SERAMAI 27 kru hilang dan dikhuatiri lemas selepas kapal dinaiki mereka terputus dua akibat dibadai ribut tropika Chaba yang melintasi Hong Kong dan selatan China, pada Ahad.
Pihak berkuasa berkata, peluang untuk menemui 27 kru kapal itu dalam keadaan selamat adalah sangat tipis tetapi operasi pencarian mangsa masih diteruskan.
Tiga daripada 30 kru kapal itu berjaya diselamatkan ketika angin kencang serta hujan membadai pantai dan perairan yang terletak kira-kira 300 kilometer barat daya daripada bandar itu, lapor Astro Awani.
Lokasi kejadian itu dikelilingi oleh kira-kira 100 turbin angin yang ditambah dengan tiupan mencecah sehingga 140 kilometer sejam, telah menghalang usaha menyelamat.
Hong Kong telah menghantar sembilan pesawat untuk bersama-sama menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan pasukan dari tanah besar.
Beberapa anak kapal berkemungkinan telah meninggalkan kapal itu kerana ia terputus dua.
Ribut tropika Chaba menyusuri Hong Kong dengan membawa hujan lebat dan angin kencang pada Jumaat dan Sabtu lalu dan telah menyebabkan pengangkutan awam terpaksa dihentikan sementara dan banyak perniagaan ditutup.
Pihak berkuasa di Hong Kong menaikkan amaran taufan pada Khamis sebaik Presiden China, Xi Jinping tiba di bandar itu untuk memperingati ulang tahun ke-25 penyerahannya dari Britain kepada China.
SEORANG lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi, mangsa berusia 72 tahun memandu kereta jenis Proton Wira secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.
“Pemandu Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.
SEORANG pemuda bersenjata telah menembak mati tiga orang dan mencederakan yang laind i sebuah pusat beli-belah di Denmark pada Ahad.
Tiga daripada mereka yang cedera didapati kritikal dan susulan itu seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditangkap.
Lelaki itu didakwa atas serangan itu yang mencetuskan panik dalam kalangan pembeli di pusat beli-belah Field di selatan Copenhagen.
Ketua Polis Copenhagen, Soeren Thomassen berkata, motif kejadian tidak jelas dan beliau tidak menolak ia mempunyai kaitan dengan keganasan.
“Lelaki yang disyaki sebagai penembak itu ialah lelaki Denmark, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Mette Frederiksen berkata, Denmark telah mengalami serangan kejam.
Pusat beli-belah Field yang menjadi lokasi tembakan tersebut mempunyai lebih 140 kedai dan restoran.
Seorang saksi berkata, dalam kejadian itu, suasana panik berlaku dalam kalangan pembeli ketika tembakan kedengaran.
Seorang lagi saksi, Mahdi Al-Wazni, memberitahu TV2 bahawa penembak itu membawa senapang memburu.
Kali terakhir Denmark menyaksikan peristiwa keganasan ialah pada tahun 2015, apabila dua orang terbunuh dan enam pegawai polis cedera semasa serangan ke atas pusat kebudayaan dan rumah ibadat di Copenhagen.
Lelaki bersenjata itu kemudiannya terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis.
NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai mengalami gangguan psikologi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu merujuk kepada kenyataan NUr Jazlan yang mendakwa menteri dari Pas sebagai gagal memikul tanggungjawab dalam kerajaan.
Mohd. Amar turut menempelak kenyataan Nur Jazlan itu yang melabel menteri dari Pas sebagai ‘cap ayam’.
“Saya rasa Nur Jazlan ini ada masalah, ada masalah psikologi, sebab menteri kita ada tiga orang sahaja. Kenapa difokuskan kepada menteri Pas?
“Dan menteri Pas pegang jawatan macam alam sekitar, air, bukan benda besar dalam kerajaan. Dia (UMNO) ada lebih besar lagi, macam ekonomi, perdagangan, itu yang jadi fokus.
“Kemudian dia kata ‘cap ayam’, ukuran apa yang dia pakai? Kalau kita kata, dia tanding pilihan raya pun tak menang, itu cap apa?
“Dia kalah pilihan raya, cap apa itu? Lebih daripada ayam lagi,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
Mohd. Amar berkata, ketiga-tiga menteri dari Pas menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam kerajaan walaupun kali pertama berada dalam kerajaan Persekutuan.
