Author: Admin

  • Veteran tentera meninggal dunia selepas persidangan

    Veteran tentera meninggal dunia selepas persidangan

    Seorang Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan meninggal dunia selepas rebah di bilik sebuah hotel di Seremban kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    Terdahulu Shaharuddin Abd. Manan, 62 hadir Majlis Persidangan Perwakilan PVATM Negeri Sembilan kali ke-68 yang berlangsung di hotel itu.

    Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, Allahyarham yang merupakan seorang duda sememangnya mempunyai penyakit jantung.

    “Pagi semalam saya ada terserempak dengan arwah ketika sarapan pagi dan apabila saya cuba berbual dengannya, dia tiba-tiba memegang dadanya.

    “Saya tahu dia ada sakit jantung, tapi selepas itu keadaannya baik saja dan arwah sempat berpesan kepada saya supaya letakkan namanya untuk sertai perbarisan PVTM nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, Allahyarham yang berehat di bilik hotel selepas selesai persidangan rebah selepas keluar dari tandas.

    Ujarnya, Allahyarham sebelum itu sempat makan ubat.

    “Kejadian ini sangat mengejutkan kami kerana ia berlangsung ketika persidangan. Jenazahnya telah dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Kota, Rembau untuk dikebumikan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.

  • Pejuang serang kampung, 34 terbunuh

    Pejuang serang kampung, 34 terbunuh

    SEKURANG-kurangnya 34 terbunuh dalam serangan ke atas kampung, dipercayai dilakukan pejuang jihad di utara Burkina Faso pada hujung minggu lalu, kata pegawai dan sumber, semalam.

    Di barat laut negara itu, Gabenor wilayah Boucle du Mouhoun, Babo Pierre Bassinga, berkata 22 orang dilaporkan terbunuh Ahad lalu, termasuk kanak-kanak di Bourasso, wilayah Kossi.

    “Lelaki bersenjata bergerak di sekitar kampung sekitar jam 5 petang, melepaskan tembakan ke udara. Mereka pulang pada waktu malam dan melepaskan tembakan secara membuta tuli ke arah orang ramai,” kata satu sumber keselamatan.

    Di utara Burkina Faso, 12 maut dalam serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga Sabtu lalu, kata sumber keselamatan lain, yang juga tidak mahu dikenali.

    Tiga daripada yang maut adalah anggota militia awam, sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) iaitu pasukan bantuan yang ditubuhkan pada Disember 2019 untuk menyokong tentera.

    Menurut laporan Berita Harian, Burkina Faso adalah salah satu negara termiskin di dunia, bergelut dengan pemberontakan jihad yang melanda dari negara jiran, Mali pada 2015.

    Kempen yang diketuai terutama kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh, meragut ribuan nyawa dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang meninggalkan rumah mereka.

    Berdasarkan angka rasmi, lebih 40 peratus negara itu berada di luar kawalan kerajaan.

    Terdahulu, Burkina Faso berdepan rampasan kuasa pada Januari lalu, selepas kolonel yang tidak berpuas hati menggulingkan presiden yang dipilih, Roch Marc Christian Kabore.

    Pemimpin baharu, Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaannya, namun selepas keadaan agak reda, serangan diteruskan, mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.

  • PAC panggil MB Johor jadi saksi kes tukaran tanah MINDEF

    PAC panggil MB Johor jadi saksi kes tukaran tanah MINDEF

    JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hadir memberi keterangan sebagai saksi bagi prosiding tukaran tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF), semalam.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Onn Hafiz menjadi saksi keempat pada prosiding itu selepas pendedahan Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai pembabitannya dalam projek pembinaan Kem Paloh di Kluang mulai 2016 dengan kaedah tukaran tanah (land swap).

    Beliau berkata, pada prosiding diadakan di Pejabat Daerah Kluang, Johor itu, Onn Hafiz hadir atas kapasiti sebagai mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dari 2013 hingga 2018, dan siasatan PAC menjurus kepada peranan dimainkan beliau dalam cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang mulai 2016.

