Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis rampas syabu bernilai RM10.89 juta

    Polis rampas syabu bernilai RM10.89 juta

    DUA pengedar dadah ditahan dan syabu dianggarkan bernilai RM10.89 juta dirampas selepas ditemui dalam sebuah pacuan empat roda menerusi satu serbuan di sebuah premis di Kampung Baru Ampang, Ampang, 20 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, seorang suspek memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tersebut manakala rakannya bertindak sebagai tonto.

    “Sekitar pukul 5.20 petang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun di sebuah premis di sekitar Kampung Baru Ampang dan merampas 349 bungkusan kuning mengandungi bahan disyaki methamphetamin seberat 363 kilogram (kg).

    “Lanjutan daripada tangkapan tersebut polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 51 tahun di lokasi berhampiran dipercayai berperanan sebagai pemerhati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Kuala Lumpur, hari ini.

    Arjunaidi berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah yang diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan kawasan sekitar sejak dua bulan lalu.

    “Kita jalankan risikan dalam satu bulan dan dipercayai dadah ini dari negara jiran dan ketika serbuan suspek dalam proses untuk agih,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, pihak polis dalam proses mengesan dalang sindiket dan aset-aset milik kumpulan terbabit untuk tindakan sitaan.

    Setakat ini katanya, polis masih di peringkat awal proses sitaan aset dan telah merampas lebih RM100,000 serta akan terus mengesan harta-harta yang mereka miliki.

    “Polis telah menyita sebuah kereta Hyundai Sonata dan Proton Exora serta wang tunai berjumlah RM1,373,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati kedua-duanya negatif dadah.

    Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos lalu dan telah disambung selama enam hari bermula Ahad hingga 2 September.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebaran tidak kurang daripada 15 kali,” ujarnya.

  • PRU-15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah – Rafizi

    PRU-15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah – Rafizi

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) tetap tidak perlu mewujudkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Rafizi berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat PH yang diadakan pada Rabu lepas.

    “Mesyuarat PH pada Rabu lepas sudah buat keputusan noktah. Maksudnya kita akan terus berkempen dalam PRU15 sebagai PH,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

    Katanya, PKR sebagai tulang belakang PH berpegang kepada prinsip satu gabungan melibatkan semua kaum di negara ini, dan sekiranya niat gabungan bersama PN tidak betul iaitu hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN, ia akan mewujudkan satu kerajaan yang tidak stabil.

    “Menang atau kalah belakang kira, kami (PKR) mahu pertahankan idealisme kami. Tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara). Mereka pimpinan senior berpengalaman berpuluh tahun, terpulang kepada mereka…saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH iaitu noktah (tiada kerjasama dengan PN),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah BN. – BERNAMA

  • 19 PATI termasuk tiga tekong darat diberkas

    19 PATI termasuk tiga tekong darat diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong diberkas dalam Op Pintas selepas melakukan serbuan di kawasan semak Jalan Pengerang, Kota Tinggi, tengah malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, semua tekong darat dan migran itu diberkas selepas pihak polis menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga asing.

    Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pengerang menahan sebuah kereta Honda CR-V di tepi jalan itu yang dipandu seorang lelaki warga asing pukul 12.30 tengah malam.

    “Hasil soal siasat awal, pemandu tersebut menunjukkan sekumpulan 16 lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 46 tahun di kawasan berdekatan disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Susulan itu pada pukul 6 pagi semalam, pihak polis menahan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan semua PATI tersebut.

    Ujarnya, pihak polis kemudian dibawa ke sebuah rumah penampungan di kawasan Kulai dan menahan seorang wanita warga tempatan disyaki menjadi penjaga rumah itu yang menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran berkenaan.

    Hussin berkata, semua tekong darat dan migran itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    Jelasnya, Seksyen 26A itu jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

    Seksyen 6 (1) (c) itu pula katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan hingga dua tahun dan tiga kali sebatan manakala Seksyen 186 itu pula boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

    “Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya.

  • Radzi ajak pembangkang kerjasama dengan PN tumbang BN 1 lawan 1

    Radzi ajak pembangkang kerjasama dengan PN tumbang BN 1 lawan 1

    GESAAN supaya pembangkang membuka pintu rundingan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dianggap rasional jika mahu memastikan Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Radzi berpandangan, parti memusuhi BN wajar mempertimbangkannya bagi merangka strategi khususnya memastikan satu lawan satu dalam meningkatkan peluang menang.

    “Mesej (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam jelas, bahawa politik ini dinamik dan apa juga boleh berlaku dalam politik.

    “Dalam konteks ini, apa yang penting ialah untuk kita lihat, BN tidak kembali memerintah selepas PRU15,” katanya menurut lidah rasmi parti, Berita Bersatu.

    Semalam, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa BN adalah musuh utama pada PRU15.

    Beliau menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

    Muhyiddin dilaporkan berkata, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini khususnya selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

    Untuk rekod, Bersatu yang mengetuai PN adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang susulan “Langkah Sheraton”digerakkan pemimpin utama parti terbabit.

    Susulan itu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas mendapat sokongan majoriti wakil rakyat termasuk daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Bagaimanapun, pada Ogos 2021, UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menyebabkannya diganti oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    PKR, DAP dan Amanah yang kekal dalam PH bergerak sebagai pembangkang.

  • Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    POLIS sedang menyiasat bukti baharu dikaitkan dengan kebocoran data kira-kira lima tahun lalu yang dilapor membabitkan 46 juta nombor telefon bimbit rakyat Malaysia.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bukti baharu itu dipercayai berkisar tentang penggunaan sebuah komputer riba sangat selamat dari premis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengakses pelayan yang mengandungi data semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    FMT difahamkan penemuan pasukan forensik digital yang memeriksa komputer itu buat julung kali bercanggah dengan kenyataan saksi berhubung penggunaan komputer terbabit.

    Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah meminta dokumen berkaitan diserahkan untuk semakan.

    Timbalan pendakwa raya dipercayai bersetuju satu kertas siasatan dibuka, dengan lebih ramai individu mungkin dipanggil untuk disoal siasat.

    Siasatan baharu itu menyusul laporan polis yang dibuat berhubung aduan sumpah bohong oleh seorang saksi, kemungkinan penyalahgunaan rangkaian komputer, potensi kecurian data membabitkan lebih 46 juta nombor telefon bimbit dan cubaan menutup tindakan jenayah.

    Bukti baharu itu dipercayai timbul ketika prosiding timbang tara yang dikemukakan kontraktor SKMM, Nuemera (M) Sdn Bhd dan suruhanjaya itu.

    Kontrak syarikat itu ditamatkan selepas kebocoran data yang membawa kepada syak wasangka berhubung sistem sekatan perkhidmatan selular awam yang dibina dan dikendalikan Neumera untuk SKMM. Sistem ini mengandungi pangkalan data pusat semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    SKMM berkata, kontrak itu ditamatkan kerana melanggar perkhidmatan. Tetapi, Neumera berkata, selepas siasatan selama enam bulan pada 2018, polis tidak menemui bukti syarikat atau kakitangan itu terbabit dalam kebocoran atau penjualan data di internet.

    Syarikat itu mengambil tindakan timbang tara, menuntut ganti rugi daripada SKMM kerana penamatan salah kontraknya dan relif lain.

    Dalam prosiding itu, penggunaan komputer riba yang selamat dipersoalkan buat julung kali, menurut sumber yang rapat dengan siasatan berkenaan.

    Ia tidak diserahkan kepada polis ketika siasatan awal dan Neumera meminta panel timbang tara memerintahkan ia diperiksa secara profesional.

    Hasil penemuan pakar forensik digital yang memeriksa komputer itu bercanggah dengan kenyataan saksi yang mengatakan ia disimpan dengan selamat, tidak diakses oleh saksi atau sesiapa pun di SKMM dan ia tidak pernah keluar dari premis suruhanjaya itu.

    Ketika dihubungi FMT, wakil Nuemera enggan mengulas mengenai kes itu.

  • Remaja rentung dalam tandas awam

    Remaja rentung dalam tandas awam

    SEORANG remaja berusia 16 tahun ditemui rentung dalam sebuah tandas awam di Puncak Alam yang terbakar hari ini.

    Kejadian disedari orang awam yang kemudian bertindak menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 petang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    “Operasi itu disertai sepasukan 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama.

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah tandas awam yang berada di kawasan lapang.

    “Anggota bomba kemudian menemui remaja lelaki itu yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Norazam berkata, tandas itu terbakar sebanyak 20 peratus dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit.

    Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

  • Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya, majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan Bumiputera.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai perkara itu.

    Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan polis ke atas Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

    Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    “Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya malam ini.

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

    “PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

  • Pas akan pastikan PH tidak kembali berkuasa

    Pas akan pastikan PH tidak kembali berkuasa

    PAS nekad untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi kembali berkuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana PH terbukti gagal sepanjang 22 bulan mentadbir kerajaan Malaysia.

    Katanya, Perikatan Nasional (PN) kemudian lahir dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada rakyat.

    “Kerajaan PH adalah sebuah kekesalan dalam episod sejarah politik tanah air apabila mereka memerintah dalam keadaan tidak bersedia, berpecah belah dan jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.

    “Lebih malang lagi apabila PH yang dalam keadaan kucar-kacir serta hilang fokus ketika mentadbir, cuba merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara dan rakyat Malaysia,” dakwanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

    Khairil Nizam menjelaskan, mimpi ngeri sepanjang 22 bulan PH mentadbir itu menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan menjadi pedoman buat generasi Undi18 akan datang.

    Menurutnya, PN telah menyambut ulang tahun kedua penubuhannya dan diraikan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.

    Pas menyokong penuh gagasan PN dalam konvensyen itu katanya, iaitu ‘Prihatin Rakyat dan Malaysia Sejahtera’ sebagai tawaran baru kepada pengundi menuju PRU15 akan datang.

    “Pas akan memastikan agar kesemua jentera parti memberikan fokus 100 peratus bagi menghadapi PRU15,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

    Menurut Biro Mobilisasi Amanah, laporan itu akan dibuat kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Perbuatan itu dilakukan ketika Ahmad Zahid ketika berucap dalam Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL), semalam.

    “Merujuk ucapan penuh Presiden UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO, beliau telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Oleh itu satu laporan polis berhubung isu ini akan dibuat pada jam 11 pagi secara serentak di seluruh negara,” jelasnya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO semalam, dilaporkan bekas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd mengkritik institusi mahkamah.

    Selain itu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

  • PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru pada PRU-15

    PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru pada PRU-15

    AHLI Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “PN bersedia pada bila-bila masa,” katanya yang juga Menteri Kanan Pendidikan mengulas persediaan PN dalam berdepan saingan PRU-15 susulan mesej disampaikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 semalam.

    “Mesej disampaikan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam jelas menunjukkan politik adalah dinamik dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

    “Macam mana kita nak laksanakan itu, kalau tiga penjuru, tiga, kalau dua, dua. Kalau tiga penjuru sekalipun kami PN bersedia pada bila-bila masa. Lihat sokongan dan dokongan kemudian usahakan yang terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat di Kajang, hari ini.

    Semalam, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).

    Katanya, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.