Author: Admin

  • Gerakan cadang pemimpin negara, GLC dipotong gaji dan elaun bantu tangani kenaikan harga barang

    Gerakan cadang pemimpin negara, GLC dipotong gaji dan elaun bantu tangani kenaikan harga barang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    BARISAN pemimpin negara daripada Perdana Menteri; Menteri-menteri Kabinet; wakil rakyat sehinggalah kepada pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran dipotong gaji dan tidak mengambil elaun dalam membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barang ketika ini.

    Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Baljit Singh berkata, adalah tidak adil untuk membiarkan rakyat kebanyakan berdepan dengan kenaikan harga barang ketika para pemimpin negara dan GLC terus menikmati gaji yang tinggi serta pelbagai elaun lain.

    Malah jelas beliau, ketika ini adalah masa yang tepat untuk para pemimpin negara berkenaan tanpa mengira latar belakang politik bersama-sama rakyat kebanyakan dalam mendepani kenaikan harga barang makanan.

    “Semua wang daripada gaji dan elaun yang dipotong itu boleh disalurkan semula kepada rakyat dan usaha ini perlu dilakukan segera bagi mengelak negara terjerumus dalam krisis sosial dan kemanusiaan yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Harga barangan dijangka naik di luar kawalan bermula 1 Julai ini selepas kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kawalan harga siling untuk ayam mentah dan telur ayam bermula 1 Julai ini.

    Tambah Baljit, para pemimpin negara juga ketika ini sedang diadili oleh rakyat berhubung bagaimana cara mereka dalam menangani krisis kenaikan harga barang yang meresahkan majoriti rakyat.

  • Teruskan pemberian subsidi, tingkat penghasilan makanan

    Teruskan pemberian subsidi, tingkat penghasilan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Persekutuan perlu mempunyai perancangan dan persediaan membantu rakyat susulan keadaan yang lebih mencabar selepas ini susulan tempoh kawalan harga siling dan subsidi berakhir pada 30 Jun ini.

    Ketua Penerangan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ini kerana kajian dan laporan menunjukkan akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan setelah tempoh berkenaan.

    “Pas Johor melahirkan kebimbangan jika perkara ini benar-benar berlaku, ianya pasti akan terus menghimpit rakyat yang sudah berada dalam kesukaran.

    “Justeru dalam usaha mengekang kenaikan harga barangan keperluan, Pas Johor mencadangkan agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi terutamanya untuk barangan keperluan utama harian.

    “Pas Johor mencadangkan kerajaan mempertingkatkan penghasilan makanan dan menambahkan lagi bank makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, pada masa sama penguatkuasaan juga perlu bagi memastikan barangan keperluan sampai kepada pengguna tanpa melalui lapisan orang tengah yang mengambil keuntungan atas angin.

    Tegas beliau, semua pihak perlu menampilkan keprihatinan masing-masing terhadap keadaan yang bakal berlaku.

    “Konsep kafaalah umum (jaminan) perlu diperkasakan melalui penggunaan wang zakat dan percukaian untuk kemaslahatan rakyat,” ujarnya.

    Beliau menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dengan kerajaan menggerakkan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat.

    Rakyat pula katanya, dinasihatkan agar membudayakan perbelanjaan berhemah dan mengekalkan budaya prihatin sesama anggota masyarakat.

    “Prihatin, ambil maklum dan peduli keadaan sekeliling kita. Semoga ahli Keluarga Malaysia terus hidup dengan harmoni dan makmur dalam menempuhi cabaran kehidupan,” katanya.

  • Bersatu tidak pernah tekan PM..

    Bersatu tidak pernah tekan PM..

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PARTI Pribumi Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan parti itu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris sebaliknya berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah berkisar kepada kouta pelantikan dalam kabinet, perjanjian dan persetujuan yang telah ditetapkan secara bersama.

    “Kita tidak pernah tekan PM, tetapi apa yang kita suarakan ialah hanya melibatkan kouta dan persetujuan bersama,” katanya kepada WartaRakyat di Marang Terengganu hari ini.

    Sehubungan itu, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu meminta agar PM menyelesaikan segera isu tersebut walaupun tempoh penggal parlimen hampir berakhir.

    “Demi menjaga nama baik dan hubungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), PM mestilahlah berani membuat keputusan melantik menteri baharu daripada kouta Bersatu mengikut persetujuan awal walaupun tempoh penggal parlimen hanya tinggal beberapa bulan sahaja.

    “Lantik dahulu, tak kiralah selepas sehari pelantikan dibuat, tiba-tiba Parlimen bubar, itu cerita lain,” ujarnya.

