Author: Admin

  • Usahlah gelabah bila pemimpin Melayu bertemu

    Usahlah gelabah bila pemimpin Melayu bertemu

    PENULIS sudah menjangkakan apabila tersebar sahaja berita dan gambar pertemuan antara Dr.Mahathir Mohamad dengan Abdul Hadi Awang pasti ia akan mencetuskan pelbagai spekulasi.

    Bagi kelompok politik khususnya daripada Kerajaan Perpaduan yang didakwa mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen, pertemuan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan memporak-perandakan negara.

    Rupa-rupanya biarpun tidak mempunyai apa-apa kuasa, gerak geri Dr.Mahathir sentiasa menghantui ‘musuh politik’ beliau. Dan mereka bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila bekas Perdana Menteri itu bertemu dengan Hadi Awang.

    Mungkin dari segi kekuatan politik, mereka tidak risaukan Dr.Mahathir memandangkan beliau tidak lagi mempunyai parti politik tetapi apabila Hadi bersedia bertemu dengan Dr.Mahathir bagi membincangkan soal orang Melayu, mulalah puak tersebut kelam-kabut.

    Secara peribadi, penulis menganggap apa yang dibimbangkan oleh kelompok pro kerajaan ibarat ‘takut kepada bayang-bayang’ sendiri. Sepatutnya mereka yakin Kerajaan Perpaduan yang ada kini sudah cukup kuat dengan sokongan 148 ahli Parlimen.

    Namun nampaknya, mereka sentiasa ‘tidur tidak lena’ dan sering ‘diganggu Mimpi’ bahawa kerajaan sedia akan tumbang. Kadang kala ‘kasihan’ pula penulis tengok gelagat mereka termasuklah pemimpin kanan kerajaan yang tak terhenti-henti bercakap soal ada gerakan mahu menjatuhkan kerajaan.

    Lanjutan itu bergemalah laungan bahawa kerajaan mahu dijatuhkan kerana ketegasan dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.  Di mana-mana menghapuskan salah guna kuasa dan rasuah menjadi modal untuk diperkatakan, biarpun di dalam kerajaan sendiri ada individu ibarat ‘ayam jantan berkokok kuat ekor bergelumang dengan najis’.

    Bagaimanapun penulis tidak hairan dengan kebimbangan yang wujud memandangkan mereka sendiri, biarpun nampak satu hati dalam kerajaan tetapi masih ada perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain. Ia terbukti dalam beberapa isu termasuk soal pengampunan Najib Razak. 

    Bagi penulis sama ada PKR, Amanah atau DAP, mereka berhak menzahirkan pandangan mereka soal pengampunan tersebut memandangkan merekalah yang bertanggungjawab ‘menghantar’ Najib ke penjara.

    Tindakan itu mendapat respons positif daripada penyokong tegar mereka tetapi apabila timbul isu pengampunan Najib, mereka mulai resah. Apatah lagi bantahan mereka mendapat tentangan daripada UMNO hinggakan Amanah terpaksa meminta maaf.

    Namun begitu, ia tidak mampu menutupi fakta bahawa komponen PH sememangnya konsisten dalam pendirian politik mereka, yang tidak konsisten ialah UMNO – yang dianggap bersedia mengubah pendirian semata-mata mahu ‘menumpang kuasa’.

    Tetapi itu soal mereka, jadi janganlah cuba mengalih isu dengan bimbang tidak tentu hala apabila Dr. Mahathir dan Hadi bertemu. Apa salahnya dua pemimpin Melayu bertemu? Apa salahnya kalau pemimpin Melayu mahu membuat Proklamasi Orang Melayu? Apa salahnya pemimpin Melayu mahu berbincang mengenai masa depan dan survival politik orang Melayu? 

    Adakah kerana dua pemimpin besar Melayu bertemu, ia sewenang-wenangnya boleh dirumuskan ada pakatan mahu menjatuhkan kerajaan? Teori politik daripada celah mana yang digunapakai? Penulis hairan apabila ada kelompok begitu sensitif bila ada apa-apa pertemuan melibatkan pemimpin atau parti Melayu, pelbagai tafsiran negatif diwujudkan.

    Tidak cukup dengan itu, mereka mulalah membuat kenyataan songsang kononnya ada parti politik yang mahu menjadikan perkauman sebagai modal untuk menang pilihan raya. Kelompok yang membuat tanggapan ini sebenarnya tidak  yakin bahawa kesepakatan politik yang mereka bentuk akan bertahan.

    Kesepakatan dicapai bukanlah atas dasar keikhlasan untuk benar-benar bersatu tetapi atas dasar terpaksa demi untuk menjadi kerajaan semata-mata. Dan mereka pun mengetahui perbezaan ketara sesama mereka yang cuba ‘disembunyikan’ sebaik mungkin. Atas sebab itulah, bila mereka lihat musuh politik  menyusun kekuatan atas nama orang Melayu, mereka sudah kelam kabut!   

