Author: Admin

  • Reezal Merican nafi dakwaan terima dana UKSB

    Reezal Merican nafi dakwaan terima dana UKSB

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini tampil menafikan dakwaan menerima sejumlah dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Beliau menegaskan langsung tidak mengetahui tentang syarikat yang dikaitkan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    Justeru katanya, adalah mustahil untuk beliau menerima dana daripada pihak yang tidak dikenali.

    Pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

    “Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes.

    “Sebagai ahli politik dan sebagai rasa tanggungjawab saya bersedia untuk memberi kerjasama dan keterangan yang diperlukan dan juga terbuka untuk disiasat. Saya nak ulangi, saya tak kenal UKSB saya tak pernah tahu, macam mana saya nak terima sumbangan daripada syarikat yang saya tak pernah kenal?” soalnya.

    Reezal ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas dakwaan beliau antara pemimpin yang disebut menerima dana daripada syarikat UKSB.

    Terdahulu, seorang pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat terbabit.

    Selain beliau, pemimpin dan ahli politik yang turut dinamakan menerima wang daripada syarikat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

    Ujar Reezal lagi, sebagai pemimpin politik, beliau tidak menafikan ada menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan ianya disumbangkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen.

    Namun tegasnya, pihaknya tidak pernah menerima sumbangan mahupun dana daripada syarikat yang bernama UKSB.

  • Kedah bakal perkenal langkah kekang maksiat

    Kedah bakal perkenal langkah kekang maksiat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELEPAS bertegas tidak memperbaharui lesen judi, kerajaan negeri Kedah bakal pula mengumumkan beberapa langkah bagi mengekang kegiatan maksiat yang diketahui umum membawa kesan mudarat kepada masyarakat.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan Kedah menjadi negeri yang selamat dan sejahtera.

    Katanya, langkah itu juga selari dengan slogan diperkenalkan di negeri ini iaitu ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

    “Langkah ke arah itu akan diperkenalkan kemudian dari semasa ke semasa.

    “Pengumuman itu nanti bakal seiring dengan usaha kita untuk mengekang kegiatan judi dengan tidak lagi memperbaharui lesen judi di negeri ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jejak Murabbi Ummah Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang, hari ini.

    Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan, setakat ini tiada mana-mana pemilik premis judi yang membuat rayuan kepada pihaknya berhubung perkara itu.

    “Kalau ada yang nak merayu atau nak datang berjumpa sekali pun, saya tak mahu jumpa,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa memantau individu atau penceramah yang cuba membawa aliran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

    “Begitu pun keadaan di Kedah ini terkawal kerana kita ada ramai ulama ‘senior’. Kalangan ulama serta guru-guru pondok banyak membuat pengajian kitab-kitab dan konsep belajar secara berguru.

    “Kita tak ada guru agama yang lahir dari media sosial. Kita akan terus berpegang kepada ASWJ dan tidak menerima aliran selain dari itu,” katanya.

  • Kes pukul anak, bapa dituduh di katil hospital

    Kes pukul anak, bapa dituduh di katil hospital

    LELAKI yang dituduh mencederakan anaknya menggunakan kerusi plastik mengaku tidak bersalah memukul anaknya dengan kerusi plastik, semasa menjalani proses pertuduhan di wad Hospital Jempol di Jempol hari ini.

    Tertuduh, S. Mahendran, 49, yang ketika ini sedang menjalani rawatan sakit jantung membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Seysen Kuala Pilah, Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh pada pukul 8.10 malam 17 Jun lalu, dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap M. Yevaanesh, 10, dengan menggunakan tiga kerusi plastik berwarna merah yang disusun rapat.

    Harian Metro melaporkan, Kejadian itu dilakukan tertuduh disebuah rumah di Taman Satelite di Jempol.

    Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Norma kemudian menetapkan 25 Julai depan bagi sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • NIISe dengan kos RM1 bilion modenkan sistem imigresen negara-Hamzah

    NIISe dengan kos RM1 bilion modenkan sistem imigresen negara-Hamzah

    SISTEM keimigresenan negara dapat diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) membabitkan kos lebih RM1 bilion.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sudah memberikan satu tanggungjawab yang pihak berkenaan dan kontraktor perlu ambil sebagai amanah.

    “Pada masa sama kita memberikan peringatan kepada kontraktor dan pihak terbabit kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau rapi perkembangan serta status projek yang dilaksanakan di seluruh negara.

    “Untuk projek NIISe, mengikut tempoh kontrak ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2024 yang membabitkan lebih 12 kontraktor.

    “Kontrak Projek NIISe di antara Kerajaan dengan syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd sudah dimuktamadkan Mei lalu.

