Author: Admin

  • Tajuddin digugur jawatan Duta Besar ke Indonesia

    Tajuddin digugur jawatan Duta Besar ke Indonesia

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Memetik laporan FMT, perkara itu disahkan oleh seorang sumber kerajaan.

    Sumber tersebut menyatakan nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong esok.

    Menurutnya lagi, kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikan Tajuddin.

    “Sebab itu nama dia tak dimasukkan dalam senarai utusan terbaharu yang akan terima surat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong esok,” katanya kepada FMT.

    Ketika dihubungi FMT, Tajuddin enggan mengulas dan meminta FMT merujuk isu itu kepada Wisma Putra.

    “Tiada komen. Tanyalah Kementerian Luar ke, tanya perdana menteri ke, saya mana tahu,” katanya kepada FMT.

    FMT sedang menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar.

    Pelantikan Tajuddin mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk belas diplomat.

    Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia ibarat mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kerana pelantikan beliau sudah diperkenan.

    Tajuddin sebelum ini menyifatkan sebahagian kritikan berhubung pelantikannya sebagai “tidak adil”.

    “Mereka tidak kenal saya, cuma tahu saya orang tua, sedangkan saya sudah berkhidmat dengan kerajaan, negara dan rakyat lebih 45 tahun lalu, sejak berusia 25 tahun lagi. Tetapi, saya dilayan seolah-olah seperti saya ‘orang tepi jalan’.”

    Bagaimanapun, The Malaysian Insight memetik sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan FMT, dan pelantikan ahli parlimen itu cuma “ditangguh”.

    Pada Mei 2021, Ahli Parlimen kontroversi itu digugurkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kritikan berhubung perlanggaran dua tren LRT.

  • Pemilihan UMNO sebelum hujung tahun jika tolak Pelan B

    Pemilihan UMNO sebelum hujung tahun jika tolak Pelan B

    PEMILIHAN UMNO akan diadakan sebelum hujung tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.

    Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu juga mempunyai Pelan B jika permohonan pindaan yang membolehkan pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kami (ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan ROS.

    “UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.

    “Apakah Pelan B itu, kena tunggulah nanti. Kita berharap ROS luluskan permohonan itu kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA dan sudah diluluskan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan daging korban di Benut, Pontian, hari ini.

    Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.

    Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata ROS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.

    Sebelum itu, UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.

    Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.

  • Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    SARJAN Mohd. Kamal Ramli, 41, anggota tentera Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang maut dihempap pokok ketika operasi di pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak, semalam sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga keluarganya.

    Koperal Siti Nafishah Mohd. Nasir, 29, isteri kepada arwah berkata, pesanan itu dititipkan suaminya sebelum meninggalkan rumah mereka.

    “Sebelum dia (Allahyarham) bertolak dia sempat berpesan kepada anak sulung kami Muhammad Nabil Khalaf, 5, supaya menjaga ibu, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

    “Suami saya tidak menunjukkan tanda kelainan dan berkelakuan seperti biasa malah Allahyarham turut berpesan supaya menunggu kepulangannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, hari ini.

    Jenazah Sarjan Mohd. Kamal selamat dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, Sungai Petani, malam tadi.

    Sarjan Mohd. Kamal bersama Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di Hutan Belum, Gerik, semalam.

    Siti Nafishah berkata, hasil perkongsian hidup bersama suami mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Nabil Khalaf dan Muhammad Nur Fariman, 2.

    Menurutnya dia sekeluarga reda dengan pemergian suaminya itu kerana kematiannya ketika menjalankan tugas dan kebetulan jatuh pula pada Hari Raya Aidiladha.

    “Damailah kau di sana perwiraku,” katanya dalam nada pilu.

    Dia mengetahui kematian suaminya itu selepas bapanya menerima panggilan daripada adiknya yang bertugas bersama Allahyarham di 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi semalam.

    Siti Nafishah yang juga anggota tentera bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Kamal pada sehari sebelum suaminya melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

    “Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan,” katanya.

  • Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    TEMAN lelaki kepada seorang wanita disyaki menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi ditahan semalam.

    Lelaki itu ditahan di Kuala Lumpur oleh anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, lelaki tersebut telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.

    “Kita akan buat permohonan untuk menyambung reman suspek wanita yang ditahan pada Sabtu lalu, selepas tempoh remannya tamat pada Selasa.