    Bagaimanapun pada pandangan penulis, adalah wajar kelompok berkenaan tidak gelabah tidak tentu hala atau ‘takut bayang-bayang’ sendiri. Apa pemimpin Melayu lain mahu lakukan, biarkanlah..bukankah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sudah menyatakan, ‘’Kerajaan ini sukar ditumbangkan kerana ada sokongan majoriti dua pertiga.’’

    Lagi pula bagi penulis, kerajaan tidak akan tumbang akibat faktor luaran tetapi dalaman! Riaknya sudah ada ibarat api dalam serkam menanti masa menghamburkan apinya.. apa maksudnya…kajilah sendiri?

  • Sanusi tidak teruja pengumuman Anwar, RM1.6 bilion bukan peruntukan baru

    Sanusi tidak teruja pengumuman Anwar, RM1.6 bilion bukan peruntukan baru

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGUMUMAN peruntukan berjumlah RM1.6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kedah didakwa bukan melibatkan projek-projek baharu untuk dinikmati rakyat negeri itu.

    Lantaran itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka memaklumkan kerajaan negeri tidak teruja dengan pengumuman yang dibuat Anwar ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang turut dihadirinya pada Sabtu lalu.

    Menurut beliau, pengumuman tersebut sebenarnya hanya melibatkan projek-projek pembangunan negeri Kedah yang sudah diumum dan diusahakan oleh kerajaan terdahulu.

    “Saya difahamkan projek itu ada projek sambungan, ada projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang belum disiapkan dan disambung. Perkara rutin, bukan benda baharu dan kalau beliau bawa mai perkara baharu untuk RM1.6 bilion itu, kita pun nak tau (projek) apa?

    “Saya taklah teruja sangat sebab semua benda sudah ada dalam jadual. Bila diumum semula bukan lah benda baharu. Kalau umum benda baharu saya nak dengar juga,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menyambut baik kenyataan Anwar yang menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan menganak tirikan empat negeri pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah.

    Beliau berkata, perkara itu sebenarnya merupakan semangat Persekutuan yang harus dihargai kerana ia adalah amalan biasa yang dimeterai sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

    “(Dalam hal ini ada dinyatakan) apakah yang kena diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan apakah yang menjadi bidang kuasa negeri. Saya sudah cakap lama, duduk dalam petak (bidang kuasa) masing-masing. Hanya dalam petak yang bersama kita duduk lah sekali.

    “Saya tiada masalah sikit pun siapa jadi Kerajaan Persekutuan dan siapa kerajaan negeri. Kalau saling hormat bidang kuasa dan fungsi masing-masing tak akan ada apa-apa masalah, hormatlah sistem yang terbina di negara ini, masing-masing pakat terima pakai yang itu jalanlah seperti biasa.

    “Tak perlu ada konsep baharu kalau (kerajaan negeri) sama (diberi layanan) istimewa dan kalau tak sama, tak istimewa. Itu semua di luar undang-undang, perkara yang ini tak patut dilayan kerana tak memberi nilai tambah kepada kemajuan negara ini,” tegasnya.

    Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perpaduan akan menyelesaikan isu kekurangan trip feri Pulau Langkawi jika mentadbir Kedah, Muhammad Sanusi berkata tanggungjawab berkaitan sistem pengangkutan air itu memang berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

    “Saya nak maklumkan bahawa perkhidmatan feri, jeti, lesen kereta api dan lapangan terbang 100 peratus di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan. Tak perlu tukar kerajaan pun mereka kena buat benda itu. Saya tak tau dia tau ka tak tau (bahawa) itu memang petak (tugas) dia.

    “Kalau saya nak pi buat petak (kerja-kerja) itu tak boleh, kerajaan negeri nak pi korek laut bagi dalam supaya feri boleh lalu banyak kali, tak boleh pasai petak (tanggungjawab) Kerajaan Persekutuan.

    “Kerajaan negeri nak buat KXP tak boleh pasai kena kebenaran Kementerian Pengangkutan. Mai jual benda macam itu bila orang reti, tak lakulah (tak percaya) kedai itu dan kalau orang tak reti, lakulah (percaya),” katanya.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, ‘Kita tengok di Langkawi pula satu hari berapa (trip) feri (tinggal) sebab lumpur tak boleh korek. Insha-Allah siapa pun Menteri Besar Kedah yang baharu nanti, masalah feri Langkawi yang dulu 15 kali (trip) sehari kita akan korek lumpur dan kembalikan (trip sebanyak itu)’.

