Author: Admin

  • Kedah contoh, model kerjasama politik terbaik PN

    Kedah contoh, model kerjasama politik terbaik PN

    KEDAH boleh menjadi model kerjasama politik terbaik bagi Perikatan Nasional (PN) untuk dicontohi negeri lain.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama erat dan baik jelas dibentuk PN di Kedah.

    Jelas beliau, ini dapat dibuktikan dengan perjumpaan bersama Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu perjumpaan pada malam ini.

    “Pada malam ini saya dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pimpinan PN akan mengadakan pertemuan dan perbincangan.

    “Sudah tentulah ia sekali lagi membuktikan betapa kukuhnya kerjasama dalam PN di Kedah ini,” katanya selepas perjumpaan dengan kepimpinan Bersatu Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, Alor Setar, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ketika diminta mengulas sama pertemuan dengan Muhammad Sanusi untuk membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Azmin memberitahu mereka tidak akan membincangkan secara terperinci berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun katanya, daripada segi prinsip dan dasar PN, mereka telah mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama.

    “(Namun) Pada minggu hadapan, ada satu pertemuan dan perbincangan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan perkara terperinci tentang gerak tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pertemuan dengan Muhammad Sanusi lebih kepada perjumpaan umum untuk membuktikan bahawa Kedah adalah satu model kerjasama yang terbaik yang perlu dicontohi negeri lain.

    Azmin berpandangan pertemuan berkenaan penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dan juga program dirancang dapat dilaksanakan.

    Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, beliau di peringkat kementerian akan terus bekerja kuat bersama dengan Lembaga Pembanguan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

    “Ia bagi memastikan. perdagangan negeri serta jumlah pelaburan lebih besar yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk bakat-bakat tempatan sama ada di Kedah ataupun di Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, Azmin menjelaskan, perjumpaan beliau dengan kepimpinan Bersatu Kedah yang dipimpin Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah selaku Pengerusi Bersatu Kedah pada petang tadi juga disifatkan amat penting.

    Katanya, Bersatu Kedah sama ada peringkat negeri, armada ataupun srikandi dilihat begitu komited untuk memperkukuhkan perjuangan parti itu di negeri ini dengan kerjasama yang begitu erat dengan pimpinan Pas negeri dan juga PN Kedah.

    Beliau menyifatkan situasi ini merupakan satu petanda baik bahawa Bersatu Kedah telah meletakkan agenda perjuangan untuk memastikan dasar parti dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan Kedah.

  • Orang Melayu miskin, Malaysia seperti bukan milik Bumiputera – Tun M

    Orang Melayu miskin, Malaysia seperti bukan milik Bumiputera – Tun M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, Malaysia bukan lagi milik Bumiputera apabila bangsa Melayu masih lagi dibelenggu dengan isu kemiskinan.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, situasi tersebut dapat dilihat apabila banyak tanah milik orang Melayu terpaksa dijual akibat isu kemiskinan.

    “Orang melayu miskin kerana kita dapati walaupun kita mempunyai simpanan tanah Melayu namun kerap kali dijual dan sebenarnya dimiliki oleh orang lain.

    “Seperti yang berlaku di Singapura yang sebahagian daripada Johor tetapi kita hilang Singapura sehingga menjadi negara lain dan dimiliki oleh orang lain.

    “Orang Melayu di Singapura ketika itu tidak mampu nak kuasai kekayaan bahkan ingin memiliki tanah pun bukan dalam kalangan orang Melayu,” katanya ketika sidang media Program Aku Melayu di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, dalam masa sama berpendapat, kempen menghalang penjualan tanah perlu diperbanyakkan untuk menghalang aktiviti itu terus berlaku.

    Melihat kepada senario ketika ini, Dr. Mahathir menzahirkan kebimbangan berhubung masa depan bangsa Melayu di negara ini.

    “Walaupun kita dapati ada beberapa kerat orang yang berjaya dan kaya tetapi umumnya orang Melayu adalah antara yang termiskin di Malaysia.

    “Orang miskin adalah orang yang lemah dan apabila lemah mereka akan lakukan sesuatu perkara yang merugikan mereka,” ujarnya lagi.

    Beliau dalam masa sama turut mencadangkan agar diwujudkan beberapa forum untuk dijadikan platform bagi membincangkan faktor kelemahan orang Melayu di negara ini selain mencari solusi berhubung masalah tersebut.

