Author: Admin

  • Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat feri penumpang yang terbakar di perairan Langkawi, semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, klip video memaparkan kejadian itu yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama dakwaan tersebut sebenarnya adalah insiden yang berlaku pada 2019.

    Malah katanya, syarikat pengendali perkhidmatan feri yang terbakar itu juga sudah tidak lagi beroperasi.

    “Video tersebut dipercayai sengaja ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan terhadap indusrti pelancongan Langkawi.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama itu bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat mengenai kecemasan di perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.

  • Petisyen MIC ditolak, DUN Bukit Batu kekal milik PKR

    Petisyen MIC ditolak, DUN Bukit Batu kekal milik PKR

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH pilihan raya di Putrajaya hari ini memutuskan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Mac lalu adalah sah.

    Biro Guaman Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat Hakim Azizul Azmi Adnan yang menolak petisyen pilihan raya daripada calon Barisan Nasional (BN), S. Suppayah.

    “Mahkamah pilihan raya memerintahkan Suppayah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden pertama iaitu Sen Sern dan seterusnya RM30,0000 kepada responden kedua dan responden ketiga (Suruhanjaya Pilihan Raya).

    “Alasan-alasan penghakiman yang lebih terperinci akan dimuat naik oleh pihak mahkamah pilihan raya menerusi lama sesawang rasmi kehakiman dalam masa terdekat,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    G. Manivanan, Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye mewakili Sen Sern manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dan Sallehuddin Md. Ali mewakili SPR.

    Rajasekaran Thiyagarajan pula mewakili Suppayah.

    Sen Sern menang kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi pada PRN Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu.

    Setiausaha PKR Cabang Tebrau itu menewaskan Suppayah, Tan Heng Choon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Lee Ming Wen daripada Parti Warisan.

    Susulan itu MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada PRN tersebut.

    Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan ketika proses pengiraan undi.

    Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

    Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum sebelum mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kerusi DUN tersebut.

  • Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    SEORANG ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya disamun di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya.

    Pekerja kedai makan, Lim Zhi Yin, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas membuat pengakuan tersebut yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Sinar Harian melaporkan, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang diketahui palsu kepada seorang anggota polis berpangkat Konstabel, di Balai Polis Serdang pada pukul 11.45 pagi, 10 Jun lalu.

    Tertuduh menyedari bahawa ia akan menyebabkan siasatan dijalankan, di mana penjawat awam tersebut tidak perlu melakukan siasatan sekiranya keadaan sebenar diketahui.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis menyatakan telah disamun oleh dua lelaki menggunakan pisau, di tandas sebuah stesen minyak di sini.

    Setelah disiasat, pihak polis mendapati tiada kejadian samun berlaku dan tertuduh kemudiannya mengakui membuat laporan palsu.

    Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga tiga anak.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

  • Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Bercham di sini sejak seminggu lepas, ditemukan selamat di Selangor hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Maizatul Asikin Abdullah, 16, ditemukan orang awam di sebuah restoran di Sungai Buloh, kira-kira 3 petang.

    “Pihak kami dalam perjalanan membawanya pulang ke sini (Ipoh),” katanya, lapor Bernama.

    Yahaya turut menzahirkan penghargaan kepada media dan orang awam yang memberi kerjasama kepada pihak polis berkaitan kehilangan remaja itu.

    Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis memaklumkan Maizatul Asikin kali terakhir dilihat berada di rumah pada pagi 8 Jun lepas.

  • Padah 3 lelaki memandu dalam keadaan mabuk dipenjara, didenda RM15,000

    Padah 3 lelaki memandu dalam keadaan mabuk dipenjara, didenda RM15,000

    TIGA lelaki dihukum penjara sehari dan denda antara RM10,000 hingga RM15,000 di Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk pada 30 Mei lalu.

    Tertuduh Mohd. Azlan Mohd. Suriansyah, 24, dan Yasor Yakob, 34, didenda RM10,000, manakala Chong Weoi Lin, 42, (RM15,000) selepas mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Azlan dan Yasor menjalani hukuman tambahan penjara lima bulan, manakala Chong enam bulan sekiranya gagal membayar denda, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Azlan dan Yasor didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thein Vun, pada pukul 1.10 pagi, 30 Mei lalu.

    Chong pula melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, pukul 11.20 malam pada 13 Mei lalu.

    Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

    Dzul Elmy turut memerintahkan lesen memandu semua mereka digantung selama dua tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Surian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Suhaimi dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di Tawau malah di seluruh negara.

    Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

  • Bersatu serah pertimbangan Pas tentukan kerusi di Terengganu

    Bersatu serah pertimbangan Pas tentukan kerusi di Terengganu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu tidak akan menuntut kerusi mana yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, sebaliknya ia menyerahkan kepada pertimbangan Pas untuk berbuat demikian.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, sebagai sebuah parti baharu, pihaknya akur kepada pertimbangan Pas dalam menentukan kerusi bakal ditandingi partinya pada PRU-15 dalam usaha mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

    Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, melalui perbincangan, Pas mencadangkan pengagihan kerusi untuk Bersatu melibatkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

    “Oleh itu, kita serahkan sepenuhnya kepada Pas untuk tentukan kedudukan.

    “Perbincangan terutama membabitkan agihan kerusi antara Pas dan Bersatu masih lagi berlangsung, tetapi kita membuat ketetapan untuk terus bekerjasama menghadapi PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Razali, Bersatu akan mengkaji kemampuan dan kekuatan parti itu di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN), manakala kerusi Parlimen akan ditentukan Pas.

    “Kita bertanding untuk menang, sebab itulah kita putuskan akan menilai kemampuan dan kekuatan parti di setiap kawasan DUN dan Parlimen yang akan diserahkan Pas kepada kita untuk bertanding.

    “Kita memutuskan bukannya semua kerusi bakal diserahkan Pas untuk kita meletakkan calon, kita akan terus mengadakan perbincangan, termasuk menilai kekuatan parti walaupun pimpinan Pas akan turut membantu bagi memastikan kemenangan di setiap kerusi akan ditandingi,” jelas beliau.

  • 5 PATI diberkas selepas kereta ‘terbang’ masuk parit

    5 PATI diberkas selepas kereta ‘terbang’ masuk parit

    SEBUAH kereta membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang melarikan diri terhumban masuk ke dalam parit di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, di Kuala Selangor, hari ini.

    Kejadian pada pukul 5.15 pagi itu melibatkan PATI berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 30-an dipercayai tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.19 pagi.

    “Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit ketika dikejar anggota polis.

    “Semua mangsa berjaya keluar dari dalam kenderaan. Mereka terpaksa duduk di atas bumbung kereta sementara menunggu bantuan bomba,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Norazam berkata, kelima-lima pendatang asing itu kemudian berjaya dibawa naik ke tebing parit.

    “Dua wanita didapati patah kaki manakala seorang lelaki cedera pada bahu.

    “Anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa. Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital dengan menggunakan trak polis,” katanya.

  • Pekerja ladang warga India ditemukan lemas

    Pekerja ladang warga India ditemukan lemas

    SEORANG pekerja ladang warga India, Karthikeyan Ayyadurai, 25, yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai di jeti Waterfront Bagan Datuk di Bagan Datuk, ditemukan lemas pukul 7.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, jasad lelaki yang berkerja di sebuah ladang di Hutan Melintang ditemui lengkap berpakaian di perairan Kampung Pasang Api, kira-kira dua kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.

    “Sebelum itu mangsa dilaporkan hilang ketika mandi sungai pukul 5.30 petang kelmarin.

    “Rakan sekerjanya melihat mangsa terjun ke sungai sebelum dihanyutkan arus deras. Dia kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut beliau, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

    “Mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • 3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas

    3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM58,000 dalam satu serbuan di sebuah kedai di Jalan Burma, Georgetown semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dilakukan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok tidak bercukai tersebut.

    Ujarnya, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang merupakan pemilik premis dan seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun yang merupakan penjaga premis turut ditangkap.

    “Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil saringan awal mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.

    “Siasatan awal mendapati pemilik premis itu mendapatkan bekalan rokok daripada rangkaian sindiket dan menyimpan di stor tersebut sebelum menjual kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kedua-dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 135(1 )(d) Akta Kastam 1967.

  • Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    SELEPAS hampir 12 jam operasi mencari dan Menyelamat (SAR) dilakukan, akhirnya mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dari jambatan Jalan Tanah Putih tengah malam tadi, ditemui hari ini.

    Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pada pukul 10.15 pagi sejauh enam kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah malam.

    Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarah ke lokasi bersama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

    “Operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya, lapor Sinar Harian.

    Zulfadli berkata, operasi pencarian turut dibantu anjing pengesan.

    Kejadian orang terjatuh jambatan itu adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.