Author: Admin

  • Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    TINDAKAN nekad seorang lelaki yang cuba meloloskan diri dengan memecut laju kereta semasa pemeriksaan polis di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long, Kajang, semalam membongkar penemuan dadah.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pukul 11.10 pagi, kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 23 tahun telah melanggar kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kereta orang awam semasa cuba melarikan diri.

    Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Lebuhraya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long.

    “Pemeriksaan polis telah menemui bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai kira-kira RM693.

    “Suspek yang memiliki rekod lampau bersabit kes dadah itu juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Tambah Mohd. Zaid, Polis Daerah Kajang menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan dadah khususnya di daerah ini boleh disalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

  • Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    SEBANYAK 383 tangkapan membabitkan jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga Mei lalu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid.

    Menurut beliau, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi dan 249 daripada keseluruhan tangkapan sudah dituduh di mahkamah.

    “Kes penipuan jual beli dalam talian mencatatkan 189 kes manakala 66 tangkapan membabitkan pinjaman tidak wujud, sebanyak 51 tangkapan bagi kes skim pelaburan, penipuan tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

    “Modus operandi seperti Macau Scam ini, mereka menggunakan nombor tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Mereka memaklumkan mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk langgar lari, dadah atau penggubahan wang haram dan melarang mangsa untuk memberitahu sesiapa,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, sindiket Macau Scam sangat kreatif kerana terdapat peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu dan pihaknya sentiasa memberikan pendedahan, kesedaran serta kempen bagi mencegah orang daripada menjadi mangsa.

    “Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 839 kes jenayah komersial dilaporkan di negeri ini iaitu peningkatan 6.87 peratus iaitu sebanyak 785 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak menjadi keldai akaun menerusi iklan di laman sosial yang menawarkan untuk menyewa nombor akaun bank.

    “Mereka sanggup bersubahat dengan ‘scammer’ bagi mendapatkan wang, melakukan jenayah dengan menganiaya orang lain. Saya mahu ingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga,” katanya.

  • Tiga lelaki merusuh ditahan selebihnya masih diburu

    Tiga lelaki merusuh ditahan selebihnya masih diburu

    TIGA lelaki ditahan kerana terlibat dalam kes rusuhan dan perbuatan khianat terhadap beberapa buah kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, ibu negara, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor.

    Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 41 tahun dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.

    “Usaha mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan dan individu terbabit dalam insiden tersebut diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sejak Isnin lalu, satu video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta tular dalam media sosial.

    Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Apa hal Zahid ‘cemburu’ sangat kat Muhyiddin?

    Apa hal Zahid ‘cemburu’ sangat kat Muhyiddin?

    TT gelak guling-guling bila baca kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta kerajaan membubarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana mendakwa gagal menjalankan fungsi sebenar penubuhannya.

    Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk yang tengah dok bela diri kat mahkamah tu, ia juga sejajar dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi mengelakkan percanggahan dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani inflasi.

    Kenyataan Ahmad Zahid kelihatan macam bijak tetapi sebenarnya menampakkan betapa celarunya pandangan Ahmad Zahid. Sebelum ini Ahmad Zahid juga yang kata Parlimen perlu dibubarkan bagi membolehkan sebuah kerajaan stabil diwujudkan.

    Mungkin Ahmad Zahid suka perkataan ‘bubar,bubar’ ni. Sebab itulah apa-apa sikit beliau minta bubar, bila permintaan bubar Parlimen tak dilayan oleh Ismail Sabri Yaakob sekarang beliau minta bubar MPN.

    TT nak cakap macam ni, kalau betul lah kerajaan tak stabil macam mana pula Zahid boleh sokong Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi? Bukankah dalam pasukan ini ada menteri daripada parti lain termasuk Bersatu contohnya?

    Ahmad Zahid kata, :

    ‘’ Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa menteri merupakan langkah baik sejajar dengan saranan saya untuk menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti mahkamah  dengan lebih tersusun  melalui kerjasama rentas kementerian.

    ‘’…memberikan kelapangan kepada kementerian-kementerian dan menteri-menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang berkesan ini.’’

    Maknanya kerajaan stabil sebab semua kementerian boleh bekerjasama menangani isu negara walaupun datang daripada parti berbeza.

    Ia juga selari dengan apa kata Ismail Sabri sebelum ini, tak perlu buat PRU-15 secepat mungkin kerana kerajaan stabil berikutan tidak ada pertentangan besar antara parti-parti dalam Kabinet. Ertinya yang Ahmad Zahid dan kawan-kawannya dok desak PRU bermotif politik la bukan soal kerajaan tak stabil.

    Satu lagi TT nak tanya, yang Ahmad Zahid nak menyibuk minta MPN dibubarkan apa hal? Adakah beliau mahu mengalih isu berikutan apa yang didedahkan oleh Datuk Seri Tajuddin Rahman pada Isnin lalu?

