Author: Wartawan WartaRakyat

  • Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG doktor berputih mata apabila mengalami kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura tetapu sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 itu mula tertarik dengan iklan dalam Facebook pada hujung bulan lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan tersebut sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut tawaran diberikan

    “Mangsa mungkin mahu mulakan bisnes alat ganti kenderaan, jadi dia nak beli kereta skrap dari Singapura. Dia tidak pernah jumpa secara fizikal dengan suspek, mereka berhubung secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke akaun disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

    Mangsa katanya, mula menyedari tertipu setelah suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

    Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang mekanik kerugian kira-kira RM240,000 setelah terpedaya sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah setengah juta ringgit.

    Mangsa berusia 55 tahun ujar beliau, didatangi seorang lelaki pada bulan Mei lalu menawarkan tiket loteri toto yang sudah menang hadiah RM500,000.

    “Bagi mendapatkan hadiah tersebut, suspek memaklumkan mangsa perlu membayar duit pendahuluan. Mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank melibatkan wang RM240,000,” katanya.

    Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.

  • Ambil gambar jasad Kobe Bryant, balu terima pampasan RM71 juta

    Ambil gambar jasad Kobe Bryant, balu terima pampasan RM71 juta

    JURI persekutuan Amerika Syarikat memerintahkan Los Angeles County membayar balu Kobe Bryant sebanyak AS$16 juta (RM71.61 juta) kerana mengambil gambar jasad bintang NBA itu yang maut dalam nahas helikopter pada Januari 2020.

    Pada masa sama, juri turut mengarahkan Los Angeles County membayar pampasan sebanyak AS$15 juta (RM67.11 juta) kepada seorang lagi plaintif, Chris Chester yang isteri dan anak perempuannya juga antara sembilan orang yang terbunuh dalam nahas itu.

    Sembilan juri sebulat suara bersetuju dengan Vanessa Bryant dan peguamnya bahawa timbalan dan anggota bomba mengambil dan berkongsi gambar mayat Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna, 13, yang dianggap menceroboh privasi dan mengakibatkan tekanan emosi.

    Vanessa Bryant dilihat sebak ketika memberi keterangan semasa perbicaraan 11 hari mengenai penyebaran gambar itu.

    “Saya hidup dalam ketakutan setiap kali ia muncul di media sosial,” katanya memetik laporan AFP.

    Peguam Vanessa, Luis Li menambah, gambar yang tersebar itu hanya bertujuan ingin berkongsi rasa ngeri, bukannya untuk penyiasatan.

    Sementara itu, Peguam Daerah, J Mira Hashmall, berkata gambar itu adalah alat yang diperlukan untuk menilai keadaan.

    Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ia tidak sepatutnya dikongsi, tetapi menekankan bahawa gambar itu tidak pernah dipaparkan secara terbuka, malah tidak pernah dilihat oleh plaintif.

    Kobe Bryant, bekas bintang Lakers dan juara NBA lima kalisedang dalam perjalanan bersama Gianna dan tujuh yang lain ke permainan bola keranjang remaja apabila helikopter yang mereka naiki terhempas di Calabasas barat Los Angeles pada 26 Januari 2020.

    Pegawai keselamatan persekutuan menyalahkan kesilapan juruterbang atas nahas itu.

  • PH ubai suai logo demi padam ‘cerita lama’ – Anwar

    PH ubai suai logo demi padam ‘cerita lama’ – Anwar

    PAKATAN  Harapan (PH) bersetuju mengubah suai logonya sebagai tindakan memadam “cerita lama”, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan menggunakan satu logo sahaja juga bagi menyanggah persepsi pihak luar bahawa gabungan itu “tidak bersatu” selepas beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.

    “Ada orang kata kita berpecah, kalau ikut sentimen PKR (mahu) guna logo PKR tetapi kalau kita ikut perkembangan di Johor, seolah-olah kita berpecah. (Orang luar) nampak Anwar pengerusi PH tetapi mereka berpecah (soal logo), jadi saya kata baiklah kita bersetuju guna satu logo,” katanya lapor FMT.

    Katanya, lebih baik PH bersetuju menggunakan satu logo sahaja agar tidak menimbulkan kekeliruan.

