Author: Admin

  • SPRM tahan enam lelaki disyaki rasuah lulus ujian GDL

    SPRM tahan enam lelaki disyaki rasuah lulus ujian GDL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lelaki termasuk dua pegawai penguat kuasa agensi kerajaan kerana disyaki terlibat rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas Kenderaan Perdagangan (GDL) di institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.

    Semua suspek yang berusia antara 35 dan 65 tahun itu ditahan pukul 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pengajar institusi memandu.

    Empat daripada mereka direman lima hari, seorang suspek tiga hari (reman) manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM atas sebab faktor kesihatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Khas Reman di Seremban, hari ini.

    Menurut sumber, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 sehingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Anggota polis trafik mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Anggota polis trafik mengaku tidak bersalah terima rasuah

    SEORANG anggota polis trafik didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800 bagi melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan.

    Mohd. Hanif Mohamad, 36, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut keenam-enam pertuduhan, tertuduh yang berpangkat koperal didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM16,800 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik sebuah syarikat pengangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi pindahan dalam talian melalui akaun Maybank milik sebuah syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise antara Januari 2016 hingga Februari tahun lalu, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada makamah.

    Peguam tertuduh, Ishak Mohd. Kari memberitahu mahkamah, bahawa tertuduh tidak memiliki pasport serta memohon jaminan rendah kerana tertuduh perlu menanggung keluarga termasuk dua adik yang masih belajar.

    Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 22 Ogos depan untuk serahan dokumen.

  • Sediakan pelacur secara pandu lalu di belakang kedai kopi

    Sediakan pelacur secara pandu lalu di belakang kedai kopi

    SATU kegiatan pelacuran di beberapa kedai kopi di Kuala Lumpur terbongkar baru-baru ini semasa diserbu pihak berkuasa.

    Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, mereka menjalankan perniagaan kedai kopi di pintu depan manakala di bahagian belakang menyediakan pelacur.

    “Itu modus operandi dilakukan sindiket pelacuran di ibu kota bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan pihak berkuasa.

    “Malah mereka juga hanya menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk mengambil pelacur secara pandu lalu.

    “Pihak DBKL mengesan modus operandi itu dijalankan di beberapa premis sekitar ibu kota ini.

    “Pelanggan hanya mengambil wanita berkenaan di pintu belakang untuk dibawa ke hotel.

    “Sindiket ini tetap akan beroperasi selagi kerana terdapat permintaan yang tinggi oleh pelanggan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

    “Selain itu, premis terbabit juga boleh ditutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    “Jika terdapat pembinaan struktur dinding yang tidak sah, tindakan meroboh juga boleh diambil serta-merta,” katanya.

  • Warga Felda bantah keputusan naikkan elaun pengerusi, ahli pengarah FGV

    Warga Felda bantah keputusan naikkan elaun pengerusi, ahli pengarah FGV

    KEPUTUSAN FGV Holdings Berhad (FGV) menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya mendapat tentangan dan tidak dipersetujui warga Felda kerana merasakan ini bukanlah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

    Menurut mereka, FGV yang merupakan entiti milik Felda menerusi pegangan 80 peratus seharusnya menumpukan kepada usaha pemulihan memandangkan harga minyak sawit mentah sedang mengukuh dan mendatangkan keuntungan kepada syarikat terbabit.

    FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada semalam mengumumkan majoriti pemegang sahamnya meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pada hari sama.

    Antara usul yang terkandung ialah menaikkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV daripada RM300,000 kepada RM480,000.

    Ini bermaksud elaun yang diterima meningkat daripada RM25,000 sebulan kepada RM40,000.

    Selain itu, imbuhan pengarah bukan eksekutifnya pula meningkat daripada RM120,000 kepada RM150,000 bersamaan peningkatan daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

    Kenaikan elaun itu akan bermula pada 24 Jun 2022 sehingga tempoh AGM akan datang.

    Dalam pada itu, keputusan AGM itu turut meluluskan pemberian satu kereta syarikat sekurang-kurangnya 2,000cc bagi kegunaan pengerusi bukan eksekutif disertakan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000.

