Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis serbu makmal dadah dalam hutan

    Polis serbu makmal dadah dalam hutan

    POLIS melakukan serbuan di sebuan makmal memproses dadah disyaki methamphetamine dalam hutan berhampiran Chenderiang, Tapah, Jumaat lalu.

    Serbuan itu dilakukan pukul 9.45 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lima lelaki termasuk dua beradik berusia berusia antara 29 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

    “Hasil serbuan, polis merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 110.453 kilogram (kg) bernilai lebih RM6.62 juta.

    “Ujian saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    “Semakan rekod mendapati empat suspek yang juga penganggur itu memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah termasuk pecah rumah secara berkumpulan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata, kumpulan terbabit dikesan aktif memproses dan mengedar dadah sejak Jun lalu untuk pasaran luar Perak.

    “Kita turut menyita sebuah kereta Honda City dan Mitsubishi Triton bersama empat utas rantai, sebentuk loket, dua cincin dan sepasang subang dianggarkan keseluruhan nilai harta yang disita RM161,375,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, kelima-lima suspek direman selama seminggu mulai Sabtu hingga 2 September depan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

  • Rasuah adalah punca semua masalah di negara ini

    Rasuah adalah punca semua masalah di negara ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERJUANGAN politik Gerakan Tanah Air (GTA) yang menentang dan mahu membanteras rasuah adalah relevan dalam konteks politik serta keadaan negara pada masa kini.

    Penyelaras Parlimen Parit Sulong, Mahdzir Ibrahim mendakwa, ini kerana semua permasalahan yang berlaku di negara ini kebanyakannya berpunca daripada amalan rasuah.

    “Realiti politik dalam konteks permasalahan rakyat daripada isu kecil hingga isu besar semuanya berpunca akibat rasuah seperti masalah harga barang keperluan, kos sara hidup hingga masalah negara seperti isu pendidikan, ekonomi seperti kadar upah pekerja, kebajikan pekerja, kadar ringgit dan inflasi. Kita harus bersetuju punca semua masalah ini ialah rasuah.

    “Seperti kita ketahui banyak laporan audit dan badan-badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, sektor yang paling terdedah dan berlakunya rasuah adalah dalam sektor awam. Ini terbukti dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaharu kapal tempur persisir (LCS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Melayu adalah majoriti yang mengisi pelbagai jawatan dalam sektor awam dan apabila Pengerusi GTS, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap mengenai laporan, fakta dan membangkitkan perkara berkenaan, bekas Perdana Menteri itu tidak wajar dilabel sebagai rasis.

    “Maka, tidak dapat tidak kita harus sedar bahawa sektor awam ini majoritinya adalah orang Melayu. Justeru, adakah laporan dan fakta ini rasis? Adakah saya atau Tun Dr Mahathir atau sesiapa pun yang bercakap atas fakta ini juga rasis,” soalnya.

    Katanya, Pakatan Harapan (PH) ketika ini mendakwa mereka adalah blok politik yang progresif dan cuba memainkan sentimen bahawa GTS tidak relevan dan bersifat rasis hanya kerana memperjuang atau membicarakan isu tersebut.

    “Jika kumpulan politik progesif ini benar, satu persoalan penting yang harus dijawab iaitu adakah regresif jika GTA mahu kakitangan awam iaitu majoritinya Melayu atau pemimpin yang amanah, berintegriti dan cekap? Adakai usaha ini akan mengancam nasib kaum minoriti? Atau adakah Melayu yang berintegriti ini rasis,” soalnya lagi.

    Menurut beliau, PH sering mendakwa Datuk Seri Najib Razak menggunakan politik wang semasa menjadi Perdana Menteri untuk menarik sokongan rakyat demi kepentingan politik beliau dan GTS bersetuju dengan padangan tersebut.

    Namun katanya, pada masa sama pentadbiran Lim Guan Eng semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang turut melakukan perkara sama dengan menggunakan wang rakyat untuk mendapatkan sokongan orang Islam, guru agama dan lain-lain.

    “Jadi progresifnya di mana? Begitu juga dengan persoalan sekolah vernakular. Adakah dengan mempertahankan sistem sekolah vernakular itu satu langkah progresif dalam konteks perpaduan negara bangsa? Saya tidak mempertikaikan kepentingan belajar bahasa Mandarin untuk anak-anak, saya bertanya persoalan sekolah vernakular dalam konteks pendidikan dan perpaduan bangsa.

    “Jika mereka yang progresif merasakan mereka yang berintegriti ini rasis, maka mereka tidak faham maksud integriti atau mereka hanya berlakon menjadi progresif,” katanya.

    Bagi mereka yang merasakan gagasan politik GTA yang berlingkar dalam isu Melayu dan Islam sebagai tidak releven, Mahdzir berkata, mereka boleh menilai semula pandangan itu yang mungkin melihat persoalan Melayu itu daripada kacamata UMNO atau pandangan DAP yang juling termasuk melihat Islam daripada perspektif Pas yang jumud.