    “NIISe dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu,”
    katanya dalam Majlis Perasmian Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, bagi memenuhi keperluan keimigresenan semasa yang bertambah kompleks, kerajaan melalui KDN sentiasa komited menambah baik sistem keimigresenan negara sedia ada supaya menjadi lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan mesra pelanggan dari semasa ke semasa.

    Bagi tujuan itu, katanya, untuk 2021 dan 2022, peruntukan sejumlah RM889 juta diluluskan kerajaan bagi melaksanakan projek fizikal dan bukan fizikal yang bertujuan untuk memodenkan sistem keimigresenan negara.

    “Projek-projek ini selari perkembangan teknologi terkini seperti ‘Internet of Things’, ‘Big Data’ atau ‘Artificial Intelligent’, supaya sistem keimigresenan negara kekal relevan terutamanya dari segi penyampaian perkhidmatan kepada pengguna dan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara kekal terpelihara,” katanya.

  • KDN masih bertanggungjaawab saring keselamatan pekerja asing

    KDN masih bertanggungjaawab saring keselamatan pekerja asing

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) masih bertanggungjawab terhadap saringan keselamatan pekerja asing ke negara ini biarpun secara dasarnya pengambilan pekerja asing kini di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KSM kini menentukan kuota pengambilan pekerja asing yang dahulu di bawah bidang kuasa KDN.

    “Secara dasarnya pengambilan pekerja asing kini di bawah KSM. Namun, penapisan keselamatan masih dilakukan oleh KDN dahulu, kini dan selamanya,” katanya.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, saringan keselamatan itu penting supaya agensi di bawah KDN mampu memantau keberadaan pekerja asing terbabit di negara ini.

    “Jika seseorang pekerja asing itu nak masuk negara kita, kita akan buat saringan tertentu. Kalau (majikan) dah dapat kuota (bawa masuk pekerja asing), dia nak bawa masuk 100 orang sebagai contoh, dia masih perlu bayar levi kepada Jabatan Imigresen.

    “Kemudian kita periksa individu yang akan dibawa masuk itu dan mendapati bahawa ada antaranya disenarai hitam, jadi kita tak bagi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), Kuala Lumpur, hari ini.

    Hamzah berkata, bagi sektor pengawal keselamatan dan pembantu rumah, ia masih di bawah tanggungjawab KDN.

    “Sektor agensi kawalan keselamatan, (pengawal keselamatan) masih di bawah tanggungjawab KDN. Ia tiada kuota jadi tidak perlu ke KSM sebab kita yang mengeluarkan lesen.

    “Satu lagi ialah pembantu rumah. Orang tanya kenapa pembantu rumah tidak diserahkan kepada KSM, ia sebenarnya tanggungjawab individu.

    “Yang mohon pembantu rumah siapa? Jawapannya individu. Siapa nak jaga keselamatan dia? kita yang tahu sebab kita ada polis, Jabatan Imigresen,” katanya.

  • Gaduh gara-gara kereta sewa tidak dipulangkan, 5 ditahan

    Gaduh gara-gara kereta sewa tidak dipulangkan, 5 ditahan

    SERAMAI lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di tapak pasar pagi berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki pada pukul 12.35 tengah malam.

    “Sampai di lokasi, kita mendapati lima lelaki sedang bergaduh. Akibat kejadian itu, salah seorang daripada mereka lebam di muka dan dahi, dia telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, punca pergaduhan itu dipercayai akibat sewaan kereta yang tidak dipulangkan.

    “Kesemua lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund:Chandra Muzaffar bersyukur anak, dua cucu bebas tuduhan bunuh

    Kes bunuh CEO Cradle Fund:Chandra Muzaffar bersyukur anak, dua cucu bebas tuduhan bunuh

    BAPA kepada Samirah Muzaffar iaitu aktivis, Dr. Chandra Muzaffar bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang melepas dan membebaskan anak serta dua cucunya daripada tuduhan membunuh bekas menantunya empat tahun lalu.

    Beliau berkata, keputusan mahkamah itu jelas menunjukkan anak dan cucunya tidak terbabit dengan tuduhan membunuh bekas menantunya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan.

    “Alhamdulillah, inilah berita yang kita tunggu-tunggu selama empat tahun. Ia berita yang amat menggembirakan.

    “Inilah satu bukti yang jelas tentang kemenangan, kebenaran kerana kita tahu inilah kebenarannya dan kita tidak meragui langsung tentang apa yang sebenarnya berlaku kerana kita kenal baik arwah Nazrin.

    “Kita tahu bahawa hubungannya dengan anak saya (Samirah) dan anak-anak yang lain begitu mesra, begitu rapat dan akrab. Bila tuduhan itu dibuat, kami semua terkejut dengan tuduhan yang dibuat beberapa minggu selepas arwah dikebumikan.