    “Jadi saya kata lebih baik lah kita bersetuju kepada satu logo dan semalam juga bersetuju logo diubahsuai supaya tak melambangkan ‘cerita lama’,” katanya.

    Anwar merujuk ‘cerita lama’ berhubung kritikan ketika gabungan itu memerintah kerajaan 22 bulan, sebelum tumbang dalam Langkah Sheraton.

    Presiden PKR itu berkata, ketika gabungan berkenaan memerintah, ia tidak mewakili “pandangan reform”.

    “Seperti yang kita sebut yang memerintah itu tidak mewakili pandangan reform, jadi beberapa keputusan itu melanggar semangat reform yang kita nak bawa,” katanya.

  • Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    PELAKSANAAN fasa satu projek naik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijangka bermula hujung tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

    “Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

    Mengulas lanjut projek naik taraf Internet Tabika Kemas itu Mahdzir menjelaskan, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaannya.

    Mei lalu, Mahdzir dilaporkan berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian Internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.

    Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet untuk 11 ribu premis Tabika KEMAS.

  • Pemuda didenda RM4,000 jadi keldai akaun

    Pemuda didenda RM4,000 jadi keldai akaun

    MAHKAMAH Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang pemuda atas kesalahan menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 milik orang lain, tiga tahun lalu.

    Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Halimee Azman, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.

    Abdul Halimee dituduh menolong menyembunyikan RM10,000 iaitu wang hasil penipuan Macau Scam yang dimasukkan penama, Rosidah Manah @Manap, 56, ke akaun CIMB Bank miliknya dengan mempercayai bahawa ia bukanlah hak tertuduh.

    Kesalahan dilakukan di CIMB Ayer Keroh pada 12 September 2019 antara 12.54 hingga 12.59 tengah hari, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mengikut fakta kes, seorang Pembantu Tadbir Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka, membuat laporan polis mendakwa ditipu sindiket Macau Scam, selepas menerima panggilan ‘Pos Laju’ yang memaklumkan dia mempunyai bungkusan kad pengenalan dan kad kredit yang dihantar ke Kuching, Sarawak.

    Seorang lelaki memperkenalkan diri Inspektor Ting meminta mangsa mengikut segala arahan jika tidak mahu ditangkap dan mangsa membuat bayaran keseluruhan RM80,000 ke empat akaun bank berasingan.

    Dalam siasatan, pegawai CIMB Bank turut mengesahkan terdapat kemasukan wang milik mangsa ke akaun tertuduh.

  • Bersongkok tapi berseluar pendek, KLFW pula undang kontroversi

    Bersongkok tapi berseluar pendek, KLFW pula undang kontroversi

    SELEPAS insiden di Kedah, penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini turut mengundang kontroversi apabila seorang model didapati bersongkok tapi berseluar pendek pada acara berkenaan.

    Menteri di Jabatan Agama Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika mengulas isu itu meminta agar semua pihak jangan cuba mempermainkan atau membuat sebarang unsur provokasi terhadap agama Islam.

    “Kita tidak pernah mengganggu agama lain dan kita tidak pernah menghina agama lain kerana ia merupakan ajaran agama Islam yang dididik oleh agama Islam itu sendiri. Kita harap orang (agama) lain menghormati agama Islam.

    “Kamu bebas untuk menganuti agama kamu tetapi jangan ada unsur-unsur bersifat provokasi,” katanya yang dipetik dalam laporan Harakahdaily.

    Isu itu mendapat perhatian awam selepas majalah hiburan EH! memuat naik rakaman video acara yang memaparkan “Koleksi Behati” yang mengambil inspirasi daripada gaya Peranakan.

    Minggu Fesyen Kedah awal bulan ini turut terpalit kontroversi pemakaian seorang pengunjungnya yang berjaket tetapi menampakkan bahagian dada (bawah).

    Exco Kedah Mohd Hayati Othman kemudian menjelaskan individu disangka wanita itu sebagai seorang mak nyah.

    Sementara itu, pereka fesyen Kel Wen menjelaskan kontroversi itu dengan mengingatkan tentang sejarah songkok yang berasal daripada tarbus daripada era kerajaan Usmaniah di Turki.

