Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    POLIS menahan dua penganggur kerana terlibat dalam kegiatan curi kabel di Jalan Perdana 2/7, Pandan Perdana, Ampang, semalam.

    Suspek ditahan tidak sampai 24 jam selepas mangsa, seorang pengarah syarikat membuat laporan polis pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa memaklumkan segulung wayar kabel bersaiz 50 milimeter bernilai RM2,000 telah dicuri di hadapan kedai.

    “Suspek masing-masing berusia 38 dan 39 tahun ditahan di kawasan Pudu Cheras pada pukul 10 malam

    “Turut dirampas pakaian dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian.

    “Bagaimanapun, kabel yang dicuri dipercayai telah dijual di kedai besi buruk dekat Kampung Pandan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah dan jenayah curi.

    Sementara suspek kedua mempunyai 14 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah.

    Jelasnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus kewangan dan ketua pemasaran sebuah syarikat bagi membantu siasatan pemberian rasuah lebih RM10 juta membabitkan urusan pengambilalihan kerja melibatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semasa hadir memberi keterangan pukul 9.30 malam tadi.

    “Suspek wanita yang merupakan pengurus kewangan sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah berjumlah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja melibatkan projek berkenaan daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

    “Sementara suspek lelaki yang merupakan Ketua Bahagian Pemasaran syarikat yang sama pula, disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti yang berbeza yang disyaki palsu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sumber tersebut memaklumkan, wanita terbabit bertanggungjawab melakukan pembayaran tersebut tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.

    Katanya, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an direman tiga hari bermula hari ini.

  • Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

    Namun katanya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi kes positif COVID-19 yang perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan.

    “Juga (semasa) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan  Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini hari ini.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian situasi COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

    Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020.

    Bagaimanapun sejak 1 Mei lepas, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

    Khairy berkata orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

    “KKM juga amat menggalakkan supaya pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat membeli-belah dan rumah ibadah,” katanya.

    Pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, mereka yang menghidap penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta mereka yang melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

    KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kata beliau.

    — BERNAMA

  • Penduduk terkejut harimau muncul di Ulu Tembeling

    Penduduk terkejut harimau muncul di Ulu Tembeling

    PENDUDUK di kawasan pedalaman Ulu Tembeling yang sering menggunakan laluan Kuala Tahan ke Ulu Tembeling diminta sentiasa berwaspada kerana terdapat kelibat seekor harimau berkeliaran di kawasan itu terutamanya di waktu malam.

    Penduduk setempat mendakwa, mereka terserempak seekor Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni) pada pukul 9.30 malam tadi semasa dalam perjalanan berkereta dari Kampung Kuala Sat ke Kampung Pagi.

    Seorang penduduk, Mohd. Izat Abd Ghani, 34, berkata, dia dan dua rakannya menaiki kereta dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada mulanya tidak menyangka laluan yang kerap dilalui tiba-tiba muncul harimau.

    “Ini kerana selalunya yang pernah melintas di situ seperti babi hutan, tenggiling dan gajah.

    “Ketika kami dalam perjalanan balik dan menghampiri di lokasi Bukit Awan, tiba-tiba muncul seekor Harimau Malaya berlari atas jalan raya.

    “Ketika memandu, saya terkejut melihat harimau belang ini mula melintas sambil menoleh ke arah cahaya lampu kereta kami dan kemudiannya menyusup di bawah besi penghadang kanan jalan lalu masuk ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagi, Jerantut, hari ini.

    Katanya, mereka sempat merakam video berdurasi 30 saat apabila terserempak haiwan itu ketika dalam perjalanan pulang.

    Seorang lagi penduduk Kampung Pagi, Mokhtar Abdullah, 32, berkata, penebangan hutan untuk pengeluaran kayu balak secara besar-besaran dipercayai habitat harimau liar dan haiwan lain terganggu serta musnah termasuk kawasan rayau mencari makanan.

