Author: Admin

  • Diamlah Puad, UMNO sendiri banyak kerosakan

    Diamlah Puad, UMNO sendiri banyak kerosakan

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan Bersatu semata-mata kerana hendak menutup kerosakan yang berlaku dalam UMNO.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa berkata, Mohd Puad juga tidak perlu mencari publisiti murahan dengan mengalihkan perhatian tentang kecacatan yang berlaku di dalam UMNO.

    “Saya ingin mengingatkan kepada Puad cukuplah! Tidak perlu lagi beliau untuk menunjuk pandai tentang parti Bersatu jika kamu sendiri tidak tahu. Kamu jaga sahaja hal rumah tangga parti kamu yang sedang bermasalah itu.

    “Seluruh rakyat kini sedang mengikuti kes perbicaraan Presiden kamu dan sahabat baiknya itu.

    “Tumpu sahaja pada DUN kamu dan buat kerja! parti kami tahulah kami hendak menguruskannya,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu hari ini.

    MOHD SHUKOR MUSTAFFA BERSATU
    MOHD SHUKOR MUSTAFFA

    Mohd Shukor berkata demikian mengulas mengenai teguran yang dibuat Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang menyifatkan Mohd Puad lebih gemar “bermain politik” daripada berkhidmat kepada rakyat.

    Dr Sahrudin juga melahirkan kehairanan dengan sikap Puad yang sering mencampuri urusan Bersatu dan menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu sebagai seorang yang lapar perhatian.

    Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata, mengenai isu jawatan timbalan perdana menteri (TPM), Mohd Puad perlu menghormati perjanian yang telah dibuat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau menyarankan agar Puad berdiam diri daripada berbicara mengenai isu itu.

    “Mengotakan janji itu adalah lambang kemuliaan dan keperibadian seseorang yang berintegriti.

    “Ini bukan soal jawatan tetapi ini soal akhlak dan perjanjian yang telah dibuat.

    “Jika tidak tahu lebih baik tutup mulut dan diam,” tegasnya.

  • Jumpa mayat reput dalam sungai

    Jumpa mayat reput dalam sungai

    SATU mayat reput dengan sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan ditemukan terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna, Tumpat, Kelantan, semalam.

    Mayat dipercayai lelaki tersebut ditemukan pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, anggota balai Palekbang menerima satu panggilan daripada orang awam menyatakan terdapat satu mayat terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna, Palekbang, Tumpat.

    “Ketua Polis Balai Palekbang bersama empat anggota pergi ke tempat mayat dijumpai dan mendapati terdapat satu mayat terapung di sungai kampung tersebut.

    “Mayat dibawa naik oleh anggota polis dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat,” katanya lapor Sinar Harian.

    Katanya, tiada sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut dan bedah siasat dijalankan oleh doktor mendapati mayat dalam keadaan mereput.

    “Sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan dan dianggarkan mati dalam jangka masa 36 jam.

    “Punca kematian lelaki tersebut tidak dapat dipastikan kerana mayat yang mereput,” katanya.

    Beliau berkata, pemeriksaan laporan orang hilang menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat mendapati tidak ada sebarang laporan diterima.

    “Sampel yang diterima daripada pihak hospital akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti identiti mayat,” katanya

  • Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu tunggal

    Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu tunggal

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki suspek bagi kes bunuh seorang wanita di sebuah pusat peranginan di Mukah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata penahanan lelaki berusia 52 tahun itu dibuat selepas siasatan mendapati dia adalah orang terakhir dilihat berjumpa mangsa.

    “Suspek ditahan pukul 1.40 tengah hari bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Muhamad Rizal berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima laporan mengenai seorang wanita tempatan meninggal dunia dalam sebuah bilik di sebuah tempat peranginan di Mukah pukul 12.35 tengah hari semalam.

    Siasatan awal terhadap badan mangsa mendapati adanya kesan cedera dalaman di bahagian leher dan pinggang sebelah kiri. Mangsa yang beralamat di Sibu adalah ibu tunggal berusia 44 tahun dan mempunyai dua anak.

    “Mangsa mendaftar masuk ke tempat peranginan berkenaan bersama anak-anaknya sehari sebelum kejadian,” katanya.

  • Pesara lapor polis ditipu pakej haji RM38,000

    Pesara lapor polis ditipu pakej haji RM38,000

    SEORANG pesara membuat laporan polis terhadap sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji menyebabkannya kerugian kira-kira RM38,000.

