Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bersatu akan isi kekosongan jawatan Menteri Perladangan – Hamzah

    Bersatu akan isi kekosongan jawatan Menteri Perladangan – Hamzah

    JAWATAN Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tergugur dengan serta-merta selepas beliau mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Hamzah berkata beliau telah ambil maklum mengenai kenyataan yang dibuat Zuraida itu dan akan membawa perkara berkenaan ke pertimbangan MPT serta bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Zuraida.

    “Buat masa ini beliau (Zuraida) belum meletakkan jawatan dalam Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen 2022 di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya  hari ini.

     Mengulas lanjut, Hamzah berkata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua minggu lepas telah bersetuju untuk untuk menggantikan jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu dengan individu lain.

    “Ini berikutan satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Zuraida pada 9 Mei untuk beliau menjawab beberapa soalan berhubung penglibatannya dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PBM.

    “Namun, pada 23 Mei menerusi satu surat balas daripada Zuraida, beliau menolak pertuduhan bahawa beliau merupakan ahli PBM dan memohon pejabat Setiausaha Agung Bersatu menyertakan bukti atas tuduhan berkenaan. Tetapi segalanya terjawab pada hari ini,” katanya.

    Mengulas mengenai jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Zuraida, Hamzah berkata jumlah menteri Kabinet daripada Bersatu telah dipersetujui sebelum ini oleh Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Bermakna, jika Zuraida digugurkan daripada Bersatu maka tempatnya itu akan digantikan oleh seseorang dari Bersatu seperti yang dicadangkan presiden parti untuk menjadi menteri yang mewakili Bersatu,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada Bersatu akan terkesan dengan kehilangan Zuraida, Hamzah berkata parti tidak terkesan kerana Zuraida juga sudah tidak aktif dan hanya menggunakan Bersatu untuk kepentingan dirinya.

    “Mesyuarat Agung dan MPT juga beliau tidak hadir. Saya berpendapat, beliau telah menunjukkan sikap sebenarnya. Beliau tidak hadir beberapa mesyuarat parti, iaitu lebih daripada enam mesyuarat,“ katanya.

    Zuraida hari ini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya.

    — BERNAMA

  • ‘’No way’’ jawapan  Redzuan apabila diajak Zuraida tinggalkan Bersatu

    ‘’No way’’ jawapan  Redzuan apabila diajak Zuraida tinggalkan Bersatu

    AHLI Majlis Pimpinan Tertingg Bersatu, Datuk Seri Redzuan Md Yusof mendedahkan bagaimana beiau menerima jemputan daripada Ahli Parlimen Datuk Zuraida Kamaruddin untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Alor Gajah itu dengan tegas menolak tawaran yang dikemukakan kepadanya ketika di luar sidang Parlimen, Disember lalu, iaitu bulan sama ketika parti itu secara rasmi dilancarkan.

    “Zuraida kata…beliau mahu tinggalkan (Bersatu) selepas hilang keyakinan dengan Bersatu dan pimpinannya, katanya Pak Wan, saya mahu keluar Bersatu untuk mempengerusikan PBM. Dia juga ada menjemput saya menyertai, tapi saya kata ‘no way’ kerana saya pengasas bersama Bersatu”,’’ jelas beliau kepada portal berkta FMT.

    Redzuan berkata, beliau menasihati Zuraida agar tidak mendedahkan rancangan secara terbuka susulan beliau merupakan sebahagian daripada Kabinet.

    Katanya, tidak lama selepas itu, pimpinan Bersatu mengadakan perbincangan berhubung laporan pembabitannya di sebalik PBM.

    Beliau berkata, Zuraida mendengar nasihat diberikan dengan menjauhkan diri daripada terbabit dalam pelancaran PBM, namun Zuraida bertindak mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu, yang mana diketahui Bersatu, sekali gus parti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya.

    Redzuan berkata, PBM sedang melakukan persiapan menawarkan “dinamik” dalam politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang diramalkannya tidak akan didominasi satu parti tunggal sahaja.