    “Harimau belang dan juga gajah liar cuma tinggal bersembunyi berdekatan Kampung Pagi dan penempatan lain di pesisir Sungai Tembeling kerana habitat hidupan ini sudah terancam,” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

    “Haiwan liar seperti Harimau Malaya dan gajah akan keluar pada waktu malam merayau-rayau di pinggir kampung untuk mencari makanan dan kadang-kadang terserempak dengan penduduk Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat dan penempatan lain di Ulu Tembeling,” katanya.

  • PGA rampas vape RM2 juta

    PGA rampas vape RM2 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas pelbagai jenama dan jenis perisa cecair serta pelbagai jenis cartridge vape dalam satu serbuan di Taman Danhwa Kampung Kebakat di Tumpat pada Sabtu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan pada pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang bertindak atas maklumat risikan.

    “Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada dalam rumah terbabit ditahan.

    “Hasil pemeriksaan terdapat pelbagai perisa dan jenis cecair vape yang disyaki menyalahi undang-undang,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, suspek turut gagal mengemukakan dokumen berkaitan apabila diminta dan kesemua barangan dirampas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

    Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 13(A) Akta Racun 1952, lapor Sinar Harian.

  • ‘Wang diberi kepada Zahid bukan turun dari langit’

    ‘Wang diberi kepada Zahid bukan turun dari langit’

    MAHKAMAH Tinggi hari ini, diberitahu sumber wang tunai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) diberikan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bukan turun dari ‘langit’ sebaliknya hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata isu yang timbul berhubung pengesahan sumber berkenaan juga bukan satu elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan.

    Menurut laporan BH Online, beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan bukti dipercayai yang boleh membawa kepada prima facie atau keraguan munasabah terhadap kes itu.

    “Mereka (saksi pendakwaan) tidak berbohong. UKSB tiada wang, maka perlu bantuan daripada rakan niaga di Hong Kong dan ia disahkan David Tan Siong Sun (bekas Pengurus Pentadbiran UKSB).

    “Ada perjanjian UKSB dengan pihak di Hong Kong, wang bukan turun dari ‘langit’. Mahkamah perlu menilai bukti dikemukakan bahawa beliau (Ahmad Zahid) meminta wang itu.

    “Beliau tidak sepatutnya meminta wang itu dan tiada hak untuk menggunakan kedudukannya (sebagai menteri) untuk mendapatkan wang berkenaan,” katanya.

    Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, berkata tiada bukti bagi mengesahkan sumber wang tunai UKSB diberikan kepada Ahmad Zahid, adalah hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

    Katanya, ia susulan tiada saksi pendakwaan daripada syarikat terbabit, dipanggil bagi memberi keterangan untuk mengesahkan kewujudan wang berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pendakwaan menawarkan saksi berkenaan kepada pihaknya, namun ia bukan tugas pembelaan untuk membuktikan kes itu.

    “Saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17 (dua bekas Pengarah USKB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Siong Sun) kata wang diberi bukan daripada UKSB sendiri. Jadi wang dari mana.

    “Jika sumber wang dari Hong Kong, kena panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya. Sumber wang itu daripada Visa Malaysia Ltd, selain dividen Valiant Capital Corporation dan Maintech System HK Ltd (syarikat Hong Kong).

    “Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan,” katanya.

    Selain Hamidi, Ahmad Zahid diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal, manakala pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

    Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

    Sementara itu, Ahmad Zaidi mempersoalkan siapa sebenarnya yang mencetak lejar UKSB bagi merekodkan wang keluar serta masuk syarikat.

    Katanya, ia susulan saksi pendakwaan ke-18 yang juga Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya, V. Mahendran dan Siong Sun mengatakan mereka mencetak lejar itu.

    “Secara ringkas, cetakan komputer dikemukakan ke mahkamah perlu mematuhi dua syarat atau salah satu syarat.

    “Kalau tiada sijil, saksi perlu hadir beritahu cetak guna komputer yang berada dalam keadaan baik. Persoalannya siapa yang mencetak lejar itu” katanya.

  • Abdul Hadi teruskan tradisi kekal bertanding di Parlimen Marang?