Beliau memberi contoh, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berlatarbelakangkan agama namun dilantik mengepalai kementerian yang lain dari bidang pengajianya.
Bagaimanapun, katanya, Tuan Ibrahim berjaya membuktikan keupayaan dan menunjukkan rekod cemerlang sepanjang menjadi menteri tersebut.
SEORANG buruh maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar sebuah lori sampah Di Kilometer 11, Jalan Chukai-Ibok, berhampiran Kampung Ibok, di Kemaman pukul 1.50 petang semalam.
Mangsa, Mazlan Yahya, 49 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas terseret kira-kira 40 meter.
Lelaki itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Chukai menuju ke arah Kampung Kemasek apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.
Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.
Sementara pemandu lori yang berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
DALAM keterujaan dan keghairahan pemimpin UMNO khususnya Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin sehingga Asyraf Wajdi Dusuki menjangkakan ia perlu diadakan pada September atau Oktber ini, mereka seolah-olah keliru apa yang mereka mahu.
Asyraf Wajdi yang setakat ini tidak pernah menang mana-mana pilihan raya berpendapat, PRU perlu diadakan bagi mewujudkan sebuah kerajaan stabil tetapi pada masa sama beliau juga membidas Muhyiddin Yassin dalam isu mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menganggap bukan waktu sesuai.
Kenapa beliau berhujah demikian? Kata Asyraf Wajdi ketika ini rakyat berada dalam situasi sukar menghadapi kenaikan mendadak harga barang.
“Ini bukan masanya untuk menuntut jawatan TPM atau menambah lagi menteri baharu. Cukuplah jumlah yang ada sekarang dengan rekod jumlah menteri terbesar dalam sejarah Malaysia. Ini termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf menteri termasuk duta khas yang dilantik memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini,” hujah beliau.
Baguslah Asyraf Wajdi prihatin dengan masalah rakyat. Cuma penulis ingin bertanya, adakah tuntutan beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan PRU secepat mungkin tidak akan menyusahkan rakyat?
Apakah dengan mengadakan pilihan raya umum masalah yang sedang dihadapi rakyat akan selesai dalam satu malam? Atau adakah inflasi akan turun mendadak apabila kerajaan baru dibentuk…seperti “malam ini menang esok inflasi turun!”.
Asyraf Wajdi sepatutnya tidak keliru dalam memberi pandangan.Kalau dah tahu rakyat tengah susah janganlah dok memekak mahukan PRU secepat mungkin.
Alasan mahu mewujudkan kerajaan stabil hanyalah helah pemimpin UMNO . Kalaulah Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan kerajaan stabil dan Presiden UMNO mengiktiraf jawatankuasa khas inflasi yang disertai oleh pelbagai kementerian yang menterinya daripada pelbagai parti, datang dari planet mana kerajaan sekarang tidak stabil.
Kalau kerajaan tidak stabil sudah pasti menteri-menteri berkenaan akan bercakaran tetapi Perdana Menteri sudah menyatakan dengan tegas, kerajaan ketika ini stabil kerana tiada penentangan antara parti dalam kerajaan.
Sebagai seorang pemimpin yang mengetuai sayap UMNO dan diletakkan harapan untuk meraih undi daripada golongan muda, Asyraf Wajdi sepatutnya teliti dalam membuat kenyataan.
Kalaulah sekarang rakyat tengah susah maka kekalkan pandangan itu untuk semua perkara yang melibatkan rakyat. Janganlah membuat kenyataan yang akhirnya menampakkan beliau keliru.
Begitu juga apabila mengulas soal Majlis Pemulihan Negara (MPN), agak lucu apabila Asyraf Wajdi tidak teliti apabila berkata,’’malah untuk menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun menteri, timbalan menteri, Pengerusi MPN, duta khas bertaraf menteri wajar dipotong.’’
Soal bila masanya pula Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menerima elaun, bukan kelmarin, ketika bercakap kepada wartawan di Tanah Merah Muhyiddin sudah menjelaskan beliau berada dalam MPN untuk membantu negara dan kerajaan tanpa meminta sebarang bayaran atau elaun.
