Author: Admin

  • Untitled post 76070

    Ada program bawa pelajar sekolah tengok wayang.

    Tonton filem yang tak laku tu ke?

  • Bangunan lama KWSP berusia 63 tahun terbakar lagi

    Bangunan lama KWSP berusia 63 tahun terbakar lagi

    BANGUNAN lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, terbakar lagi.

    Klip video bangunan enam tingkat bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu dijilat api mula tersebar dalam media sosial setengah jam lalu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran itu, lapor FMT.

    Bangunan itu dikosongkan selepas kebakaran pada Februari 2018 – tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika itu.

    Bangunan pejabat berusia 63 tahun itu dijadualkan dibuka semula lewat tahun depan sebagai kemudahan warga emas.

  • PH-UMNO ‘mati akai’ nak tumbangkan Sanusi

    PH-UMNO ‘mati akai’ nak tumbangkan Sanusi

    ‘MB Loqlaq’, ‘angkuh sombong’, ‘cakap berdegar-degar’ – itulah antara ‘serangan’ ditujukan kepada Muhammad Sanusi Md Nor – Menteri Besar Kedah yang ‘sempoi’ tetapi cukup memeningkan pemimpin PH-BN-DAP.

     Mereka seolah-olah ‘mati akal’ untuk memastikan rakyat Kedah tidak lagi menyokong ADUN Jeneri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

     Berbanding Kelantan dan Terengganu, waima Selangor dan Negeri Sembilan sekalipun, tumpuan pemimpin ketiga-tiga parti itu lebih kepada Sanusi. Bagi mereka, jika Sanusi mampu ‘ditumbangkan’, kejayaan itu lebih besar daripada mempertahankan pemerintah PH di Selangor dan Negeri Sembilan.

     Soalnya, apa salah Sanusi sehingga beliau menjadi sasaran utama? Adakah kerana beliau tidak bersih? Adakah beliau menganiaya rakyat Kedah? Adakah beliau sering ‘menyerang’ kerjasama ‘penuh kasih sayang’ antara PH-DAP-UMNO?

    Semua itu bukan alasan, sebaliknya Sanusi ‘diserang’ kerana kelantangan beliau menjawab setiap hujah yang dibangkitkan oleh pemimpin PH-DAP-UMNO berkaitan negeri Kedah.

    Sanusi bukan seperti sesetengah ahli politik kerajaan yang berhujah bagaikan ‘badut di atas pentas’. Setiap serangan, Sanusi jawab satu persatu berdasarkan fakta.

    Ketika balik kampung di Kedah pada minggu lalu, penulis dapat merasakan aura Sanusi dalam kalangan rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik.

     Sanusi tidak ada ‘billboard’ wajahnya yang menghiasi setiap ceruk jalan di Kedah untuk meraih populariti, Sanusi tidak perlu berkaroake pada majlis-majlis keramaian untuk menarik perhatian dan sudah tentu Sanusi tidak akan berlari-lari anak memasuki Dewan Undangan Negeri.

    Sebaliknya, Sanusi yang berusia 49 tahun itu, hanya menampilkan dirinya yang sebenar, bukannya mahu menjadi pelakon atau selebriti. Sanusi cuba berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebagai MB Kedah yang disandangnya sejak 17 Mei 2020 dengan sebaik-baiknya demi negeri kelahiran beliau.

    Disebabkan keikhlasan dan keberanian menyatakan kebenaran, ia menyebabkan ‘musuh politiknya’ bak kata orang Kedah,’’depa dah mati akai nak jatuh MB yang depa kata loqlaq’. Biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk memburukkan atau menjejaskan kewibawaan Sanusi sebagai MB Kedah, namun mereka menemui jalan buntu.

    Tambahan pula bertanding setakat ini di negeri Jelapang Padi itu tidak ada pemimpin politik lain yang mampu menandingi aura Sanusi. Itulah kesilapan parti-parti kerajaan di Kedah. Mereka masih bergantung kepada muka-muka lama yang sudah ditolak rakyat dalam PRU-15 tetapi masih berhasrat mahu bertanding dalam PRN.