    Katanya, songkok ialah aksesori kepala rasmi dan bercorak kebudayaan serta tidak semestinya berkaitan dengan agama.

    “Saya bukan Islam tetapi memakai songkok menunjukkan saya menerima dan belajar agama ini dengan cara hidup peribadi saya sendiri.

    “Jika kamu tidak dapat terima, ia bermakna kamu rasis dan inilah masalah sebenarnya,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Dia juga berkata pemakaian songkok dengan seluar pendek sama konsepnya dengan pemakaian tudung tetapi menunjukkan bahagian leher atau memakai sut rasmi dengan seluar pendek.

    Dalam status lain, dia menjelaskan tidak mempunyai niat untuk memperolok-olokan sebarang agama.

    “Islam itu indah dan membesar di kelilingi orang Islam di Malaysia secara semula jadi mempengaruhi seni dan gaya saya,” katanya.

    Ini kontroversi ketiga melibatkan Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

    Sebelum ini terdapat kontroversi berkaitan bayaran model dan tindakan model memperagakan baju sampai memegang rokok.

  • Lapan ditahan termasuk empat berstatus Datuk terlibat kes penipuan tanah milik Kejora

    Lapan ditahan termasuk empat berstatus Datuk terlibat kes penipuan tanah milik Kejora

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI tujuh ahli lembaga pengarah (BOD) sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah ditahan kerana dipercayai terlibat kes penipuan pindah milik tanah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kluang.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek yang ditahan dalam Op Pekaka itu merupakan lelaki tempatan berusia 46 hingga 75 tahun termasuk berstatus Datuk.

    “Ada antara mereka yang ditahan adalah Ahli Lembaga Pengarah koperasi tersebut dan seorang pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika transaksi pindah milik dilakukan.

    “Mereka ditahan antara jam 3 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan kepada polis masing-masing di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, pihak polis mula menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian yang mendakwa tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik Kejora dipindah milik tanpa kebenaran.

    Katanya, tanah bernilai pasaran lebih RM100 juta di daerah Kluang itu dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi berkenaan.

    “Tiga lot tanah yang terbabit dalam kes ini adalah tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada Kejora pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta,” katanya.

    Tanah itu ujar beliau, kemudian dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994 dan koperasi tersebut kini sudah dibubarkan.

    “Kita percaya dalam tempoh pembubaran itu, berlakunya perkara yang menyebabkan tanah dipindah milik kepada individu lain dengan nilai melebihi RM100 juta,” katanya.

    Urusan pindah milik itu katanya, hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu dan semakan mendapati tanah itu kini diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun turur dipanggil memberi keterangan.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, semua suspek diberikan jaminan polis selama sebulan sementara pihaknya menyiapkan kertas siasatan dan kemudian menunggu arahan selanjutnya dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

  • “Benda yang tak pernah termimpi” – Abang Viva

    “Benda yang tak pernah termimpi” – Abang Viva

    ABANG Viva atau nama penuhnya Azwan Omar menyifatkan dia tidak pernah termimpi untuk menerima darjah kebesaran Negeri Melaka bersempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. semalam.

    Malah wira banjir itu sempat merendah diri apabila mendakwa dia tidak layak menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas jasanya membantu mangsa banjir.

    “Alhamdullilah..benda yang tak pernah termimpi pun untuk dapat penghargaan setinggi ini.

    “Saya tak layak untuk dapat macam ni..tiada apa yang saya buat untuk diangkat sampai macam ni,” tulis di akaun Facebook rasminya hari ini.

    Mengulas lanjut Azwan berkata, dia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Yang Di Pertua Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka di atas pemberian pingat berkenaan.

    “Insyaallah saya akan pikul amanah yang diberi oleh semua orang sebaiknya..doakan saya,” tambahnya yang merupakan antara senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri Melaka.

    Azwan turut menamatkan hantaran itu dengan dua tanda pagar iaitu #selamatharijadiTun daan #pingat P.J.K.