Apapun Asyraf Wajdi perlu faham, tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO bukan hanya menjadi pendesak mahu pilihan raya diadakan, sebaliknya pergerakan itu seharusnya menjadi pejuang bagi membantu rakyat yang kini dalam kesusahan.
Atas sebab itulah, penulis pada mulanya sedikit bangga apabila Pemuda BN mengadakan ‘job fair’ bagi membantu anak muda mendapat pekerjaan tetapi usaha sekelumit itu terjejas apabila di pentas lain, Asyraf Wajdi tidak habis-habis mahukan pilihan raya.
Sepatutnya tumpuan untuk Pemuda UMNO ketika ini ialah bersama-samanya dengan kerajaan yang dipimpin oleh Naib Presiden parti itu, Ismail Sabri mencari jalan mengurangkan rakyat beban rakyat ketika ini.
Seperti mana penulis tegas berkali-kali, sama ada kerajaan stabil atau tidak, ia bergantung kepada parti-parti dalam kerajaan bukannya pembangkang. Kerja pembangkang memanglah mencari kelemahan kerajaan tetapi kalau dalam kerajaan pun ada parti yang pemimpinnya bertindak seperti ‘duri dalam daging’ memanglah mana-mana kerajaan pun tidak stabil termasuklah kalau yang ada majoriti dua pertiga sekalipun.
Asyraf Wajdi sepatutnya tidak terus teruja atau terus dibuai dengan mimpi indah berikutan kemenangan BN di PRN Melaka dan Johor, apatah lagi menganggap anak muda sudah bersama dengan parti itu hanya menjadi PRN berkenaan sebagai ukuran.
Percayalah anak muda yang akan menjadi penentu dalam PRU-15 nanti belum lagi bersama BN, mereka masih berbelah bahagi apatah lagi apabila melihat Pemuda UMNO masih terus mempertahankan pemimpin-pemimpin yang ada masalah integriti.
Hakikatnya, rakyat sudah bosan dengan kenyataan politik termasuk daripada pemimpin UMNO . Mereka tengah susah dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang lain. Mereka merintih setiap hari…tetapi pemimpin-pemimpin UMNO tidak habis-habis bercakap soal pilihan raya. Tertanya-tanya juga mereka, adakah pemimpin UMNO sudah tidak sabar kembali berkuasa selepas ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 lalu?
Kalau begitu yakin bahawa rakyat sudah kembali menyokong BN, apa nak risau? Bilapun pilihan raya, mereka pasti akan menyokong BN tetapi pemimpin-pemimpin UMNO tahu, sokongan yang diterima di Melaka dan Johor bukan ukuran sebenar dan sama sekali tidak boleh dijadikan sandaran.
Apa yang BN harapkan dengan mengadakan pilihan raya ketika rakyat sedang berhadapan dengan masalah pengundi tidak ada semangat untuk keluar mengundi, oleh itu ia mengikut tafsiran songsang pemimpin BN ia akan memberi kelebihan kepada BN.
Pemimpin BN juga terpengaruh dengan analisis-analisis dangkal beberapa pemerhati politik yang orang sudah tahu kecenderungan mereka yang mengatakan bahawa BN akan menang besar jika PRU diadakan sekarang.
Kesimpulannya, penulis ingin menasihatkan pemimpin UMNO termasuk Asyraf Wajdi berhentilah bercakap soal pilihan raya, biarlah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentukan bilakah ia paling sesuai diadakan.
Jangan bimbang dalam parti kerajaan tidak ada sesiapa yang akan melakukan tindakan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri seperti pernah dilakukan oleh Ahli Parlimen UMNO ke atas Muhyiddin pada Ogos 2021.
Ingatlah kalau kestabilan politik negara kita tergugat ia bukan kerana mereka yang berada dalam kerajaan sebaliknya pemimpin berada di luar kerajaan yang tidak habis-habis mahukan pilihan raya sehingga pelabur melihat politik Malaysia akan bergolak lagi.
Apabila logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 diterbitkan, ramai yang memberi ulasan mengenai bentuk logo berkenaan.
Ada segelintir pereka grafik yang mengkritik logo itu dengan alasan ia amat mudah dihasilkan tanpa hasil seni yang kreatif.