    Menurut Razali, tindakan itu perlu dibuat untuk menjaga nama baik Perdana Meneri dan hubungan dalam kerajaan PN.

    Razali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta PM memberi keutamaan untuk mengadakan pertemuan dalam menyelesaikan isu membabitkan Zuraida yang kini tidak lagi bersama parti tersebut.

    Ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, Muhyiddin menegaskan, pertemuan itu perlu diadakan memandangkan ia melibatkan kuota kabinet milik Bersatu seperti mana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

    Malah, Muhyiddin menyatakan sedang menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri dan meminta diberi keutamaan kerana daripada tarikh pengumuman yang dibuat oleh Zuraida kini sudah melangkau lebih dua minggu.

    Bekas Perdana Menteri itu tidak mahu mencampuri urusan Perdana Menteri, namun apa yang beliau fikirkan soal Bersatu dan kedudukan parti itu dalam kerajaan dan jawatan menteri yang memang menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Perdana Menteri dengan kepemimpinan PN.

    Beliau memberi contoh apabila Menteri Perladangan dan Komoditi Dr. Khairuddin Aman Razali keluar daripada Pas, jadi kerusi itu diisi oleh Idris Ahmad, walaupun ada rombakan Kabinet dan kuota Pas tidak terjejas.

  • Inkues kematian CEO Cradle Fund tidak dapat dipertahankan, perbicaraan sudah selesai

    Inkues kematian CEO Cradle Fund tidak dapat dipertahankan, perbicaraan sudah selesai

    SEORANG peguam, SN Nair berkata, inkues untuk menentukan punca kematian bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan empat tahun lepas tidak dapat dipertahankan kerana perbicaraan kes jenayah berkaitnya telah selesai.

    Menurut beliau, pendakwa raya telah mengemukakan tuduhannya manakala Mahkamah Tinggi juga sudah mencapai keputusan.

    “Mahkamah telah meneliti keterangan, maka inkues tidak dapat dipertahankan malah tidak terpakai,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan abang Nazrin, Dr. Abdul Aziz kepada pemberita kelmarin bahawa keluarganya berharap pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes itu.

    “Jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan meminta inkues bagi menentukan punca kematiannya,” kata Abdul Aziz.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ab. Karim Ab. Rahman membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada tuduhan membunuh suaminya, Nazrin atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Samirah, 47, dua remaja itu yang kini berusia 19 dan 16 tahun, serta pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

    Pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan, termasuk Abdul Aziz serta dua pakar patologi – Dr. Siew Sheue Fong dan Dr. Prashant Sanberker yang menjalankan dua bedah siasat berasingan ke atas mayat Nazrin.

    Nair berkata, inkues dijalankan apabila polis tidak dapat menentukan punca kematian ketika mayat ditemui.

    “Abangnya membuat kenyataan sedemikian kepada media disebabkan salah faham mengenai proses perundangan,” katanya.

    Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

  • Kerajaan perlu tangguh kenaikan tarif elektrik

    Kerajaan perlu tangguh kenaikan tarif elektrik

    SEBARANG bentuk kenaikan tarif elektrik perlu ditangguhkan sehingga krisis kekurangan bekalan yang mengakibatkan harga barangan keperluan naik mendadak kembali pulih.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penangguhan itu penting bagi melindungi rakyat dan kerajaan wajar menangguhkannya pada ketika ini.

    “Tarif elektrik dijangka akan naik mulai 1 Julai ini. Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti syarikat tenaga lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

    “Namun, kenaikan tarif elektrik ketika pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Salahuddin berkata, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan ditanggung pengguna.

    Justeru, katanya, TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 billion pasti mampu menyerap impak kenaikan kos bahan api dan operasi mereka.

    “Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang 2021, keuntungan operasi TNB meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun terbabit.

    “Pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat jika kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima BKM selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

    Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

  • Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    SEORANG lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Ulu Naha, tasik Empangan Elektrik Hidro Bakun, Belaga pada Selasa lepas, ditemukan lemas pukul 9.40 malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa Heli Nyalong, 36, dikenal pasti oleh penduduk kampung, berasal dari Blok P, Uma Bakah, Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga.

    “Pada pukul 11.30 malam semalam, PGO telah menerima panggilan daripada Komander Operasi Bomba di lokasi memaklumkan mayat mangsa telah dijumpai timbul pada jam 9.40 malam oleh penduduk kampung pada jarak lima meter dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah panjang berhampiran sementara menunggu untuk dibawa ke Hospital Nyabau, Bintulu hari ini bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk dikebumikan.

    Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Belaga menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 3.15 petang Selasa dan tempoh perjalanan menggunakan bot dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda ke lokasi kejadian adalah kira-kira empat jam. – Bernama

  • 20 bekas pelajar MRSM mengaku bersalah cederakan rakan sekolah

    20 bekas pelajar MRSM mengaku bersalah cederakan rakan sekolah

    SERAMAI 20 bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani  hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang rakan sekolah mereka pada Oktober 2020.

    Kesemua pelajar berumur antara 18 dan 19 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka.

    Bagaimanapun, mahkamah menunggu laporan akhlak yang akan diserahkan pada 10 Ogos nanti sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

    Mengikut pertuduhan, kesemua pelajar yang ketika itu berumur antara 16 dan 17 tahun dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa berusia 16 tahun di kawasan asrama sekolah berkenaan antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada 27 Okt 2020.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

    Mahkamah membenarkan kesemua pelajar itu masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Preeya manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Nurliyana Mohd Radzi.

    — BERNAMA

  • UMNO ambil risiko besar jika PRU-15 lebih awal

    UMNO ambil risiko besar jika PRU-15 lebih awal

    Oleh DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD

    UMNO nampaknya bersungguh-sungguh mahu adakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan segera. Mungkin kerana keputusan PRN Melaka dan Johor memihak kepada mereka yang membuat mereka begitu yakin.

    Walau bagaimanapun bagi pengkaji politik, kemenangan tersebut terhasil kerana sebahagian besar pemilih telah enggan menunaikan tanggungjawab mereka. Mungkin kerana telah muak dengan gelagat ‘orang politik’ di negara kita atau merasakan nasib mereka tidak akan berubah walaupun mereka keluar mengundi.

    Justeru itu faktor utama yang akan memenangkan BN dan UMNO pada PRU jika mereka menang adalah peratus keluar mengundi yang rendah.

    Jika ini berlaku di mana pemilih di atas pagar dan yang tidak berparti mengambil keputusan untuk duduk di rumah maka BN dan UMNO akan menang dengan undi teras atau ahli-ahli parti mereka. Memang tidak dapat dinafikan UMNO memiliki bilangan ahli yang ramai berbanding dengan parti-parti lain.

    ISKANDAR ABDUL SAMAD
    ISKANDAR ABDUL SAMAD

    Strategi mendesak bertubi-tubi agar diadakan PRU dengan segera bukan sahaja memberi tekanan ke atas Perdana Menteri tetapi boleh menimbulkan rasa benci pemilih terhadap politik. Terdapat dua kemungkinan apabila rakyat membenci politik atau dengan lebih tepat permainan politik yang sedang berlaku.

    Pertama rakyat enggan keluar beramai-ramai seperti yang berlaku pada PRN Melaka dan PRN Johor justeru UMNO dan BN akan menang mudah. Kemungkinan ini yang perlu diharap-harapkan oleh UMNO jika mahu menang. Keputusan ini tidak langsung ada kena mengena dengan stabiliti dan kemakmuran yang dilaungkan oleh UMNO.

    Kemungkinan kedua adalah rakyat tidak akan berdiam diri. Mereka nampak siapa yang bersungguh-sungguh mahukan pilihan raya demi untuk menyelamatkan batang leher mereka.

    Mereka nampak siapa yang hanya bermain politik tanpa memikir nasib rakyat. Pada kemungkinan kedua ini, rakyat tidak berdiam diri tetapi keluar untuk menghukum mereka yang mementingkan diri sendiri. Kemungkinan ini yang digeruni oleh UMNO dan BN.

    Pada hakikatnya UMNO akan mengambil risiko yang besar jika benar PRU akan diadakan awal. Mungkin mereka terlupa atau ‘under estimate’ pengundi-pengundi muda atau Undi18.

    Dengan pendaftaran automatik, terdapat 5.8 juta pemilih baharu dan dengan 15.3 juta sedia ada jumlah pemilih adalah 21.1 juta. Lebih 27 peratus adalah pemilih yang baharu. Dari jumlah tersebut 1.2 juta pemilih berumur di antara 18 hingga 20 tahun atau 5.7 peratus dari keseluruhan pemilih.

    Satu lagi fakta yang menarik adalah bilangan pengundi di antara 21 hingga 40 tahun telah meningkat berbanding ketika PRU tahun 2018. Jika PRU diadakan pada tahun ini sepertimana yang dituntut oleh UMNO, 58 peratus pengundi adalah di dalam peringkat tersebut berbanding 40 peratus dalam tahun 2018.

