Author: Admin

  • Dua spesies ikan asing dari benua lain ditemukan di Besut

    Dua spesies ikan asing dari benua lain ditemukan di Besut

    JABATAN Perikanan Terengganu (JPT) menemukan dua spesies ikan asing iaitu peacock bass dan patin chaophraya di perairan Tasik Telabak di Kampung Durian Telur, Jertih, Besut.

    Pengarah JPT, Ruzaidi Mamat berkata, dua spesies ikan pemangsa yang berasal dari benua lain itu ditangkap ketika aktiviti mengeluarkan spesies ikan asing yang dijalankan pada 17 hingga 19 Jun lalu.

    Katanya, aktiviti mengeluarkan ikan asing dilakukan menggunakan teknik ‘casting’ dan pukat oleh kakitangan JPT bersama-sama tiga nelayan darat tulen sungai Besut.

    “Sebanyak 95 ekor ikan ditangkap termasuk tujuh ekor daripada spesies ikan asing iaitu ikan patin chaophraya (empat ekor) dan peacock bass (tiga ekor) manakala selebihnya merupakan spesies ikan asli atau ikan tempatan yang dikenal pasti iaitu lampam sungai, selat, patong, temperas, kawan, ketutu dan terbol,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Ruzaidi, spesies ikan asli yang ditangkap dilepaskan semula ke tasik manakala ikan daripada spesies ikan asing disimpan di dalam akuarium bagi tujuan pameran dan kesedaran awam.

    “Jika ada orang awam yang menangkap spesis ikan asing ini dari perairan tasik atau sungai kita, jangan lepaskan semula kerana ia berisiko mengancam spesies ikan asli.

    “Ikan spesies ini boleh dimakan melainkan jika ia ditangkap di kawasan perairan yang tercemar. Kita tidak galak untuk makan,” katanya.

    Menurut Ruzaidi, kehadiran ikan asing di perairan negara ini berpunca daripada ikan asing yang dilepaskan oleh pemiliknya dan terlepas ke kawasan lain apabila berlaku bencana alam.

    “Kebanyakan ikan asing ini terdiri daripada spesis ikan hiasan yang dipelihara dan dilepaskan ke perairan apabila tidak lagi dipelihara oleh tuannya.

    “Selain itu, bencana banjir yang biasanya berlaku menenggelamkan kawasan ternakan ikan berkenaan menyebabkan ikan itu terlepas ke tempat lain,” katanya.

    Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, aktiviti mengeluarkan ikan asing akan diperluas di lokasi yang dikenal pasti terdapat spesies tersebut, namun, bergantung kepada peruntukan, kekuatan sumber tenaga dan peralatan yang disediakan.

    “Spesis ikan asing ada dikesan di kawasan perairan sungai dan tasik lain di negeri ini antaranya Tasik Kenyir dan Sungai Terengganu, namun populasinya masih terkawal.

    “Bagaimanapun, jika tidak dikawal ia berpotensi mengancam populasi ikan asli dalam tempoh jangka masa panjang kerana ikan-ikan berkenaan turut menjadi sumber makanannya,” katanya.

  • Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    KANAK-KANAK lelaki lelaki berusia empat tahun yang kritikal kerana kandungan dadah dalam badan, terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang sangat lemah.

    Ibunya yang berusia 36 tahun berkata, setakat ini keadaan anak bongsu dari tiga beradik itu tiada tanda positif dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

    Dia sempat meluangkan masa setengah jam malam tadi sambil menggosok tubuh anaknya.

    “Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

    “Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.

    “Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Wanita itu berkata, anaknya juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.

    Susulan itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk membantu siasatan.

    Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Dera kucing jalanan, lelaki direman tiga hari

    Dera kucing jalanan, lelaki direman tiga hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 27 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan terhadap tularnya rakaman klip video sejak semalam memaparkan dirinya menendang serta membaling batu dipercayai serpihan bata, ke arah kucing jalanan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul pukul 1.09 pagi, Ahad lalu di kaki lima premis rumah kedai dalam daerah ini.