Pada pandangan Tok Chey selagi tidak terlalu hodoh, tidak menciplak hasil karya orang lain dan menyentuh mana-mana sensitiviti, maka ia boleh diterima.
Cumanya Tok Chey tidak bersetuju dengan konsep logo Jalur Liputan Internet iaitu melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi dan pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk rakyat.
Jika konsep itu melambangkan infrastruktur seperti dinyatakan, maka logo berkenaan hendaklah ditonjolkan kabur ataupun retak untuk menunjukkan betapa kemudahan internet di negara ini amat mengecewakan.
Ini kerana di kampung Tok Chey sendiri di Sik dan Baling, Kedah liputan internet amat lemah walaupun negara sudah memasuki tahun 2022.
Setiap kali Tok Chey pulang ke kampung, pasti akan menghadapi masalah untuk mendapat capaian internet.
Jika ada mesyuarat secara online, Tok Chey terpaksa ke kawasan bandar untuk memastikan tidak terlepas agenda penting perbincangan bersama rakan sepejabat.
Di sesetengah kawasan pula, jika ada pun liputan, ia amat lemah dan terpaksa tunggu lama hingga bosan untuk membuka sesuatu laman web.
Untuk download gambar daripada WhatsApp pun perlu tunggu hingga ‘berjanggut’, usah mimpi untuk dapat melihat sebarang video yang dihantar dalam kumpulan WhatsApp.
Masalah sama turut dihadapi penuntut universiti di kampung Tok Chey apabila mereka sering menghadapi masalah setiap kali ada kelas online ataupun perlu bergantung kepada internet untuk menyiapkan tugasan.
Bagi yang terdesak dan tidak sanggup berulang-alik ke kawasan bandar, maka terpaksalah menumpang di rumah jiran yang mempunyai talian tetap internet.
Tok Chey difahamkan, ada juga penuntut yang sepatutnya boleh pulang kampung pada cuti semester tetapi terpaksa ‘stay’ di kawasan universiti kerana perlu menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.
Jika pulang ke kampung kata mereka, tugasan-tugasan tersebut tidak dapat disiapkan kerana tiada liputan internet ataupun jika ada pada sesetengah keadaan, ia adalah sama seperti kura-kura.
Masalah yang berlaku ini bukannya berlaku di kawasan Sabah dan Sarawak, tetapi di kawasan semenanjung Malaysia.
Amatlah memalukan dalam keadaan negara-negara luar dan jiran sudah ke depan dengan liputan internet yang pantas dan murah, Malaysia masih terhegeh-hegeh untuk menyediakan kemudahan asas internet.
Apa yang Tok Chey nyatakan ini berlaku di kawasan Semenanjung, belum lagi berbicara soal kemudahan internet di Sabah dan Sarawak.
Seperti yang semua orang sedia maklum banyak laporan media sebelum ini di mana penuntut di negeri Borneo itu terpaksa memanjat pokok untuk menjawab soalan peperiksaan secara online.
Ada yang terpaksa mendaki bukit untuk mendapatkan isyarat yang jelas bagi mengikuti kelas ataupun peperiksaan secara online.
Dan semua ini berlaku di Malaysia di mana kita terlalu banyak bangunan pencakar langit tetapi di sesetengah kawasan terpaksa bersabung nyawa untuk mendapatkan capaian internet.
Maka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia hendaklah lebih proaktif bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang terlibat untuk memastikan capaian internet di negara ini pantas, meluas dan dengan harga berpatutan.
Ini kerana pada masa kini penggunaannya amat penting apabila boleh dikatakan kebanyakan urusan memerlukan internet.
Perbaiki segala kelemahan yang ada kerana denganj kemudahan internet yang baik, kerajaan juga dapat menyampaikan segala maklumat dengan sempurna kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan.
KECUALI mati, setiap penyakit yang dihidapi oleh manusia pasti ada penawar untuk menyembuhkannya.
Paling berkesan apabila kita mengetahui punca kepada setiap penyakit itu supaya dapat bertindak lebih awal.
Bagi yang menghidap penyakit kencing manis misalnya, antara punca yang mudah untuk difahami ialah pengambilan makanan dan air yang tinggi kandungan gula.
