Author: Admin

  • Sejuta jemaah tiba untuk wukuf di Arafah hari ini

    Sejuta jemaah tiba untuk wukuf di Arafah hari ini

    KIRA-KIRA sejuta umat Islam berwukuf di Arafah pada hari ini, kemuncak kepada ibadah haji dengan jumlah jemaah terbesar sejak pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

    Jumlah jemaah dihadkan kepada satu juta termasuk 850,000 dari luar negara, bermalam di kem yang terletak di Mina, tujuh kilometer dari Masjidilharam di Makkah, lokasi paling suci bagi umat Islam.

    Menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP, pada awal hari ini, jemaah akan berkumpul di Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, yang menjadi peringkat paling penting dalam ibadah haji.

    Mereka akan tinggal sepanjang hari di tapak itu, berdoa dan membaca al-Quran.

    Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah yang terletak antara Arafah dan Mina.

    Jemaah akan tidur di situ sebelum melakukan aktiviti melontar, simbolik ‘merejam syaitan’ pada esok.

    Ibadah haji tahun ini berlangsung selepas pemulihan Covid-19 di rantau ini dengan beberapa negara Teluk mengetatkan sekatan bagi mengawal penularan wabak.

    Semua jemaah dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi penuh dengan keputusan negatif ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR).

    Sebaik tiba di Mina pada Khamis, jemaah diserahkan beg kecil yang mengandungi pelitup muka dan pembasmi kuman.

    Ibadah haji adalah perhimpunan tahunan agama terbesar umat Islam di dunia, adalah antara lima rukun Islam dan mesti ditunaikan bagi mereka yang kemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

    Pada 2019, 2.5 juta umat Islam seluruh dunia menunaikan haji.

    Namun, Covid-19 memaksa pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengecilkan jumlah jemaah haji secara mendadak.

    Hanya 60,000 rakyat tempatan yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian pada 2021, meningkat daripada beberapa ribu berbanding 2020.

    Jemaah tahun ini perlu berdepan cuaca panas dengan suhu meningkat kepada 42 darjah Celsius.

  • IPD Kulim siasat dakwaan anggota ambil wang dari dompet didakwa hilang

    IPD Kulim siasat dakwaan anggota ambil wang dari dompet didakwa hilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan yang tular di media sosial menyatakan terdapat anggota polis mengambil wang dari dompet seorang individu di Kulim, Kedah baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta supaya individu berkenaan membuat laporan polis.

    Meskipun tiada laporan diterima katanya, pihaknya kini sudah pun menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

    “Ketua Polis Balai terlibat akan memanggil semua pihak terbabit bagi mendapatkan keterangan dalam isu berkenaan.

    “Tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan dalam kejadian itu termasuk pegawai dan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Baru-baru ini seorang lelaki membuat hantaran berserta gambar di kumpulan Facebook ‘Kulim Info’ meminta mana-mana individu yang kehilangan dompet agar menuntutnya di Balai Polis Kulim Hi Tech kerana dia telah menyerahkan dompet tersebut kepada pihak polis.

    Susulan itu, seorang lelaki lain menulis komen di hantaran tersebut.

    Sambil mengucapkan terima kasih kepada individu yang menemui dompet berkenaan, dia memaklumkan bahawa adiknya yang merupakan pemilik dompet tersebut sudah pun menuntut dompetnya di balai polis dimaksudkan.

    Begitu pun katanya, berlaku kejadian tidak diduga di balai polis tersebut apabila adiknya mendapati wang miliknya kurang RM200 daripada jumlah sepatutnya sedangkan gambar dompet yang dipaparkan di Facebook, jelas menunjukkan bahawa wang itu masih ada.

    Berikutan itu dakwanya, adiknya mahu membuat laporan berhubung perkara tersebut sebelum polis terlibat memulangkan wang berkenaan.

    Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, pihaknya memohon agar masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dakwaan yang tular itu kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tidak akan berkompromi dalam hal sebegini,” katanya.