  • Balik kampung dengan kenderaan awam elak kesesakan, kemalangan maut

    Balik kampung dengan kenderaan awam elak kesesakan, kemalangan maut

    guane

    SETIAP kali tibanya musim cuti sama ada cuti persekolahan mahupun cuti perayaan, kita sentiasa disajikan dengan laporan kesesakan jalan raya serta kemalangan ngeri yang turut mengorbankan nyawa manusia.

    Perkara ini amat merungsingkan kita sedangkan kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan agak besar bagi mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan dalam usaha memastikan jumlah kematian akibat kecelakaan jalan raya dapat dikurangkan.

    Apa yang menghairankan semakin banyak kempen diadakan disamping meningkatkan operasi dan rondaan oleh pihak berkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun kejadian kemalangan maut di jalan raya terus berlaku.

    Persoalannya kenapakah perkara ini boleh terjadi sedangkan kejadian seperti ini mampu diatasi oleh manusia yang bergelar ‘pengguna jalan raya’ sekiranya mereka sentiasa mematuhi setiap peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

    Penulis percaya, kemalangan boleh dielakkan sekiranya setiap pemandu kenderaan itu sendiri sentiasa berwaspada ketika berada di atas jalan raya terutama sewaktu memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi maut.

    Bagaimanapun, kita mendapati, antara faktor menyebabkan kemalangan berlaku adalah berpunca daripada kecuaian dan kelalaian manusia itu sendiri.

    Ini kerana, kebanyakan mereka seakan tidak sabar dan lebih bersikap pentingkan diri sendiri ketika memandu kenderaan.

    Selain memandu melebihi had laju ditetapkan, ada di antaranya gemar memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, jalan perlahan di laluan kanan serta memotong di laluan kecemasan.

    Apa yang dikesalkan sehari berada di jalan raya, kita mendapati terdapat 1001 macam kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya.

    Lain-lain kesalahan yang pernah kita saksikan ialah keluar simpang secara tiba-tiba sebelum masuk ke kanan jalan, memasuki simpang tanpa memberi lampu isyarat serta tidak memasang lampu ketika cuaca mendung atau hari hujan.

    Kalau dilihat sikap dan kecuaian tersebut, sudah pasti faktor jalan bukan menjadi masalah utama, sebaliknya kecelakaan itu berlaku disebabkan segelintir pemandu bertindak memandu laju, selain ada di antaranya kurang mahir dengan keadaan jalan di sesuatu tempat.

    Sebab itulah, kalau kita perhatikan kebanyakan kejadian kemalangan jalan raya berlaku khususnya di Terengganu, ia hanya tertumpu di beberapa lokasi yang dikenalpasti dan boleh dikatakan pada setiap tahun kawasan berkenaan dilaporkan berlaku nahas dan kecelakaan yang ada kalanya turut meragut nyawa manusia.

    Bagi negeri Terengganu, terdapat sebanyak 20 lokasi dikenalpasti sebagai kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa sebelum ini menyatakan lokasi tersebut masing-masing membabitkan empat di daerah Dungun dan Marang serta tiga di Kemaman dan Setiu.

    Manakala dua kawasan hitam pula dikenalpasti di Hulu Terengganu dan Besut serta satu Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

    Antara lokasi kemalangan maut dan dikatakan sebagai lokasi ‘berhantu’ kerana kerapkali terjadi ialah di KM 153 jalan Jerangau-Jabor, Cheneh, Kemaman dan Sungai Ikan menghala Setiu.

    Apa yang membimbangkan, kadar kemalangan di Terengganu sejak awal tahun ini dilaporkan turut meningkat kepada 3,571 kes iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 2,919 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

    Berdasarkan itulah pihak Polis terus memberikan tumpuan di semua lokasi kemalangan maut itu dengan berusaha keras membuat pemantauan disamping operasi bagi memastikan kadar kemalangan dan kematian dapat dikurangkan.

    Malah, setiap operasi yang diadakan turut menempatkan anggota penguatkuasa bagi memastikan para pemandu kenderaan memathui peraturan lalu lintas disamping meneruskan kempen keselamatan jalan raya yang sedia ada.

    Namun, apa yang dikesalkan sepanjang operasi diadakan, kita masih lagi mendengar laporan mengenai kejadian nahas jalan raya.

    Justeru, penulis ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memiliki kesabaran disamping memandu tidak mengikut emosi.

    Selain itu, bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya disamping mengelak berlakunya tragedi kemalangan sewaktu pulang bercuti, orang ramai sewajarnya memilih untuk menaiki kenderaan awam terutama bas ekspres.

    Maka itu, sudah sampai masanya kerajaan juga perlu mengadakan kempen pulang bercuti dengan kenderaan awam sama ada kapal terbang, keretapi atau bas dengan menawarkan ‘tiket rahmah’ kepada orang ramai.