    “Jadi, saya fikir sejumlah orang sedang meletakkan diri pada kedudukan (termasuk) menubuhkan parti untuk mereka menguasai jawatan kanan. Mereka akan menyatakan sokongan kepada mana-mana kerajaan yang akan terbentuk, dan saya fikir mereka boleh menggunakan platform itu untuk mendapat jawatan dalam pentadbiran (baharu). Itu sahaja yang dapat saya katakana,’’ katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad, mengesahkan menerima borang permohonan Zuraida menyertai parti berkenaan.

    “Permohonan Zuraida akan mengikut proses seperti ahli lain seperti mana ahli lain yang mengikut proses termasuk kelulusan dalam biro politik sebab kita ada beberapa ribu lagi permohonan menjadi ahli yang tertangguh,” katanya.

    Beliau berkata, parti belum membuat keputusan berhubung kedudukan Zuraida dalam parti itu.

    “Belum, kita selesaikan isu status permohonan dahulu dan bincang status jawatan yang sesuai berdasarkan pengalaman yang akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya sambil menambah Zuraida mampu menguatkan serta memberi nilai tambah kepada PBM.

  • Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    PARTI Bersatu menyifatkan tindakan  peletakan jawatan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bukan suatu yang mengejutkan  sebaliknya ia sudah dijangka.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Ahli Parlimen Ampang itu yang mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)  sudah menunjukkan tindak-tanduk bertentangan dengan parti terlibat sejak kebelakangan ini.

    “Bersatu memang sudah membincangkan kedudukan Zuraida, selepas meneliti tindak-tanduk beliau yang terkini. Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Saiful berkata, Biro Politik Bersatu juga sudah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti itu.

    “Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri saja,” katanya.

    Beliau menjelaskan,  Presiden Bersatu yang juga  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mencalonkan pemimpin Bersatu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zuraidah.

    DI KUALA TERENGGANU, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Zuraidah tidak akan menjejaskan PN.

    Beliau parti itu yakin sokongan rakyat adalah kekuatan yang seterusnya menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

    ‘’Setiap individu bebas membuat keputusan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. (Ini) negara demokrasi, boleh ikut mana-mana parti (kerana kita) negara demokrasi.”(Peletakan jawatan itu) tak jejaskan PN (sebab) kita (bergantung kepada) sokongan rakyat, Pas bergantung pada rakyat (tetapi) pemimpin boleh pergi boleh datang,” katanya

    Menjawab satu soalan, Abdul Hadi berkata, partinya akan berusaha mempertahankan  gabungan parti politik dalam PN serta mengekalkan prinsip penyatuan ummah yang dimeterai menerusi piagam MN bersama UMNO.

    Katanya agenda perpaduan ummah merupakan agenda terbesar kekal dipertahankan.

    “Kita yakin akan menang (dalam PRU15) dengan mempertahankan PN dan masih kekal bersama MN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas Terengganu.

  • Peter Anthony dipenjara tiga tahun, denda RM50,000

    Peter Anthony dipenjara tiga tahun, denda RM50,000

    (KEMAS KINI) MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Datuk Peter Anthony selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Hakim Azura Alwi juga memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – Bernama

    Terdahulu, Hakim Azura Alwi berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. – Bernama

  • [VIDEO] Pemuda 19 tahun lamar nenek 76 tahun

    [VIDEO] Pemuda 19 tahun lamar nenek 76 tahun

    SEORANG pemuda berumur 19 tahun menjadi tular setelah melamar kekasihnya yang jauh lebih tua dan mungkin sebaya dengan neneknya.

    Memetik laporan Mirror, Giuseppe D’Anna melamar seorang wanita berusia 76 tahun.

    Dia seterusnya memuat naik video melamar buah hatinya dalam TikTok.

    Video yang dikongsi melalui akaun @milina_gatta itu setakat ini telah ditonton lebih 23 juta kali dan memaparkan kapsyen ‘La nostra promessa’ yang bermaksud ‘janji kita’.

    pemuda lamar nenek la nostra promessa
    Tangkap layar video Tiktok @milina_gatta.

    Walaupun ramai netizen mempersoalkan tindakan Giuseppe itu, dia sedikit pun tidak kisah.

    “Dan ini hanyalah permulaan bagi siri yang panjang,” ujarnya dalam kapsyen.

    Dalam video yang sama, Giuseppe turut berkongsi gambar-gambarnya bersama wanita warga emas terbabit serta cincin pertunangan mereka.

    Ada netizen yang berseloroh mendakwa pemuda itu hanya ingin mengejar harta kekasihnya manakala yang lain yakin Giuseppe mahu Sony PlayStation 5.

    Walau apa pun yang netizen kecam, perasaan Giuseppe terhadap kekasihnya tetap tidak berubah.

    “Cinta saya adalah indah,” katanya.

    Semoga jodoh Giuseppe dan pasangannya kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

  • [VIDEO] Ibu beri bayi makan sayur dicampur 25 ulas cili

    [VIDEO] Ibu beri bayi makan sayur dicampur 25 ulas cili

    SEORANG wanita dikecam netizen ekoran tindakannya memberi makan sayur kelakai yang digoreng dengan 25 ulas cili lombok kepada bayinya yang berusia 5 bulan.

    Pemilik akaun TikTok @ceooppakalteng03 itu seolah-olah tidak berasa bersalah dengan perbuatannya malah tergamak berkongsi rakaman video anaknya memakan makanan yang pedas dalam aplikasi media sosial berkenaan.

    Memetik laporan Coconuts Jakarta, wanita tersebut berasal dari Palangkaraya di Kalimantan, Indonesia.

    Dalam rakaman video tersebut, kelihatan bayi berkenaan menangis sekuat-kuat hatinya selepas mengunyai sayur kelakai yang sangat pedas itu,

    Kelakai merupakan sejenis paku yang biasa ditemui di Kalimantan Tengah.

    Wanita tersebut menyatakan bahawa keturunan Jawa harus kuat makan cili lombok.

    “Merasai sayur kelakai dengan lombok 25 biji.

    “Selepas dikunyah langsung terasa pedasnya.

    “Yang tua aja makan sampai berpeluh. Apa lagi bayi. Bukan main ibunya,” katanya seperti yang ditulis dalam teks video itu.

    Ketika ini, video itu telah menerima lebih 1.9 juta tontonan namun ruangan komen ditutup, mungkin bagi mengelakkan daripada terus dikecam netizen.

    Walau bagaimanapun, netizen memberi komen mereka di bawah video yang lain pula.

    “Tahniah, anda akhirnya muncul di FYP selepas mengorbankan anak anda.”

    “Anda contoh orang yang tahu buat anak tetapi tak tahu jaga dia.”

    Di sebalik kecaman itu, wanita berkenaan seolah-olah buat tak kisah malah dia ‘pin’ video tersebut pada bahagian atas profilnya.

    https://www.tiktok.com/@ceooppakalteng03/video/7101122427614235931?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=%40ceooppakalteng03&t=1653524661184

    Setakat ini, belum diketahui apa tindakan pihak berkuasa di Indonesia ekoran video tular itu yang didakwa mengandungi unsur membahayakan kanak-kanak.

    Orang ramai dinasihatkan agar jangan meniru perbuatan dalam rakaman video tersebut kerana ia boleh memudaratkan kesihatan bayi yang masih belum belum bersedia makanan pepejal apatah lagi yang sangat pedas.

  • Wanita nafi setuju buat hubungan seks dengan pembantu ADUN Gombak Setia

    Wanita nafi setuju buat hubungan seks dengan pembantu ADUN Gombak Setia

    PENGADU dalam kes perbicaraan rogol membabitkan pembantu kepada ADUN Gombak Setia, Hilman Idham menafikan dakwaan bahawa dia bersetuju melakukan hubungan seksual dengan tertuduh, yang dikenali sebagai Mohd Zulfahimin Mahdzir.

    Memetik portal Malaysiakini, etika pemeriksaan balas daripada peguam bela Chris Kooi, wanita berusia 33 tahun itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia menarik Zulfahimin ke dalam bilik tidur di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur di mana kejadian rogol itu didakwa berlaku selepas tengah malam pada 5 Dis 2020.

    “Bukan dengan persetujuan saya, tidak! tidak! tidak!,” tegasnya.

    Wanita itu tidak bersetuju dengan cadangan Kooi bahawa ada orang lain di dalam bilik tidur yang meninggalkan mereka bersendirian di mana dia sebelum itu menari secara erotik di hadapan Zulhahimin di bilik karaoke tempat Hilman menganjurkan majlis hari jadinya.

