Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Dr Sahruddin sebagai Pegnerusi (Bersatu) Johor bagi menggantikan beliau.

    Muhyiddin mengambil alih jawatan Pengerusi Bersatu Johor daripada Mazlan Bujang yang ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa pada September 2020.

    Mazlan sebelum itu pula mula menyandang jawatan berkenaan sejak 25 Mei 2019 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian.

  • Saran BNM tubuh tribunal khas bantu mangsa penipuan kewangan

    Saran BNM tubuh tribunal khas bantu mangsa penipuan kewangan

    BANK Negara Malaysia (BNM) disaran menubuhkan satu tribunal khas bagi menyelesaikan isu tuntutan mangsa kes penipuan kewangan susulan semakin banyak kes dilaporkan kebelakangan ini.

    Menurut Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam, ini kerana platform sedia ada ketika ini yang dikenali sebagai ‘Ombudsman for Finacial Services’ (OFS) tidak telus dan tidak lagi relevan buat masa ini.

    “Kami percaya BNM sebagai pengawal selia utama kerajaan dalam bidang kewangan untuk mempertahankan kepentingan pemegang akaun di institusi perbankan, yang sebenarnya hak mereka dipertahankan mengikut Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

    “Platform untuk mangsa mendapatkan bantuan sangat terbatas ketika ini. Jika ke mahkamah, mereka perlu menanggung kos guaman, manakala satu lagi platform iaitu OFS tidak telus kerana tiada pendengaran dilakukan.

    “Kedua-dua pihak hanya memberikan bukti kepada pihak yang terbabit dalam OFS dan keputusan dikeluarkan tanpa sebarang pendengaran atau hujahan dan soal balas daripada kedua-dua pihak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Semalam, BNM memaklumkan, semua bank berlesen dikehendaki menerapkan standard keselamatan yang tinggi, terutama untuk perkhidmatan perbankan internet serta mudah alih.

    Selain itu, semua keperluan untuk meningkatkan kawalan sedia ada dan memastikan perlindungan yang mencukupi terhadap ancaman terkini, sambil mengekalkan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan.

    Kian Nam yang juga seorang peguam berkata, BNM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu bertindak pantas dengan membekukan akaun terbabit penipuan kerana orang ramai terus tertipu dengan jumlah mencecah jutaan ringgit menerusi akaun berkenaan.

    Pihaknya juga mencadangkan BNM menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti semula sistem keselamatan perbankan dalam talian setiap penyedia kemudahan di istitusi perbankan yang ada bagi memastikan mereka mengikut piawaian yang ditetapkan.

    Tujuannya kata beliau, bagi memastikan keselamatan siber yang dibekalkan mereka dalam perkhidmatan dalam talian ini adalah selamat, boleh dipercayai dan profesional selaras dengan standard antarabangsa.

  • Kerusi Parlimen Hulu Terengganu milik siapa, PN atau BN?

    Kerusi Parlimen Hulu Terengganu milik siapa, PN atau BN?

    guane

    BANYAK pihak meramalkan bahawa perebutan kerusi bagi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan berlangsung dalam suasana agak sengit.

    Malah, rata-rata pemerhati politik turut menjangkakan persaingan itu turut menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon berkaliber mewakili Bersatu (PN) dan UMNO (BN).

    Manakala lain-lain parti politik setakat ini dikatakan seperti masih kurang menunjukkan minat untuk berbuat demikian.

    Ini kerana, dalam konteks Hulu Terengganu, sekiranya mana-mana parti tidak memiliki calon yang benar-benar berkelayakan dan diterima masyarakat setempat, maka calon ditampilkan nanti bakal berhadapan hilang deposit.

    Dalam PRU-15 nanti, penulis percaya akan berlaku pertembungan dua calon memiliki kriteria seperti anak tempatan, berpengaruh dan berpengalaman serta mempunyai pengikut tersendiri.

    Walaupun nama-nama calon yang akan bertanding belum dimuktamadkan, namun penulis percaya nama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid akan tersenarai sebagai calon mewakili PN untuk menentang calon BN, iaitu Datuk Rozi Mamat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

    Bagi penulis, sekiranya Rosol kekal bertanding di Hulu Terengganu, peluang untuk menang adalah sama rata kerana kedua-dua calon umpama dua beradik yang ‘berselisih pendapat hanya disebabkan harta pusaka’.

    Rozi Mamat

    Mereka merupakan anak tempatan yang mempunyai keluarga, sahabat, jiran dan kawan dan pengikut yang ramai di kawasan Parlimen tersebut.

    Selain itu, sikap dan penerimaan masyarakat khususnya pengundi Hulu Terengganu yang lebih cenderung memilih calon berbanding parti juga perlu diberikan perhatian.

    Perkara inilah menyebabkan kenapa Parlimen Hulu Terengganu menjadi antara kubu kuat BN di Terengganu sejak dahulu lagi.

    BN hanya tewas kepada calon Pas dalam PRU-10 pada tahun 1999 lalu.

    Malah, usaha Pas untuk menawan kerusi tersebut dalam beberapa siri PRU selepas itu terus menemui kegagalan.

    Berdasarkan itu, penulis berpendapat adalah wajar Rosol diberi peluang untuk terus kekal bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

    Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Senator Datuk Razali Idris telah memberi restu kepada Rosol untuk berbuat demikian.

    Razali yang juga bekas calon Bersatu dalam PRU-14 lalu, menyatakan beliau bersedia memberi peluang kepada Rosol bertanding sekalipun dia sendiri tidak terpilih.

    Ketika bersembang dengan penulis baru-baru ini, Razali memberitahu beliau sudah menghantar cadangan nama Rosol kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dinilai.