    Abdul Hadi teruskan tradisi kekal bertanding di Parlimen Marang?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka akan meneruskan tradisi bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Walaupun terdapat pelbagai andaian dan persepsi mengenai keterlibatan Ahli Parlimen Marang tersebut pada PRU kali ini, namun banyak pihak percaya Abdul Hadi, 75, akan tetap mewakili Pas sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

    Ini kerana, selain pengundi dan kepimpinan parti itu di Marang, pucuk pimpinan Pas masih mengharapkan tokoh politik veteran tersebut terus menjadi ‘nahkoda perang’ bagi memastikan kemenangan besar PN dalam PRU-15 kali ini.

    Perkara ini diperkuatkan pula dengan kenyataan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini yang mengatakan bahawa parti itu sedia memegang jawatan Perdana Menteri bagi mentadbir negara jika Pas diberi mandat pada PRU-15.

    Malah, Hashim turut membayangkan bahawa Abdul Hadi merupakan calon paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

    Beliau yang menyuarakan perkara itu berdasarkan peribadinya berkata, cadangan berkenaan dibuat bagi memastikan negara dapat ditadbir mengikut pemerintahan Islam.

    Kenyataan Hashim seakan memberi jawapan sebenar berhubung teka teki kedudukan Abdul Hadi pada PRU-15 nanti.

    Sebelum ini tanda tanya mengenai pencalonan Abdul Hadi di Marang banyak diperbualkan termasuk daripada para pengundi di kawasan berkenaan sendiri.

    Ia berlaku kerana ada pihak mengatakan Abdul Hadi dijangka tidak akan bertanding kerana faktor kesihatan.

    Malah, beliau juga dikatakan bakal memberi laluan kepada calon baharu pada PRU-15 nanti, menyebabkan ada yang cuba mengaitkan nama-nama antaranya seperti Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

    Pada PRU-14, 9 Mei 2018 lalu, Abdul Hadi berjaya mengekalkan Parlimen Marang setelah menewaskan dua pencabarnya Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

    Dalam pertandingan tjga penjuru itu Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi, Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi (5,138).

    Dalam PRU14 juga, Abdul Hadi buat pertama kalinya mengambil keputusan tidak bertanding di DUN Rhu Rendang selepas 36 tahun atau lapan penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

    Sebelum itu, tradisi beliau adalah kekal bertanding di kedua-dua kawasan iaitu Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

  • Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    LIMA lelaki ditahan kerana terlibat sindiket pengedaran dadah dan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.4 juta dirampas di Kota Bharu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,s emua suspek berusia antara 27 sehingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bermula 29 Ogos lalu.

    “Mereka kini direman selama 13 hari, sehingga 11 September ini. Dadah yang dirampas adalah 624,000 biji pil kuda, 400 biji pil Erimin dan 78,810 gram (g) ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 27 di tepi Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

    Menurutnya, pemeriksaan dalam Perodua Viva dipandunya menemui beg plastik berisi pil kuda dan Erimin di tempat duduk penumpang hadapan.

    “Susulan penahanannya, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian dan menemukan 100 lagi bungkusan pil kuda dan 80 bungkusan ganja.

    “Hasil siasatan, pihak kami berjaya menahan tiga lagi lelaki di di Pengkalan Chepa, Kampung Ketapang dan Pasir Tumboh yang disyaki terbabit dengan kumpulan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, suspek kelima ditahan di Seri Kembangan, Selangor, manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka semua mendapati negatif dadah.

    Katanya, semakan rekod menunjukkan suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

    “Rampasan dadah itu boleh digunakan 703,210 penagih dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang,” katanya yang memberitahu usaha memburu saki baki suspek sedang giat dilakukan.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala rampasan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

  • Justin Bieber batal siri jelajah dunia

    Justin Bieber batal siri jelajah dunia

    BINTANG sensasi, Justin Bieber mengumumkan pembatalan siri jelajah dunia, Justice World Tour yang masih berbaki termasuk di beberapa negara Asia dan Malaysia, bagi memberi perhatian kepada masalah kesihatan.

