PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias menjelaskan, kehadirannya pada sesi sumpah mubahalah Datuk Seri Najib Razak di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu sekadar memenuhi undangan Najib selaku kawan.
Mohd Kazim berkata, hubungannya dengan Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah sebagai kawan serta kenalan sementara ibu kepada Najib, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah juga dianggap beliau mempunyai hubungan baik dengannya.
Selain Najib, beliau turut mempunyai hubungan baik dengan beberapa lagi tokoh politik termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Menurutnya lagi ini termasuk pemimpin di barisan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr. Maszlee Malik.
“Takkanlah pemergian saya ke masjid itu terus dikira berunsur politik (kepartian) sedangkan sebagai seorang kawan kepada Najib, saya rasa tiada salahnya kalau saya berjumpa dengannya untuk berziarah.
“Saya juga baik dengan Muhyiddin, Razman, Anwar, dan Dr. Maszlee. Sebagai seorang penceramah bebas, saya memang tidak boleh memilih bulu (pilih kasih). Jadi tak payahlah berspekulasi kerana saya bukan orang politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Dakwah PERKIM dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di Kampung Paya, Batu Kurau, di Taiping, hari ini.
Mohd. Kazim berkata, jika benar beliau sememangnya berhasrat menceburi politik, sudah tentu akan menerima lantikan yang dibuat Najib terhadapnya pada tahun 2015 untuk memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika itu.
“Namun saya tolak tawaran perlantikan itu sedangkan ia jawatan besar dalam UMNO. Kalau saya (berhasrat menjadi) orang politik, sudah tentu saya menerimanya, namun saya tolak.
“Saya tidak mahu sebab saya lebih suka menjadi penceramah bebas. Jadi kalau masih ada kaitkan saya adalah orang politik, itu tidaklah tepat memandangkan (hubungan) saya baik dengan semua orang,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.
PENCERAMAH terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mendedahkan terpaksa memakai lima lapisan krim pelindung termasuk solekan asas (foundation) yang tebal setiap hari bagi mengembalikan keyakinan bertemu orang ramai susulan keadaan penyakitnya sekarang.
“Pada waktu ini penyakit yang menyerang kulit di bahagian kaki serta badan sudah beransur pulih namun kini merebak ke bahagian muka menyebabkan saya kadangkala terpaksa menutup sebahagian besar mukanya ketika menghadiri beberapa majlis ilmu sejak kebelakangan ini.
“Jadi memang kalau orang jumpa saya di sebelah siang memang akan nampak elok sahaja kulit muka saya sebab pakai ‘foundation’.
“Semasa waktu siang saya tidak boleh terdedah lama kepada cahaya matahari secara terus atau ia akan menjejaskan rawatan saya dan begitu juga waktu malam apabila cahaya lampu turut menjejaskan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Dakwa PERKIM dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di Kampung Paya, Batu Kurau, di Taping hari ini.
Mohd. Kazim perlu memastikan proses pigmentasi kulit terus berjalan agar kulitnya tidak mati.
“Sebab itu selain memakai topeng (kelubung mula), saya juga memakai krim khsusnya ketika aktiviti luar seperti ceramah,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Kazim berkata, beliau akan ke sebuah negara Arab di Timur Tengah pada awal September ini bagi menjalani rawatan pakar yang dijangka mengambil waktu selama lima hari di sana.
Katanya, sepanjang tempoh penyakit misteri yang menyerangnya pada waktu ini, hampir 800 individu daripada pelbagai pusat rawatan tampil menawarkan bantuan bagi merawatnya.
Malah, beliau turut berkongsi fenomena misteri yang dialaminya adalah timbulnya secara tiba-tiba kesan garisan luka yang seterusnya mengakibatkan pendarahan pada anggota badannya seakan kerana dicakar ketika mahu mengerjakan solat Asar.
“Dalam tempoh saya sakit ini, hampir 800 pusat rawatan serta individu datang hendak merawat saya cuma tidaklah saya dapat menerima tawaran (bantuan) daripada semuanya.
“Alhamdulillah bahagian kaki dan badan semua sudah cantik dan (luka) kering, cuma sekarang dia (penyakit) sudah beralih pergi ke bahagian muka. Kalau badan atau kaki boleh juga saya tutup (sorok) tetapi macam mana dengan muka,” soalnya.
Sementara dalam perkembangan berkaitan, Kazim juga menyangkal kekeliruan dan salah faham yang mungkin timbul apabila beliau sebelum ini sering dikaitkan dengan penolakan terhadap kaedah perubatan moden sebaliknya hanya bergantung kepada kaedah perubatan Islam tradisional.
Beliau tidak bermaksud mengatakan kaedah perubatan moden perlu diketepikan dengan mengamalkan kaedah perubatan Islam terutama berasaskan makanan sunnah, sebaliknya dua kaedah perawatan itu perlu seiring.