    Laporan berhubung penipuan tawaran pakej haji yang tidak wujud itu dibuat oleh mangsa yang berusia 62 tahun pada 7 Julai lalu, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud, siasatan awal mendapati mangsa membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lalu.

    Katanya, mangsa kemudian membuat bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000.

    “Namun, pemilik agensi tersebut memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 7 Julai lalu kerana menipu.

    Minggu lalu, kira-kira 380 bakal jemaah Malaysia terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta.

  • Lelaki kelar isteri, bayi hingga mati disambung reman

    Lelaki kelar isteri, bayi hingga mati disambung reman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki yang disyaki mengelar leher isteri dan bayinya hingga mati di sebuah rumah dekat Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, disambung tujuh hari lagi.

    Ini susulan perintah reman suspek yang tamat hari ini, dilanjutkan sehingga Isnin depan.

    Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Suhaila Shafiuddin selepas polis membuat permohonan lanjutan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

    Terdahulu, suspek yang kelihatan tenang sebaik turun dari trak polis itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi.

    Suspek yang bekerja sebagai pencuci kapal itu disyaki membunuh isterinya, 26, dan bayi lelakinya berusia 3 bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu pada Isnin lalu.

    Dia ditahan di Permas Jaya, Johor Bahru beberapa jam selepas melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal.

    Kejadian tersebut termasuk foto suspek menunggang motosikal dalam keadaan bogel menjadi tular dalam media sosial.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Empat maut kemalangan kereta, lori

    Empat maut kemalangan kereta, lori

    EMPAT mangsa termasuk pemandu dan penumpang sebuah kereta maut dalam satu nahas jalan raya berhampiran simpang Roban, Jalan Saratok, di Sarikei hari ini.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kemalangan terbabit pada pukul 6.53 pagi, dan segera mengaktifkan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori, sementara keempat-empat mangsa berada di dalam kereta tersebut.

    “Kesemua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, difahamkan pemandu lori yang terlibat hanya mengalami cedera ringan.

  • Kekasih cedera Volkswagen dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lawan arus

    Kekasih cedera Volkswagen dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lawan arus

    SEPASANG kekasih cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus.

    Kemalangan itu berlaku di Kilometer 4.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) Bagan Ajam, Pulau Pinang tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU),Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pukul 12.10 tengah malam tadi.

    Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Volkswagen yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut.

    “Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    “Pemandu Mitsubishi Triton juga sudah membuat laporan polis dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan.

  • Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam parit di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Alim dilaporkan hilang semalam.

    Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan dilaporkan hilang.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.

    Menurut beliau, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

    “Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    “Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

    Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

    Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

  • 8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    SEBANYAK lapan kenderaan musnah terbakar dalam kebakaran hutan berhampiran Jalan Nova U5/94A Laman Permai, di Sungai Buloh malam tadi.

    Memetik laporan BH, semua kenderaan terbabit diletakkan di hadapan bengkel berhampiran kawasan itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 malam.

    “Sejurus selepas menerima panggilan, sepasukan 15 anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran hutan yang turut menyebabkan lapan kenderaan terbakar. Operasi pemadaman segera dilakukan hingga kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    TIGA rumah musnah dalam kebakaran dipercayai angkara seorang lelaki yang menghidap masalah mental dalam kejadian di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.17 tengah hari dan seramai 22 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran yang menyebabkan kemusnahan rumah hampir 80 peratus.

    “Punca kebakaran serta kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Satu Berita.

    Sementara itu, seorang mangsa yang juga peniaga pakaian terpakai, Mohd Syahid Sipri, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian RM20,000 selepas semua barangan perniagaan musnah.

    Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia hanya menyedari kejadian itu pada 1 tengah hari selepas pulang daripada berniaga di kawasan Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

    “Ketika tiba di rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan pakaian bundle itu, saya melihat kepulan asap keluar dari arah ruang tamu dan mendapati bapa saudaranya terperangkap dalam rumah.

    “Saya cuba masuk melalui pintu utama, namun ia berkunci dari dalam. Semasa api mula marak, saya melihat bapa saudara telah keluar sendiri dari rumah melalui pintu tersebut.

    “Saya mengesyaki dia membakar barangan di dalam rumah,” katanya.