    Wanita itu juga mengatakan dia tidak sedarkan diri kerana mabuk, dan bukan sekadar ‘tipsy’ (mabuk ringan) dengan keupayaan melakukan hubungan seksual dengan Zulfahimin.

    Wanita berkenaan merupakan saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan terhadap Zulfahimin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Dalam keterangannya, wanita itu mengenal pasti Zulfahimin sebagai individu terakhir yang diingati berada di atas badannya sebelum dia pengsan dalam keadaan mabuk.

    ‘Zul meniarap atas badan saya’

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Nor Hasniah Abdul Razak, wanita berkenaan merujuk tertuduh sebagai “Zul” – orang yang dikenalinya melalui Hilman dan merupakan pembantu kepada ADUN berkenaan.

    “Saya nampak Zul. Ketika itu saya dapat rasakan saya di atas katil. Rasa Zul atas saya. Meniarap on top of me (di atas badan saya),” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Zilfinaz Abbas.

    Dia mengenal pasti tertuduh, yang hadir di mahkamah hari ini, berdasarkan cermin mata, baju kotak-kotak berwarna merah dan biru yang dipakai pada malam kejadian, serta suaranya.

    “(Saya) tanya where is Hilman, dia kata ‘Hilman is okay’. Saya cam suara. Rasa baju saya ditarik, Zul pusingkan badan saya sebelum saya pass out (tak sedarkan diri),” katanya.

    *Saya juga pernah bersama Hilman

    Pengadu memberitahu mahkamah bagaimana dia diperkenalkan kepada Hilman melalui seorang kenalan, yang dikenali sebagai Zaki, dan kemudiannya terlibat dalam”skandal” dengan ahli politik Bersatu itu.

    “Saya katakan ini skandal antara kami berdua kerana kami bertemu bukan hanya sekali tetapi beberapa kali. Dan saya juga pernah bersama Hilman. Panggilan seperti ‘sayang’ dan ‘baby’…meletakkan hubungan kami seperti teman lelaki dan teman wanita,” katanya.

    Wanita itu berkata sambutan hari lahir itu bermula dengan makan malam diikuti sesi karaoke di lounge VVIP, di mana alkohol dihidangkan dan dia minum lebih daripada empat botol.

    “Lepas karaoke, ada masa saya tahu saya muntah. Rina tolong cuci muka. Saya juga masih ingat saya dengar suara Hilman. Terasa seperti jauh sangat berjalan (ketika dipapah), saya cuma cam suara dan bau perfume dia,” katanya.

    “Saya tidak dapat mengingati sebahagian besar daripadanya. Ada saat-saat tertentu ketika saya sedar dan yang lain saya tidak sedar.

    “Seperti peti televisyen yang rosak, itulah yang saya rasakan,” katanya menceritakan detik-detik di dalam bilik hotel di mana dia terjaga sekitar jam 4 pagi dan mendapati dirinya bersendirian dan berbogel di atas katil.

    Dia juga masih ingat merasakan berlakunya tanda penetrasi dan pakaiannya ditemui di dalam almari pakaian, manakala kondom terpakai dibuang di bilik mandi hotel.

    Zulfahimin didakwa melakukan jenayah rogol itu di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas pada 5 Dis 2020, selepas majlis hari jadi yang dianjurkan Hilman untuk wanita berkenaan.

    Pada 7 Sept lepas, Zulfahimin dilapor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    Wanita itu berkata selain Hilman dan Zulfahimin, dua rakan baiknya sejak sekolah menengah – “Mai” dan “Rina” – turut dijemput ke majlis makan malam itu.

    Mahkamah juga diberitahu pengadu bahawa seorang lagi lelaki dikenali sebagai “Adi” dikatakan berada di bilik karaoke walaupun dia tidak ingat kehadirannya.

    Zulfahimin menghadapi pertuduhan rogol selepas wanita berkenaan pada Januari tahun lepas memfailkan laporan polis kedua selepas menarik semula laporan polis yang awal.

    Wanita itu berkata dia membuat semula laporan polis kerana dimaklumkan oleh rakan-rakan yang hadir pada parti itu bahawa Hilman telah merancang kejadian berkenaan.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG individu dikehendaki polis, maut setelah ditembak dari jarak dekat di tempat meletak kereta, berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru dekat Sungai Petani, Kedah, tengah hari tadi.