  • Tukang gunting rambut ditahan cuba culik bekas kekasih, budak lelaki

    Tukang gunting rambut ditahan cuba culik bekas kekasih, budak lelaki

    SEORANG tukang gunting rambut ditahan polis hari ini, selepas dipercayai cuba menculik seorang wanita dan anak lelakinya di hadapan sebuah Tadika, Seksyen U12, Shah Alam, semalam.

    Pihak polis menerima laporan daripada suami mangsa berusia 41 tahun pada pukul 6.15 petang, selepas diberitahu oleh guru Tadika berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata,
    hasil siasatan, mangsa wanita berusia 33 tahun menjelaskan bahawa suspek menolaknya ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaan mangsa ketika anak lelaki mangsa, 6, memasuki kenderaan.

    “Suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan pada pukul 10.10 pagi tadi ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    “Turut bersama suspek adalah wanita berkenaan dan anak lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berit Harian.

    Mohd. Iqbal berkata, wanita terbabit dan anaknya tidak dicederakan manakala ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah.

    Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek adalah bekas kekasih mangsa dan motif tindakannya kerana masih sayangkan mangsa.

    Katanya, suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok,” katanya.

  • Peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

    Peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

    SEORANG peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, sejak April lalu.

    Tertuduh berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun di kawasan tempat letak
    kereta di Malim, Melaka Tengah pada 10 malam, pertengahan April lalu, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di kawasan semak di Taman Kesidang, Melaka Tengah, 11 malam, awal Mei lalu.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (1)(b) dan 14(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan perlu menjaga dua anak dan ibu yang sakit.

    Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau turut menetapkan tarikh 8 Ogos untuk sebutan semula kes.

  • Jemaah haji terkandas:Agensi pelancongan mohon maaf

    Jemaah haji terkandas:Agensi pelancongan mohon maaf

    SYARIKAT agensi pelancongan yang bertanggungjawab dalam membawa hampir 400 bakal jemaah Haji ke Tanah Suci tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memohon maaf atas apa yang berlaku.

    Individu yang juga wakil syarikat berkenaan,
    menerusi perbualan di aplikasi Whatsapp bersama Astro Awani, memohon maaf atas kejadian yang menimpa kumpulan bakal jemaah haji itu semalam.

    “Jutaan maaf dari kami pihak UC Travel. Kami sudah sedaya upaya berusaha untuk terbangkan jemaah, tetapi kami tidak berjaya.

    “Maka pihak kami akan membuat pemulangan wang kepada jemaah yang terlibat. Saya juga terkesan bila orang panggil kami scammer. Hakikatnya, kami di UC Travel sangat berusaha untuk terbangkan jemaah,” jelasnya secara ringkas, hari ini.

    Mengulas lanjut, ujarnya, sebarang kenyataan akan dikeluarkan selepas berbincang bersama peguamnya terdahulu.

    “Saya akan bincang dengan peguam saya dahulu. Kerana bukan kami sahaja yang gagal, ramai lagi agensi pelancongan gagal.

    “Tetapi kami terkedepan kerana kami bawa jemaah ke lapangan terbang, kami memang mencuba sedaya upaya.

    “Untuk ketika ini, semua group UC Travel sedang menjawab semua (persoalan) berkaitan jemaah kami,” katanya lagi.

    Tambahnya, satu sidang media akan dijalankan minggu hadapan bagi memberi penjelasan mengenai kejadian menimpa hampir 400 bakal jemaah haji itu.

    Malam tadi, hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi mengerjakan rukum Islam kelima itu.

    Sehingga kini, 17 laporan polis telah dibuat bakal jemaah Haji yang terkandas di sekitar Lembah Klang.

    Pada masa sama, siasatan dijalankan pihak polis dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Turut menjalankan siasatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dibawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

  • Dugaan Aidiladha: Empat rumah musnah terbakar, tinggal sehelai sepinggang

    Dugaan Aidiladha: Empat rumah musnah terbakar, tinggal sehelai sepinggang

    TIGA keluarga terpaksa hadapi ujian getir apabila tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Kuala Terengganu, pada pukul 11.15 pagi tadi.

    Kebakaran itu melibatkan empat buah rumah dengan tiga kediaman musnah seratus peratus manakala sebuah lagi terbakar 25 peratus pada bahagian dapur.