    Menurutnya, lelaki tersebut mendakwa dirinya mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

    “Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat kira-kira pukul 1.29 petang semalam di rumah lelaki tersebut di Kampung Pengkalan Bujang dekat Merbok.

    “Temu bual bersama ahli keluarga mangsa menyatakan lelaki itu sebelum ini merupakan pencinta haiwan malah turut membela banyak kucing di rumahnya,” katanya.

    Menerusi salah satu rakaman yang tular di media sosial, lelaki itu dilihat terlebih dulu mengumpan kucing tersebut dengan makanan, sebelum dia bertindak aneh dengan membaling batu ke arah haiwan itu hingga menyebabkan kucing berkenaan seakan menggelupur menahan sakit.

    Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki membaling batu terhadap seekor kucing yang sedang makan hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

    Dalam rakaman kedua, dia dilihat meletakkan seekor kucing lain berdekatan kereta dipandunya sebelum tiba-tiba menendang haiwan tersebut menuju ke badan kenderaan tersebut.

    Zaidy menambah, kedua-dua kucing tersebut diselamatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan telah diberikan rawatan.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap haiwan yang memperuntukan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Dalam masa sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menyiasat kes ini di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukan hukuman tiga tahun penjara atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali” katanya.

  • Keluarga Nazrin mohon pendakwaan rayu keputusan mahkamah bebas Sarimah

    Keluarga Nazrin mohon pendakwaan rayu keputusan mahkamah bebas Sarimah

    AHLI keluarga Nazrin Hassan mahu pasukan pendakwaan merayu terhadap keputusan mahkmah yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu empat tahun lalu.

    Abang kepada mangsa, Dr. Abdul Aziz, 62 berkata rayuan itu demi mencari kebenaran dan keadilan terhadap pembunuhan Nazrin, lapor Berita Harian.

    “Kita bersyukur dengan keputusan mahkamah, walaupun ia tidak memihak kepada keluarga. In shaa Allah, kebenaran akan timbul dan kami berdoa sebegitu.

    “Isu tidak berpuas hati atau tidak, kita kena terima sebagai takdir. Kita mahu terus usaha untuk cari keadilan. Jika pihak pendakwaan tidak buat rayuan, saya akan berbuat demikian dan meminta inkues bagaimana Nazrin maut,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

    Terdahulu, Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47 yang juga merupakan balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

    Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah; Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi, sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

    Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr.Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KualaLumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

    Perbicaraan yang bermula 6 September 2019 itu melibatkan Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari kerana didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

    Difahamkan, pasukan pendakwaan akan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum membuat keputusan untuk merayu atau sebaliknya terhadap keputusan berkenaan.

    Kakak Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 65, pula berkata ahli keluarga menerima keputusan itu dan berserah kepada Allah.

    “Kami hanya mahu kebenaran, itu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Shafee ketika sidang media berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pembunuhan itu berlaku antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 1 pagi 14 Jun 2018 mengikut kertas pertuduhan.

    “Seorang saksi memberi keterangan bahawa pembunuhan berlaku antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun 2018, bukan seperti dalam kertas pertuduhan. Merujuk masa pembunuhan dinyatakan saksi, ketiga-tiga OKT tidak boleh ditempatkan pada masa itu.

    “Terlalu banyak benda tidak menentu. Pihak pendakwaan tidak boleh membuktikan dengan kukuh kes ini iaitu masa pembunuhan seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan,” katanya.

  • Ambil tindakan tegas, senarai hitam syarikat yang curi balak – Husam

    Ambil tindakan tegas, senarai hitam syarikat yang curi balak – Husam

    KERAJAAN Kelantan perlu tegas termasuk menyenarai hitam pihak dan syarikat yang didakwa terlibat dalam kegiatan curi kayu balak bernilai kira-kira RM5 juta dari kompartment 25, Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.

    Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkannya berhubung kecurian balak di HSK Nenggiri sebelum ini ternyata benar apabila pihaknya sendiri telah meninjau sendiri lokasi matau di Kuala Betis, Gua Musang

    “Terdapat kira-kira 43 longgokan balak yang terletak di sebelah matau Daulah Najah Sdn. Bhd. kini telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

    “Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak memberikan penjelasan yang lanjut dan seperti tidak mahu ambil tanggungjawab berkaitan kejadian curi balak,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau selaku rakyat Kelantan berasa kesal kerana jika dibiarkan, kawasan Hutan Simpan Dara (VJR) yang sepatutnya dipelihara akan dicerobohi.

    “Masih lagi dalam proses siasatan dan apa yang penting ialah kerajaan negeri selain daripada mengakui adanya kejadian kecurian, mencari siapa pencuri yang sebenar.

    “Kalau pencuri ini terlibat dengan sedikit sebanyak ada kaitan apa-apa bentuk dengan Daulah Najah, saya berharap Daulah Najah memohon maaf kepada rakyat negeri Kelantan atas peristiwa ini dan menyenarai hitamkan syarikat yang terbabit. Sama ada kontraktor ataupun subkontraktor atau mana-mana pihak dan tindakan yang tegas diambil,” katanya.

    Pihaknya juga berharap rakyat atau mana-mana pihak dapat tampil memberi maklumat tentang kecurian hutan di kawasan seluruh negeri Kelantan.

    Katanya, Save Kelantan akan memberi sagu hati kepada orang yang memberi maklumat tentang masalah pencerobohan hutan dan hidupan liar yang terganggu.

    Sebelum ini, Husam Musa yang juga bekas Exco negeri mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan, namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn. Bhd.

    Beliau turut mendakwa, wujud kes ‘kecurian’ balak di kawasan bersebelahan, iaitu Kompartmen 25, yang membabitkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

    Mengulas mengenai kecurian Kompartmen 25, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Perhutanan sudah menyita balak terbabit untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan masih meneruskan siasatan kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

    Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata, suruhanjaya tersebut kini sedang meneliti maklumat berkenaan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “Siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • 4 termasuk 3 beradik lari dari rumah anak yatim ditemukan selamat

    4 termasuk 3 beradik lari dari rumah anak yatim ditemukan selamat

    EMPAT remaja lelaki yang melarikan diri dari rumah anak yatim, di Kuantan, awal pagi semalam, ditemukan selamat, pukul 10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia antara 13 dan 15 tahun itu ditemukan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan.

    “Tiga daripada empat remaja terbabit merupakan adik-beradik. Mereka ditemukan di rumah itu yang didiami bapa saudara seorang daripada empat remaja terbabit.

    “Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan laporan, polis melancarkan operasi mencari empat remaja lelaki, termasuk tiga beradik yang melarikan diri dari rumah anak yatim selepas menerima laporan kehilangan mereka.

    Siasatan awal, kehilangan empat remaja terbabit disedari apabila penyelia asrama berusia 35 tahun dimaklumkan penghuni asrama lain pada 12.30 tengah malam.

    Empat remaja yang juga pelajar itu dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang asrama.

    Siasatan mendapati empat remaja lelaki itu sudah menetap di rumah anak yatim itu bagi tempoh antara satu dan dua tahun.

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: mahkamah lepas dan bebaskan Samirah, dua anaknya

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: mahkamah lepas dan bebaskan Samirah, dua anaknya

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

    Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa keadaan tidak menunjukkan pelakuan tertuduh dan dua kanak-kanak itu (kini berumur 19 dan 16 tahun) mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    Katanya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pada masa yang dikatakan dalam pertuduhan berlakunya pembunuhan.

    “Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh (Samirah) dan kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2. Oleh itu tertuduh, kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2 dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh,” katanya.

    Samirah, serta dua kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 15 dan 11 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

    Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi.

    Perbicaraan kes Samirah yang didakwa membunuh suaminya itu bermula pada 6 Sept 2019.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Hazlan, LS. Leonard, S. Suresh, Savreena Kaur dan Zahria Eleena Redza.

    — BERNAMA

    .

