Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal iaitu sebelum Julai 2023.

Menurut Perdana Menteri, paling lewat PRU-15 boleh diadakan pada Julai tahun depan 2023 selepas tamat tarikh akhir penggal PRU-14.

“Tempoh tamat pada Julai, iaitu kira-kira setahun sahaja dari sekarang. Setahun bukanlah jangka masa yang lama bagi parti politik menghadapi pilihan raya.

“Sebab itu kita kena sentiasa bersedia, itu kalau paling lewat setahun, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal.

“Maknanya kalau paling lewat setahun, kalau lebih awal jangka masa itu lebih dekat, sebab itulah saya minta di Bera ini, semua jentera, tak kira UMNO atau Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga, kerana akhirnya pilihan raya akan tiba juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas dengan petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita di Bera, hari ini, lapor Harian Metro.

Katanya, persediaan awal perlu bagi mengelakkan keadaan kelam kabut khususnya jentera BN dalam menghadapi PRU-15 kelak.

Khamis lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, tarikh sesuai untuk diadakan PRU15 ialah sehingga habis penggal iaitu hujung Julai 2023.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama petugas JR diadakan itu, Ismail Sabri berkata, beliau bangga kerana usaha Wanita dari UMNO, MCA dan MIC yang berusaha melakukan kajian sikap pengundi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu enggan mengesahkan perjumpaan terbabit sebagai tanda bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.

“Soal bila pilihan raya, saya sudah beritahu, jangan tanya, tapi perlu bersedia, bersiap siaga.

“Saya dah kata, biasanya, dari dulu pun tidak pernah kita berbincang di khalayak mengenai tarikh pilihan raya, jadi tunggulah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here