    Nama Abang Viva mencuri tumpuan ramai apabila dia dianggap sebagai wira banjir kerana usaha murninya membantu mangsa banjir bermula di Puchong disusuli Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

    Anak bongsu daripada empat beradik itu bergerak solo memandu Perodua Viva dengan membawa bot getah yang diletakkan di atas bumbung keretanya, menuju lokasi banjir berbekal wang RM50 diberikan oleh ibunya manakala RM20 bagi mengisi minyak bot dan baki RM30 untuk makanan buat mengalas perut.

    Malah Azwan masih aktif melakukan kerja-kerja kebajikan terutamanya membantu penduduk di semenanjung yang terjejas akibat banjir.

  • Remaja 14 tahun culik bayi perempuan kerana comel

    Remaja 14 tahun culik bayi perempuan kerana comel

    CULIK bayi perempuan kerana comel selain mendakwa bayi itu ialah anaknya dengan teman lelaki.

    Itu alasan diberikan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang bertindak melarikan bayi berkenaan dari rumah pengasuhnya dalam kejadian di Bukit Tengah, Pulau Pinang pukul 5.30 petang kelmarin.

    Ekoran itu polis yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai semula bayi berkenaan dan memberkas lima suspek dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San, suspek utama iaitu remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan di sebuah pondok di Machang Bubok kira-kira pukul 11.50 malam pada hari kejadian.

    Katanya, turut ditahan ialah teman lelaki remaja berkenaan berusia 18 tahun dan ibu serta bapa tiri lelaki berkenaan berusia 30 dan 43 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kulim, Kedah serta seorang lagi lelaki yang merupakan rakan kepada remaja berkenaan.

    “Siasatan awal polis mendapati suspek menculik bayi perempuan itu kerana tertarik dengan kecomelannya.

    “Selain itu, dia juga mendakwa bayi berkenaan ialah anaknya dengan teman lelaki sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah hari ini.

    Dalam kejadian yang turut viral di media sosial itu, remaja perempuan terbabit yang tidak bersekolah dikatakan telah melarikan bayi berkenaan daripada jagaan neneknya yang juga pengasuh kepada bayi tersebut di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

    Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek terbabit mendukung mangsa dengan berjalan kaki sebelum menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

    Sehubungan itu, pengasuh bayi berkenaan yang juga neneknya memaklumkan kepada ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum satu laporan polis dibuat oleh bapa bayi berkenaan.

    Dalam pada itu, Cheng San berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

    Jelasnya, kesemua suspek juga tidak memiliki rekod jenayah lampau selain tidak berada dalam pengaruh dadah ketika ditahan.

    “Kita juga masih menyiasat sama ada terdapat motif lain penculikan tersebut termasuk untuk dijual kepada sindiket atau tidak.

    “Sehubungan itu, kita menggesa orang ramai tidak terus menularkan kejadian ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Pek jus minuman mengandungi syabu, ketamin terbongkar

    Pek jus minuman mengandungi syabu, ketamin terbongkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN satu sindiket dadah berselindung di sebalik pek jus minuman untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas polis melakukan dua serbuan sekitar Bandaraya Johor Bahru, semalam.

    Serbuan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu dilakukan pada pukul 2.30 hingga 5 pagi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan.
    Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa apartment mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, pek-pek mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin itu kemudian akan dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan sudah dilalukan sejak Mei lalu dan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain terlibat.

    Menurut Kamarul Zaman, menerusi tangkapan itu pihaknya merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM195,900; 153 gram (g) syabu (15,300); 276g ketamin (RM41,400); 759 biji pil Eramin 5 seberat 159g (RM11,925) dan 123 biji pil ektasi seberat 37g (RM1,850).

    Beliau memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,653 penagih sekiranya berada dalam pasaran sementara keseluruhan rampasan bernilai RM266,375.

    Pihaknya turut melakukan sitaan terhadap dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan satu loket emas dengan sitaan RM1,200 manakala keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM116,300.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejak Januari hingga 24 Ogos lalu, pihak JSJN berjaya membuat tangkapan seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah.

    “Dalam tempoh yang sama JSJN berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.59 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM16.62 juta. Turut disita adalah harta bernai RM6.82 juta,” katanya.

    Pihak JSJN katanya, akan meneruskan usaha memerangi penyalahgunaan dadah secara berterusan di negeri ini.