Author: Wartawan WartaRakyat

  • Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

    Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

    SULTAN Perak menitipkan doa agar ummah khususnya di negara ini melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada berkawan.

    Doa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 peringkat Negeri Perak memohon agar budaya yang cenderung bersengketa berubah kepada berdamai; berdendam kepada bermaaf-maafan; menabur janji kepada mengotakan kata; mencari kelemahan kepada menggabungkan kekuatan.

    “Bersempena hari pertama tahun Hijrah 1445 ini, kepada Mu Ya Allah, kami yang lemah ini mohon mendapat bimbingan dan petunjuk agar ummah khususnya ummah Mu di bumi ini melakukan penghijrahan minda.

    “Daripada budaya menyemarakkan fitnah kepada menegakkan kebenaran; daripada budaya berjiwa kecil kepada berjiwa besar; daripada ummah yang bersifat munafik kepada ummah yang bertakwa.

    “Agar ummah di bumi ini menjadi ummah yang dihormati lagi disegani sesama manusia dan dipandang mulia di sisi Mu,” doa baginda diaminkan sekalian rakyat yang hadir di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di Ipoh, hari ini.

    Sementara itu, dalam ucapannya Sultan Nazrin bertitah, umat Islam hendaklah bersedia malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya.

    Titah baginda, penghijrahan itu membolehkan ummah berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga menangani dan menguasai situasi semasa terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.

    “Cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda-perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar,” titah baginda.

    Sultan Nazrin turut menekankan bahawa penghijrahan minda dan budaya bukan semudah yang digambarkan kerana perlu bersandarkan ilmu dan bertiangkan pengetahuan.

    Seperti penghijrahan minda kata baginda, memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.

    “Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, rasional, merdeka yang tidak berjiwa hamba dan minda yang tidak gentar pada perubahan.

    “Penghijrahan budaya (pula) merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam,” titah baginda, lapor Sinar Harian.

    Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1445 Hijrah kepada Jurij Sulaiman.

    Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

    Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

    Keberangkatan tiba Sultan Nazrin sekitar pukul 10 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

    Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Dr. Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

  • Sultan Kedah ingatkan umat Islam usah bangkit isu boleh gugat perpaduan ummah

    Sultan Kedah ingatkan umat Islam usah bangkit isu boleh gugat perpaduan ummah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menggesa umat Islam agar tidak membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah di negeri dan negara ini.

    Selain itu, Sultan Sallehuddin turut tidak bersetuju dengan segelintir golongan tidak bertanggungjawab yang menggunakan platform masjid sebagai tempat berpolitik sekali gus menimbulkan kegawatan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

    Baginda juga dalam masa sama turut mengharapkan agar umat Islam di negeri ini sentiasa hidup bersatu padu dan menjaga keharmonian.

    “Antara sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan mengendalikan hawa nafsu selain tidak matang dalam memberikan tindak balas berkaitan perbezaan pendapat hingga mudah melenting, lalu bergaduh sesama sendiri.

    “Walhal pergaduhan itu ada yang berpunca dari isu remeh-temeh,” titah baginda.

    Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Sultan Sallehuddin mencemar duli bersalaman dengan orang ramai dalam Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Baginda menambah, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila semua pihak kembali kepada ajaran paling asas iaitu berpegang kepada roh al-Quran.

    “Hayatilah peringatan Allah menerusi surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

    “Oleh itu beta menyeru agar kita semua menghayati setiap inci iktibar dari kehidupan Rasulullah serta berusaha sedaya-upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup kita uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu,” titah baginda.

  • ‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga polis’, kata Hamzah

    ‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga polis’, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor pada pukul 3 pagi, atas alasan mereka tidak dapat menghubungi ahli politik kontroversi itu dan pegawainya.

    Hamzah berkata, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu ‘pelik dan tidak masuk akal’ kerana pihak polis sendiri ada meletakkan seorang anggotanya bersama Muhammad Sanusi untuk bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah.

    “Polis boleh saja menghubungi pengawal peribadi Muhammad Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa,” ujar Ahli Parlimen Larut itu lagi.