  • Kempen awal PRN melalui rumah terbuka gagal

    Kempen awal PRN melalui rumah terbuka gagal

    Semalam telah berakhir rumah terbuka Aidilfitri Madani di Alor Setar Kedah yang mana penganjurannya menjadi isu hangat diperdebatkan kerana amat ketara ia diadakan berikutan Kedah adalah antara enam negeri yang akan terlibat pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Selepas ini rumah terbuka yang sama akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Walaupun pemimpin kerajaan menggunakan pelbagai alasan bagi menafikan ia adalah kempen PRN, ia sama sekali tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa ia sebenarnya kempen ketara kerajaan PH-BN untuk meraih undi daripada rakyat di enam negeri-negeri berkenaan.

    Alasan paling kukuh bahawa ia adalah kempen ialah ia diadakan di enam negeri yang terlibat PRN sedangkan sebelum ini acara tradisi itu diadakan di Seri Perdana, Putrajaya ataupun di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri.

    Jika ia bukan kempen PRN, sudah pasti majlis yang sama diadakan di Wilayah Persekutuan, Perlis, Perak (negeri kerusi PM dan TPM), Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

    Sekiranya alasan untuk bertemu rakyat, sudah pasti ia diadakan di seluruh negara dan bukannya di kawasan negeri tertentu sahaja.

    Kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan untuk mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan majlis di enam negeri lebih jimat berbanding satu majlis di Putrajaya juga alasan yang dicipta untuk menutup pekung di dada.

    Keduanya, pada malam sebelum hari rumah terbuka, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan berucap yang menyentuh isu politik Kedah.

    Isu-isu yang dikaitkan dengan negeri itu seperti masalah bekalan air, pembangunan dan kemiskinan dijadikan bahan kempen itu dan beberapa janji politik telah ditaburkan semasa ucapan tersebut seperti “masalah air akan selesai jika kerajaan PH-BN diberi mandat” dan bantuan berbilion ringgit untuk Kedah.

    Dan apabila segala tindak-tanduk menjurus ke arah kempen PRN, maka secara tidak langsung rakyat nampak bahawa jentera kerajaan telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menjayakan rumah terbuka tersebut.

    Selain wang kerajaan digunakan, turut dikerah dengan agresif ialah jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang dibawa dengan ‘berbiji-biji bas’ untuk memenuhkan majlis berkenaan.

    Sepanjang pengetahuan Tok Chey, semasa PH menjadi pembangkang, mereka cukup lantang mengkritik kerajaan yang dikatakan sering menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

    Kini, apabila menjadi kerajaan, PH dilihat lebih teruk apabila bukan sahaja telah menggunakan jentera kerajaan, tetapi berkempen lebih awal sebelum gendang kempen diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Bahkan mereka kini telah bergabung dengan BN yang dulu sering dituduh oleh PH sering menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen semasa PRU dan PRN.

    Daripada reaksi yang Tok Chey terima, kempen awal kerajaan PH-BN ini walaupun telah mengeluarkan belanja yang banyak dan penyalahgunaan jentera yang menyeluruh, ia tidak akan dapat mengubah pendirian pengundi.

    Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden Pas, Hadi Awang bahawa nasihat mantan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat tersemat rapi di hati ahli-ahli Pas.

    Slogan itu ialah ‘bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil namun tetap undi Pas’ .

    Nasihat penting itu jugalah membolehkan Pas terus mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan terbaharu berjaya menawan Perlis.

    Kesimpulannya, usaha keras kerajaan PH-BN untuk berkempen lebih awal dengan menyalahgunakan segala kemudahan kerajaan tidak akan berjaya kerana ahli Pas dan pengundi atas pagar sudah tetap pendirian mereka dan tidak akan berubah walaupun ditawarkan dengan pelbagai imbuhan.

  • Zahid patut kuatkan UMNO bukan ‘risau’ sokongan terhadap Anwar

    Zahid patut kuatkan UMNO bukan ‘risau’ sokongan terhadap Anwar

    BERUCAP di Himpunan Madani di Alor Setar, semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi beri jaminan BN akan mengekalkan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Kata Zahid, sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO beliau akan pertahankan semua ahli-ahli Parlimen BN dan akan terus beri sokongan kepada Anwar.

    Penulis terfikir kenapa perlu Zahid memberi jaminan berkenaan jika beliau yakin kesemua 30 ahli Parlimen BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan. Tak kanlah hanya kerana ada desas-desus bahawa 15 ahli Parlimen BN akan letak jawatan, Zahid dan Anwar sudah gelisah.

    Sepatutnya Zahid tidak perlu risau kedudukan Anwar mahupun kerajaan perpaduan, ia memandangkan bukankah Anwar ada sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen? Adakah wujud perasaan was-was di hati Zahid bahawa tidak kesemua ahli Parlimen BN menyokong Anwar?