    Bieber yang mengejutkan peminat apabila mengaku mengalami masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt, awal tahun ini, mengumumkan pembatalan siri jelajah itu melalui hantaran Instagram (IG), kira-kira sejam lalu.

    Melalui entri itu, Bieber yang baru mementaskan konsert di Brazil, memberitahu, keputusan menamatkan siri jelajah itu dibuat selepas mendapati kesannya kepada kesihatan terutama usaha memulihkan masalah ‘kelumpuhan wajah’.

    “Awal tahun ini, saya umumkan perjuangan melawan sindrom Ramsay Hunt yang mengakibatkan sebahagian daripada muka saya lumpuh.

    “Berikutan itu, saya tidak dapat menghabiskan siri jelajah, Justice World Tour di utara benua Amerika.

    “Bagaimanapun, selepas berehat dan mendapatkan nasihat doktor, saya sambung siri jelajah itu di Eropah dan mementaskan enam konsert yang akhirnya memberi kesan kepada saya.

    “Hujung minggu lalu saya beraksi di Festival Rock In Rio dan memberi segala-galanya kepada peminat di Brazil,” katanya melalui hantaran itu.

    Awal bulan lalu, BH Online melaporkan, Bieber kembali beraksi atas pentas buat kali pertama di Festival Musim Panas di Itali, selepas dua bulan berehat.

    Sebelum ini, penyanyi kelahiran Kanada berusia 28 tahun itu menunda beberapa persembahan selepas masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt.

    Mengikut perancangan, siri jelajah, Justice World Tour akan bersambung di Afrika Selatan, Asia Barat, Asia, Australia dan New Zealand sebelum kembali ke Eropah, antara Januari hingga Mac tahun depan.

    Peminat di Malaysia sepatutnya berpeluang menyaksikan persembahan Bieber di depan mata pada konsert yang akan dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bulan depan.

    Selepas berkongsi mengenai penyakitnya melalui IG pada 10 Jun lalu, Bieber terpaksa membatalkan persembahan di Washington DC, Toronto dan New York serta diikuti beberapa siri di Amerika Utara.

    Bieber berkata, keletihan mementaskan konsert mendorong dirinya memberi keutamaan kepada kesihatan.

    “Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

    “Saya akan okay tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” katanya memetik laporan Satu Berita.

    Bieber berbangga dapat mementaskan Justice World Tour dan berkongsi mesej positif di sebalik persembahan itu dengan peminat.

    “Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” katanya.

  • Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    SEPASANG kekasih muda ditemui maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, di Masjid Tanah, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pelajar perempuan tingkatan empat dan teman lelakinya yang berusia 20 tahun disahkan maut selepas dipercayai terhidu karbon monoksida.

    Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kedua-dua mereka ditemui lengkap berpakaian di bahagian pemandu dan penumpang hadapan selain kenderaan itu turut diselubung menggunakan kanvas.

     “Siasatan awal polis mendapati, pasangan ini dipercayai berada di pekarangan kompleks JAPERUN ini sejak petang semalam selepas remaja perempuan itu difahamkan dihantar ke kawasan berkenaan oleh rakannya untuk bertemu mangsa lelaki yang juga teman lelakinya.

    “Setakat ini kita tidak kesan apa-apa unsur jenayah yang mana mereka ini lengkap berpakaian dan kepala remaja perempuan itu dilentokkan di bahu lelaki berkenaan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut katanya, pihaknya bagaimanapun percaya tidak berlaku sebarang perbuatan sumbang dan pasangan itu dipercayai sengaja duduk di kawasan berkenaan dalam keadaan enjin kenderaan dihidupkan sebelum tertidur.

    “Remaja perempuan yang berasal dari Lubok China ini masih bersekolah manakala remaja lelaki yang berasal dari Kuala Sungai Baru pula baharu menamatkan pengajian dari sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan.

    “Pihak polis juga percaya kereta Perodua Kancil yang merupakan milik bapa mangsa lelaki itu telah kehabisan minyak memandangkan ia dihidupkan dalam tempoh masa yang lama,” kata beliau.

    Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.