    “Kertas siasatan akan segera dirujuk ke pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

  • APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    DUA nelayan tempatan ditahan yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan pada edudukan 1.6 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau, pukul 11.57 pagi, kelmarin.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan bot nelayan terbabit dikesan oleh bot Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di perairan negeri Perak.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati, dua nelayan warga tempatan termasuk tekong, masing-masing berumur 51 dan 53 tahun berada di atas bot.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot mempunyai dokumen vesel yang sah namun, memiliki 35 set bubu naga yang disyaki digunakan sebagai alat menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, nelayan, bot, bubu naga serta peralatan yang lain dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

    “Nilai rampasan kali ini dianggarkan berjumlah RM3,150 iaitu RM90 setiap satu set bubu naga,” katanya lapor Astro Awani.

    Mohd Sharenliza berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

    Ujarnya lagi, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai.

    Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan sebarang salah laku jenayah atau kecemasan boleh laporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05- 7279919.

  • Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    PASUKAN Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort meluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang hilang pada Sabtu lalu sejauh 63 kilometer.

    Ketua BBP Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga ke muara Sungai Padas dari Kampung Batu 60.

    “Operasi yang memasuki hari ketiga itu dimulakan pada pukul 7 pagi. Operasi hari ini (Isnin) dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menyusuri sungai bagi pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dari Batu 60 ke muara Sungai Padas sejauh 63 kilometer.

    “Pencarian juga dilakukan di kawasan belukar dan ladang kelapa sawit dengan radius sejauh tujuh kilometer dari pos kawalan bomba,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kata Mohammad Hasbullah, operasi pencarian disertai seramai 19 anggota BBP Beaufort dibantu agensi keselamatan lain dan penduduk kampung.

    “Selain dibantu seramai 70 penduduk kampung, operasi SAR turut disertai oleh anjing pengesan dari unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri yang dikenali sebagai Lexi dan Fleur,” katanya.

    Sehingga kini katanya, mangsa belum ditemui dan maklumat mengenainya akan dikemaskini dari masa ke semasa.

    Media pada Sabtu lalu melaporkan, Jude Angel Jeremy dipercayai jatuh ke sungai selepas disedari hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di Beaufort.

    Ketika kejadian, mangsa dijaga oleh neneknya manakala kedua ibu bapanya berada di Tamu Beaufort (pasar mingguan) untuk berniaga.

  • Papuh saran TH lebih terbuka pilih agensi pelancongan sebagai PJH

    Papuh saran TH lebih terbuka pilih agensi pelancongan sebagai PJH

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menyarankan agar Tabung Haji (TH) lebih terbuka dalam memilih agensi pelancongan yang belum menjadi Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada setiap tahun.

    Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ini bagi mengelakkan insiden jemaah haji yang terkandas berulang.

    “Sudah tiba masanya sistem ‘Kartel TH’ yang diamalkan oleh TH perlu dirombak tanpa birokrasi bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain mejadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada yang sedia ada saban tahun.

    “Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun.

    “TH perlu lebih peka dengan insiden (jemaah haji terkandas) yang terjadi setiap tahun dan apakah tindakan mereka bagi membenteras permasalahan ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, Papuh turut menyambut baik reaksi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mengambil tindakan setelah berlakunya penipuan di bawah undang-undang Akta Industri Pelancongan 1992.

    “Tindakan ini adalah wajar kerana pengurusan mengerjakan haji bukanlah terletak di bawah kuasa MOTAC,” ujarnya.

    Jelasnya, jemaah haji sepatutnya tidak perlu membayar keseluruhan kos pakej sebaliknya hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan.

    “Bayaran penuh boleh dibuat sekiranya mereka mendapat visa haji jemputan. Pengurusan syarikat bagi mengurus permasalahan jemaah tidak diurus dengan baik juga menjadi faktor penyumbang kepada insiden tersebut.

    “Bagi tahun ini, visa haji jemputan ini tidak menggunakan visa furada (visa sahaja) seperti tahun-tahun sebelumnya sebaliknya digantikan dengan visa mujamalah (visa termasuk pakej pengurusan dan penginapan) yang lebih efektif dan mudah,” jelasnya.

  • Lelaki maut ketika menunggu pemberian daging korban

    Lelaki maut ketika menunggu pemberian daging korban

    SEORANG lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika menunggu untuk mengambil sumbangan daging korban di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di Masjid Tanah, hari ini.