  • Cubaan keluarkan negeri dari Malaysia satu jenayah – Tun M

    Cubaan keluarkan negeri dari Malaysia satu jenayah – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pihak yang lebih tinggi daripada undang-undang Malaysia dan tidak akan dikenakan tindakan.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Malaysia merupakan negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak tertakluk di bawahnya termasuk sekiranya wujud usaha untuk mengeluarkan mana-mana negeri dari negara ini.

    Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Langkawi itu, undang-undang berkenaan ‘mungkin tidak terpakai terhadap pihak yang kedudukannya jauh lebih tinggi’.

    “Sesiapa yang cuba untuk withdraw (keluarkan negeri) dari Malaysia itu adalah satu jenayah, tetapi kita ada orang yang duduk lebih tinggi daripada undang-undang.

    “Apabila orang seperti ini berkata demikian, dia amat serius tetapi tindakan tidak boleh diambil kerana dia tidak tertakluk kepada kepada undang-undang negara kita dan inilah masalah yang kita hadapi sebenarnya.

    “Kalau saya sebut tentang nak keluarkan Kedah dari Malaysia saya akan kena tangkap tetapi orang itu bebas dari undang-undang… jenayah tetap jenayah,” katanya ketika sidang media program Aku Melayu di Kuala Lumpur, lapor Astro Awani.

    Warta Rakyat pada 16 Jun lalu melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu walaupun merupakan penyumbang besar ekonomi negara.

    Titah Sultan Ibrahim, Johor pernah menyumbang hasil lebih RM13 billion setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.

    Namun baginda sedih dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur awam terdapat di negeri ini.

    “Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

    “Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

    “Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” titah baginda.

  • Desakan PRU-15 dikhuatiri pengaruh keyakinan pelabur-Azmin

    Desakan PRU-15 dikhuatiri pengaruh keyakinan pelabur-Azmin

    KEYAKINAN pelabur dibimbangi akan terhakis sekali gus takut untuk membuat pelaburan di negara ini sekiranya pihak tertentu terus mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pelabur memiliki beberapa kriteria memilih negara menjadi destinasi pelaburan pilihan mereka.

    “Sebuah syarikat (pelaburan) mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti, selain daripada ekosistem perniagaan yang kondusif untuk mereka membuat pelaburan di Malaysia.

    “Sebab itu, saya berpandangan bahawa ini bukan masanya untuk mengadakan PRU-15, (tetapi) tumpuan kita adalah untuk melindungi kesihatan rakyat kerana Covid-19 masih ada,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Azmin berkata demikian selepas perjumpaan bersama beliau dengan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, Alor Setar, hari ini.

    Hadir sama, Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

    Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada desakan PRU15 diadakan segera mampu menggugat peluang pelaburan di Malaysia.

    Azmin berpandangan, program pemulihan ekonomi perlu disegerakan dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan supaya pemulihan dapat berjalan lancar dalam masa terdekat.

    Mengulas lanjut, beliau mendapati perkara terbabit adalah aspirasi dan permintaan rakyat memandangkan negara baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

    “Kita lihat prestasi ekonomi semakin pulih dan kita sedang berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi negara. Sudah tentulah kita memerlukan sedikit lagi supaya program pemulihan ini dapat berjalan lancar.

    “Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serangkah satu dua kerat pemimpin di atas yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

  • PRU-15 mungkin lebih awal sebelum Julai 2023- PM

    PRU-15 mungkin lebih awal sebelum Julai 2023- PM

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal iaitu sebelum Julai 2023.

    Menurut Perdana Menteri, paling lewat PRU-15 boleh diadakan pada Julai tahun depan 2023 selepas tamat tarikh akhir penggal PRU-14.

    “Tempoh tamat pada Julai, iaitu kira-kira setahun sahaja dari sekarang. Setahun bukanlah jangka masa yang lama bagi parti politik menghadapi pilihan raya.

    “Sebab itu kita kena sentiasa bersedia, itu kalau paling lewat setahun, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal.

    “Maknanya kalau paling lewat setahun, kalau lebih awal jangka masa itu lebih dekat, sebab itulah saya minta di Bera ini, semua jentera, tak kira UMNO atau Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga, kerana akhirnya pilihan raya akan tiba juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas dengan petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita di Bera, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, persediaan awal perlu bagi mengelakkan keadaan kelam kabut khususnya jentera BN dalam menghadapi PRU-15 kelak.

    Khamis lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, tarikh sesuai untuk diadakan PRU15 ialah sehingga habis penggal iaitu hujung Julai 2023.

