Author: Wartawan WartaRakyat

  • Laporan siasatan isu kematian Muhammad Adib, Batu Puteh diketahui esok

    Laporan siasatan isu kematian Muhammad Adib, Batu Puteh diketahui esok

    LAPORAN penuh jawatankuasa khas melibatkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim akan diketahui esok.

    Pada masa sama, laporan pasukan petugas khas yang menyiasat isu serta tindakan perundangan melibatkan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh juga akan diterima esok.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti dipetik BH Online.

    Menurut Wan Junaidi, kesemua laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

    “Esok saya dua mesyuarat. Pasukan petugas khas akan serah laporan itu (laporan Allahyarham Muhammad Adib, Pulau Batu Puteh) dalam mesyuarat berkenaan.

    “Semalam, saya sudah bermesyuarat berhubung buku Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dan laporan mengenainya sudah diterima,” katanya.

    Pada 9 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib.

    Hari yang sama, Kabinet turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan Tommy dan menyemak semula undang-undang berhubung permohonan semakan serta pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Sebagai rekod, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

    Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

    Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

  • Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    HASRAT seorang suami untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan isterinya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam.

    Lapor Harian Metro, pemergian Allahyarham Muhammad Share Selamat, 25, pada awal pagi semalam akibat Covid-19 amat mengejutkan isteri, Nazirah Zulkifli, 22, berikutan ketiadaan gejala wabak berbahaya itu.

    Nazirah berkata, arwah sempat menjamah kambing bakar ketika mereka mengadakan kenduri keluarga di kediaman di Kampung Solok Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.

    “Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala menghidap Covid-19 dan memaklumkan mahu ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas selesai kenduri pada jam 10 malam Sabtu lalu.

    “Arwah pergi bersama beberapa rakan dengan menaiki kereta untuk menikmati makanan laut dan saya tidak menghalang hasratnya itu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, hari ini.

    Nazirah berkata, dia amat terkejut apabila abang iparnya, Azmi hadir di kediamannya pada jam 5 pagi semalam memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

    Menurutnya, dunia tiba-tiba menjadi gelap sebaik saja menerima berita itu tetapi dia menguatkan semangat untuk ke Hospital Port Dickson bagi menguruskan jenazah.

    “Apabila kami tiba di hospital itu, barulah kami mendapat cerita sebenar daripada rakan arwah yang menyatakan ketika mereka makan, arwah tiba-tiba rebah dan pengsan, lalu mereka membawanya ke hospital.

    “Doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 3.30 pagi semalam kerana Covid-19 dan bukan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

    Nazirah berkata, arwah sebelum itu begitu teruja untuk mengetahui jantina bayi pertama hasil pernikahan mereka pada Mac lalu.

    “Kami merancang membuat imbasan kerana kandungan saya sudah mencapai lima bulan sekarang tetapi arwah tidak sempat tahu jantina anaknya, apatah lagi menatap wajah anak.

    “Walaupun pemergian arwah amat mengejutkan saya dan anggota keluarga yang lain, saya reda dengan kehendak Allah yang lebih menyayanginya,” katanya.

    Jenazah dibawa dari Rumah Mayat Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ke tanah perkuburan dengan menggunakan perkhidmatan percuma van jenazah Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB).

    Jenazah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) pada jam 12.30 tengah hari tadi.

    Anggota keluarga arwah dan anak kariah kampung hanya dibenarkan berada di pagar tanah kubur ketika pengebumian dijalankan.

    Sementara itu, Pengerusi PeKeTB, Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, ketika membawa jenazah arwah, dia dan anaknya, Nor Iman, 22, serta ahli jawatankuasa persatuan itu, Mohd Yusri Rojan, 48, turut memakai PPE.

    “Kami doakan semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya,” katanya.

  • Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung satu video tular didakwa perselisihan faham di tapak pasar pagi di Taman OUG, Kuala Lumpur, semalam.

    Video berdurasi satu minit 24 saat itu memaparkan perbuatan individu meletakkan beberapa bakul plastik berisi sayuran di atas bonet dan bumbung kereta serta mencampakkan besi payung khemah di bahagian hadapan kereta Perodua Bezza menyebabkan cermin hadapannya retak dan bercalar.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua peniaga yang berebut tapak niaga di situ.

    “Ketika kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan mendapati perselisihan faham sudah diselesaikan.

    “Susulan itu, laporan polis dan tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini memetik laporan Berita Harian.

    Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.

    “Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

    “Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

  • Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di tepi jalan di sebuah kondominium di Kota Damansara di Petaling Jaya, malam tadi.

    Sebelum itu kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam semasa mangsa yang berusia lewat 30-an sedang berjalan kaki ke arah kenderaan rakannya yang sedang menunggu di tepi jalan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa mendakwa seorang lelaki warga asing telah memegang dan meramas punggungnya.

    “Mangsa telah menjerit, kemudian suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

    “Bertindak atas maklumat, suspek berusia awal 30-an ditahan berhampiran pondok pengawal sebuah kondominium di Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana telah mencabul kehormatan.

    “Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

  • Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    BANJIR besar di Pakistan menenggelamkan satu perempat atau 25 peratus wilayah di negara Asia Selatan itu, kata Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman.

    “Ketika hujan reda, kami akan melihat satu perempat wilayah Pakistan ditenggelami air,” kata Sherry yang dipetik Al Jazeera, semalam.

    Menurutnya, banjir besar itu merupakan krisis global akibat perubahan iklim dan yang terburuk dalam satu dekad.

    Bencana semasa musim monsun itu menurutnya memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat dengan helikopter digunakan membantu memindahkan penduduk terjejas.

    Dalam laporan berasingan The Express Tibune, Sherry memberi amaran jumlah penduduk terjejas banjir dijangka meningkat sehingga 33 juta orang.

    Buat masa ini katanya, sebanyak 1,033 orang meninggal dunia manakala lebih 1,500 penduduk cedera.

    “Paras Sungai Kabul masih ditahap bahaya memaksa pihak berkuasa melarang penduduk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Menurut Sherry, hujan tuurt menjejaskan sistem komunikasi penting yang kini sedang dibangunkan semula agensi berkaitan.

    Katanya, daerah Kalam menerima taburan hujan tertinggi dengan 41.5 mm dengan lebih banyak hujan dijangka berlaku di wilayah utara Azad Jammu Kashmir, Khyber-Pakhtunkhwa dan Balochistan.

  • Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    SEORANG remaja perempuan ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, hari ini.

    Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan.

    Kejadian itu dikatakan disedari ibu mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi polis.

    Mangsa yang berusia 13 tahun seorang yang pasif dan suka bersendirian sejak kebelakangan ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 6.48 pagi.

    “Seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru diketuai Mohd. Awis Kharni Abdul Rahman bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

    “Ketika tiba di lokasi, mangsa ditemukan terbaring di bumbung selepas terjatuh dari tingkat 11 kediamannya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Mohd Hafiz berkata, anggota kemudian menurunkan mangsa menggunakan tangga jentera pada ketinggian kira-kira lima meter.

    “Mayat diserah kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    TINDAKAN lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah di Aceh, Indonesia mandi sungai semasa hujan lebat mengundang padah apabila mereka dihanyutkan arus deras sungai Sabtu lalu.

    Lapor CNN Indonesia, akibat kejadian itu, empat pelajar termasuk seorang dari Malaysia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi diselamatkan penduduk setempat.

    Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Darazatul Aulia (17), M. Reza Asri (18), Ahmadal Hadi (17) dan Fakhrul Razi (20) dari Malaysia.

    Sementara seorang mangsa selamat bernama Saiful Amani (23).

    Ketua agensi Basarnas Banda Aceh, Ibnu Harris Hussain berkata, tragedi itu menimpa mangsa yang berenang di Sungai Brayeun semasa hujan lebat dan secara tiba-tiba datang kepala air datang menghanyutkan mereka.

    “Seorang pelajar berjaya diselamatkan penduduk setempat manakala empat lagi pelajar dihanyutkan dan ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Mengulas lanjut Ibnu Harris berkata, mayat terakhir mangsa ditemukan ialah Fakhrul Razi yang dijumpai di Pantai Lampuuk di Aceh Besar.

    “Fakhrul Razi ditemukan nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Tambahnya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.

    “Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI

  • Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    KES kematian remaja lelaki dalam insiden kebakaran tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, semalam, disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua rakan mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurut laporan Astro Awani, Arjunaidi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua remaja itu juga mendapati negatif dadah.

    Dalam masa sama, kata beliau, permohonan reman terhadap mereka juga dilakukan pagi ini.

    Arjunaidi turut memberitahu, polis juga belum mendapat laporan patologi bagi mengetahui punca kematian remaja berusia 16 tahun itu.

    Semalam, Warta Rakyat melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3.

    Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 2.38 petang.

    Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang baring di sofa di dalam tandas berkenaan.

    Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi tidak terkawal.

  • Kes Rumah Bonda: Bella melecur, kemungkinan besar berpunca dari air panas – Pakar bedah

    Kes Rumah Bonda: Bella melecur, kemungkinan besar berpunca dari air panas – Pakar bedah

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur diberitahu kemungkinan besar kecederaan yang dialami oleh remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disebabkan oleh air panas.

    Pakar Bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Salmi Mohamed Shukor, 46, berkata ia berdasarkan laporan oleh pegawai perubatan yang bertugas iaitu Dr. Sheshadri Srida yang merawat Bella pada 26 Jun 2021.

    Jelas saksi pendakwaan ke-15 itu lagi, beliau kemudian membuat rondaan di wad 15 sekitar pukul 11 pagi pada hari sama, di mana Bella ditempatkan di wad tersebut kerana disahkan positif COVID-19.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kuala Lumpur hari ini.

    Namun begitu, saksi tersebut mengakui Bella tidak secara langsung memaklumkan mengenai punca kebakaran yang dialaminya.

    “Untuk tahu punca luka kena ‘tally’ dengan rekod sejarah (kesihatan). Bagi Bella, dia tak terbuka untuk beritahu apa yang terjadi. Saya tidak dapat (punca kejadian) daripada dia. Jadi saya kena dapatkan daripada laporan, yang ‘mostly’ (punca kebakaran) adalah daripada air panas,” katanya yang mula bertugas sebagai pakar bedah pada tahun 2010.

    Ditanya bagaimana keadaan Bella ketika itu, Dr. Salmi berkata beliau mendapati terdapat kesan luka pada bahagian tangan kanan dan kiri remaja perempuan itu dengan kelecuran masing-masing pada tahap 0.5 peratus dan satu peratus keluasan kebakaran atau Total Body Surface Area (TBSA).

    “Untuk Bella tahap kedalaman kebakaran (lecur), masa datang dia sudah ada keruping dan (mengalami) tisu merah. Berdasarkan pengalaman saya dan saya melihat luka dia walaupun saya tak tahu bila (kejadian) terbakar, Bella mengalami kecederaan tahap dua,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, tahap kelecuran Bella ditentukan berdasarkan saiz dan kedalaman luka yang dialami olehnya.

    Disebabkan Bella kelihatan mengalami ‘luka kronik’, Dr. Salmi menambah beliau mengesyaki remaja perempuan itu telah mengalami kecederaan lebih daripada tiga minggu.

    “Kalau kena disebabkan air panas, biasanya kecederaan boleh baik dalam tempoh dua minggu jika tidak mengalami kesan sampingan.

    “Saya buat cucian luka setiap hari untuk elak jangkitan kuman yang akan datang dan kekalkan (pemulihan) luka untuk dirinya,” katanya yang mengakui bahawa Bella tidak mengalami kesan sampingan pada bahagian luka.

    Remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Noor Azizah turut bertanyakan sama ada Dr. Salmi melihat kesan kecederaan lain pada bahagian anggota badan Bella.

    Menjawab pertanyaan tersebut, beliau berkata ketika penilaian kesihatan, saksi tersebut mendapati terdapat tanda-tanda kesan luka yang sudah pulih pada bahagian lain.

    Noor Azizah: Maksudnya?

    Dr. Salmi: Ada yang berparut, ada yang tisu (sudah) tumbuh balik. Tisu tumbuh balik itu sama ada gelap atau pucat (warna parut).

    Dalam perkembangan sama, Dr. Salmi memberitahu bahawa Bella menangis ketika menerima rawatan menyebabkan pihaknya terpaksa memegang dan menenangkan remaja perempuan berkenaan.

    Saksi pendakwaan itu berkata kali terakhir beliau merawat Bella adalah pada 14 September 2021 sebelum remaja perempuan itu dipindahkan ke sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.

    Dr. Salmi kemudian diminta melakukan pengecaman dan pemeriksaan semula terhadap Bella di mahkamah dan memaklumkan kesan kebakaran pada bahagian tangan kanan kanak-kanak itu telah menunjukkan parut matang dan tiada kemerahan.

    Sementara bagi tangan kiri, Dr. Salmi berkata, parut pada bahagian tersebut masih belum matang dan terdapat kemerahan, selain Bella mengakui masih mengalami kegatalan.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

  • Kepala air: Lelaki lemas selepas tergelincir dalam sungai

    Kepala air: Lelaki lemas selepas tergelincir dalam sungai

    SEORANG lelaki ditemukan lemas hari ini, selepas dikatakan tergelincir dan dihanyutkan kepala air di Burmese Pool Bukit Larut, dekat Taiping, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, mayat S. Jeremy Anthony, 28, ditemukan pukul 10.10 pagi ini di kawasan Sungai Bukit Teguh, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

    “Mangsa yang beralamat di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang ditemukan dalam air dengan keadaan tertiarap serta muka terlungkup di dalam air dan hanya berseluar pendek.

    “Pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan si mati dapati terdapat kecederaan di hidung dan tiada tanda unsur-unsur jenayah ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya, termasuk seorang wanita datang ke Burmese Pool pukul 4.50 petang semalam, untuk beriadah.

    Bagaimanapun, katanya, cuaca bertukar hujan dan kesemua mereka telah bersiap sedia untuk meninggalkan lokasi kejadian.

    Mangsa dikatakan menyeberangi sungai untuk mengambil beg galasnya yang diletakkan di seberang sungai.

    “Ketika mangsa hendak berpatah balik ke seberang sungai untuk bergerak balik, mangsa telah tergelincir ke dalam sungai dan waktu yang sama berlaku kejadian kepala air yang deras dari arah hulu sungai dan mangsa telah dibawa arus yang laju,” ujarnya.

    Razlam berkata, usaha mencari dan menyelamatkan diberhentikan buat sementara pada pukul 8 malam tadi kerana keadaan hujan lebat dan arus sungai laju.

    Beliau menambah, operasi telah disambung semula jam 8.05 pagi ini sehingga mayat mangsa ditemui.

    “Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Astro Awani.