    Mangsa, S. Murali, 36, maut di lokasi kejadian akibat ditembak berdas-das di muka serta badan.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menemukan sekurang-kurangnya lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan mangsa dikatakan datang ke sebuah restoran di sini bersama isteri, anak angkat serta rakannya untuk membungkus makanan. Selepas membeli makanan, mangsa kemudiannya dikatakan kembali ke kenderaan ketika isteri serta anak angkatnya masih berada dalam restoran tersebut.

    “Ketika membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta, mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal yang berjaket dan mengenakan topi keledar berpelitup penuh. Tembakan kemudian dilepaskan terhadapnya dalam jarak kira-kira satu meter menyebabkannya maut di sebelah kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaikinya,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

    Wan Hassan menambah, semakan mendapati mangsa merupakan individu dikehendaki polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

    Selain itu mangsa juga dipercayai turut terlibat dengan kes berkaitan gengsterisme serta dadah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dengan pihak kami turut meneliti rakaman kamera litar tertutup dari kedai-kedai berhampiran.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Persefahaman taktikal PN-PH dalam PRU-15

    Persefahaman taktikal PN-PH dalam PRU-15

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    POLITIK adalah perang tanpa menumpahkan darah. Manakala perang bersenjata adalah politik berdarah.

    Percaya akan menang perang adalah prasyarat untuk kemenangan dalam perang ataupun dalam pilihanraya umum.

    PH boleh memasang keyakinan menang jika ada persefahaman taktikal dengan parti-parti pembangkang yang lain. Bukan khemah besar; bukan khemah kecil. Bukan kerjasama; bukan muafakat. Tidak perlu manifesto bersama; tidak perlu muafakat apa pun. Yang perlu adalah kesanggupan berbincang dan berunding.

    Ambil senario di Johor sebagai contoh. Mungkin boleh dipakai kemudian di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

    Fasist Jepun tidak dapat dikalahkan jika Parti Kuomintang pimpinan General Chiang Kai Sheik tidak mengadakan front bersatu dengan Parti Komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tze Tung. Contoh ini sudah jadi klise kerana sering kali disebut.

    Kita beri contoh lain, contoh tempatan di Tanah Melayu sendiri dalam perjuangan menuntut Kemerdekaan. Kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman yang sanggup berunding dengan Ching Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya telah memberi tekanan kepada kolonial Inggeris untuk segera memberikan Kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.Itu kesan perundingan Tunku-Ching Peng.

    Analogi ini boleh diguna pakai dalam keadaan sekarang khususnya antara PH dan PN. Bermula dengan Johor.

    Dalam PRU14 tahun 2018, di kawasan Parlimen Johor yang mempunyai 26 kerusi, pembahagian di kalangan PH ketika itu ialah PPBM (Bersatu) 10 kerusi; Keadilan 8 kerusi, DAP 6 kerusi dan Amanah 2 kerusi.

    Keputusan PRU14 di Johor adalah seperti berikut: PPBM menang 5 kalah 5; Keadilan menang 7 kalah 1, DAP menang 5 kalah 1 dan Amanah menang 1 kalah 1.

    PH dan PN di Johor boleh mulakan bincang. Bukan bincang nak buat khemah besar. Tetapi bincang untuk atur kerusi. Bukan muafakat politik dengan konsep abstrak, tetapi mencari jalan pragmatik dan praktikal untuk elakkan bertembung sesama sendiri dalam PRU15 yang kesudahaannya Umno dan BN yang menang. Bukan kerana Umno BN kuat tetapi kerana pembangkang berpecah, berperang sesama sendiri.

    Peraturan mudah boleh digunapakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang PPBM (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati. Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu (PN) perlu hormati. Mungkin 50% pengagihan kerusi dapat diselesaikan. Kemudian yang bermasalah 50% lagi boleh bincang baik-baik.

    Tidak dinafikan ada masalah-masalah praktikal di beberapa tempat. Misalnya di Muar dulu dimenangi oleh PPBM, tetapi kini ahli parlimen Muar berada dalam Parti Muda. Begitu juga di Seri Gading, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Parti Pejuang. Hal yang sama berlaku di parlimen Simpang Renggam, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Parti Keadilan.