    Mengulas mengenai perjumpaan bersama petugas JR diadakan itu, Ismail Sabri berkata, beliau bangga kerana usaha Wanita dari UMNO, MCA dan MIC yang berusaha melakukan kajian sikap pengundi di kawasan berkenaan.

    Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu enggan mengesahkan perjumpaan terbabit sebagai tanda bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Soal bila pilihan raya, saya sudah beritahu, jangan tanya, tapi perlu bersedia, bersiap siaga.

    “Saya dah kata, biasanya, dari dulu pun tidak pernah kita berbincang di khalayak mengenai tarikh pilihan raya, jadi tunggulah,” katanya.

  • Warga emas maut tertembak diri sendiri di kebun durian

    Warga emas maut tertembak diri sendiri di kebun durian

    SEORANG lelaki warga emas maut dipercayai tertembak diri sendiri ketika berada dalam kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob Karangan, dekat Kulim, hari ini.

    Kejadian berkenaan disedari seorang penoreh getah bersebelahan kebun mangsa yang melihat warga emas itu dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangan kanan pada pukul 9 pagi.

    Lelaki berusia 56 tahun yang menemukan warga emas tersebut kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berusia 72 tahun sudah meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan.

    Menurut sumber, sebelum itu pada jam 7 pagi, saksi mendakwa dia ada bertemu dan berbual dengan mangsa yang turut mengajaknya mengutip durian.

    “Saksi berkenaan juga mendakwa mangsa datang ke kebun terbabit dengan menunggang motosikal dan turut membawa senapang patah yang digantung di bahu.

    “Bagaimanapun, dia mendakwa tidak perasan atau mendengar sebarang tembakan serta letupan ketika kejadian kerana mungkin disebabkan bunyi air sungai berhampiran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah pondok tidak jauh daripada mangsa ditemui terbaring dan polis turut menemui motosikal miliknya di kawasan berkenaan.

    “Siasatan di dalam pondok terbabit menemui selaras senapang patah dan polis turut mengesan cebisan isi dipercayai akibat kecederaan tangan mangsa yang terlekat pada dinding.

    “Selain itu, pemeriksaan juga menemui kesan lubang di dinding serta bumbung di pondok berkenaan yang dipercayai akibat tembakan peluru,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemungkinan terlepas tembakan secara tidak sengaja yang menyebabkan peluru terkena tangan kanannya hingga berlaku pendarahan yang banyak sebelum dia meninggal dunia.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit namun setakat ini ia diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Punca kematian akan diketahui selepas proses bedah siasat esok dan setakat ini siasatan kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kes berkenaan,” katanya.

  • Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    SEORANG kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di sebuah taman tema air di Temerloh semalam.

    Mangsa yang berumur empat tahun itu disahkan maut selepas lemas di kolam bahagian kanak-kanak yang berkedalaman kira-kira 0.15 meter.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.42 malam tadi.

    “Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 45 tahun berkenaan kejadian anaknya meninggal dunia disebabkan lemas bertempat di taman tema air tersebut.

    “Hasil siasatan polis mendapati pengadu telah pergi ke tempat tersebut pada pukul 5 petang bersama keluarganya.

    “Pada pukul 6 petang, anak saudara pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya berumur empat tahun telah lemas di kolam bahagian kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    Katanya, satu bedah siasat telah dibuat hari ini dan didapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

    Menurutnya, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Guna kuota menteri UMNO jika PM mahu selamatkan Zuraida

    Guna kuota menteri UMNO jika PM mahu selamatkan Zuraida

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menggunakan kuota menteri UMNO jika mahu memberi talian hayat kepada Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi berkata, tidak ada sebab Perdana Menteri menggunakan kuota Bersatu, jika mahu mengekalkan Zuraida dalam Kabinetnya.

    Tegas Mohd Isa, Zuraida yang keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini seorang yang tidak ada prinsip.

    “Dahulu beliau antara yang kuat mengkritik pimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Tetapi hari ini mereka menjadi sumber nyawa untuk Zuraida,” katanya dalam kenyataan,hari ini, lapor Satu Berita.

    Mohd. Isa berkata, penyertaan Zuraida Kamaruddin ke dalam PBM sebagai ‘Presiden Designate’ bukan satu perkara yang mengejutkan.

    Katanya, sejak di dalam Bersatu lagi, beliau ingin memegang jawatan tertinggi dengan pantas, tanpa mengikut proses biasa untuk naik dalam sesebuah parti.