Maka, untuk melakukan pencegahan lebih awal, kita sepatutnya mengawal pemakanan supaya penyakit tersebut tidak berterusan dan semakin kronik.
Begitu juga dengan pengurusan kewangan diri masing-masing, jika perbelanjaan melebihi pendapatan, maka punca kepada keadaan yang berlaku itu harus diteliti. Perlu dilihat sama ada seseorang itu mempunyai jumlah hutang yang terlalu banyak atau gaya hidup mewah luar kemampuan yang menyebabkan perbelanjaan meningkat.
Setiap perkara yang berlaku harus dilihat punca dan impak kesudahannya. Begitulah yang berlaku apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Tragedi pada tahun 2018 itu menyaksikan UMNO/BN selaku kerajaan paling lama memerintahkan ditumbangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Mengimbas kembali apa yang berlaku, UMNO/BN tewas bukan kerana PH kuat tetapi kerana sentimen penolakan dan kebencian rakyat cukup kuat pada waktu itu. Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada parti pemerintah gara-gara skandal melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan kes 1MDB.
Antara sebab lain ialah rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
BN pada waktu itu sudah menyedari sentimen penolakan terhadap parti mereka berdasarkan luahan rakyat di media sosial serta sambutan rakyat dalam program bersemuka. Tetapi UMNO dan BN mengabaikan apa yang diperkatakan dan tidak mempedulikan desakan rakyat supaya Najib mengundurkan diri.
Natijahnya, tercatat dalam lipatan sejarah kerajaan UMNO/BN mengalami kekalahan yang cukup besar. Dan sehingga kini, parti tersebut tidak pernah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Mereka hanya insaf seketika sewaktu awal-awal mengalami kekalahan dan kini kembali kepada perangai lama mereka.
Desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur tidak dilayan dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih berasakan dirinya mendapat sokongan ramai. Dengan jumlah pertuduhan yang dihadapinya dan pelbagai fakta semasa pendakwaan, ia sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk memberikan justifikasi supaya Zahid perlu berehat.
UMNO masih berpegang kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebagai penanda aras bahawa mereka disokong oleh rakyat sedangkan ia bukan indikator sebenar. Pengundi atas pagar dan golongan pengundi muda belum menunjukkan kuasa sebenar dan dua PRN bukan medan sebenar untuk menentukan parti yang mendapat sokongan rakyat.
Memburukkan keadaan ketika ini, pengundi tegar UMNO pula sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Zahid susulan pendedahan yang dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut Tajuddin dalam sidang media yang sarat dengan pendedahan itu, Zahid dikatakan mengetuai gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) untuk melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Adalah amat memalukan sebagai seorang Presiden UMNO, cakap berdegar-degar depan ahli ‘No Anwar, No DAP’ tetapi di belakangnya menyokong Anwar sebagai PM.
Maka, bagi mengelakkan UMNO terus-menerus ditolak rakyat disebabkan tindakan segelintir pemimpin yang bermasalah, pemimpin lain dalam parti itu yang terbukti bersih daripada sebarang skandal perlu melakukan sesuatu supaya tragedi UMNO/BN ditolak rakyat tidak terus berulang.
Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku kerana puncanya sudah diketahui, cuma belum ada tindakan yang konkrit sahaja.
KETIKA banyak pihak bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiba-tiba UMNO dikejutkan pula dengan pelbagai isu yang boleh menjerat parti itu berada di dalam konflik yang lebih panjang.
Isu pemimpin parti di peringkat bahagian mengkritik Perdana Menteri yang mewakili parti sendiri secara terbuka dan juga isu pemecatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman secara tidak langsung telah menyerlahkan lagi ‘penyakit’ lama yang berparut dalam parti tersebut.
Ini kerana, kedua-dua isu berkenaan seakan turut mengesahkan dakwaan mengenai kewujudan dua ‘puak’ atau kem dalam parti tersebut sekalipun ada penafian dibuat.
Melihat kepada isu-isu diluar jangkaan itulah, penulis berpendapat kenapa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin meminta pemimpin dan ahli parti supaya menunjukkan sikap positif dan konstruktif dengan menampakkan usaha ke arah penyatuan yang lebih jitu menjelang PRU-15 ini.