    Kalau wujud perasaan itupun tidak salah kerana ketika undi percaya di Dewan Rakyat terhadap Anwar tidak lama dulu, jumlah sokongan hanya ditentukan melalui undi suara. Sebab itulah ada yang kata, kalau undi sulit dijalankan belum tentu Anwar menang…waallahualam tetapi apa yang pasti Zahid tak perlulah risau sangat pasal ‘’cikgunya’.

    Apa yang penting, Zahid berilah tumpuan bagaimana mahu memperkukuhkan UMNO dan BN sebagai sebuah parti yang cukup dan digeruni satu ketika dulu. Ketika ini rakyat khususnya orang Melayu melihat UMNO dan BN sudah tidak ada apa-apa kekuatan lagi, sekadar ‘menumpang kuasa’ dalan kerajaan. Kalaupun 30 ahli Parlimen BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan, Anwar tetap Perdana Menteri dan PH tetap memerintah.

    Membina semula kekuatan UMNO dan meraih kembali kepercayaan orang Melayu kepada parti jauh lebih penting daripada Zahid risaukan kedudukan Anwar dan Kerajaan Perpaduan. PRN di enam negeri tidak lama lagi akan jadi penentu sama ada tindakan Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan PH, DAP diterima rakyat khususnya orang Melayu atau tidak.

    Dalam UMNO, tidak ada masalah sebab maklumlah Zahid sudah mencanangkan bahawa kerjasama dengan PH,DAP adalah atas sokongan akar umbi. Tetapi soalnya bagaimana dengan pengundi lain.Walaupun UMNO ada lebih 3 juta ahli tetapi parti itu kalah teruk dalam PRU-15 dan ia membuktikan pengundi di luar UMNO adalah penentu survival politik parti itu.

    Sebab itulah, UMNO tidak harus mengabaikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung tahap sokongan orang Melayu terhadap UMNO.

    Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, PRN akan jadi penentu sama ada manuver politik parti tersebut bekerjasama dengan PH, DAP akan menguntungkan parti itu atau tidak. Jadi inilah yang harus diberi perhatian oleh Zahid bukannya asyik membuat kenyataan mempertahankan Anwar dan Kerajaan Perpaduan sedang UMNO sendiri bagaikan ‘lilin yang semakin cair’.

    Beberapa sumber memberitahu penulis, laluan UMNO dalam PRN di 6 negeri amat mencabar sekali. BN tiada harapan untuk memerintah Pulau Pinang, Negeri Sembilan atau Selangor kerana itu negeri di bawah penguasaan DAP dan PKR. Manakala di Kedah,Kelantan dan Terengganu, UMNO sekadar boleh bermimpi untuk menawan negeri-negeri itu biarpun mendapat undi daripada penyokog PKR,DAP dan Amanah.

    Ada sumber memaklumkan kepada penulis, selain di Kelantan dan Terengganu, UMNO dijangka ‘tetomoih teruk’ di Kedah – bak kata kawan penulis ‘teruih masuk keleboq (lumpur)’ dan di Selangor kerusi DUN yang ada di tanganpun mungkin hanyut.

    Kesimpulannya, penulis berpendapat lebih wajar Zahid tumpu bina kekuatan UMNO daripada dok sibuk nak perkukuhkan Anwar dan Kerajaan Perpaduan yang terbukti tanpa BN pun mereka ‘boleh hidup’.

  • 9 ditahan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam

    9 ditahan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEMBILAN individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan enam warganegara Thailand ditahan dalam serbuan dilakukan pihak polis ke atas premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan barangan kawalan itu.

    Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kementerian tersebut telah menerima serahan kes tersebut daripada pihak polis kira-kira pukul 1 petang semalam melibatkan sitaan diesel sebanyak 135,760 liter bernilai kira-kira RM291,884.

    Selain itu katanya, sebanyak tujuh lori, 10 unit skid tank, tiga mesin pam minyak, lapan ‘nozzle’ pam, dua unit tangki silnder dan dua unit alat kawalan jauh pintu pagar merupakan antara barangan dirampas.

    “Enam daripada tujuh lori yang disita memiliki nombor plat Thailand. Selain itu, wang tunai berjumlah THB 192,902 (RM25,300) turut dirampas. Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an. Nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    “Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.

    Menurutnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yng didapati terlibat dengan sindiket mahu pun aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan tersebut.

    Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya.

  • Anwar, Zahid sukar sekat gelombang hijau di Kedah

    Anwar, Zahid sukar sekat gelombang hijau di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SESUDAH berhari raya, kini tiba pilihan raya. Antara enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Kedah menjadi negeri paling hangat, jadi tumpuan dan popular ketika ini walaupun Kelantan dan Terengganu juga ditakrifkan sebagai negeri pembangkang.