    Dia yang merupakan lelaki Orang Kena Pengawasan (OKP) berusia 55 tahun rebah pada pukul 10.15 pagi sebelum sempat mengambil daging itu sumbangan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

    Allahyarham adalah antara kira-kira 20 OKP di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Alor Gajah yang dijemput untuk mengambil sumbangan berkenaan, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun arwah secara tiba-tiba terjatuh dari kerusi dan rebah di kaki tangga bangunan itu menyebabkan orang ramai yang melihatnya segera memberikan bantuan.

    Pemeriksaan nadi yang dibuat seorang lelaki mendapati tiada denyutan nadi selain arwah tidak lagi bernafas sebelum pembantu perubatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah yang hadir dengan menaiki ambulans pada pukulm 10.30 pagi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mayat arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

    Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian hanya akan dikenal pasti selepas bedah siasat dijalankan.

    Sementara itu, Mas Ermieyati dalam Facebook miliknya, mengucapkan takziah kepada lelaki berkenaan.

    “Apabila telah tiba waktunya yang ditentukan bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak pula mendahulukannya (Surah An Nahl : 61).

    “Alfatihah buat Allahyarham Abdul Malik Bin Bakar (55 tahun) yang telah meninggal dunia sewaktu sedang menunggu agihan daging korban di Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah tadi.

    “Terima kasih buat semua yang membantu menguruskannya. Saya bagi pihak Pusat Khidmat mengucapkan takziah buat seluruh anggota keluarga. Moga diampuni segala dosa dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin,” katanya.

  • Lima suspek kes tipu pakej haji diserah kepada Polis Selangor

    Lima suspek kes tipu pakej haji diserah kepada Polis Selangor

    KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan, lima suspek termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji diserahkan kepada Polis Selangor untuk siasatan lanjut.

    “Pihak kami sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kesemua individu itu, sebelum diserahkan kepada Polis Selangor.

    “Polis selesai proses rakam keterangan kesemua suspek, kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

    “Kesemua tangkapan diserah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk membantu siasatan kes yang dilaporkan di negeri itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tiada sebarang tangkapan baharu berkaitan kes itu, kata Ashari seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Pada Sabtu, Ashari memaklumkan sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur daripada mangsa membabitkan kerugian lebih RM760,000 dengan 18 laporan polis diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

    Berikutan itu, polis menahan lima individu, kira-kira jam 9 malam di beberapa lokasi sekitar ibu negara untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

    Tangkapan terdiri daripada pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di pejabat agensi pelancongan terbabit di Danau Kota, Setapak.

    Pada Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej ibadah haji oleh agensi pelancongan swasta.

  • 19 maut tembakan rambang di dua bar

    19 maut tembakan rambang di dua bar

    SEKURANG-kurangnya 19 orang terbunuh dalam dua insiden tembakan rambang di Afrika Selatan.

    Menurut Suruhanjaya Polis Wilayah Gauteng, Elias Mawela, dalam kejadian pertama, sekumpulan lelaki bersenjatakan senapang dan pistol melepaskan tembakan di sebuah bar di Orlando East, Soweto awal pagi Ahad menyebabkan 15 individu maut manakala sembilan lagi cedera.

    “Daripada kedudukan kelongsong peluru di tempat kejadian, boleh disumpulkan insiden ini merupakan tembakan rambang,” katanya, lapor Astro Awani.

    Polis turut mengesahkan kejadian kedua yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam pada Sabtu waktu tempatan, di sebuah bar di Pietermaritzburg, 500 kilometer di selatan Soweto, Afrika Selatan, yang mengorbankan empat nyawa dan mencederakan lapan lagi.

    Siasatan awal menunjukkan tiada kaitan antara kedua-dua kejadian dan kesemua suspek berjaya melarikan diri.

    Siasatan masih dijalankan bagi menentukan berapa suspek yang terlibat dalam kedua-dua insiden dan motif kejadian.

    Mangsa yang cedera turut dibawa ke Hospital Chris Hani Baragwanath untuk menerima rawatan.

    Menurut Mawela, terdapat kejadian ketiga dipercayai kejadian samun di sebuah bar di Katlehong, berdekatan Johannesburg yang berlaku pada Khamis.

    Dalam insiden itu dua pengunjung maut manakala dua lagi cedera.