    Beliau mendakwa, wujud ‘tangan ghaib’ yang mahukan Muhammad Sanusi ditangkap pada awal pagi bertujuan memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Yang saya rasa amat pelik sekali adalah kerana sebagai Menteri Besar, beliau mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM.

    “Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali bila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Muhammad Sanusi?

    “Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau.

    “(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa.

    “Saya rasa ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Muhammad Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan PN,” katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, tengah malam tadi.

    Semalam, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Muhammad Sanusi dibuat pada pukul 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

    Selain gagal dihubungi, Muhammad Sanusi juga gagal dikesan polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab.

    Muhammad Sanusi ditahan pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, Kuala Lumpur, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan.

    Muhammad Sanusi juga bakal berhadapan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu.

    Mengulas lanjut, Hamzah berpandangan polis tidak wajar menahan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu sudah memberi kerjasama pada polis dan bersetuju untuk ke mahkamah.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak bahawa pernah berlaku kes seorang ‘pemimpin besar negara’ disabit kesalahan salah guna kuasa dan dipenjarakan kerana mengarahkan polis untuk kepentingan peribadi.

    “Janganlah sekali lagi perkara ini berlaku. Salah guna kuasa ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.

    “Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi,” katanya.

    Beliau seterusnya meminta semua penyokong PN dan rakyat Kedah untuk bertenang, lapor Harian Metro.

  • Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    TIGA beradik ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan senjata kapak dan pisau kejadian di Kota Bharu.

    Tiga beradik berusia antara 19 hingga 36 tahun itu ditahan iaitu dua daripadanya di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di Kota Bharu pukul 8.15 malam dan seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kelmarin.

    Ketiga-tiganya ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pada 15 Julai hingga kelmarin, IPD Kota Bharu menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini.

    “Ketiga-tiga kejadian mempunyai modus operandi sama iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.

    “Bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menerusi satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan, dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Beliau memberitahu, hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek, positif dadah.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam tiga kejadian samun bersenjatakan kapak dan pisau di premis perniagaan telefon bimbit di Kota Bharu sejak 15 Julai lalu.

    Katanya, turut dirampas sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.

    “Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Tiga ditemui mati dalam kereta di RnR Yong Peng

    Tiga ditemui mati dalam kereta di RnR Yong Peng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA individu ditemui sudah meninggal dunia dalam kereta Perodua Alza di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Yong Peng, arah selatan dekat Batu Pahat malam tadi.

    Mereka merupakan dua mangsa terdiri daripada lelaki berusia 23 dan 25 tahun serta seorang wanita berusia 27 tahun.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mereka ditemukan terperangkap dalam kereta tersebut sebelum orang awam bertindak memecahkan cermin kenderaan itu untuk mengeluarkan mereka.

    “Sebelum itu pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pada pukul 8.59 malam tadi sebelum enam anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di tempat kejadian pihak bomba dapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam. Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada malam tadi.

    Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka sudah meninggal dunia dan semua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan masih dijalankan dan operasi tersebut selesai pada pukul 11.22 malam,” ujar beliau.

    Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

    Difahamkan semua mangsa dipercayai warga Myanmar dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

  • Dakwaan Anwar selamatkan UMNO cuma cerita rekaan – Annuar

    Dakwaan Anwar selamatkan UMNO cuma cerita rekaan – Annuar

    DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelamatkan UMNO daripada diharamkan hanyalah cerita rekaan menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

    Sebaliknya, Annuar mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tuduhan cuba mengharamkan UMNO seperti didakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Malah beliau sendiri telah mengesahkan perkara itu dengan Dr. Mahathir dan Muhyiddin.

    “Kita tahu jika benar UMNO nak diharamkan, sudah lama ia boleh diharamkan, kerana begitu banyak kesalahan UMNO yang melanggar peraturan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), terutama berhubung Borang 9 sepanjang tahun 2012-2018. Tetapi ROS tidak pun berbuat demikian.