    Peningkatan 18 peratus pemilih di bawah 40 tahun adalah satu jumlah tidak boleh dipandang ringan. Sementara 1.2 juta peratus atau 5.7 peratus pemilih di antara 18 hingga 20 tahun adalah juga satu jumlah perlu dipandang serius oleh parti-parti politik. Mereka akan menjadi penentu malah ‘kingmaker’ jika berlaku perpecahan undi apabila beberapa parti politik bersaing.

    Sebelum ini terdapat mereka yang menyatakan pandangan bahawa pemilih-pemilih muda ini tidak matang. Kononnya mereka senang disogok dengan menawarkan mereka telefon bimbit atau ‘sim card’. Kononnya mereka senang tertarik dengan calon-calon yang ‘handsome’ atau cantik. Tetapi sebenarnya pandangan-pandangan seperti ini adalah satu cerita dongeng seperti naga di Tasik Cini.

    Generasi muda hari ini adalah lebih bermaklumat dari ibu bapa mereka. Pemikiran generasi TikTok dan Instagram ini bukan kosong tetapi sarat dengan pelbagai maklumat. Sama ada maklumat itu benar atau tidak bukan isunya. Cabarannya bagaimana untuk menyaingi maklumat-maklumat tersebut. Sudah tentu cara lama tidak lagi sesuai.

    Saya pernah merungut di hadapan anak saya sebelum beliau menduduki peperiksaan SPM mengenai sebuah projek kerajaan yang tidak berjaya. Dengan selamba beliau menjawab kalau projek tidak berjaya sudah tentu telah diberikan kepada kroni. Begitu kritikal anak muda hari ini.

    Mereka bukan ‘kosong’ dari segi politik seperti ramai yang andaikan. Kita tidak boleh menyogok maklumat kepada mereka tanpa memberikan justifikasi. Mereka banyak bertanya dan kita mesti menjawab. Zaman ibu bapa boleh berkata, “Ikut sahaja apa yang ayah dan emak undi telah lama berlalu”.

    Baru-baru ini keputusan SPM untuk 2021 telah diumumkan dan jika PRU diadakan tahun ini, ramai yang menerima keputusan peperiksaan tersebut akan dapat mengundi untuk menentukan parti atau parti-parti mana yang akan menjadi kerajaan. Malah bukan sahaja mengundi tetapi juga boleh menjadi calon pada PRU tersebut.

    Mungkin ada yang macam tidak percaya terhadap perkembangan ini. Hanya beberapa bulan selepas menjawab soalan SPM mereka berhak memilih siapa wakil rakyat mereka. Tetapi ini adalah realiti yang kita perlu hadapi.

    Di antara yang sikap yang paling ketara pada anak muda hari ini adalah mereka tidak suka dikongkong. Mereka tidak mahu ‘ditunjuk-tunjuk’ atau ‘disuruh-suruh’. Mungkin ada yang boleh tetapi kita mahu menarik kesemua dan bukan hanya segelintir.

    Zaman di mana satu program sesuai untuk semua juga telah berakhir. Perlu ada kepelbagaian. Bukan sekadar futsal dan menukar minyak motosikal sahaja. Perlu kreatif.

    Ketika ADUN dahulu saya pernah dijemput untuk merasmikan pertunjukan ‘Street Dancing’ di sebuah kompleks membeli-belah. Peserta-pesertanya terdiri dari anak-anak muda dan saya terkejut dengan fesyen pakaian dan rambut mereka yang berwarna-warni.

    Mereka datang dari kawasan saya tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan mereka. Ketika itu saya terfikir hampir mustahil untuk parti politik seperti PAS melalui Pemuda atau Ameerah untuk menembusi mereka. Terdapat banyak ‘subculture’ di kalangan anak muda yang kita tidak sedar.

    Awal tahun ini saya mencari kedai menjual CD dan melalui internet berjumpa dengan sebuah kedai di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Di sana saya terkejut kerana terdapat CD-CD yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan (band) ‘independent’ atau ‘Indie’ iaitu kumpulan yang tidak bernaung di bawah label rekod utama.

    Tidak terkira berapa banyak. Ada CD yang mereka hasilkan membawa isu-isu politik. Sekali lagi saya terfikir bagaimanakah parti-parti politik hendak menembusi anak-anak muda ini atau mengadakan ‘engagement’dengan mereka?

    Mereka ini bukan tidak peduli dengan perkembangan politik tetapi mereka memiliki pendirian tersendiri. Sudah tentu memerlukan pendekatan dan sikap yang baharu. Jangan ‘underestimate’ mereka.

    Penulis ialah Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH). Artikel yang dipetik dari portal Harakahdaily ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi WartaRakyat.

  • Mampukah rakyat harungi bulan Julai?

    Mampukah rakyat harungi bulan Julai?