  • 233 barangan antaranya logam, serpihan kaca dalam perut lelaki

    233 barangan antaranya logam, serpihan kaca dalam perut lelaki

    SEORANG doktor terkejut apabila menemukan syiling, paku, bateri dan serpihan kaca dalam perut seorang lelaki di Turkiye.

    Barang-barang tersebut ditemukan doktor terbabit yang membedah perut lelaki berkenaan.

    Lebih mengejutkan, doktor tersebut turut menjumpai batu dan skru, di dalam perut lelaki berusia 35 tahun itu.

    Secara keseluruhan, ada 233 barangan ditemukan di dalam perut mangsa, demikian menurut Harian Metro memetik laporan Mirror UK.

    Terdahulu, mangsa mengadu sakit perut, dan abangnya, Burhan Demir, membawa lelaki itu untuk berjumpa doktor.

    Selepas melakukan endoskopi dengan imbasan ultrabunyi dan X-ray, pakar bedah kemudian mengeluarkan semua barang berkenaan dari perut lelaki terbabit.

    Seorang pakar bedah dikenali sebagai Dr. Binici berkata, semasa pembedahan, pihaknya melihat bahawa satu atau dua paku sudah melepasi dinding perut.

    “Kami melihat bahawa terdapat dua kepingan logam dan dua batu yang berbeza saiz di dalam usus besar.

    “Kami mendapati terdapat bateri, magnet, paku, syiling, kepingan kaca dan skru. Kami membersihkan perut lelaki itu sepenuhnya.

    “Ia bukan situasi yang kita biasa lihat pada orang dewasa. Ia kebanyakannya berlaku pada zaman kanak-kanak apabila mereka tanpa sedar menelan benda asing,” katanya.

    Beliau berkata, situasi ini boleh dilihat pada pesakit psikiatri, banduan atau kes penderaan dalam kumpulan umur dewasa.

  • Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah melakukan sedaya upaya untuk membangunkan kawasan tersebut sebelum ini dan kini terpulang kepada pucuk kepemimpinan Bersatu untuk membuat keputusan.

    “Saya hanya ahli biasa dan jika dipilih saya bersedia bertanding di mana-mana kerusi sekalipun termasuk di Permatang Pauh.

    “Keputusan untuk bertanding di mana-mana kerusi itu bukan saya yang tentukan, jadi saya akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin meminta semua pihak tidak membandingkan beliau dengan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Menurutnya, keputusan beliau menyertai Bersatu sebelum ini bukan disebabkan oleh paksaan mana-mana pihak sebaliknya Bersatu menjadi pilihan wadah politiknya selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jati diri parti itu yang progresif serta inklusif sangat dekat dengan perjuangannya di dalam politik.

    “Bersatu melakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu mempertahankan dan memperkukuhkan parti bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya akan beri tenaga dan sumbangan untuk kukuhkan Bersatu.

    “Selain itu, dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik juga akan membuatkan parti ini diterima rakyat pada PRU-15,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan menyertai PKR semula susulan dakwaan berjumpa dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, perkara itu hanya spekulasi semata-mata.

  • Pesara berputih mata, rugi RM652,000 diperdaya Macau Scam

    Pesara berputih mata, rugi RM652,000 diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pesara berusia 68 tahun kerugian RM652,500 selepas ditipu sindiket Macau Scam sejak Mei lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Amran Md. Jusin berkata, warga emas terbabit membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri, semalam.

    “Kejadian berlaku apabila mangsa mendakwa dihubungi sindiket penipuan itu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

    “Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.

    “Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

    Amran berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari akaun miliknya ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

    Bukan itu sahaja, Amran berkata, suspek juga memberitahu terdapat notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

    “Tanpa usul periksa, mangsa memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek,” katanya.

    Katanya, pemindahan wang dilakukan mangsa menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu.

    Amran berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu dan memaklumkan kepada anaknya yang seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari semalam.

    Hasil siasatan awal, Amran berkata, terdapat dua kes direkodkan antara tempoh 6 Mei hingga semalam dalam lain-lain kes jenayah komersil dilaporkan.