    “Hadir sama memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan PAC adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad,” katanya, lapor Berita Harian.

    Prosiding berkenaan bermula pukul 4 petang dan berakhir dua jam kemudian. Pada sebelah pagi sebelum prosiding bermula, PAC melawat Kem Paloh seluas kira-kira 26.31 hektar bagi meninjau perkembangan pembinaan kem berkenaan yang dibangunkan bagi menempatkan Markas 33 Rejimen Artileri Diraja (33 RAD) dan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

    Sebelum ini, saksi yang dipanggil PAC membabitkan prosiding tukaran tanah itu termasuk Pengerusi JKSTUPKK, Tan Sri Ambrin Buang pada 16 November 2020 ; Muez (30 November 2020) dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 Disember 2021.

    Kah Woh berkata, projek tukaran tanah dan pembinaan baharu bermula pada 2012, membabitkan tukaran tanah kem asal di Kem Kinrara, Selangor seluas 38.04 hektar; pembinaan fasiliti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Negeri Sembilan dan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Bagaimanapun, katanya, pada 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan ditukar menjadi cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang.

    “PAC akan meneliti semua keterangan dan memuktamadkan laporan PAC bagi isu ini,” katanya.

  • Pembantu penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Pembantu penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima rasuah

    PEMBANTU pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,500.

    Ahmad Jamil Md. Saru, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Elesebet Paya Wan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga 10, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Penguat Kuasa Kanan JPJ Gred KP22 didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM500 setiap bulan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise P Vijayan.

    Tertuduh mengetahui bahawa individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, lapor Sinar Harian.

    Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik syarikat pengangkutan itu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Taman Debunga Merlimau, Jasin antara 28 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 bagi tujuan sama di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin selain memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikenakan dikurangkan dengan alasan menyara isteri dan dua orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 15 September depan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

  • Suspek bunuh isteri, bayi bebas pengaruh dadah

    Suspek bunuh isteri, bayi bebas pengaruh dadah

    POLIS mengesahkan suspek dalam insiden bunuh isteri dan bayi lelakinya, semalam bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata hasil ujian saringan awal air kencing yang dibuat ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.

    Beliau berkata, sehingga kini, siasatan masih giat dijalankan untuk mengetahui motif sebenar kejadian itu.

    Ditanya mengenai dakwaan suspek mengalami kemurungan atau tekanan hidup, Raub berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kemudian.

    “Nanti saya ‘update’,” jawabnya ringkas ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

    Semalam, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan polis kira-kira 2.45 petang di kawasan Permas Jaya selepas dilaporkan melarikan diri dalam keadaan bogel sejurus insiden terbabit.

    Suspek, yang bekerja sebagai pencuci kapal, direman tujuh hari bermula hari ini, disyaki membunuh isterinya, 26 tahun dan anak lelakinya, berusia tiga bulan.

  • [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    SEORANG suspek yang melepaskan tembakan ke atas pengunjung semasa perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) telah berjaya ditahan.

    Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun, Robert E Crimo III, ketika dia cuba melarikan diri dalam sebuah kereta di kawasan berdekatan dengan tempat kejadian.

    Menurut laporan Astro AWANI, polis dilihat mengepung sebuah kereta sebelum Crimo ditahan.

    Dalam pada itu, punca kejadian dan motif suspek belum didedahkan.

    Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, sekurang-kurangnya enam terkorban manakala 36 lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang semasa perarakan sempena hari kemerdekaan AS di Highland Park.

    Siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dari bumbung sebuah bangunan.

    Polis turut menemui sepucuk senapang patah di bumbung sebuah bangunan di Highland Park.

  • Ahli, pemimpin Pas usah pecah belah rakyat:Takiyuddin

    Ahli, pemimpin Pas usah pecah belah rakyat:Takiyuddin

    PAS akan mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota parti itu yang bertindak memecah-belahkan masyarakat, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

    Beliau menegaskan, parti itu sememangnya menyokong sebarang langkah untuk menyatukan manusia kerana ia selaras dengan perintah dalam al-Quran.