    Dengan terarahnya semua ‘jentera’ dan ‘bala tentera’ kerajaan Madani ke Kedah kebelakangan ini, sudah pasti ada figura yang mereka perlu serang habis-habisan jika bercita-cita mahu rampas negeri Kedah daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Misi mustahil itu dimulakan sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menaiki takhta Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu, namun awal-awal lagi jatuh terkulai ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Padang Serai yang diadakan berasingan.

    PN menambah kerusi Parlimen ke-14 di Kedah melalui Padang Serai setelah calon mereka menang dengan majoriti 16,260 undi, walaupun PH dan BN ketika itu sudah bergabung dan membantu antara satu sama lain termasuk calon BN menarik diri.

    Kini setelah ‘pilot test’ itu tidak berjaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa mereka perlu melipatgandakan usaha pada PRN Kedah dan negeri-negeri lain jika mahu menghalang gelombang hijau yang membadai Kedah tahun lalu.

    Antara usaha yang dilakukan jentera mereka adalah menampakkan ‘Jeneral Perang’ PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pemimpin yang tidak seharusnya dipertahankan rakyat Kedah pada PRN akan datang.

    Tetapi mereka silap kerana Menteri Besar Kedah ke-14 itu merupakan insan paling disayangi dan disenangi hampir keseluruhan rakyat Kedah termasuk golongan muda yang menjadi kumpulan penentu kemenangan pada pilihan raya.

    Kewibawaan dan kelantangan Muhammad Sanusi bukan sahaja menggerunkan pihak lawan tetapi pada masa sama menenggelamkan dua pemimpin tertinggi BN dan PH di Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Mahfuz Omar yang kedua-duanya hilang kerusi Parlimen masing-masing pada PRU15 lalu.

    Atas sebab itu, Anwar dan Ahmad Zahid tahu mereka sendiri perlu ‘turun padang’ untuk memenangi hati rakyat dan pengundi Kedah walaupun memahami bukan senang untuk melakukan perkara itu ketika Muhammad Sanusi terus menjadi pilihan.

    Mahdzir dan Mahfuz serta pemimpin-pemimpin lain daripada UMNO, PKR, DAP dan Amanah Kedah pula kini ibarat tempelan apabila terpaksa mengeluarkan kenyataan yang menyerang Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Sanusi selain menampakkan kononnya kerajaan Perpaduan stabil.

    Rumah Terbuka Malaysia Madani antara ‘menu rahmah’ yang dihidangkan kepada rakyat Kedah kononnya mahu memberi peluang rakyat bersemuka dan bermesra dengan Perdana Menteri serta jemaah Kabinet walhal umum mengetahui agenda di sebalik penganjuran majlis itu.

    Tetapi kini menjadi satu cabaran kepada ‘tuan rumah’ iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan rumah terbuka itu dihadiri ramai pengunjung seperti Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, pada Khamis yang dibanjiri kira-kira 50,000 pengunjung.

    Tidak ada bas percuma disediakan kepada rakyat Kedah untuk bersemuka dan beramah mesra dengan Muhammad Sanusi berbanding apa yang dilakukan oleh kerajaan Madani pada majlis di Hotel Raia.

    Dalam program Himpunan Madani yang diatur di Dataran Stargate pula, tidak terkejut jika puluhan ribu rakyat Kedah hadir tetapi bukan untuk mendengar pidato atau syarahan Anwar dan Ahmad Zahid serta rakan-rakan mereka sebaliknya mendengar persembahan artis popular.

    Kehadiran penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Amy Search sudah pasti menjadi tarikan utama pada program itu berbanding pengisian program yang lain.

    Kini menjelangnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijangka selepas pertengahan Jun, serangan demi serangan yang bertali arus akan terus dihalakan kepada Muhammad Sanusi secara khusus kerana individu itu merupakan tunjang kekuatan PN di Kedah di samping pemimpin lain.

  • Sambutan Hari Raya semakin suram, nilai-nilai kemeriahan sudah hilang

    Sambutan Hari Raya semakin suram, nilai-nilai kemeriahan sudah hilang

    guane

    HARI INI, iaitu 6 Syawal 1444H merupakan hari keenam umat Islam di seluruh negara menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Walaupun 1 Syawal sudah berlalu, namun masih terdapat para perantau yang masih ‘terkandas’ di kampung halaman masing-masing.

    Dalam kesempatan ini juga, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua terutama yang mengenali penulis.

    Ini kerana sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara-perkara yang boleh menyinggung perasaan seseorang secara di luar sedar.

    Apabila bercakap mengenai Hari Raya, seperti juga tahun tahun kebelakangan ini, penulis mendapati kemeriahan dan keseronokannya tidak lagi seperti dahulu.

    Bagi penulis, nilai-nilai dan konsep hari raya sewaktu zaman datuk nenek kita dahulu kelihatan semakin hilang dan jauh tersasar.

    Walaupun kehadiran hari raya masih dinantikan, tetapi suasana serta ‘trend’ sambutannya sudah agak bebeza.