    Atau Ahmad Zahid semakin rimas dengan pelbagai cerita yang keluar di mahkamah? TT tak mahu tuduh apa-apa cuma TT nak nasihatkan Ahmad Zahid janganlah dengki sangat dengan Muhyiddin Yassin. Cukuplah dulu Ahmad Zahid yang bersama 14 lagi Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

    Tak kan bila Muhyiddin jadi Pengerusi MPN pun Ahmad Zahid nak ganggu jugak? Atau Ahmad Zahid nak jadi Pengerusi MPN selepas peluang nak jadi PM semakin gelap?

    Kecemburuan Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin nampak sangat bila mendakwa MPN hanyalah platform untuk memberikan Muhyiddin peluang bagi menaikkan diri sendiri serta Bersatu. Soalnya bila masa pula Muhyiddin berbuat demikian?  Yang orang nampak Muhyiddin kerap mempengerusikan mesyuarat dengan menteri-menteri daripada pelbagai parti, jadi kenapa Ahmad Zahid cemburu sangat?

    Dalam bab inflasi ni Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sudah pun menyentuh hal ini kira-kira dua minggu lalu ketika di Pagoh. Mungkin Ahmad Zahid kurang membaca jadi beliau terlepas pandang kenyataan Muhyiddin pada 24 Jun lalu di mana bekas Perdana Menteri itu berkata,;

    Kerajaan perlu bersedia termasuk merangka pelan jangka panjang dan holistik dalam berdepan isu kenaikan harga barang ketika ini. Ini termasuk isu inflasi yang sedang melanda negara kini.

    “Memang ada langkah (diambil kerajaan) tetapi (memerlukan dalam) konteks yang lebih besar. Bukan setakat sekarang tetapi masa ke hadapan ini. (Kalau) ikut pihak antarabangsa situasi akan bertambah lebih buruk, jadi kena lebih bersedia bagamana tangani masalah seperti ini,” katanya.

    MPN berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan, sama ada nasihat itu akan dilaksanakan atau tidak, terserah kepada kerajaan. Jadi Ahmad Zahid tak faham ke siapa penasihat, siapa pelaksana sehingga beliau menggunakan ayat..’’MPN yang dipengerusikan Muhyiddin tidak lagi berkesan, tidak perlu dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan menangani masalah-masalah rakyat.’’

    Nak bercanggah macam mana, kalau MPN hanya menasihat, sama ada akan bercanggah atau tidak kerajaan tentukan…tak kan itupun Ahmad Zahid tak faham?

    Oleh itu sama ada MPN berkesan atau tidak, biarlah Perdana Menteri tentukan Ahmad Zahid dok lah diam-diam, tak payahlah nak usaha alih isu. Ahmad Zahid patut jawab secara telus apa yang sudah didedahkan oleh Tajuddin terutamanya menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    Bukan apa TT kasihan kat ahli-ahli UMNO dalam Dewan Merdeka dulu, bersorak gembira bila Ahmad Zahid kata ‘No Anwar, No DAP’ tetapi bila Tajuddin dedahkan kedudukan sebenar mesti mereka terkebil-kebil. Ahmad Zahid juga boleh dianggap gagal sebagai Presiden UMNO kerana mengelirukan ahli-ahli parti itu.

    Lagipun cukup-cukuplah kaitkan soal gagal dengan Muhyiddin. Semua orang dah tahu, apa yang berlaku kepada Muhyiddin bukan kerana kerajaan beliau gagal urus Covid-19 tetapi sebab mainan politik? Angkara siapa…Tajuddin ada jawapannya.

    *Tebuan Tanah berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Untitled post 39772

    Zahid Hamidi minta kerajaan bubarkan Majlis Pemulihan Negara.

    Selepas pendedahan Tajuddin… Zahid tu ada kredibiliti lagi ke?

  • UMNO semakin retak, peluang kedua bagi Pakatan Harapan

    UMNO semakin retak, peluang kedua bagi Pakatan Harapan

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    SELEPAS kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Oktober 2021 dan PRN Johor, Mac 2022 keyakinan begitu tinggi dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk meraih kemenangan mutlak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14).

    Tetapi di hujung bulan Jun 2022, UMNO mula mengalami retak yang menanti pecah. Ia bermula dengan pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari jawatan Majlis Tertinggi UMNO.

    Pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu menghancurkan reputasi Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Presiden UMNO sama sekali. Terlalu banyak rahsia di dalam kelambu UMNO diburaikan oleh bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu.

    Mengikut hukum fizik Newton, universe ataupun alam jagat mempunyai satu pusat graviti sahaja. Jika ada dua pusat graviti semua planet di universe ini akan berantukan, berlanggar sesama sendiri. Kemusnahan akan terjadi selepas itu. Tetapi kini UMNO mempunyai dua pusat graviti. Satu di PWTC dan satu lagi di Putrajaya.