    Sebelum ini, elaun pengerusi bukan eksekutif menerima RM15,000 elaun syarikat sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan.

    Berdasarkan maklumat pada laman sesawang rasmi FGV, pengerusi bukan eksekutifnya pada ketika ini ialah Dzulkifli Abd Wahab.

    Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, ramai dalam kalangan warga Felda tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bimbang ini akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan peneroka.

    Beliau berkata, ini kerana, warga Felda merasakan FGV dan Felda seharusnya fokus kepada pelan pemulihan melalui Kertas Putih yang dibentangkan pada April 2019.

    “Laksanakan dulu pelan pemulihan sebab masih banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    “Kita sebagai warga Felda melihat tiada kewajarannya. Malah, (kenaikan) ini agak melampau.”

    Menurut Mazlan, FGV sewajarnya mengambil kira beberapa perkara termasuk kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga makanan dan barangan sebelum membawa usul kenaikan elaun tersebut ke AGM.

    “Malah, dianggarkan hampir 70 peratus peneroka Felda generasi pertama sudah meninggal dan kini pendapatan yang diperoleh perlu dibahagikan antara waris atau generasi peneroka seterusnya.

    “Pendapatan yang dimiliki pun tidak besar, bayangkan jika perlu bahagikan.

    “Dengan keadaan begini, tiba-tiba FGV umumkan kenaikan elaun Pengerusi sebanyak RM120,000. Justeru ia tiada kewajaran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Zainal Abidin Ahmad berkata FGV sebaiknya membatalkan keputusan menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya.

    Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada FGV sedia menurunkan kembali elaun tersebut apabila harga minyak sawit mentah kembali menyusut.

    “Persoalan sekarang, memang betul harga sawit tengah naik dan ini mendatangkan keuntungan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Tetapi apabila harga sawit kembali turun, adakah elaun pengerusi akan turut diturunkan,” soalnya.

    FGV pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai dan kepetingan minoriti (PATAMI) kepada RM1.17 bilion, meningkat lapan kali ganda berbanding RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

    Pendapatan tahunannya turut meningkat 39% kepada paras tertinggi RM19.57 bilion berbanding RM14.07 bilion pada 2020.

  • Hanya 30 saat dapat curi kereta mewah

    Hanya 30 saat dapat curi kereta mewah

    POLIS menumpaskan sindiket curi kereta mewah ‘Geng Ah Beng’ dengan tertangkapnya 10 suspek dalam Op Lejang Mewah di Perak, Pahang, Kedah dan Johor pada 17 hingga 22 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April lalu dengan menyasarkan kereta mewah yang diparkir di kawasan perumahan.

    Menurutnya, menggunakan beberapa jenis peranti dan alat khas, ahli sindiket mampu mengumpil masuk sebuah kenderaan dalam tempoh 30 saat serta melumpuhkan sistem keselamatan untuk menghidupkan kereta berkenaan dalam dua minit.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    “Modus operandi sindiket adalah mencuri kereta mewah di taman perumahan atau apartmen pada waktu malam dan awal pagi kemudian di jual di negara jiran melalui orang tengah. Kereta-kereta terbabit dijual dengan nilai RM7,000 hingaa RM25,000”.

    “Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan dengan pecahan kes sebanyak tujuh di Selangor, Gombak (empat), Johor (lapan), Kuala Lumpur (empat), Perak (tiga) dan satu kes di Pahang,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di Gombak, hari ini.

    Beliau berkata, peranti khas yang mampu melumpuhkan sistem keselamatan elektronik dalam kereta-kereta mewah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara luar, lapor Sinar Harian.

  • Pemilik resort, bot didenda RM5,000 cuai dalam kes 4 penyelam hilang

    Pemilik resort, bot didenda RM5,000 cuai dalam kes 4 penyelam hilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMILIK resort dan bot penumpang yang terlibat dalam kejadian empat penyelam hilang di perairan Pulau Tokong, Mersing pada 6 April lalu didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Zon Maritm Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, hukuman itu dijatuhkan ke atas syarikat Winter Snow Sdn Bhd selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Rashida Baharom.

