PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu tidak akan menuntut kerusi mana yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, sebaliknya ia menyerahkan kepada pertimbangan Pas untuk berbuat demikian.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, sebagai sebuah parti baharu, pihaknya akur kepada pertimbangan Pas dalam menentukan kerusi bakal ditandingi partinya pada PRU-15 dalam usaha mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, melalui perbincangan, Pas mencadangkan pengagihan kerusi untuk Bersatu melibatkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, kita serahkan sepenuhnya kepada Pas untuk tentukan kedudukan.

“Perbincangan terutama membabitkan agihan kerusi antara Pas dan Bersatu masih lagi berlangsung, tetapi kita membuat ketetapan untuk terus bekerjasama menghadapi PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut Razali, Bersatu akan mengkaji kemampuan dan kekuatan parti itu di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN), manakala kerusi Parlimen akan ditentukan Pas.

“Kita bertanding untuk menang, sebab itulah kita putuskan akan menilai kemampuan dan kekuatan parti di setiap kawasan DUN dan Parlimen yang akan diserahkan Pas kepada kita untuk bertanding.

“Kita memutuskan bukannya semua kerusi bakal diserahkan Pas untuk kita meletakkan calon, kita akan terus mengadakan perbincangan, termasuk menilai kekuatan parti walaupun pimpinan Pas akan turut membantu bagi memastikan kemenangan di setiap kerusi akan ditandingi,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here