    Bagaimanapun, 20 penghuni empat rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

    Seorang mangsa yang juga penjawat awam, Mohd. Afifuddin Sulaini, 24, berkata, kebakaran disedari berlaku selepas ibunya, Johanna Mohamad, 49, mendengar jeritan kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah memaklumkan ada asap di atas rumah.

    “Ketika itu, saya dan adik-adik sedang tidur. Terkejut bila dengar jeritan ibu maklum ada asap dan bila keluar saya nampak memang ada asap di tingkat atas (rumah dua tingkat).

    “Kami terus keluar selamatkan diri tanpa sempat mengambil barang berharga. Lima minit selepas itu api mula marak dan saya hanya sempat melarikan kereta dan motosikal sahaja,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Bapanya, Sulaini Said, 55, berkata, dia menerima panggilan telefon dari isterinya sekitar pukul 11.30 pagi ketika berada di Bukit Payong, Marang memaklumkan rumah mereka hangus terbakar.

    Ketika itu katanya, tiada apa yang mampu dilakukan selain berharap isteri dan enam anaknya berusia antara 11 hingga 24 hingga tahun yang berada di dalam rumah selamat.

    “Sebaik sampai, saya tengok rumah sudah hangus terbakar dan bomba sedang padamkan kebakaran. Semua dokumen penting, barang kemas dan wang tunai hangus tidak dapat diselamatkan.

    “Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

    Seorang lagi mangsa, Che Hasliza Che Awang, 49, meminta suaminya, Yusuf Othman, seorang pesakit jantung keluar segera selepas menyedari tingkat atas rumah jirannya yang terletak kira-kira 1 meter terbakar.

    Jelas surirumah itu, dia juga meminta bantuan orang ramai mengalihkan tong gas yang baharu dibeli ke tempat selamat bagi mengelak berlaku letupan.

    “Saya dengan suami hanya keluar sehelai sepinggang. Barang-barang lain semua tidak sempat diselamatkan,” katanya yang bercadang untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, empat jentera bomba bersama 23 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

    Menurutnya, jarak rumah yang terlalu hampir menyebabkan api mudah merebak dengan cepat namun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.

    “Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • KKM pertimbang laksana kembali notis kompaun

    KKM pertimbang laksana kembali notis kompaun

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasa semula pengeluaran kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ini susulan kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) membendung jangkitan COVID-19 dilihat semakin longgar terutama pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup.

    “Ramai sudah mula tak pakai pelitup muka namun diingatkan bahawa ia masih wajib di kawasan tertutup cuma sejak 17 April lepas, kita tidak lagi keluarkan notis kompaun sebab KKM pada waktu itu membuat keputusan selari dengan Fasa Peralihan ke Endemik dengan mengutamakan pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu.

    “Namun sekiranya kes terus meningkat dan kadar kes mendadak, KKM tidak menolak untuk menguatkuasakan semula Akta 342 terutama kepada mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, Putrajaya, hari ini.

    Sejajar dengan fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu, imbasan kod QR My Sejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam dan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan mulai 1 Mei lalu.

    Menerusi Akta 342, individu yang didapati bersalah melanggar peraturan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

  • Pekerja ladang dipijak gajah maut di hospital

    Pekerja ladang dipijak gajah maut di hospital

    SEORANG pekerja ladang yang dilaporkan cedera di bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar pada Selasa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang, hari ini.

    Pihak Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dimaklumkan mengenai perkara itu dan mengambil inisiatif menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban ahli keluarga mendiang.

    Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhammad berkata, pihaknya amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga pekerja ladang kelapa sawit yang dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hoshas, pagi ini.

    “Mendiang dilaporkan dipijak gajah liar semasa sedang bertugas di Ladang Semantan, Mentakab dan mengalami kecederaan serius pada bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri pada Selasa, 5 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi yang melibatkan mangsa iaitu seorang lelaki lingkungan 50-an.

    Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati ladang kelapa sawit yang merupakan tempat mendiang bertugas terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.