“Rawatan sakit jantung serta diabetes yang saya alami sejak lebih 20 tahun lalu banyak yang perlu dirujuk kepada hospital (perubatan moden) termasuk rawatan (sakit kulit) saya ketika ini. Jadi kalau ada yang mengatakan saya menolak langsung perubatan moden maka itu tidak benar.
“Saya juga tidak pernah menjalani pembedahan batin sebaliknya penyakit saya sebelum ini menuntut saya perlu merujuk kepada doktor di hospital setiap bulan. Jadi, apa yang saya maksudkan adalah jangan diketepikam rawatan sunnah di samping kita jalani rawatan moden.
“Sampai ada orang tertanya tanya mengapa saya masih boleh merantau merata-merata untuk berceramah hampir setiap hari walaupun dilanda penyakit. Saya jawab mungkin ada amalan perubatan Islam seperti ‘makanan sunnah’ yang membuatkan ‘keajaiban’ sedemikian,” katanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial beberapa gambar dan rakaman video menunjukkan Ustaz Kazim mengenakan topi yang mempunyai kain penutup muka yang biasa digunakan untuk aktiviti riadah seperti memancing.
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan tiga lelaki dan merampas barangan kontraban, minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi enam serbuan bermula 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.
Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, semua rampasan dan tangkapan dilakukan di enam lokasi termasuk gudang dan pelabuhan di sekitar negeri itu dan Selangor.
“Rampasan pertama membabitkan 9,240 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 9 Jun lalu.
“Rampasan kedua pada hari dan lokasi yang sama melibatkan 10,048 liter minuman keras di dalam kontena yang diimport dari luar negara dengan mengikrarkan urusan import dipercayai tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KDRM Johor, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, rampasan ketiga pula melibatkan 3,020 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 22 Jun lalu.
Jelasnya, sindiket menggunakan modus operandi menyeludup minuman keras dipercayai dari China dengan menyembunyikannya di bahagian tengah kontena bersama dagangan lain seperti kabinet, beg, lampu, kasut dan mesin basuh.
Menurut Sazali, rampasan keempat pula melibatkan 5,594 liter minuman keras dan 33,600 batang rokok membabitkan nilai cukai RM22,600.
Rampasan kelima pula katanya, melibatkan sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 1 Ogos lalu.
Hasil pemeriksaan ke atas premis yang tidak berpenghuni itu katanya, terdapat 33,125 liter minuman keras pelbagai jenama disembunyikan di dalam sebuah lori kontena dan dua buah lori.
“Seterusnya, rampasan keenam pada 2 Ogos lalu pula, 9,223 liter minuman keras berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah gudang di kawasan Zon Bebas di Pelabuhan Johor Pasir Gudang,” ujarnya.
Tambah beliau, tiga lelaki yang ditahan merupakan wakil pengimport dan ejen penghantar berusia 32 hingga 36 tahun.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di empat kerusi yang dimiliki parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kerusi tersebut melibatkan Parlimen Ampang, Tebrau, Julau dan Lahad Datu.
“Ada empat dan ada ahli Parlimen lain akan sertai dan tambahan ahli Parlimen ini akan jadikan kerusi negeri (DUN) bukan hanya di Selangor dan Perak,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Dalam sidang akhbar itu Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan menyertai PBM.
Wei Shien berkata, keputusan itu dibuat sebelum ini dengan mengekalkan semua kerusi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedia ada untuk bertanding dalam PRU-15.
“Dalam PBM kita sudah buat keputusan terdahulu untuk mengekalkan kerusi ahli Parlimen dan ADUN yang sedia ada dalam PRU-15. Jadi bila Mohamaddin sertai PBM dan ahli Parlimen lain (sertai), semua kawasan itu akan bertanding dalam PRU-15.
Sementara itu, Mohamaddin turut menjelaskan bahawa kerusi yang disandangnya itu akan kekal menjadi milik PBM bagi berhadapan dengan pilihan raya akan datang.
“Tentu sekali, kalau saya sudah menyertai PBM bermakna calon itu akan bertanding atas logo PBM, namun untuk bertanding atau tidak, sayatidak boleh cakap kerana ini bergantung kepada keadaan.
“Kalau hati mahu bertanding tetapi masa itu kurang sihat mungkin tidak tanding tetapi semuanya bergantung kepada keadaan. Kita akan lihat apabila sudah sampai masanya,” katanya.
Bercakap mengenai kerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat, Larry berkata, PBM menjadikan Parti Kuasa Rakyat sebagai rakan strategik dalam menghadapi PRU-15.
“Dalam perlembagaan parti juga PBM akan buat satu komuniti untuk menukar perlembagaan parti supaya lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Saya rasa ini perkembangan yang positif kepada PBM untuk mengalu-alukan Parti Kuasa Rakyat.