    UMNO sudah pecah sekarang. UMNO bukan lagi satu kekuatan politik yang padu dan ampuh. Presiden UMNO, Zahid Hamidi sudah hilang apa jua integriti yang ada sebagai seorang pemimpin politik akibat daripada pendedahan demi pendedahan dari rakan politik Perak yang berkubu di Pasir Salak bersejarah.

    Datuk Seri Najib Razak pula bekas Perdana Menteri dan “de facto” pemimpin UMNO yang ingin membuat “coming back” menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada UMNO.

    Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib sudah gagal untuk mendapatkan kercayaan rakyat lagi. Tiada rakyat di sesebuah negara yang berdaulat dan bermaruah mahukan pemimpin yang boleh disifatkan “seperti tikus untuk memperbaiki labu”.

    Jadi kini UMNO hanya tinggal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja lagi. Hanya Ismail Sabri yang boleh diharap untuk menjadi “poster boy” bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

    Tetapi Tajuddin Abdul Rahman juga yang telah mendedahkan bahawa Ismail Sabri tak termakan dengan “gula-gula” poster boy yang ditawar oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk kepada Ahli Parlimen Bera. Lebih-lebih lagi ada precedent atau duluan di mana pernah berlaku “lain di order, lain pula yang diterima” dalam babak lucu pemilihan Menteri Besar Johor Mac 2022 yang lalu.

    Setakat hari ini, esok lusa belum tahu, tetapi demi bersangka baik bahawa masih ada orang baik-baik dalam UMNO, maka kelihatannya, imej Ismail Sabri Yaakob masih kelihatan bersih jika dibandingkan dengan “watak-watak dalam kluster mahkamah”.

    Mungkin sebab itu Pakatan Harapan sudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri YB dari Bera itu. Satu lagi yang orang ramai nampaknya merestui bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak mahu “kacau” dan tidak mahu “campur tangan” dalam urusan mahkamah terhadap tokoh-tokoh berprofail tinggi dalam “kluster mahkamah” dari UMNO itu.

    Hal itu terjadi bukan secara kebetulan walaupun Ismail Sabri profesyen awalnya sebelum terjun ke dunia politik adalah seorang peguambela dan peguamcara yang bertauliah. Benar beliau mempunyai tradisi menghormati kebebasan badan kehakiman tetapi realiti kini ialah wujud syarat nyata bertulis di dalam MoU bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri mesti menjamin kebebasan kehakiman.

    Demikian antara syarat yang dikenakan oleh Pakatan Harapan terhadap kerajaan sekarang. Patut kita tabik dan salute kepada PH dalam pendiriannya yang berprinsip ini.

    Ramai yang masih sayang dengan Perdana Menteri “Keluarga Malaysia” yang suka pakai baju fesyen-fesyen moden sewaktu harga siling ayam naik dari RM8.90 sekilo menjadi RM9.40 dan subsidi minyak botol dihapuskan mulai esok 1 Julai 2022.

    Mungkin Perdana Menteri anak rakyat biasa dari Lubuk Kawah Temerloh yang kaya dengan tradisi revolusioner kembali kepada jiwa marhaennya dengan menjenguk ke tingkap di Tingkat 5 Putrajaya, melihat ke bawah kalau-kalau esok rakyat sudah turun protes di jalan-jalan raya.

    Ismail Sabri bukannya seorang Perdana Menteri yang kuat, stabil dan popular. Beliau adalah Perdana Menteri “itik patah kaki”. Tempoh hayat politiknya sudah tertulis di dinding Putrajaya dan di PWTC.

    Dia nombor tiga dalam hierarki UMNO. Nombor satu ada kes mahkamah. Orang nombor dua hanya seorang ADUN bukannya ahli parlimen. Sedangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan nyata bertulis hitam putih, bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat.

    Kerajaan Ismail Sabri ini adalah kerajaan “Rojak Asma”. Di dalamnya ada tauhu, ada timun, ada tempeh dan ada mee kuning, sekadar menyebut beberapa ramuannya. UMNO bukan dominan di dalam Kerajaan di Putrajaya sekarang.

    Musuh ketat UMNO iaitu Bersatu ada ramai menteri di dalam Kabinet Ismail Sabri. Jika menteri-menteri UMNO tarik sokongan dan meletak jawatan, berdentum kerajaan YB Bera ini tumbang.

    Begitu juga jika Parti Bersatu tarik sokongan, Ismail Sabri juga akan mencatatkan dalam “Guiness’s World of Record” menjadi Perdana Menteri terpendek usia pentadbiran kerajaan “Keluarga Malaysia”nya. Lebih singkat berbanding YB Pagoh menjadi Perdana Menteri.