    “Pada masa sama Pas juga menjunjung tinggi titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini ditamatkan.

    “Pas akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan serta mendorong berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Semalam Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik yang dilihat boleh mengancam perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

    Titah baginda, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

    “Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara. Bagaimanapun, beta berasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan.

    “Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu,” titahnya.

    Kata Takiyuddin, Pas memang sentiasa komiten mengusahakan agenda penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu Islam di negara ini, serta pada masa sama mengukuhkan perpaduan nasional antara semua rakyat yang berbilang kaum.

    “Pas juga akur sebagaimana dititahkan baginda bahawa Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam al-Quran,” katanya.

  • Lagi bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Lagi bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 19 set bubu naga di dua lokasi berbeza di perairan Batu Kawan, petang semalam.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bubu naga itu dirampas di kedudukan kira-kira 2.9 kilometer barat daya perairan Batu Kawan antara pukul 4.15 hingga 4.40 petang.

    Katanya, pemantauan berterusan melalui rutin OP PERTIWI yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang mengesan objek terapung yang mencurigakan di dua lokasi itu dan berjaya menemukan 19 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

    Jelas beliau, kesemua bubu naga bernilai RM2,280 tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    ”Penggunaan bubu naga diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” tambahnya.

  • Runtuhan glasier ragut tujuh nyawa, 14 masih hilang

    Runtuhan glasier ragut tujuh nyawa, 14 masih hilang

    SERAMAI tujuh individu disahkan maut sementara 14 lagi masih hilang selepas runtuhan besar glasier Alpine di Itali, pada Isnin.

    Runtuhan itu menyebabkan gelongsoran ais, salji dan batu yang menuruni cerun gunung tersebut, lapor Astro Awani.

    Usaha menyelamat dan pencarian semakin mencabar disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Di bandar peranginan Canazei, sebuah bilik mayat telah didirikan di gelanggang ais.

    Pihak berkuasa berkata, 14 individu yang masih tidak dapat dikesan merupakan 10 orang warga Itali, tiga dari Republik Czech manakala seorang lagi merupakan warga Austria.

  • Senarai keputusan Pemilihan PKR 2022

    Senarai keputusan Pemilihan PKR 2022

    SERAMAI 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 yang menyaksikan 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat Pusat, cabang dan sayapnya.

    Menerusi pemilihan kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden bagi tempoh 2022 hingga 2025 selepas menang tanpa bertanding.

    Pemilihan PKR 2022 turut tertumpu kepada jawatan nombor dua yang menyaksikan saingan antara bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selrpas jawatan tertinggi yang tidak digugat, lapor Astro Awani, hari ini.

    Tidak terkecuali, saingan hebat diberikan untuk jawatan Naib Presiden apabila 17 calon yang menawarkan diri bertanding bagi empat kerusi, seperti yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat.

    Selain itu, pertandingan di peringkat Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak kurang sengit.

    Bagi keputusan pemilihan peringkat cabang pula mula diketahui sejak 23 Mei melalui aplikasi ADIL dan laman web ADIL.

    Berikut keputusan Pemilihan PKR 2022 yang dikongsi oleh Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin di laman Facebook, hari ini:

    Presiden: – Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Timbalan Presiden: – Rafizi Ramli

    Naib Presiden: – Datuk Seri Amirudin Shari – Chang Lih Kang – Nik Nazmi Nik Ahmad – Datuk Seri Aminuddin Harun

    Ketua Wanita: – Fadhlina Sidek

    Timbalan Ketua Wanita: – Juwairiya Zulkifli

    Naib Ketua Wanita: – Wasanthee Sinnasamy – June Leow Hsiad Hui – Sangetha Jayakumar

    Ketua AMK: – Adam Adli Abd. Halim

    Timbalan Ketua AMK: – Muhammad Kamil Munim

    Naib Ketua AMK: – Atyrah Hanim Razali – Pravin Murali – Prasanth Kumar Brakasam