    “Kita semua maklum peristiwa ini berlaku pada Jun 2018 tetapi tuduhan seperti bunuh ini timbul sekitar Oktober (2018). Cerita ini tiba-tiba timbul, walhal tiada bukti langsung seperti mana dibuktikan dalam mahkamah, tiada bukti langsung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, tuduhan berkenaan menimbulkan kesengsaraan yang besar kepada mereka sekeluarga serta sahabat dan selama empat tahun, mereka terpaksa menanggung bebanan dan penderitaan.

    Katanya, selama empat tahun juga Samirah tidak bekerja manakala dua cucunya pula dibebani dengan tuduhan membunuh pada usia yang masih terlalu muda.

    “Alhamdulillah selepas empat tahun, keputusan mahkamah hari ini membuktikan mereka tidak terbabit dengan tuduhan itu.

    “Samirah mungkin dapat bekerja semula, begitu juga cucu-cucu saya, seorang kini di peringkat pra universiti dan seorang lagi bersekolah.

    “Sekarang mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran kerana mereka pelajar yang bagus tanpa dibebani lagi dengan tuduhan yang amat berat itu.

    “Saya harap selepas ini Samirah dan dua cucu dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, lebih tenang dan dapat menyumbang bakti kepada masyarakat, insya-Allah,” katanya.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Samirah, 47, bersama dua anaknya dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Allahyarham Nazrin pada 2018.

    Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah yang juga balu Allahyarham Nazrin dan dua anaknya berusia 16 serta 19 tahun.

  • Tiada pertemuan antara Azmin dan PKR – PN Selangor

    Tiada pertemuan antara Azmin dan PKR – PN Selangor

    SETIAUSAHA Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor, Hilman Idham menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan pertemuan dengan pihak pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Menerusi satu kenyataan media hari ini, Hilman melihat perkara itu sebagai satu rekaan untuk menimbulkan keraguan dan kesangsian di atas pendirian Datuk Seri Mohamed Azmin.

    “Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana pemimpin PKR di seperti yang dilaporkan oleh portal media yang dipengaruhi PKR sebelum ini,” katanya, lapor Satu Berita.

    Hilman juga percaya spekulasi itu adalah satu spekulasi dan strategi jahat untuk mempersoalkan komitmen Ahli Parlimen Gombak itu terhadap Parti Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

    Selain itu, kenyataan itu juga menegaskan bahawa pucuk pimpinan yang dipecat daripada PKR sebelum ini juga tidak mempunyai hasrat untuk bersama parti yang tidak mempunyai hala tuju dalam memelihara kebajikan rakyat.

    “Pimpinan dan anggota yang dipecat sebelum ini dari PKR oleh pemimpin diktator, tidak langsung berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia rakus tanpa hala tuju untuk memelihara kebajikan rakyat,” katanya.

    Hilman turut berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan menunjukkan sepenuh komitmen terhadap perjuangan Bersatu.

    “Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali sebelum ini telah menegaskan bahawa beliau komited terhadap perjuangan Bersatu sebagai sebuah wadah politik dan akan terus berusaha untuk menyemarakkan idealism parti itu.

    “Beliau dengan tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa beliau akan memberikan tumpuan untuk bersama kepimpinan Bersatu melaksanakan dasar prihatin rakyat, mencerdaskan pemulihan dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari,” kata Hilman.

  • Pemandu lori di penjara 5 tahun, satu sebatan rogol remaja OKU

    Pemandu lori di penjara 5 tahun, satu sebatan rogol remaja OKU

    SEORANG pemandu lori sampah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, 2 Jun lalu.

    Tertuduh, Shahrul Azwan Mohd. Shahiran, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan ketika kejadian, di sebuah rumah di Bunut Payong, Kota Bharu pada pukul 2 pagi, 2 Jun 2022.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

    Berdasarkan fakta kes, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 40 tahun pada 7.10 petang, 11 Jun lalu, selepas mendapati anak perempuannya tidak balik selepas keluar rumah sebelum dihantar pulang seorang wanita tidak dikenali.

    Remaja itu memaklumkan kepada ibunya dia ditinggalkan di sebuah lorong di Paya Senang, Kota Bharu.

    Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasil siasatan mendapati dia melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh memohon mahkamah memberi hukuman ringan kepadanya, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kepada tertuduh.

  • Bekas penyelia tapak mengaku salah terima suapan

    Bekas penyelia tapak mengaku salah terima suapan

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas penyelia tapak atas pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki pada Mac tahun lalu.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Mohd Zakiuddin Ridzuan, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara selama enam bulan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah menerima daripada seorang lelaki untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM5,000 sebagai dorongan untuk tertuduh mengesahkan dokumen.

    Dokumen berkenaan adalah Request For Inspection (RFI) yang disediakan oleh sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembinaan struktur saliran di Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat sub kontraktor lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Tampin antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang pada 15 Mac tahun lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.