    Setakat ini BN Terengganu pula telah umumkan nama Rozi yang akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu manakala Pakatan Harapan (PH) belum berbuat demikian.

    Pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong sebagai calon pertama mewakili BN bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada 11 Mei lalu.

    Dalam PRU-14 lalu Rosol yang ketika itu mewakili BN menang dengan majoriti 2,868 undi.

    Rosol yang memperoleh 30,925 undi berjaya menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan Datuk Razali Idris (Bersatu-Pakatan Rakyat) yang hanya mendapat 3,364 undi dan hilang deposit.

    Dalam PRU-15 nanti, ramai yang sudah berteka teki; milik siapakah kerusi Parlimen Hulu Terengganu sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara Rosol dan Rozi.

    Apa yang pasti hanya pengundi yang dapat menentukan kemenangan calon pilihan masing-masing.

    Cuma ada yang berasa khuatir sekiranya Pas masih mahu meletakkan bekas calonnya, Muhyidin yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar bertanding di kerusi ini.

  • Rakyat tengah susah, Zahid ghairah nak PRU..apa hal?

    Rakyat tengah susah, Zahid ghairah nak PRU..apa hal?

    TT sebenarnya simpati dengan Zahid Hamidi, saban hari dok ‘meratib’ nak PRU-15 tetapi beliau bukan Perdana Menteri.

    Yang jadi Perdana Menteri ialah Ismail Sabri Yaakob, hanya Pak Mail sahaja yang boleh buat keputusan untuk menghadap Agong minta perkenan bubar Parlimen. Tetapi TT tak fikir Pak Mail akan buat keputusan drastik untuk buat PRU 15, sebab negara kini dalam masalah.

    Harga barang tengah naik, hutang tengah meningkat, rakyat dah mula rasa tertekan nak beli ayam seekor pun jenuh nak korek duit. Jadi pada pendapat TT kalaulah Pak Mail cadang nak buat jugak pilihan raya memang ‘cari masalah’.

    Zahid sepatutnya tumpu masalah rakyat…kalaupun tak pandai bab-bab ekonomi Zahid sepatutnya boleh panggil cerdik pandai untuk beri pandangan bagi pihak UMNO macam mana nak atas krisis ekonomi sekarang bukan dok ‘’mengingau’ nak buat PRU15.

    TT kadang kala kasihan jugak kat Zahid ni, nampak beliau seorang sahaja beria-ia nak PRU, kalau ada pun yang nak sokong…muka-muka yang sama sahaja….dari segi politik pun taklah cemerlang, ada yang kalah dalam Pilihan raya dan ada yang tak berani nak bertanding…cakap saja lebih.

    TT nak nasihatkan Zahid, sedarlah bahawa beliau hanya Presiden UMNO bukan Perdana Menteri, kuasa Zahid paling besar ialah menentukan calon…tu pun beliau kena bincang dengan pemimpin kanan dalam UMNO.

    Kalau Zahid belum lagi panggil kelompok tu untuk bincang soal calon, jadi tak payahlah nak cakap pasal PRU..biarlah Perdana Menteri tentukan bila nak mohon perkenan Agong. Lebih baik Zahid dok diam-diam dan tumpu kepada kes mahkamah beliau yang berlambak-lambak…itu lagi baik.

     Tambahan pula…semasa TT sembang-sembang dengan beberapa pemimpin dan penyokong UMNO, merekapun tak teruja nak buat PRU sekarang, mereka pun hairan kenapa Zahid nak beria-ia nak pilihan raya. Kata mereka, Zahid patut tumpu kes mahkamah beliau bukannya tak habis-habis bercakap soal PRU.

    Kat peringkat akar umbi,ahli-ahli UMNO sendiripun sengsara dengan kenaikan harga barang, itu yang patut Zahid dan kepemimpinan UMNO utamakan bukan soal nak kembali berkuasa. TT pun ada pendapat sama, berlambak lagi masalah rakyat nak kena selesai, ni tidak.. siang malam dok cakap pasal PRU.

    TT tak tahu la kalau pemimpin UMNO tak nak cakap banyak pasal keadaan ekonomi negara ketika ini sebab PM dari parti itu. Namun tak ada masalah untuk beri pandangan bagi memperbaiki keadaan tetapi jangan buat sindiran bodoh sudahlah macam ada seorang tu buat masa Muhyiddin Yassin kata Bersatu minta kerajaan tangani isu kenaikan harga barang.

    TT malas nak siar balik apa dia kata,tetapi yang pastinya memang tak cerdik. Apapun TT harap Zahid jangan teruja sangat nak buat PRU…sebab nanti timbul macam-macam persepsi.

    Satu lagi, jangan dok anggap orang lain takut hilang kerusi, kalau buat pilihan raya sekarang. Pemimpin parti lain rasional sekarang bukan masa sesuai, bukan macam Zahid dah ghairah sangat selepas tengok kejayaan BN kata Melaka dan Johor.

    Ramai dah kata, PRN di dua negeri tu tak boleh buat ukuran, keputusan keluar mengundi rendah dan paling menarik untuk dikaji, di Johor contohnya, BN kala undi popular. BN hanya dapat 42 peratus berbanding PH (26 peratus) dan Perikatan Nasional (24 peratus).

    Maknanya BN belum diterima oleh rakyat…tidak seperti mana digembar-gemburkan oleh Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘sekapal’ dengan beliau.

    Tambahan pula PRU bukan macam PRN. Ia melibatkan senario, kawasan, sentimen dan kelompok pengundi berbeza. Jika Zahid dok yakin keputusan PRN Melaka dan Johor akan berulang di PRU-15…percayalah ia satu kesilapan besar.

    TT nak cakap kat Zahid cukup-cukuplah dok desak PRU…muak rakyat tengok!