    Malah, berbanding dahulu, suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri sekarang ini hanya dinikmati sekejap sahaja, iaitu ketika menjelang malam hari raya dan juga pada sebelah pagi hari lebaran.

    Kalau dahulu, suasana hari raya mulai terasa sewaktu umat Islam memasuki hari ke 20 menjalani ibadah puasa sehinggalah tiba hari raya keenam.

    Malah, dalam tempoh tiga hari berhari raya, kebanyakan umat Islam tidak putus-putus mengunjungi rumah sanak saudara dan juga rakan taulan dengan berbaju Melayu (lelaki) dan berbaju kurung (wanita).

    Pada sebelah pagi hari raya, kita benar-benar berasa terharu dan tersentuh apabila mendengar suara takbir dan tahmid yang berkumandang dari masjid-masjid dan surau serta menerusi corong radio dan kaca televisyen.

    Suasan kemeriahan terus terasa apabila terdengar pula lagu-lagu raya ‘evergreen’ dendangan penyanyi lama seperti Allahyarham P.Ramlee, Saloma, Fazidah Joned, Sudirman, Sanisah Huri, S.Jibeng, Junainah M.Amin, M.Nasir, D.J.Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Al-Jawaher dan Ahmad Jais.

    Apa yang menarik, takbir raya turut dialunkan oleh imam masjid dan surau selama seminggu setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

    Kini, semuanya sudah hilang, suasana hari raya semakin suram.

    Budaya menzirahi pusara, kunjung mengunjung rumah sanak sausara dan rakan taulan juga semakin dilupakan.

    Yang kelihatan sekarang ini ialah suasana kesibukan dan kesesakan kenderaan bertali arus di Lebuh Raya, jalan-jalan utama sehingga ke jalan kampung akibat ramai yang pulang bercuti.

    Namun, apa yang menyedihkan ada dalam kalangan perantau yang pulang itu banyak menghabiskan masa di hotel-hotel atau inap desa sahaja berbanding bersama keluarga.

    Lebih malang, ada juga dari kalangan yang berduit mengambil kesempatan pulang ke kampung, tetapi bercuti di pulau-pulau peranginan?

    Inilah budaya dan ‘trend’ baharu yang melanda dalam masyarakat kita sekarang ini?

    Mereka pulang beramai-ramai ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga, tetapi hanya sempat beberapa jam sahaja bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

    Ada di antara mereka tidak lagi mengunjungi rumah ibu dan bapa saudara serta rakan taulan sewaktu zaman persekolahan dahulu.

    Apa yang dapat disaksikan sekarang ialah mereka lebih gemar berhari raya di pantai-pantai peranginan serta taman rekreasi.

    Ini menyebabkan budaya kunjung mengunjung antara satu sama lain yang menjadi amalan orang dulu-dulu kelihatan semakin pudar dan terhakis.

    Mereka lebih gemar membawa haluan sendiri.

    Barangkali berpunca daripada kesuntukan masa untuk kembali bertugas kerana mendapat cuti yang pendek.

    Manakala bagi kanak-kanak pula, mereka lebih gemar berkurung di dalam rumah untuk menonton pelbagai program menarik menerusi kaca televisyen serta bermain gajet.

    Kalau dilihat ‘trend’ sambutan hari raya sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti, kemeriahannya akan terus lenyap, sekali gus amalan serta budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat kita ini juga akan hilang ditelan zaman?

  • Sekali lagi, lagu PH bakal jadi senjata makan tuan

    Sekali lagi, lagu PH bakal jadi senjata makan tuan

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Tersemat di minda semua rakyat Malaysia lagu ‘Hoi Ya Hoi’ nyanyian Altimet untuk berkempen menyerang Barisan Nasional (BN) dengan gelaran kaki penyamun dan kluster mahkamah akhirnya menjadi senjata makan tuan bagi Pakatan Harapan (PH).

    PH yang kini tidur sebantal dengan pemimpin BN semata-mata kerana mahu berkuasa terpaksa menelan segala bait-bait lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun yang mana lirik ‘Siapa sokong penyamun’ kini menjadi bahan sindiran ditukar menjadi ‘Kami (PH) sokong penyamun (BN)’.

    Sama ada tidak serik atau ‘bermuka tebal’, pemimpin PH mencipta lagi lagu baru sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini apabila sebuah lagu rap pula dicipta khas untuk berkempen mengajak rakyat Kelantan untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri.

    Penulis sudah meneliti lagu ‘PRN Kelantan 2023: Mari Pakat Kita Tukar’ itu dengan isi kandungan lagu itu menyerang kerajaan Kelantan dengan isu air dan masalah peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

    Setelah mendengar lirik lagu rap itu, penulis kemudiannya melihat komen-komen orang ramai di You tube lagu itu dimainkan dan reaksi netizen di Facebook bagi mengetahui pandangan terhadap kempen berkenaan.

    Kebanyakan komen-komen yang ditinggalkan menyindir lagu baru itu kerana bakal menjadi ‘backfire’ kepada kerajaan PH-BN.

    Ini kerana sentimen mahu tukar kerajaan sebenarnya lebih kuat kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PH ketika ini.

    Isu-isu di peringkat nasional misalnya akan memberi kesan kepada pengundi di Selangor dan Negeri Sembilan yang akan menjadi kayu pengukur bahawa rakyat sedang melakukan protes besar-besaran terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

    Banyak isu-isu yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini yang jelas menunjukkan prestasi Anwar dan barisan kabinet sedia ada tidak seperti diharapkan.

    Mereka lebih banyak bercakap daripada melakukan sebarang tindakan komprehensif untuk menyelesaikan isu-isu rakyat.

    Sebarang perancangan jangka pendek belum menampakkan sebarang petanda bahawa masalah kos sara hidup, peningkatan harga barang dan banyak isu lain dapat diselesaikan.

    Dasar-dasar baru pula tidak menepati kehendak dan keperluan rakyat seperti pinjaman bank menggunakan cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kelulusan jualan dan bermain mercun dan pengumuman penurunan harga simen ketika Aidilfitri.

    Laungan untuk menghapuskan rasuah yang meniti di bibir juga nampak seperti retorik kerana masih mengekalkan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan pemimpin itu sedang berdepan dengan pendakwaan kes rasuah di mahkamah.

    Oleh sebab kelemahan kerajaan PH-BN itu sendiri, maka sebarang kempen seperti mencipta lagu seperti itu tidak dapat memberi kesan kepada pengundi untuk mengubah sokongan terhadap Perikatan Nasional yang dianggotai Pas dan Bersatu.

    Jika menyerang masalah air Kelantan pun, ia perlu dilihat asal-usul masalah itu berlaku iaitu masalah berkenaan adalah disebabkan kesan diskriminasi kerajaan pusat (BN) pada tahun 1990 yang mengamalkan dasar pilih kasih terhadap negeri diperintah pembangkang.

    Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang telah diluluskan pada tahun 1990 dengan nilai RM60 juta telah ditarik balik menyebabkan Kelantan terpaksa menguruskan fasiliti itu tanpa bantuan kerajaan pusat.

    Menyentuh soal peluang pekerjaan pula, penulis yakin pengundi Kelantan tidak terkesan kerana rata-rata anak-anak perantauan Kelantan boleh menikmati peluang pekerjaan dan kemajuan di negeri-negeri lain.

    Mereka sebenarnya selesa suasana negeri kelahiran mereka seperti mana yang ada sekarang kerana mengekalkan nilai dan ciri tradisional yang tidak ada di negeri-negeri lain.

    Kesimpulannya, pada PRN kali ini, PH-BN bukan saja gagal untuk merampas negeri milik PN, tetapi perlu berdepan risiko hilang kuasa terhadap negeri yang ditadbir mereka.

  • Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    OLEH: Adam Razak

    PERSIAPAN SAAT AKHIR…Esok umat Islam di negara ini bakal menyambut 1 Syawal selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

    Pastinya ramai sudah berada di kampung bagi menyambut lebaran bersama yang tersayang namun ada juga menggunakan kesempatan cuti umum tambahan untuk membuat persiapan di saat akhir.

    Kelihatan orang ramai memilih baju melayu bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tinjauan Warta Rakyat di sekitar Jalan Tuanku Abdul (TAR) dan Jalan Chow Kit mendapati, suasana masih lagi meriah dengan lokasi popular itu terus menjadi perhatian ramai.

    Meskipun cuaca semasa agak panas dan kering namun ia tidak membantutkan hasrat warga kota memenuhi kehendak serta keperluan mereka menjelang Syawal.

    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Di antara gerai jualan yang menjadi tumpuan adalah baju Melayu, tudung, aksesori wanita, gerai songkok dan kuih raya.

    Turut menjadi tumpuan adalah gerai inai, lokasi kegemaran kaum Hawa untuk ‘menghias’ tangan mereka supaya kelihatan menarik di Aidilfitri.

    Pada saat ini juga kelihatan para peniaga menawarkan potongan harga istimewa bagi menarik perhatian pembeli untuk menghabiskan stok-stok jualan mereka.

    Kelihatan seorang pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menghias tangan di gerai inai sempena menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai memenuhi sekitar Jalan TAR untuk membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan peniaga menyusun stok-stok kuih raya di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis tudung bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih aksesori wanita bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Walaupun ramai warga kota telah memulakan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, namun tidak kurang juga yang masih berada di ibu kota dan memilih saat akhir untuk berbelanja bagi persiapan Aidilfitri. GAMBAR: Warta Rakyat