     Sepatutnya, parti-parti terlibat mengemukakan calon atau pemimpin yang boleh menandingi kewibawaan Sanusi, tetapi mereka gagal berbuat demikian. Akhirnya yang rakyat Kedah nampak ‘pi mai pi mai muka tu jugak’.

     Kalau mereka berhujah ‘menyerang’ Sanusipun ia ibarat ‘peluru kapur’ tidak ada apa-apa kesan, contohnya masalah air di Kedah. Itu bukan isu baru, ia isu yang sudah berpuluh-puluh tahun membelenggu Kedah. Dan perlu diingat yang ‘serang’ Sanusi dałam isu berkenaan bukan sahaja pernah memerintah Kedah malah antaranya pernah menjadi MB Kedah.

    Begitu juga apabila ada pemimpin PH atau BN mahu membangkitkan isu-isu tertentu dengan tujuan untuk ‘menyerang’ Sanusi…semuanya berakhir dengan kehampaan.

     Sanusi membalas hujah mereka dengan tenang dan diselang seli dengan sindiran memandangkan ada antara mereka ketika berada dalam kerajaan termasuk menjadi Exco Kerajaan Negeri, prestasi tidaklah sehebat mana. Apapun penulis percaya menjelang PRN tidak lama lagi, ‘serangan’ ke atas Sanusi akan bertali arus, cuma persoalannya isu apa lagi yang mahu ditimbulkan untuk membangkitkan gelombang penolakan terhadap Menteri Besar Kedah.

    Setakat ini, penulis tidak nampak usaha mereka akan berhasil kerana berdasarkan pemerhatian penerimaan rakyat terhadap Sanusi boleh dianggap menakjubkan ibarat kata seorang kawan anak kelahiran Langkawi ‘Sanusi dah jadi fenomena’.

    Kalau PH-UMNO-DAP berhasrat mahu ‘menumbangkan’ Sanusi, mereka perlulah ada calon sesuai menjadi MB Kedah. Tetapi kalau berdasarkan perbualan penulis dengan orang UMNO sendiri, mereka pun tiada jawapan.

    Oleh itu nasihat penulis kepada PH-UMNO-DAP khususnya UMNO usahlah bermimpi mahu ‘menjatuhkan’ Sanusi dan kembali memerintah Kedah, selagi UMNO masih bergantung dengan ‘muka-muka tu saja’ untuk menang pilihan raya. Mungkin apa yang dikatakan ini agak keterlaluan tetapi itulah fakta, walaupun pemimpin UMNO sukar menerimanya dan ‘tidak rajin untuk bermuhasabah’.

     Kepada pemimpin PH-BN-DAP pula khususnya PKR, jangan terlalu teruja mahu kalahkan Sanusi dan menguasai Kedah, penulis bimbang kalau nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. ‘Kepunglah’ betul-betul Negeri Sembilan dan Selangor. Kenapa? Selidiklah sendiri.

     Kesimpulannya, PH-UMNO boleh katakan apa sahaja kepada Sanusi termasuk ‘loqlaq’ tetapi ‘loqlaq, loqlaq’ Sanusipun, mereka sudah ‘mati akai’ nak kalahkan beliau.

  • Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki ditahan ketika memandu sebuah lori 10 tan yang membawa 64 kotak berisi rokok seludup di Jalan Lunas, Kelang Lama dekat Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, lori tersebut ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi oleh sepasukan pegwai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

    Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati setiap kotak itu mengandungi 50 karton rokok seludup.

    “Susulan itu pihak polis menahan lelaki tersebut yang berusia 33 tahun. Semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Pihak polis turut membuat rampasan kesemua kotak berisi rokok seludup itu serta kenderaan berat tersebut. Selain itu, tujuh batang kunci dan sebuah telefon bimbit turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM192,000,” katanya.

    Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana membawa rokok seludup tanpa membayar cukai.

    “Orang ramai diminta untuk membantu pihak polis dalam pencegahan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada IPD Kulim di talian 04-4906222.

  • Untitled post 75589

    Zahid Hamidi kata BN, PH akan terus dapat sokongan pengundi.

    Kalau PH mungkin dapat, kalau BN sekadar mimpi aje la.

  • Untitled post 75524

    Ahmad Maslan mahu ahli UMNO taat sokong calon DAP dalam PRN.

    Pengundi DAP nak undi calon UMNO ke?

  • Sanusi mohon maaf kepada Mahfuz 

    Sanusi mohon maaf kepada Mahfuz 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini memuat naik kenyataan memohon maaf di laman Facebooknya terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. 

    Permohonan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021. 

    Menurut Muhammad Sanusi, pada 30 Julai 2019, beliau telah membuat satu hantaran di laman Facebooknya yang menyentuh mengenai isu perpindahan premis judi syarikat Sports Toto dari Alor Setar ke Pokok Sena. 

    “Saya telah menyatakan bahawa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan pemerintah ketika itu telah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis Sports Toto tersebut berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah, tanpa sebarang halangan hinngga isu tersebut ditimbulkan oleh masyarakat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan Kementerian Kewangan. 

    “Atas saman fitnah yang difailkan Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan hantaran Facebook tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3 April 2023 telah memutuskan bahawa hantaran Facebook tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz dan saya diperintahkan memohon maaf. 

    “Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyaataan dibuat dalam hantaran Facebook tersebut,” katanya

  • Untitled post 75148

    Menteri-menteri UMNO akan bangkitkan
    isu kalimah Allah pada mesyuarat Kabinet esok.

    Berani ke?

  • KRPPM IGAR: Pembangkang bawa sudut berbeza suara rakyat-Mas Ermieyati

    KRPPM IGAR: Pembangkang bawa sudut berbeza suara rakyat-Mas Ermieyati

    PENGLIBATAN ahli Parlimen pembangkang dalam Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) tidak boleh dipandang remeh kerana membawa suara rakyat daripada sudut pandang berbeza.

    Timbalan Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mungkin tidak semua perkara yang dibawa akan dipersetujui tetapi mereka meraikan perbezaan demi mencapai keputusan terbaik.

    Jelasnya, sokongan pembangkang adalah sebagai lambang komitmen wakil rakyat untuk bawa harapan mereka.

    “Walaupun ia sukar tapi dengan adanya kumpulan ini, saya harap ia menjadi tekad politik terbaik untuk dijadikan rujukan dan petunjuk untuk memastikan integriti dan kebebasan institusi diutamakan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam hari ini.

  • Titi Hayun, Sungai Seri Perigi di Yan dilanda kepala air

    Titi Hayun, Sungai Seri Perigi di Yan dilanda kepala air

    Oleh BADLISHAH MAT

    KIRA-kira 30 buah keluarga yang tinggal di sepanjang Sungai Titi Hayun dan Sungai Seri Perigi di Yan gusar apabila kejadian kepala air berlaku di kaki Gunung Jerai, petang ini.

    Namun, limpahan air sejak pukul 6.40 petang itu setakat ini tidak memasuki rumah mereka.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, hujan lebat di puncak gunung dipercayai bermula kira-kira pukul 6 petang sebelum berlarutan hampir sejam kemudian.

    “Pemantauan yang dilakukan sebaik hujan lebat mendapati paras kedua-dua air sungai melebihi paras biasa dan segera mengarahkan penduduk mengambil langkah keselamatan.

    “Walaupun arus deras hingga menyebabkan air melimpah memenuhi jalan di kawasan berkenaan, namun sehingga kini tiada rumah penduduk yang dimasuki air,” katanya.

    Kata Norhamidi, selain pihak bomba, pelbagai agensi lain turut membuat pemantauan dan sehingga pukul 8.15 malam ini, keadaan masih terkawal dan tiada penduduk dipindahkan.

    “Kami bersama agensi lain masih memantau keadaan berdasarkan keadaan hujan yang dijangka berlaku malam ini dan menasihatkan penduduk supaya lebih peka dengan
    keadaan semasa,” katanya.

    Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021, enam mangsa terkorban manakala 1,732 rumah, 124 premis dan 14 chalet pelancongan desa turut terjejas akibat fenomena alam itu.