    Hal-hal seperti ini bukan tidak boleh diselesaikan. Boleh, syaratnya berlapang dada dan berbincang.

    Begitu juga di Segamat, di Batu Pahat dan di Tebrau, dulu dimenangi oleh Parti Keadilan tetapi kini ketiga-tiga ahli parlimen itu telah melompat keluar meninggalkan Keadilan. Hal-hal semacam ini boleh bincang. Ada jalan penyelesaiannya.

    DAP kita faham sukar untuk berunding dengan Bersatu. Kita hormati pendirian itu. Tetapi hakikat di lapangan, DAP dalam Pilihanraya Negeri Johor Mac lalu masih menang 10 kerusi DUN, hanya kalah 4 kerusi sahaja. Manakala Keadilan masuk bertanding 20 kerusi kalah 19, menang satu sahaja di Bukit Batu, itupun dengan majoriti tak sampai 200 undi.

    Hal yang sama berlaku pada Amanah. Semua calon-calon terbaik Amanah seperti Hj Aminolhuda (Pengerusi Amanah Johor dan Pengerusi PH Johor), Dzulkifli Ahmad, Suhaizan Kayat kalah dalam PRN Johor, kecuali Sallahuddin Ayob seorang sahaja calon Amanah yang menang di Simpang Jeram.

    DAP tidak bertembung dengan Bersatu (PN) dalam PRN Johor yang lalu. Tetapi Keadilan dan Amanah terpakasa menghadapi banyak penjuru terutama BN dan PN yang berkesudahan PH berada di tempat ketiga.

    Jadi kepada pimpinan tertinggi PH, fikir-fikirlah.


    Ahli Parlimen Pasir Gudang
    25 Mei 2022 (Rabu)

  • Rosmah tuntut gelang berlian emas putih, Najib mahu tujuh jam tangan

    Rosmah tuntut gelang berlian emas putih, Najib mahu tujuh jam tangan

    DATIN Seri Rosmah Mansor dan syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan menuntut seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,000, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut tujuh jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

    Memetik laporan Berita Harian, gelang dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Peguam Rosmah, Azamuddin Abd Aziz, berkata anak guam juga perlu mengesahkan gelang itu menerusi gambar yang akan diserahkan pihak pendakwaan hari ini.

    “Saya menerima arahan anak guam mengenai isu gelang yang turut dituntut Global Royalty Trading SAL. Saya memohon tiga, empat hari atau paling lama seminggu untuk arahan selanjutnya daripada Rosmah,” katanya pada pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, di Kuala Lumpurhari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, manakala Global Royalty dan Najib masing-masing diwakili peguam, Datuk David Gurupatham serta Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

    Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

    Sementara itu, Gurupatham mengesahkan Rosmah tidak pernah memeriksa gelang itu sebelum ini yang disimpan dalam bilik kebal berkenaan.

    “Untuk rekod, Rosmah mengetepikan hak untuk periksa barang kemas terbabit. Pegawai penyiasat yang bertugas juga sudah periksa setiap barang dalam bilik itu pada tahun lalu.

    “Pegawai dikenali Superintendan Foo (Wei Min) kemudian mengesahkan gelang berkenaan milik Global Property,” katanya.

    Muhammad Shafee pula memohon kepada mahkamah untuk pengurusan kes tuntutan barang berkenaan diadakan secara berasingan.

    “Ada dua perkara berlainan iaitu satu kes Najib dan satu lagi Rosmah. Berkenaan gelang itu, kita dapat arahan jelas daripada Najib bahawa beliau tidak akan membuat sebarang tuntutan dan Rosmah akan membuat keputusan mengenainya,” katanya.

    Susulan itu, Faten Hadni menolak cadangan Muhammad Shafee itu kerana kedua-kedua kes saling berkait dengan isu 1MDB.

    “Oleh demikian, kes itu perlu kekal didengar secara serentak. Namun di pihak pendakwaan, kami memerlukan masa untuk meminda notis usul,” katanya.

    Selepas mendengar hujahan semua pihak, hakim menetapkan 8 Jun ini untuk pengurusan kes itu secara serentak.