    “Daripada Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia dan juga Ketua Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat, apabila bersama Bersatu beliau mengharapkan tempat dan kedudukan dalam parti tanpa melalui pemilihan.

    “Tetapi apabila dilantik ke jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Zuraida gagal memainkan peranan untuk menyatukan parti. Semua tindakan beliau hanya untuk kelompok kecil kroni-kroni yang bersama dia saja, bukan untuk parti atau rakyat.

    “Oleh itu, kami sentiasa teguh bahawa tiada ahli parti yang mengikuti ‘Langkah Zuraida’, malah tiada satu cawangan pun yang ditutup dalam Bahagian Ampang di mana Zuraida pernah berada,” katanya.

    Mohd. Isa menambah, kini Zuraida melutut kepada UMNO dan Barisan Nasional demi mencari talian hayat.

    “Nampaknya Zuraida langsung tidak ada rasa malu untuk menjilat ludah sendiri demi untuk mengekalkan pangkat dan harta,” katanya.

  • Bekas KP SPRM tidak menolak sertai mana-mana parti politik

    Bekas KP SPRM tidak menolak sertai mana-mana parti politik

    BEKAS ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya rakyat di kawasannya iaitu di Tasek Gelugor memerlukannya.

    Menurutnya, perkara itu akan dimaklumkan bila tiba masanya namun dalam masa yang sama beliau akan meneruskan kerja-kerja kebajikan di parlimen terbabit.

    “Saya akan maklum kalau dah sertai mana-mana parti politik, saya takkan sembunyi hal ini dan tak perlu kita nak berselindung.

    “Bagaimanapun penyertaan saya dalam parti politik hanya akan dibuat keputusan sekiranya rakyat Tasek Gelugor mahukan saya, itu yang paling penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program rakyat, ikan percuma yang dianjurkan pejabatnya di Pokok Sena, Tasek Gelugor, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, media melaporkan Dzulkifli tidak menolak sekiranya rakyat mahukan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau dikatakan kerap menjalankan aktiviti kebajikan dan menyantuni masyarakat di Tasek Gelugor sehingga ada yang beranggapan bekas orang nombor satu SPRM itu berhasrat untuk menjadi calon bagi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-15 akan datang.

    Mengulas mengenai perkara itu, Dzulkifli berkata apa yang dilakukan itu bertujuan untuk meringankan beban masyarakat di Tasek Gelugor yang merupakan kampung halamannya.

    Tegasnya, sekiranya dia tidak menyertai parti politik sekalipun program-program kebajikan yang dibuat akan diteruskan mengikut kemampuan untuk rakyat dan penduduk kampung.

    “Saya tidak perlu restu dari mana-mana parti politik untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di sini lagipun apa yang saya lakukan hanyalah berskala kecil.

    “Diharap dengan bantuan yang diberikan akan dapat meringankan beban masyarakat di sini tambahan ketika tengah bulan,” katanya.

  • Bekalan ikan negara masih belum stabil – LKIM

    Bekalan ikan negara masih belum stabil – LKIM

    LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kebiasaannya pada bulan Mei, cuaca kembali seperti sediakala tetapi sehingga kini cuaca masih tidak menentu menyebabkan pendaratan ikan berkurangan.

    “LKIM perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan sebanyak mungkin ikan untuk disejukbekukan ketika musim penangkapan dan pendaratan ikan yang banyak daripada nelayan.

    “LKIM juga perlu membeli ikan daripada nelayan bagi penyimpanan sejuk beku bukan membeli daripada swasta bagi memastikan stok mencukupi apabila tiba musim tengkujuh,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Bantuan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Terbuka Pejabat Pusat Khidmat P059 hari ini.

    Beliau berkata LKIM memiliki kilang dan tempat penyimpanan sendiri jadi tidak timbul isu bekalan kurang sekali gus mengatasi masalah kartel.

    “Isu kartel melibatkan bekalan ikan timbul disebabkan LKIM tidak membuat persediaan awal untuk menyimpan stok ikan menyebabkan kartel mengambil kesempatan mengurangkan bekalan ikan di pasaran dan seterusnya menentukan harga,” katanya.

    Syed Abu Hussin Hafiz juga mengakui wujud masalah dalaman apabila terdapat pegawai LKIM yang memandang ringan cadangan penyimpanan stok ikan dan berharap pengurusan tertinggi badan itu mengambil langkah sewajarnya. –Bernama