    “Hukuman berkenaan dibuat di bawah kaedah 12 Peraturan Bot 1953. Tertuduh didakwa beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana disyaratkan oleh pegawai pelabuhan.

    “Syarikat itu tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Azlan Bohari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, selepas kejadian tersebut, satu siasatan lanjut dilakukan ke atas pengusaha resort dan bot serta pengendali bagi mengenal pasti

    punca-punca kemalangan atau kecuaian yang berlaku.

    Hasil siasatan lanjut katanya, mendapati semasa hari kejadian, bot tidak dikendalikan denagn kru yang mencukupi sebagaimana dikehendaki oleh pegawai pelabuhan di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952.

    Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika membuat latihan selaman di perairan Tokong Sanggol dan tiga daripadanya ditemui selamat termasuk jurulatih selam.

    Bagaimanapun seorang remaja lelaki yang merupakan seorang daripada anak mangsa yang terselamat itu tidak ditemukan sehingga kini.

  • PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera jika mahu membina kekuatan kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

    “PRU-15 juga perlu dilakukan apabila semua pihak bersedia dalam apa juga keadaan yang melanda ketika ini.

    “Memang pada dasarnya, kita bersetuju pilihan raya umum diadakan hingga habis penggal tapi kalau dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan perlu disegerakan PRU itu.

    “(Kena) tengok keadaan dan kena ada persediaan, kalau tak ada persediaan tak boleh buat pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ketika ditanya mengenai cadangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas yang mencadangkan parti itu menggunakan logo sendiri pada PRU-15, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas masih menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15.

    “Itu pandangan peribadi (dan) sehingga hari ini, kita masih memakai simbol PN,” katanya.

    Sebelum ini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sebarang keputusan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat adalah pendekatan yang tidak sesuai.

    Dr. Mahathir dipetik berkata, ini kerana terdapat kebimbangan dalam pelbagai pihak termasuk beliau sendiri sekiranya kes Covid-19 akan berterusan meningkat seandainya PRU-15 diadakan.

  • Sultan Ibrahim selar cadangan DAP mahu adakan perhimpunan jalanan

    Sultan Ibrahim selar cadangan DAP mahu adakan perhimpunan jalanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor tidak bersetuju dengan cadangan pemimpin DAP supaya mengadakan perhimpunan jalanan sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

    Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, itu bukan cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

    “Justeru suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

    “Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih.

    “Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita, tiada yang menang.Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.

    “Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

    Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat berhimpunberamai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

    Sultan Ibrahim bertitah, perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan permulihan negara daripada pandemik Covid-19.

    “Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah baginda.

  • Kluster ILI dikesan di sekolah menengah berasrama di Petaling

    Kluster ILI dikesan di sekolah menengah berasrama di Petaling

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kejadian kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Petaling dikesan pada Selasa lepas.

    Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata kluster tersebut dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak dan kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lepas.

    “Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak adalah 191 orang pelajar dengan kadar serangan jangkitan 32.5 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar telah disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.

    “Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian COVID-19 yang dijalankan ke atas 30 orang pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif,” katanya.

    Datuk Dr Sha’ari berkata hasil dari penilaian risiko dijalankan oleh PKD Petaling serta perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, penutupan sementara asrama telah dijalankan bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

    “Asrama terbabit akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling,” katanya.

    Menurutnya, pemantauan yang dijalankan oleh JKN Selangor terhadap jangkitan ILI di negeri itu mendapati situasi masih terkawal namun penularan jangkitan di institusi pendidikan, terutamanya sekolah-sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

    “Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kurangnya penekanan kepada aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah-sekolah, pertambahan aktiviti dijalankan secara berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan pusat-pusat jagaan, sama ada kerajaan mahupun swasta agar sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri.

    “JKNS akan terus memantau situasi dan tren kejadian ILI di Selangor, serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya,” katanya. – Bernama

  • Mahkamah benar Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

    Mahkamah benar Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan syarikat pelaburan strategi negara itu.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul Kanda menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor Berita Harian.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan bekas Najib dalam membuat pindaan berkenaan, bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Prosiding perbicaraan kes itu bersambung dengan Arul Kanda memberikan keterangan pagi ini.