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    KEPUTUSAN kerajaan menarik subsidi minyak masak botol 3 hingga 5 kilogram (kg) mulai 1 Julai ini ternyata mengundang perasaan marah banyak pihak kerana ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.

    Sungguhpun kerajaan mengatakan ia bagi memastikan bekalan bahan makanan itu stabil dalam pasaran, ia bukanlah justifikasi sewajarnya untuk menarik subsidi bahan keperluan utama dapur itu.

    Pertamanya, Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia tetapi rakyat sendiri sengsara perlu membeli minyak masak dengan harga yang tinggi.

    Ketika ini dalam keadaan kerajaan masih memberikan subsidi minyak masak, harga bagi 3 kilogram minyak masak botol ialah kira-kira RM32 manakala bagi minyak masak 5kg, ia mencecah RM50 sebotol. Apabila kerajaan menarik subsidi, maka sudah pasti harga minyak masak tersebut akan meningkat dengan drastik.

    Walaupun kerajaan berkata subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan, ia bukan jaminan ia akan membantu rakyat kerana ia amat sukar diperoleh di pasaran. Minyak masak jenis paket juga sering menjadi buruan peniaga-peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada bahan keperluan masakan itu.

    Peniaga goreng pisang, peniaga roti canai dan peniaga kecil-kecilan lain sudah pasti tidak mampu untuk menggunakan minyak masak botol dalam masakan mereka.

    Adalah amat mengecewakan apabila menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengguna dan kerajaan khususnya mengambil langkah ‘senang’ mengumumkan penarikan subsidi berbanding mencari solusi untuk meringankan beban rakyat.

    Kesusahan rakyat makin bertimpa-timpa apabila pada bulan hadapan harga ayam boleh mencecah RM15 sekilogram selepas skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini. Dengan kenaikan harga ayam itu, sudah pasti harga makanan yang berkaitan dengan ayam akan mengalami kenaikan mendadak.

    Sudahlah impak bekalan ayam baru-baru ini yang masih belum reda sepenuhnya, kini rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan ayam yang diramalkan peniaga sebagai paras tertinggi yang pernah direkodkan. Tidak cukup dengan kenaikan dua bahan mentah utama itu, terdapat ura-ura yang mengatakan tarif elektrik akan dinaikkan kerana kos penjanaan elektrik yang meningkat mendadak.

    Apabila ahli ekonomi mula memberi pandangan bahawa tarif itu terpaksa dinaikkan, maka ia adalah signal bahawa rakyat perlu bersedia dengan kenaikan tarif elektrik. Ayat-ayat yang selalu kita dengar golongan bersasar akan terus dibantu dan kenaikan tidak membebankan adalah ‘jaminan’ yang tidak akan melegakan rakyat.

    Golongan pertengahan yang sering tercicir akan terus tercicir kerana sering dianggap tidak terkesan tetapi sebenarnya mereka amat memerlukan bantuan ketika ini.

    Berbalik kepada ura-ura kenaikan tarif elektrik, apabila ia dilaksanakan kelak, sudah pasti rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang yang lain.

    Seperti yang kita sedia maklum, apabila pihak industri terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bil elektrik, mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna akhir iaitu rakyat. Maka, seperti biasa rakyat terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis kenaikan harga barang.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.86 bilion pada 31 Disember tahun lalu sepatutnya menangguhkan dahulu kenaikan pada ketika ini kerana jika dilaksanakan juga, sudah pasti memberi kesan berganda kepada rakyat.

    Lagipun sebagai syarikat monopoli, tiada istilah rugi dicatatkan oleh syarikat gergasi tersebut melainkan pada sesetengah keadaan, ia hanya mencatatkan pengurangan keuntungan.

    Oleh itu, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang melibatkan kos sara hidup rakyat kerana ketika ini rakyat sudah cukup terkesan dengan apa yang berlaku.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

  • Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    SEORANG pengedar dadah ditahan dari anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan merampas dadah jenis syabu di Iskandar Puteri, pukul 3.20 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek warga tempatan itu ditahan polis bersama sejumlah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencingnya juga positif methamphetamine.

    “Modus operasi suspek ini adalah dengan menyewa rumah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah bagi mengaburi pihak polis.

    “Hasil semakan rekod lampau, suspek juga mendapati dia mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Rahmat berkata, dalam serbuan itu, 903 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM32,500 dirampas, manakala sebuah kereta Mercedes Benz E250 bernilai kira-kira RM70,000 disita.

    Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Pada masa sama, Rahmat meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung aktiviti individu yang disyaki mengedar dadah.

    “Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan pengedar dadah kepada pihak polis bagi memudahkan kita mengesan dan menangkap pengedar dadah ini,” katanya