“Kita juga memberi sokongan yang penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan demi pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini juara dunia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, sebentar tadi.
Pada saingan sengit di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, wakil negara yang juga pilihan keenam kejohanan menang 21-19, 21-14 dalam masa 40 minit, lapor BH Online.
POLIS Pulau Pinang menafikan berlakunya kegiatan lumba haram membabitkan beberapa kumpulan motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kumpulan membabitkan lebih 200 penunggang motosikal dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang itu hanya bersantai dan bersiar-siar.
Menurut beliau, pergerakan kumpulan-kumpulan bermotosikal itu turut dipantau sepasukan polis daerah Timur Laut selepas mengesan mereka memasuki bahagian pulau bermula pukul 12 tengah malam.
“Polis telah mengekori pergerakan kumpulan motosikal ini dan mendapati mereka bergerak ke arah Padang Kota Lama dan kemudian memasuki sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.
Terdahulu awal hari ini beberapa gambar dan video kumpulan penunggang motosikal itu tular di media sosial dan mendakwa mereka mahu berlumba haram.
Kehadiran mereka mengundang rasa bimbang dan gusar dalam kalangan orang ramai selepas insiden lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 17 Julai lalu.
Dalam pada itu Soffian berkata, polis bagaimanapun menahan seramai 23 penunggang motosikal berusia 16 hingga 25 tahun dan mengeluarkan 48 saman termasuk menyita sembilan buah motosikal atas pelbagai kesalahan.
Kesalah itu menurut beliau, termasuk mengubah suai eksos; tidak mempunyai lesen; tidak mempamerkan plat motosikal; tidak mempunyai cermin sisi dan sebagainya.
“Kumpulan motosikal itu juga didapati menganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai di semua lorong,” katanya.
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, peranan serta sumbangan Perikatan Nasional (PN) dalam politik dan pembangunan negara sangat besar terutama ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Pengerusi PN itu berkata, sebagai sebuah pemerintah yang prihatin rakyat, kerajaan PN ketika itu mengambil beberapa tindakan drastik bagi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Seluruh rakyat Malaysia pasti akan mengingati apa yang telah kita lakukan ketika itu antaranya menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan menyediakan pakej bantuan bernilai lebih RM530 bilion.
“Ini termasuk memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus rakyat dewasa di negara ini sudah menerima suntikan vaksin.
“Tindakan pantas itu berjaya membawa Malaysia keluar daripada pandemik sekali gus mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti hari ini,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook beliau, hari ini.
Beliau percaya dengan rekod baik sewaktu PN menjadi kerajaan ditambah dengan dasar ekonomi prihatin rakyat serta prinsip politik berintegriti bebas rasuah, rakyat akan memberi sokongan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Mengenai Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu melahirkan rasa syukur dengan sambutan dan kehadiran perwakilan yang hadir.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama pemimpin-pemimpin tertinggi Perikatan Nasional pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Sepanjang konvensyen ini saya mengikuti perbahasan setiap perwakilan dan merasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh mereka terutama apabila menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Seperti yang saya sebut ketika menyampaikan ucaptama, PN sudah bersedia untuk memasuki gelanggang pilihan raya justeru kita kena mempersiapkan bala tentera dengan segala kekuatan untuk menentang lawan kita.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli parti komponen PN yang hadir pada hari ini seperti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau How Chai, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Star Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.
“Tahniah juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen PN 2022, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana berjaya menganjurkan konvensyen ini dengan jayanya,” katanya.
MAHKAMAH Tinggi di Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap peniaga atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 97 gram di Tanah Merah pada November 2018.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Hesham Hamid, 42, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir pembelaan.
Mohamad Abazafree berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten, bersifat rekaan termasuk soal pemilikan dadah yang dirampas.
“Sebagai contoh, ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah, tertuduh mendakwa terdapat dua individu lain bersamanya, namun sehingga kini tiada bukti sah selain tiada pengenalan diri dua individu yang didakwa itu.
“Justeru, kita mendapati tertuduh sengaja mereka cerita dan kecurigaan itu nyata. Mahkamah tiada pilihan dan tertuduh dihukum dengan hukuman mati dan akan ditahan sehingga satu tarikh sebelum digantung,” katanya dalam penghakiman, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis berbahaya iaitu 97 gram Methamphetamine di tepi jalan di Taman Manal Jaya, Tanah Merah pada 8.30 malam, 26 November 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Ridzuan Mohamad.
Terdahulu, Ridzuan memohon hukuman diringankan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh perlu menyara ibu yang uzur serta sakit selain anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, Norazlinawati memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar.