  • Warga emas meninggal dunia ketika beriadah

    Warga emas meninggal dunia ketika beriadah

    SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai keluar beriadah di kawasan pantai Tanjung Aru, di Kota Kinabalu, pukul 6.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia 73 tahun terbabit ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

    “Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    “Setibanya di lokasi, mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru 3 berhampiran Stesen Meteorologi Kota Kinabalu.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Proton Gen 2 dipercayai pergi ke kawasan pantai berkenaan untuk beriadah.

    “Polis turut menemui kunci, dompet dan telefon bimbit ditinggalkan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa dipercayai berjalan-jalan di pantai berkenaan sebelum rebah dan meninggal dunia.

    “Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya.

  • Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    PARTI Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis, berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap semasa Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, klip video dan teks ucapan Zahid di majlis itu tersebar luas di media sosial.

    “Dalam ucapan itu, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    “Susulan itu, kami membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan termasuk terhadap beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 11 pagi hari ini.

    Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasir turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Akmal berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.

    “Pendedahan sudah dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman menamakan Latiff yang disyaki terbabit dalam skandal LCS.

    “Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanya melalui kenyataan di Facebook (FB) tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.

    “Bagi laporan dibuat Amanah, kes dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Satu lagi laporan diterima berkaitan Laporan Audit LCS pula dirujuk ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Lelaki warga Myanmar diberkas curi kereta

    Lelaki warga Myanmar diberkas curi kereta

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di Pandan Perdana, pukul 9 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum itu mangsa mendapati kereta jenis Proton Iswara yang di parkir di tepi jalan telah hilang.

    “Susulan laporan dibuat, kita berjaya memberkas suspek berusia 24 tahun itu di Taman Seri Taming, Kajang pada pukul 1.30 pagi tadi.

    “Kita turut menjumpai kereta yang dilaporkan hilang dan beberapa kunci kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah mensasarkan kereta model lama di parkir di kawasan sunyi.

    “Suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik. Ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Buku Thomas: Pasukan khas kenal pasti 19 isu penting

    Buku Thomas: Pasukan khas kenal pasti 19 isu penting

    PASUKAN petugas khas yang menyiasat dakwaan dalam buku bekas peguam negara, Tommy Thomas, mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, isu penting itu terkandung dalam laporan akhir pasukan petugas khas berkenaan yang diserahkan kepadanya hari ini.

    Katanya, laporan akhir itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat Jemaah Menteri berhubung tindakan susulan ke atas isu penting terbabit.

    Beliau berkata, laporan akhir itu disediakan pasukan petugas khas berkenaan selama sembilan bulan sejak Disember 2021, melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak berkaitan.

    “Dalam hal ini, 19 sesi konsultasi diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu.

    “Satu laporan interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April 2022,” katanya dalam kenyataan.

    Pasukan khas itu dipengerusikan Penasihat Undang-undang Sarawak dan bekas peguam besar Sarawak, Fong Joo Chung, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai urus setia.

    Ia dianggotai bekas setiausaha Kerajaan Sabah, Hashim Paijan; bekas ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga bekas ketua pengarah BHEUU, Junaidah Kamaruddin; bekas hakim, Jagjit Singh Bant Singh; peguam Shaharudin Ali dan Balaguru Karuppiah serta wakil kerajaan Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip..

    Thomas menerbitkan memoir bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” pada Januari 2021 yang dikritik pelbagai pihak, antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.

    Thomas dalam buku itu mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

  • Tiga lelaki didakwa bunuh remaja Orang Asli

    Tiga lelaki didakwa bunuh remaja Orang Asli

    TIGA lelaki termasuk seorang sepupu mangsa didakwa ke Mahkamah Majistret di Pekan hari ini atas tuduhan membunuh remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun pada 20 Ogos lalu.

    Tertuduh, Rosli Bakar, 29, Helmet, 22, dan Murad Ahmad, 26, yang merupakan Orang Asli suku Jakun mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah membunuh seorang remaja berusia 14 tahun di hutan di simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara pukul 11.15 malam pada 20 Ogos sehingga 7 pagi, pada 21 Ogos lalu.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usai manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Ahmad Daniel Roslan.

    Mahkamah menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 23 Ogos lalu, Warta Rakyat melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan Orang Asli dalam semak di lereng bukit berhampiran jalan masuk ke rumahnya di Bukit Ibam, Muadzam Shah pada 22 Ogos lalu.

    Mayat mangsa berusia 14 tahun itu ditemui pukul 2.45 petang oleh salah seorang ahli keluarganya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala disyaki dibunuh.

    Susulan itu, polis menahan tiga orang lelaki Orang Asli di Bukit Ibam kerana disyaki terlibat dalam kes membabitkan kematian seorang remaja terbabit.

  • Petisyen UMNO mohon Agong ampun Najib tidak dapat sambutan?

    Petisyen UMNO mohon Agong ampun Najib tidak dapat sambutan?

    PETISYEN ‘Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak’ yang digerakkan UMNO sejak tiga hari lalu masih tidak mendapat sambutan daripada tiga juta ahli parti itu, walaupun perintah dikeluarkan kepada mereka untuk menandatanganinya.