    “Malah sudah terbukti TSMY (Muhyiddin) yang membawa UMNO menjadi kerajaan, bukan mengharamkan, malah akhirnya menyerahkan kerajaan pimpinannya kepada UMNO dengan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi PM.

    “Jadi pada saya, cerita DS Anwar ‘selamatkan UMNO dari diharamkan’ bukan saja telah dinafikan sendiri Tun dan TSMY, malah ini hanyalah rekaan umpama Ajinomoto menyedapkan cerita, menjelang PRN Ogos ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Kelmarin, Anwar juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa Dr. Mahathir dan Muhyiddin merancang mengharamkan UMNO ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Beliau juga mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran serangan lawan kerana mengetahui perancangan pembangkang untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.

    “Saya cerita pengalaman bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pakat untuk haramkan UMNO, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan UMNO masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan UMNO.

    “UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan, ujarnya.

    Semalam Ahmad Zahid membidas Annuar yang disifatkan tidak ‘tahu apa-apa’ berkait hal ehwal parti itu walaupun pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.

    Menyifatkan bekas ahli Parlimen Ketereh itu sebagai ‘kaduk naik junjung’, Zahid berkata, hati Annuar tidak pernah bersama UMNO sepanjang memegang jawatan itu.

    Sebaliknya kata beliau, Annuar cenderung bersama rakan di ‘sebelah sana’, merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

    Dalam pada itu Annuar mempersoalkan jika benar Anwar penyelamat UMNO, kenapa Zahid tidak menyokong usaha mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri semasa berlaku krisis politik ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.

    “Paling penting, jika benar Anwar yang menyelamatkan UMNO daripada diharamkan pada tahun 2019, mengapa Zahid tidak menyokong Anwar menjadi PM semasa berlaku Langkah Sheraton.

    “Sebaliknya (Zahid) menyokong Tun M dan kemudiannya menyokong TSMY jadi PM? Di mana logiknya cereka Anwar dan Zahid ini,” soalnya, lapor Malaysiakini.

  • Hamzah kecam tindakan serbu, tangkap Sanusi pada 3 pagi

    Hamzah kecam tindakan serbu, tangkap Sanusi pada 3 pagi

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan tegas polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwa pagi ini atas dua tuduhan bawah Akta Hasutan.

    Hamzah menyifatkan tindakan menyerbu dan menangkap Sanusi pada 3 pagi itu adalah ‘perbuatan berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik’.

    Beliau mempersoalkan apa perlunya Menteri Besar Kedah itu dilayan sebegitu rupa.

    “Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima.

    “Amat jelas cara penangkapan Sanusi melampau dari kesalahan yang didakwa,” ujar Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini lapor FMT.

    Awal hari ini, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja.

    Kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Beliau dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Okt ini.

    Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa tindakan polis menyerbu dan menangkap Sanusi di satu lokasi di Mont Kiara dibuat selepas polis gagal menghubunginya untuk memaklumkan beliau perlu hadir ke mahkamah hari ini.

    Razarudin berkata, Sanusi dan setiausahanya menolak semua panggilan telefon daripada polis.

  • Jumpa bayi dalam loji kumbahan

    Jumpa bayi dalam loji kumbahan

    SEORANG pekerja pembersih kumbahan terkejut melihat objek yang disangka anak patung rupanya janin bayi di loji kumbahan sebuah kawasan perumahan di Inanam, Kota Kinabalu semalam.

    Janin bayi itu ditemukan oleh pekerja terbabit pukul 9.30 pagi dalam sangkar perangkap sampah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, laporan mengenai penemuan janin itu dibuat menerusi panggilan telefon ke Balai Polis Inanam.

    Katanya, ketika kejadian, pekerja terbabit terus ke loji kumbahan untuk membuat kerja pembersihan sebelum terlihat satu objek yang pada awalnya disangka anak patung.

    “Namun selepas sangkar itu dinaikkan, terdapat satu janin bayi di dalamnya. Pengadu kemudian mengangkat sangkar naik ke atas dan segera mengeluarkan janin berkenaan kerana bimbang ia dihanyutkan arus sebelum bertindak memaklumkan kepada penyelianya.

    “Keadaan mayat masih bersama tali pusat dan lengkap anggota badan dengan ketinggian kira-kira 18 sentimeter namun doktor tidak dapat memastikan jantinanya namun berkemungkinan lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Mohd. Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337243.

  • PRN: Pas Terengganu dijangka umum calon Khamis minggu depan

    PRN: Pas Terengganu dijangka umum calon Khamis minggu depan

    PAS dijangka mengumumkan senarai calon dan jumlah kerusi mahu ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, Khamis minggu depan.

    Setiausaha Pas negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu akan diumumkan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

    “Setakat ini, kita dimaklumkan jumlah kerusi dan nama calon daripada Pas (untuk bertanding pada PRN Terengganu) akan diisytiharkan pada Khamis minggu depan.

    “Pada pengumuman itu nanti, Pas akan turut menamakan calon bakal dipertaruhkan parti berkenaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos depan,” katanya kepada pemberita, hari ini, lapor Berita Harian.

    Ini susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di sini membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim, bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril dalam keputusan pada 27 Jun lalu, membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN di kerusi Parlimen itu, Datuk Mohd. Zubir Embong, selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen PRU15.

    Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, bersama Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar, Dr. Azman Ibrahim, merasmikan pengedar tunggal beras Ganu di Kampung Losong Datuk Amar, di Kuala Terengganu.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu, manakala bakinya dimenangi Barisan Nasional (BN) membabitkan DUN Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Kuala Besut, Jertih serta Hulu Besut.

    Difahamkan pada PRN Terengganu kali ini, Pas dijangka bertanding di 27 kerusi DUN, manakala lima lagi diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan DUN Kijal, Telemong, Langkap, Permaisuri dan Hulu Besut.

  • Tun M dakwa larangan sentuh isu 3R menidakkan kebebasan bersuara

    Tun M dakwa larangan sentuh isu 3R menidakkan kebebasan bersuara

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatir Mohamad mendakwa tindakan menghalang perbincangan menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) sebagai menafikan kebebasan bersuara di negara ini.

    Katanya, jika hendak menjadikan tindakan seseorang yang menyentuh isu itu sebagai jenayah maka ia perlu dibahas dan kemudian mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

    Beliau berkata, ini termasuk perlu mendapatkan tandatangan Yang di-Pertuan Agong atau diluluskan selepas dua bulan.

    “Ia amat serius. Jika ini tidak dilakukan, kerajaan mungkin didakwa kerana melakukan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, hari ini.

    Dalam kenyataan sama, Dr. Mahathir mendakwa ada pihak yang menyentuh isu kaum antaranya seperti berbilang kaum tetapi dibolehkan, sambil mempersoalkan mengapa tidak boleh menyentuh perbincangan mengenai orang Melayu.

    Mengenai isu agama, dakwanya berlaku ‘layanan’ dwistandard kerana ada saja pihak yang menyentuh isu sekularisme yang membawa makna tidak boleh ada agama rasmi.

    “Sekularisme bermakna tidak boleh ada agama rasmi. Ini bermakna kita bercakap berkenaan agama rasmi. Kenapa menolak agama rasmi boleh disentuh tetapi mengekal agama rasmi tidak boleh disentuh.

    “Akhir sekali soal institusi raja. Raja seperti rakyat, tertakluk kepada undang-undang. Sebuah mahkamah diadakan untuk raja. Bermakna jika raja melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, tindakan boleh diambil.

    “Perundangan ini diadakan kerana kes tertentu. Jikalau kes-kes yang sama berlaku atau kes yang lebih buruk berlaku dan dakwaan tidak boleh dibuat, maka raja akan jadi raja yang berkuasa mutlak.

    “Sebaliknya Perlembagaan menjadikan raja kita sebagai Raja Berperlembagaan. Apakah kita sudah gugur sistem raja berperlembagaan kepada raja berkuasa mutlak,” soalnya lapor Berita Harian.