Author: Wartawan WartaRakyat

  • Boustead bayar sub-kontraktor lebih 200% daripada yang diperlukan, dakwa Rafizi

    Boustead bayar sub-kontraktor lebih 200% daripada yang diperlukan, dakwa Rafizi

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoal tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak terdahulu yang tidak membeli kapal tempur pesisir secara terus daripada DCNS berbanding melalui struktur berlapis-lapis yang melibatkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan dua subkontraktor.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, secara logiknya, kata beliau, jika DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, sewajarnya kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus (seperti yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene).

    Sebaliknya, beliau berkata kerajaan melantik BNS sebagai kontraktor utama yang kemudiannya melantik dua lapis subkontraktor di atas DCNS dalam struktur tersebut.

    Rafizi berkata BNS telah menandatangani surat perjanjian dengan sub kontraktor pertama bagi dua pakej bernilai RM1.18 bilion.

    Katanya, sub kontraktor (BNS) seterusnya melantik syarikat bersekutunya sebagai sub kontraktor kepada mereka. Syarikat bersekutu itu kemudiannya membuat subkontrak kerja kepada syarikat tentera laut Perancis DCNS sebanyak RM397 juta, menambah kos sebanyak 200%.

    Rafizi berkata walaupun beliau memahami alasan untuk melalui BNS adalah untuk membangunkan keupayaan syarikat tempatan dan membantu veteran tentera kerana syarikat itu dimiliki oleh dana pencen angkatan tentera (LTAT), “berlapis-lapis” sub-kontraktor membayangkan wujud unsur rasuah. .

    Tegas Rafizi, beliau akan terus mendedahkan elemen rasuah dalam projek LCS.

    Semalam, Rafizi berkata Najib tidak boleh “cuci tangan” terhadap skandal LCS.

    Katanya, Najib ialah Perdana Menteri dan merupakan satu-satunya individu yang berkuasa untuk mempengaruhi perubahan dalam reka bentuk kapal daripada keperluan tentera laut sewaktu kerajaan menandatangani perjanjian bagi kapal LCS.

    Khamis lalu, Pengerusi Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata menteri pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut berkenaan projek LCS.

    Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein kemudian berkata pihak yang terlibat dalam salah laku bagi projek ini akan dibawa ke muka pengadilan.

  • (VIDEO) – Khairuddin dah tak relevan, tak kenang jasa Bersatu – Sanusi

    (VIDEO) – Khairuddin dah tak relevan, tak kenang jasa Bersatu – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Khairuddin Aman Razali sebagai “haiwan politik” yang tidak mengenang jasa Bersatu, sebaliknya hanya inginkan Pas memilih UMNO sebagai sekutunya.

    Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, Khairuddin sudah tidak relevan untuk beri komen atau memberi nasihat apa yang patut  Pas lakukan.

     “Dia sudah tak relevan untuk beri komen atau nasihat apa patut PAS buat… haiwan politik saja yang ambil sikap tidak mengenang jasa orang lain,” katanya kepada portal FMT.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang berkata, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan UMNO, bukan Bersatu yang disifatkan sebagai “parti kecil” dan hanya bergantung kekuatan orang lain.

    Malah, Khairuddin yang keluar Pas pada 14 Mac lalu berkata, strategi parti itu meletakkan kerjasama dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu kesilapan.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata tindakan Bersatu yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk bersama Pas dan Umno membentuk kerajaan perlu dihargai kerana berjaya menyelamatkan negara daripada zaman gelap 22 bulan pentadbiran kerajaan liberal pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Pas tak selfish (pentingkan diri)…Pas mengenang jasa dan pengorbanan orang. Bersatu keluar PH membolehkan Bersatu bersama dengan UMNO dan Pas ambil alih kerajaan. Dengan ambil alih kerajaan itulah negara dapat diselamatkan daripada 22 bulan zaman gelap bagi Melayu Islam bawah kerajaan liberal dan cauvinist PH yang dikepalai DAP,” katanya kepada FMT.

    Sanusi berkata, jika Bersatu mementingkan politik semata-mata, adalah lebih baik parti itu kekal dalam PH.

    “Baik dia kekal dalam PH jadi kerajaan, lebih banyak mereka boleh buat untuk bunuh UMNO dan Pas. (Tetapi) kerana mereka juga pentingkan Melayu dan Islam, mereka keluar PH dan bersama UMNO dan Pas. Sebagai manusia waras, bukankah ini sikap yang patut dihargai?,” katanya.

    Sanusi turut menempelak Khairuddin dengan menyifatkan segala pandangan bekas pemimpin Pas itu “sudah tidak relevan”, sambil menyifatkan “Khairuddin lebih UMNO daripada sebahagian orang UMNO”.

    Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi dipecat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Feb lalu, sebulan selepas beliau digugurkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat.

  • Isu Kapal LCS: Pengkhianat, pencuri, ejen penceroboh perlu dihukum – Ahli PAC

    Isu Kapal LCS: Pengkhianat, pencuri, ejen penceroboh perlu dihukum – Ahli PAC

    Oleh AHMAD TARMIZI SULAIMAN

    MELIHAT kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada Parlimen pada 4 Ogos 2022 berkaitan projek perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bagi pengoperasian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Saya selaku ahli jawatankuasa PAC menegaskan supaya kes ini perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera kerana kumpulan atau individu yang mengkhianati amanat rakyat Malaysia ini telah menjadi musuh negara dan sedang menceroboh kedaulatan Malaysia dengan kelicikan untuk mengagalkan sistem peralatan pertahanan negara.

    Kita sedia maklum negara kita menghadapi ancaman dari pihak luar, lanun dan penceroboh di Laut China Selatan saban waktu. Tugas TLDM sangat mencabar, sangat besar dan penting demi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat di negara ini terjamin, bahkan memastikan industri perdagangan import dan eksport di kawasan maritim dan perkembangan ekonomi negara terkawal.

    Begitu juga keselamatan rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus mencari rezeki sebagai nelayan laut dalam, dan aktiviti cari gali petroleum di kawasan perairan negara. Kelewatan perolehan kapal tempur ini memberi kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi bagi tempoh masa yang panjang termasuk menjejaskan pengurusan aset pertahanan strategik negara, dan seterusnya meletakkan keselamatan rakyat di ambang bahaya.

    Kegagalan proses detailed design dengan BNS sehingga sekarang, pertukaran rekabentuk yang sangat tergesa-gesa, pelik dan tidak mengendahkan permintaan TLDM sendiri serta proses pembayaran oleh pihak yang diberi tanggungjawab ketika itu kepada syarikat BNS harus disiasat dengan lebih mendalam dan terperinci. Terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan.

    Pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. Ini adalah luar biasa, pelik dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus); Proses ini telah menceroboh tatacara kewangan yang betul dan telus. Lebih malang lagi walaupun pembayaran telah dibuat melebihi jumlah sepatutnya namun proses pembinaan kapal LCS masih gagal disiapkan seperti yang dijadualkan dalam kontrak.

    Sedih dan geram; Kita kehilangan wang negara dan kapal tempur pertahanan negara entah di mana? Kecuaian, kebocoran besar ini perlu disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah bagi setiap pembayaran sebanyak RM6.083 bilion.

    Pengkhianatan ini adalah suatu jenayah yang sangat berbahaya kepada negara kerana jelas bahawa peralatan pertahanan merupakan aset strategik berkepentingan bagi menjamin urusan pentadbiran negara berjalan lancar, tanpa sebarang ancaman dari dalam dan luar.

    Saya mendesak agar kumpulan atau individu pengkhianat negara yang terlibat ini dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang sewajarnya, tanpa mengira pangkat dan darjat supaya perkara ini tidak berulang lagi serta setiap proses perolehan aset strategik kerajaan di kemudian hari demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara Malaysia.

    • Ahmad Tarmizi Sulaiman adalah Ahli Parlimen Sik dan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Ini adalah kenyataan beliau yang dipetik dari portal HarakahDaily.
  • Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mengingatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menggunakan alasan keselamatan negara bagi menghalang pihaknya mendedahkan hasil laporan berkaitan kapal tempur pesisir (LCS).

    Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat tidak boleh disekat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

    “Saya tidak pasti apa dimaksudkan beliau yang didapati tidak sensitif apabila PAC yang bipartisan sekadar melaksanakan tanggungjawab kami yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa ini dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

    “PAC mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti diperuntukkan bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) untuk memeriksa segala kira-kira kerajaan termasuk apa-apa perkara lain yang difikirkan patut diperiksa oleh jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan, lapr FMT.

    Beliau menjelaskan, segala maklumat dinyatakan oleh saksi dalam prosiding PAC akan direkod ke dalam hansard manakala laporan PAC yang dikeluarkan pula berpandukan kepada segala keterangan diberikan semasa prosiding itu.

    “Ahmad Zahid selaku bekas Menteri Pertahanan telah hadir di hadapan PAC pada 25 Oktober 2021 bersama Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Hansard beliau diserahkan kepadanya melalui pos berdaftar 4 Januari 2022 dan beliau diberikan tempoh masa tujuh hari untuk membuat sebarang pembetulan pada kenyataan yang diberikan.

    “Untuk rekod, beliau tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang dihadiri,” katanya.

    Katanya, dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi yang mengemukakan permohonan bagi meminda keterangan itu sedangkan ia boleh dilakukan jika ada isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara.

    “Sekiranya mana-mana hansard yang mempunyai sebarang isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara dan dicadangkan untuk pindaan atau pemotongan oleh saksi, PAC akan berbincang sama ada hendak membenarkan permohonan tersebut,” katanya.

    Semalam, Ahmad Zahid menyatakan kebimbangannya terhadap pendedahan lebih banyak berhubung projek LCS menjejaskan rahsia keselamatan negara.

    Beliau berkata, PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

  • Mat Sabu, Chin Tong nafi Pakatan Harapan tak buat apa-apa dalam isu kapal LCS

    Mat Sabu, Chin Tong nafi Pakatan Harapan tak buat apa-apa dalam isu kapal LCS

    BEKAS  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong menafikan Pakatan Harapan “membisu” berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion ketika ia berkuasa.

    Mereka dalam kenyataan bersama berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), yang menyiasat projek bermasalah itu, dalam mesyuarat pertama Jemaah Menteri PH pada 30 Mei 2018.

    Menurut mereka, Pengerusi JKSTUPKK, Ambrin Buang membentangkan penemuan berhubung projek LCS kepada kementerian pada 20 Ogos 2019.

    “Pada 11 Feb 2020, wakil JKSTUPKK terdiri daripada Ambrin, Mohamad, Liew, Panglima Angkatan Tentera (ketika itu) Tan Sri Ariffin Buang, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Reza Sany memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” menurut kenyataan itu.

    Dalam mesyuarat itu, kata mereka, Dr. Mahathir memutuskan mereka yang melakukan kesalahan harus dibawa ke muka pengadilan, merombak pasukan pengurusan BNS, projek LCS dianggap projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk menggantikan dana hilang.

    “Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

    “Kerajaan PH telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK, namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga,’’ katanya kenyataan itu lapor FMT.

    Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, PH “tengok sahaja” dan “membisu” ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

    Najib turut mempersoalkan status projek itu dari Mei 2018 hingga September 2019, apabila ia ditangguhkan.

    Mohamad dan Liew berkata, kemajuan projek itu mencapai 50.15% pada Januari 2018, sedangkan ia sepatutnya mencapai 70% siap ketika itu dan ia hanya siap 56.39% berbanding 82.41% pada Januari 2020.

    Mereka berkata, jaminan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa LCS pertama yang dibina Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan siap dalam setahun dua lagi “tidak realistik” kerana reka bentuk terperinci yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap kira-kira 80% ketika itu.

    Menurut mereka, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abdul Aziz pada 27 Sept 2021, memaklumkan PAC, selepas BNS menyiapkan reka bentuk terperinci itu, Naval Group memerlukan sekurang-kurangnya 12 bulan dari tarikh pembayaran dibuat untuk menyiapkan pengesahan sebagai “design authority”.

    “Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan oleh kedua-dua Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” kata mereka.

  • 5 sekeluarga dalang edar syabu guna syarikat penghantaran tumpas

    5 sekeluarga dalang edar syabu guna syarikat penghantaran tumpas

    TAKTIK licik lima sekeluarga di Pulau Pinang mengedar dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam bekas bancuhan simen dan diedarkan menerusi syarikat penghantaran berjaya dihidu pihak berkuasa.

    Kesemua mereka bersama seorang lagi ahli sindiket wanita ditahan dalam empat serbuan berasingan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU) pada 4 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bermula pukul 2.30 petang sehingga 11.30 malam.

    Dalam serbuan itu jelasnya, polis merampas 14.1 kilogram dadah jenis syabu dan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM694,412.

    “Ketua sindiket dan kekasihnya yang berusia 36 dan 32 tahun ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas.

    “Ekoran penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan pada hari sama dan menahan ibu, bapa, adik lelaki dan adik ipar ketua sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas kira-kira pukul 4.30 petang hari sama yang mana polis menemukan bungkusan syabu yang dipercayai akan dihantar ke luar negara.

    Jelasnya, hasil risikan turut mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan luar negara.

    “Sindiket ini turut mengedarkan serbuk MDMA berperisa limau untuk pasaran tempatan dipercayai dijual pusat-pusat hiburan dengan harga antara RM150 sehingga RM180 sepeket,” katanya.

    Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap keenam-enam suspek didapari negatif, namun tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

    “Kesemua suspek direman bermula 5 Ogos lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Pesawat ringan tersasar keluar landasan, juruterbang selamat

    Pesawat ringan tersasar keluar landasan, juruterbang selamat

    LAGI insiden membabitkan sebuah pesawat ringan yang digunakan bagi tujuan latihan penerbangan bulan ini.

    Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) Kedah, sebuah pesawat latihan jenis Diamond DA-42D tersasar keluar dari landasan ketika melakukan pendaratan pagi ini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.01 pagi ketika pesawat dengan pendaftaran 9M-HMY yang dikendalikan oleh dua juruterbang HM Aerospace Sdn Bhd (HMA) hilang kawalan ketika mendarat.

    Bagaimanapun kedua-dua juruterbang itu katanya tidak cedera dan telah dibawa melakukan pemeriksaan kesihatan.

    “Pesawat kemudiannya dialihkan pada pukul 12.05 tengah hari dan pemeriksaan penuh landasan telah dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi lapangan terbang.

    “Landasan LTAL dibuka semula pada pukul 12.20 tengahari dan siasatan lanjut dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

    Sementara itu Chester berkata, sebagai salah satu usaha CAAM mempromosikan keselamatan penerbangan, semua Pengurus dan Ketua Pegawai Eksekutif daripada organisasi latihan penerbangan akan dipanggil untuk taklimat keselamatan.

    Tambahnya, semua aspek keselamatan pesawat dalam ekosistem organisasi latihan penerbangan akan dikaji semula untuk penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap piawaian keselamatan semua pihak dalam industri penerbangan.

    Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah-Sungai Rokam, berhampiran Medan Gopeng, Ipoh, Perak.

    Nahas melibatkan pesawat jenis Piper 28-161 yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

  • Suspek dituduh membunuh, mangsa dilibas pedang meninggal dunia

    Suspek dituduh membunuh, mangsa dilibas pedang meninggal dunia

    RIZQI ZABIDI

    HANYA sehari selepas mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan, seorang individu hari ini sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan membunuh setelah mangsanya meninggal dunia, petang semalam.

    Tertuduh, R. Subramaniam, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dengan tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nor Fazlina Musa.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan, dekat sini kira-kira pukul 4.40 petang, 4 April lalu.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia serta bedah siasat.

    Semalam, tertuduh sudah pun mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa di Mahkamah Sesyen.

    Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang semalam menyebabkan kes kembali dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya, dan dituduh semula mengikut Seksyen 302 KK, hari ini.

  • Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    BADLISHAH MAT

    PESARA tentera yang bertugas sebagai pengawal keselamatan akhirnya meninggal dunia setelah empat hari menerima rawatan akibat ditetak dengan pedang di Sungai Petani, di sini.

    Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada pukul 6.15 petang ini.

    Ismail dimasukkan ke hospital itu akibat cedera parah di kepala dan tangan kiri selepas ditetak dengan pedang oleh seorang lelaki pada 4 Ogos lalu.

    Dia ketika itu sedang bertugas di tapak projek perumahan di Bukit Bayan, menegur suspek yang menunggang motosikal secara berbahaya di dalam kawasan projek perumahan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa dan pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di hospital sama.

    Terdahulu, seorang lelaki hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Tertuduh, R. Subramaniam, 41, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

    Dia didapati dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini, pada pukul 4.40 petang, 4 Ogos lalu.

  • Bersatu fokus bantu rakyat

    Bersatu fokus bantu rakyat

    BADLISHAH MAT

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Bersatu adalah parti yang paling kurang berpolitik kerana mahu memberi fokus untuk membantu rakyat.

    Malah, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan menyedari setiap saat begitu bernilai kepadanya kerana tidak mengetahui berapa lama akan terus memegang jawatan itu.

    “Di peringkat parti bila disebut tentang perkara yang dijanjikan tidak dipenuhi, ia menimbulkan rasa tersentuh dalam kalangan penyokong parti.

    “Tapi pada masa sama parti ini adalah parti yang baik, bersopan santun dan meletakkan kedudukan rakyat melebihi segala-galanya.

    “Apa yang penting adalah untuk memberi tumpuan kepada agenda transformasi khususnya dalam konteks pendidikan,” katanya selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di Langkawi, hari ini.

    Semalam, akhbar melaporkan Bersatu tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan dan akan menunggu sehingga perbincangan lanjut diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Radzi susulan tindakan Ismail Sabri membatalkan pertemuan saat akhir dengan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

    Pertemuan itu dipercayai membincangkan isu pelantikan wakil Bersatu bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang didakwa telah dipersetujui oleh Ismail Sabri sebelum beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.