    Sehingga pukul 9.30 pagi ini, hanya 12,244 penyokong yang dipercayai anggota UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) menandatangani petisyen yang dimulakan BN Selangor, menurut laporan Agenda Daily hari ini.

    Sabtu lalu, ketika majlis Taklimat Khas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan ahli parti itu supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib, walaupun bekas Perdana Menteri itu baharu sahaja menjalani hukuman penjara bermula 23 Ogos lalu.

    “Kita mesti bersedia memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan kepada Najib,” kata Zahid.

    Antara lain petisyen itu mendakwa Najib secara terpilih telah didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan yang jelas kecacatan dan selektif sejak kes ini mula dibawa pada 2018.

    “Kecacatan yang jelas kelihatan tangan-tangan ghaib mengawal bermula daripada Hakim Mahkamah Tinggi yang secara merit sepatutnya menarik diri daripada menghakimi kes ini namun beliau bertindak balas dengan menghukum salah Najib,” dakwa petisyen itu.

    Petisyen itu turut dilihat menyerang institusi kehakiman negara apabila mendakwa penghakiman yang dilakukan adalah berat sebelah.

    Namun di sebalik petisyen digerakkan BN dan UMNO itu, satu lagi petisyen memohon Agong tidak mengampunkan Najib turut dilancarkan lebih awal pada 24 Ogos, sehari selepas Najib dihantar ke Penjara Kajang.

    Sehingga pukul 9.30 pagi ini, 111,482 orang telah menandatangani petisyen berkenaan yang digerakkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan dan Adil – badan pemantau pilihan raya.

    Petisyen itu memohon Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan kuasa untuk memberi pengampunan kepada Najib kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian.

    “Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.

    “Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

    “Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,” demikian antara petikan dalam petisyen berkenaan.

    Pada 23 Ogos lalu, Malaysia mencipta sejarah apabila Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan jenayah.

    Najib gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International, yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan memerintahkan dia menjalani hukuman 12 tahun berkuat kuasa serta-merta. Dia juga didenda RM210 juta.

    Dia didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

    Sebelum ini, pemimpin tertinggi yang menjalani hukuman penjara ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri Kabinet (Datuk Mokhtar Hashim), dan bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Datuk Seri Harun Idris, dan Khir Toyo, serta bekas Presiden MCS Tan Koon Swan.

  • Rakyat mahu ekonomi negara dipulihkan bukan PRU

    Rakyat mahu ekonomi negara dipulihkan bukan PRU

    PAS berpandangan rakyat tidak mengharapkan Pilihan Raya Umum diadakan pada waktu ini, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Memetik laporan Astro Awani, sebaliknya Mohd Amar berpendapat, rakyat inginkan kerajaan menumpukan usaha pemulihan ekonomi, termasuk mengatasi masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

    Kata beliau, tiada keperluan pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat.

    Beliau melihat desakan bersifat politik dan mempunyai agenda tersirat.

    Justeru, kata beliau, ahli politik wajar tunggu sahaja tamat penggal Parlimen ke-14 yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.

    “Saya tengok rakyat tidak mengharapkan pilihan raya sebab isu bagi rakyat hari ini adalah isu ekonomi, masalah sara hidup, masalah harga barang, itu sebenarnya bagi rakyat.

    “Sebab itu pada pandangan saya, saya selalu sebut dua tiga kali, sepatutnya kita bagi peluang kepada Perdana Menteri untuk bekerja bagi menyelesaikan isu-isu yang rakyat hadapi ketika ini.

    “Kalau kita buat pilihan raya dalam keadaan rakyat ini tertekan dan sebagainya, kos pilihan raya ini besar, jadi bagi saya, tidak ada keperluan sebenarnya,” jelasnya.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sesi taklimat khas UMNO pada Sabtu sekali lagi mengulangi Pilihan Raya Umum perlu diadakan segera.

    Jelas Ahmad Zahid mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan desakannya supaya diadakan pilihan raya itu merupakan suara akar umbi UMNO.

  • Kakitangan Jabatan Laut mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

    Kakitangan Jabatan Laut mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kakitangan Jabatan Laut Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM670.51 pada Mei 2020.

    Hazreen Mohd, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Bagi pertuduhan pertama, Hazreen yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred 22 didakwa telah membuat tuntutan bayaran lebih masa sebanyak RM359.41 bagi tugasan penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat pada April 2020 sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara tersebut.

    Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM311.10 bagi April 2020 bagi tugasan sama sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara itu.

    Atas kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Dalam rayuannya, tertuduh yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan agensi berkenaan memberitahu menanggung seorang isteri, tiga anak dan ibu yang sudah uzur.

    “Selain turut menanggung hutang arwah ayah yang sudah meninggal dunia pada Mei lalu, saya juga kini digantung tugas dan hanya menerima separuh bulan gaji.

    “Oleh itu saya memohon mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM2,000, kerana hanya itu yang saya mampu,” katanya yang tidak diwakili peguam.

    Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tertuduh diberi jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan, selain pasport antarabangsa tertuduh perlu diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 29 September ini dan turut meminta tertuduh melantik seorang peguam untuk mewakili semasa perbicaraan.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin.