SEORANG lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika menunggu untuk mengambil sumbangan daging korban di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di Masjid Tanah, hari ini.

Dia yang merupakan lelaki Orang Kena Pengawasan (OKP) berusia 55 tahun rebah pada pukul 10.15 pagi sebelum sempat mengambil daging itu sumbangan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Allahyarham adalah antara kira-kira 20 OKP di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Alor Gajah yang dijemput untuk mengambil sumbangan berkenaan, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun arwah secara tiba-tiba terjatuh dari kerusi dan rebah di kaki tangga bangunan itu menyebabkan orang ramai yang melihatnya segera memberikan bantuan.

Pemeriksaan nadi yang dibuat seorang lelaki mendapati tiada denyutan nadi selain arwah tidak lagi bernafas sebelum pembantu perubatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah yang hadir dengan menaiki ambulans pada pukulm 10.30 pagi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mayat arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian hanya akan dikenal pasti selepas bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, Mas Ermieyati dalam Facebook miliknya, mengucapkan takziah kepada lelaki berkenaan.

“Apabila telah tiba waktunya yang ditentukan bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak pula mendahulukannya (Surah An Nahl : 61).

“Alfatihah buat Allahyarham Abdul Malik Bin Bakar (55 tahun) yang telah meninggal dunia sewaktu sedang menunggu agihan daging korban di Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah tadi.

“Terima kasih buat semua yang membantu menguruskannya. Saya bagi pihak Pusat Khidmat mengucapkan takziah buat seluruh anggota keluarga. Moga diampuni segala dosa dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here