    Jelasnya, menurut rekod pihak Perhilitan, terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenal pasti berada di hutan simpan berkenaan.

    Dalam masa sama, beliau menasihati pekerja-pekerja di ladang sawit supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian jika bertembung atau berhadapan dengan gajah liar berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.

    “Pekerja-pekerja ladang juga diminta menjauhkan diri, jika terserempak dengan hidupan liar tersebut dan terus menghubungi Perhilitan Semenanjung Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-5151.

    “Walaupun gajah bukan haiwan yang ganas tetapi mamalia itu boleh menjadi agresif jika sedang kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam.

    “Justeru, sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan, terutamanya kerana hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716,” jelasnya.

    Sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, Zamakhshari berkata, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama itu dan akan terus memberi sokongan penuh bagi usaha-usaha mengurangkan Konflik Manusia-Gajah dan langkah mitigasi yang bersesuaian dengan menggalakkan kewujudan atau keharmonian bersama terutamanya dalam industri sawit Malaysia.

    Jelasnya, MPOGCF telah memulakan dan sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif pemuliharaan gajah bagi mengurangkan Konflik Manusia-Gajah di kawasan perladangan sawit.

    “Ini termasuk penubuhan Borneo Elephant Sanctuary (BES) di Sabah, pelaksanaan projek ‘Living Together with Elephants’ bersama TDM Plantation di Terengganu, projek ‘Elephant Grass Planting’ di Sabah serta projek Koridor Gajah di Kelantan.

    “MPOGCF juga telah mendapat kelulusan dan dalam proses untuk menubuhkan Johor Elephant Sanctuary (JES) di Johor,” katanya.

  • Jemaah haji terkandas, kementerian pelancongan siasat agensi pelancongan

    Jemaah haji terkandas, kementerian pelancongan siasat agensi pelancongan

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuat siasatan sewajarnya ke atas agensi pelancongan yang didakwa terbabit dalam kes penipuan bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi.

    Menurut MOTAC, agensi itu akan disiasat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

    “Sekiranya didapati bersalah, agensi itu boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan.

    “Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga sudah memantau dan menemu bual wakil agensi di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan.

    “Di samping itu, sekiranya mangsa dalam kes itu tidak mendapat kembali wang seperti yang dijanjikan, mereka dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” menurut kenyataan MOTAC yang dikeluarkan, hari ini.

    Menurut kenyataan itu juga, berdasarkan semakan kementerian, agensi pelancongan itu adalah berlesen dengan MOTAC.

    “Justeru orang awam dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada kementerian atau agensi berkenaan dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan.

    “Ini demi memastikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Bagi bakal jemaah yang terbabit, mereka diminta untuk membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang.

    Dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti bukti tempahan pakej, bukti pembayaran deposit, bukti pembayaran penuh, salinan pasport atau visa, salinan tiket penerbangan (jika ada), laporan polis dan apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan di peringkat kementerian.

  • 91 pegawai kesihatan akan ditempatkan di HKL, HTA – Khairy

    91 pegawai kesihatan akan ditempatkan di HKL, HTA – Khairy

    SERAMAI 91 pegawai kesihatan yang menamatkan pengajian akan diserap ke Hospital Tunku Azizah (HTA) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menggantikan seramai 86 pegawai yang berpindah.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kesemua pegawai itu ditugaskan di kedua-dua hospital tersebut pada 18 Julai ini.

    “Saya nak maklumkan bahawa seramai 91 pegawai perubatan yang telah menamatkan siswazah telah diluluskan pertukaran masuk ke HKL dan HTA mulai 18 Julai.

    “Kelulusan perpindahan ini dibuat selaras dengan pelaksanaan pertukaran keluar seramai 86 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti perubatan lain,” katanya pada satu sidang media, hari ini, lapor Satu Berita.

    Sebelum ini, tular satu dakwaan di media sosial mengatakan bahawa HKL dan HTA berdepan isu kekurangan pegawai sehingga menyebabkan kesukaran operasi di kedua-dua fasiliti perubatan itu.

    Namun, KKM telah menyangkal dakwaan itu dengan mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu adalah satu isu yang tidak berbangkit.