Maklumlah PRU-15 semakin hampir, sedangkan perselisihan dan perpaduan dalam UMNO turut goyah akibat kemelut dalaman yang berpunca daripada perbalahan, sikap, jawatan dan kuasa.
Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau sebelum ini dipetik sebagai berkata, parti yang menampakkan imej tidak bersatu tidak diterima oleh rakyat dan ia jelas ditunjukkan pada keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
Menurut Khairy, sangat penting bagi pemimpin menampakkan kesatuan dalam parti sebab kalau dilihat penggal Parlimen ketika ini hanya berbaki maksimum setahun, oleh itu adalah sangat penting untuk UMNO memperlihatkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan.
Penulis turut bersetuju dengan pandangan Khairy mengatakan selain daripada rakyat hendak melihat kejujuran, keikhlasan dalam membela nasib mereka, rakyat hendak mengundi parti dengan perpaduan yang tinggi, bukannya memilih parti yang sentiasa berbalah.
Persoalannya, apakah berbalah itu sudah menjadi tradisi dalam kalangan pemimpin UMNO?
“Kita melihat pengalaman dalam PRN, ada parti tidak menunjukkan mereka bersatu, tidak diterima oleh rakyat. Sebab itu, saya berharap sesiapa yang menyumbang kepada persepsi tidak sihat, untuk mereka hentikan,” ujar Khairy.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kritikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu tindakan yang tidak membantu dalam usaha parti Melayu terbesar itu menampakkan kesatuan menuju PRU-15.
Katanya, Nur Jazlan tidak harus bercakap seperti itu kerana ada banyak saluran jika ada sesuatu yang perlu disampaikan sama ada kepada presiden parti atau Perdana Menteri.
“Yang terbaik adalah saluran dalaman, terutama apabila ia membabitkan komen mengenai kepemimpinan parti atau negara yang sekarang diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO.
Justeru, Khairy berharap sikap daripada pemimpin UMNO harus menampakkan penyatuan yang lebih jitu dengan membuat komen dan bercakap dalam mesyuarat atau secara peribadi.
Sebenarnya, itulah perkara perlu dilakukan oleh pemimpin atau ahli mana-mana parti atau pertubuhan agar tidak bertindak melemahkah organisasi yang disertai dengan komen yang tidak konstruktif di khalayak dan media massa.
Ia umpama kita mendedahkan keburukan dan kepincangan dalam keluarga selepas tidak berpuas hati dengan apa yang kita kecapi.
Nur Jazlan sebelum itu dilaporkan melabel Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
Begitu juga dengan isu pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman daripada MKT.
Begitulah keadaan politik Malaysia sekarang ini.
Ada parti yang mengkritik pemimpin akan dipecat atau dilucut jawatan, ada parti yang gemar mencampuri urusan parti lain sedangkan dalaman sendiri ‘terhuyung-hayang’.
Tapi dalam isu perbalahan ini, bagi penulis kalau tidak berbalah bukan UMNO namanya…
SAMBUTAN rakyat Kelantan di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini disifatkan sebagai luar biasa.
Pengarah Program Pelancaran PN Negeri Kelantan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, beliau mensasarkan jumlah kehadiran seramai 20,000 dan tidak menyangka semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan amat tinggi.
“Hari ini jumlah kehadiran luar biasa. Lebih 30,000 orang hadir. Terima kasih rakyat Kelantan khususnya di Parlimen Tanah Merah atas sokongan yang diberikan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, lapor Berita Bersatu.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini.
Hadir di majlis itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Kelantan yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada majlis itu, beberapa menteri Kabinet dari Bersatu hadir memberikan sokongan iaitu Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Turut hadir, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan pemimpin bahagian Bersatu di majlis itu.
Di majlis itu, Ikmal Hisham menceritakan kejayaan pentadbiran Muhyiddin dalam menangani krisis wabak Covid-19 sewaktu menjadi Perdana Menteri.
“Muhyiddin telah berjaya menyelamatkan negara daripada wabak pandemik COVID-19. Beliau buat program vaksinasi untuk rakyat dengan berjaya. Terima kasih Muhyiddin,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Ikhmal Hisham juga menyentuh kejayaan Muhyiddin ketika memimpin Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan menasihati kerajaan dari sudut pembukaan semula ekonomi dan perniagaan untuk rakyat dan negara.