SUDAH sampai masanya kepimpinan Pas mencari pendekatan terbaik bagi memperkuatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang disertai bersama parti Bersatu, Gerakan dan dua parti daripada Sabah, iaitu Starr dan SAPP sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ia penting untuk memastikan PN berjaya memperoleh kemenangan besar melebihi majoriti dua pertiga dalam PRU15 nanti sekaligus dapat memegang tampuk pemerintahan negara.
Sehubungan itu parti Islam tersebut tidak seharusnya terus ‘berkluk klek’ dalam membuat sesuatu keputusan, khususnya membabitkan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Bagi penulis, cukup-cukuplah Pas mengharap dan bercakap mengenai MN sedangkan UMNO sendiri sudah mengatakan bahawa parti itu akan bergerak secara solo pada PRU15 ini.
Tindakan salah menyalah, ungkit mengungkit antara satu sama lain tidak perlu lagi kerana ia bakal membuka pekung di dada.
Tidak payah diungkitkan lagi perkara itu dan tidak perlu lagi dikenangkan perkara yang sudah pun berlalu.
Apa yang penting sekarang ialah bertindak secara matang bagi memperkuat serta memperkukuhkan PN bagi berhadapan gelombang lebih besar dalam tempoh terdekat ini.
Penulis sedikit hairan dengan pendirian Pas kenapa masih lagi mengharapkan kepada orang yang tidak sudi sedangkan Pas sendiri sudah ada ikatan yang sah bersama gabungan lain.
Akibat tindakan itu, jangan pula nanti dikatakan orang seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Memandangkan PRU15 sudah semakin hampir dan banyak parti politik mula mengatur langkah dengan memasang strategi masing-masing, Pas juga seharusnya memberi perhatian terhadap perkara tersebut.
Justeru, langkah terbaik perlu dilakukan ialah memperkemaskan ahli dan parti serta mencari jalan bagaimana cara untuk memancing serta memenangi hati rakyat, iaitu pengundi berdaftar di negara ini.
Bagi penulis, pemimpin Pas juga perlu kurangkan bercakap perkara tidak berfaedah serta elakkan perkataan berbaur provokasi dengan menumpukan kepada kerja-kerja mendekati pengundi.
Pada masa yang sama elakkan daripada menyerang pihak lawan dengan mengeluarkan perkataan kurang enak didengar seperti bodoh dan sebagainya sekalipun ia sebagai perumpamaan.
Sebagai sebuah parti berteraskan Islam, Pas tidak seharusnya terlalu kerap menyalahkan pihak lain sehingga ada ketika seakan terperangkap dengan sifat riak dan takbur.
Seperkara lagi, ketetapan Pas mengenai penggunaaan logo parti pada PRU15 nanti, masih lagi dilihat sebagai ‘kluk klek’.
Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan bahawa parti gabungan sudah bersetuju untuk menggunakan logo baharu PN.
Bagaimanapun, perwakilan PN dari Terengganu dan Kedah semalam mencadangkan agar lambang Pas dapat digunakan di negeri berkenaan dalam PRU15.
Perwakilan PN Terengganu, Ariffin Deraman dipetik sebagai berkata, cadangan itu tidak bermakna parti itu tidak menerima lambang PN sebaliknya perlu mengambil kira perbezaan suasana politik antara nasional dan Pantai Timur.
Justeru, Ariffin ketika sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulangtahun Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) memohon Kelantan, Kedah dan Terengganu dibuat satu kajian penerimaan masyarakat tentang lambang manakah yang diterima mereka.
Sementara perwakilan PN Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula ketika berucap mencadangkan agar lambang PN dikaji semula dan ditukar warna lain kerana warna biru itu dikatakan menyamai Barisan Nasional (BN), menyebabkan pengundi berasa gatal sehingga tersilap pangkah.
Sehubungan itu beliau meminta warna dan logo PN dikaji semula dan jika tidak diubah pihaknya mencadangkan agar Pas Kedah gunakan logo sendiri pada PRU15 ini.
Apapun, penulis berharap hasrat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan parti itu dalam muktamarnya pada bulan hadapan akan memberikan fokus utama melibatkan perbincangan bagi mengukuhkan PN menghadapi PRU15.
Agar agenda ini bakal menjadi kenyataan kerana PRU15 disifatkan oleh banyak pihak sebagai PRU lebih mencabar dan dikatakan tiada parti politik yang mampu menang majoriti lebih selesa.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan elaun bulanan Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dinaikkan kepada RM800 berbanding dengan RM500 sebelum ini.
“Elaun PPMS yang hanya RM500 akan dinaikkan kepada RM800, melibatkan 9,439 kakitangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, hari ini.
Selain itu, tambahnya, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi program digitalisasi di 800 tabika Kemas di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan bersetuju memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun, melibatkan kira-kira 4,322 orang.
“Keputusan ini dibuat bagi menunjukkan penghargaan terhadap jasa, sumbangan dan tenaga anggota Kemas,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).
Kerajaan turut meluluskan kelonggaran syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.