    Sekarang ruang terbuka kepada parti-parti politik pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk mengatur langkah, antaranya seperti berikut:-

    Pertama, PH jadi penonton sahaja, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat “circus dalam UMNO”;

    Kedua, mengambil inisiatif mengembleng kekuatan positif yang masih ada di kalangan parti-parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif di kalangan mereka, demi membina kerjasama pilihanraya (electoral understanding); dan

    Ketiga, PH kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.

    Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka, anak-cucu mereka.

    Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi Pakatan Harapan untuk mendapatkan semula mandat untuk menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Penganggur dipenjara kerana cuba liwat anak tiri berusia 6 tahun

    Penganggur dipenjara kerana cuba liwat anak tiri berusia 6 tahun

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba meliwat anak tirinya, lima tahun lalu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 45 tahun didakwa dengan sengaja cuba melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia enam tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah di Marang antara 2 petang hingga 6 petang pada 6 Januari 2017 hingga 8 Januari 2017, lapor Harian Metro.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

    Hakim Nooriah Osman mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula hari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

  • Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    SUAMI pengasas Dnars Skincare, Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim mendakwa belum menerima panggilan dari pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

    Menurutnya, laporan polis dan SPRM itu dibuat berhubung kematian isterinya Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

    “Setakat ini tidak ada. Yang saya tahu ada dua laporan polis yang dibuat. Yang pertama pasal siasatan semula kes pembunuhan itu.

    “Yang kedua pasal berkenaan dengan pertukaran saham syarikat dan juga laporan SPRM mengenai proses membawa masuk jenazah semasa hari kematian itu tidak disertakan dokumen-dokumen yang lengkap lah.

    “Semua laporan itu saya belum menerima panggilan atau notis dari SPRM atau pihak Polis,” katanya dalam satu sidang media khas bagi menjawab pertuduhan yang disifatkan sebagai fitnah terhadapnya, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sebelum ini keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut ke atas kematian Allahyarham yang disyaki meragukan.

    Dalam sidang media yang sama, Ahmad Shah Rizal memaklumkan telah mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap beberapa pihak yang didakwa menfitnahnya.

    Ahmad Shah Rizal menjelaskan tindakan undang-undang yang dibuat itu dilihat sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah sedia ada.

    “Selama ini saya memilih untuk mendiamkan diri kerana saya asalnya berharap perkara ini dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga.

    “Saya menganggap perselisihan faham sebelum ini hanyalah bersifat sementara. Namun begitu, kemelut ini berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari.

    “Keadaan ini memang tidak disangka, dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya lagi.

    Tuntutan undang-undang itu dikemukakan terhadap sebuah portal yang memuat naik dua laporan berhubung kematian pengasas Dnars itu.

    Kedua-dua laporan itu didakwa disiarkan pada 16 dan 17 Jun lalu di portal dan Facebook portal tersebut.

    Selain itu, tuntutan undang-undang juga dikemukakan terhadap individu yang menulis komen dalam Facebook portal tersebut.

    Allahyarham Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.

    Bagaimana pun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang di parkir di sebatang jalan menyebabkan Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.

  • Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis terhadap sebuah rumah penduduk yang dipenuhi barangan lusuh dan sampah sarap di SS 22/20 Petaling Jaya, semalam.

    Menurut MBPJ dalam kenyataan, rumah berkenaan dihuni seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu terlalu kotor berikutan penghuninya menyimpan pelbagai barangan yang mengundang pencemaran.

    “Selain barangan lusuh dan sampah-sarap barangan lain ditemui seperti bekas kosong dan kolam takungan air yang menyebabkan jentik-jentik membiak serta terdapat juga pokok liar yang tumbuh di dalam rumah,” menurut MBPJ seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Kenyataan itu memberitahu, semasa operasi itu dijalankan, penghuni telah dibawa polis ke mahkamah bagi proses perbicaraan.

    Tegas kenyataan itu, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebelum ini.

    Bagaimanapun, kenyataan itu memberitahu, tiada sebarang tindakan daripada pemilik, malah kes mahkamah juga telah difailkan dan dihantar ke Unit Perundangan pada tahun 2021.

    “Pada 21 Jun 2022, satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Unit Perundangan telah diadakan berhubung aduan ini bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh setiap jabatan terlibat mengikut skop tugas masing-masing,” kata kenyataan itu.

  • Rogol budak 12 tahun, tukang cuci kereta dipenjara

    Rogol budak 12 tahun, tukang cuci kereta dipenjara

    SEORANG tukang cuci kereta dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan merogol .

    Hukuman dijatuhkan Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Ahmad Amirul Ariff Razali, 22, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak perempuan tersebut dikenalinya menerusi media sosial.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu, Terengganu pada jam 7 malam 11 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 13 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam