Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Saya harap PN sapu bersih 6 negeri’’ – Dr.Mahathir

    ‘’Saya harap PN sapu bersih 6 negeri’’ – Dr.Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam  tadi menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos nanti.

    Berucap pertama kali atas pentas PN di Kota Bharu, malam tadi, Dr.Mahathir berkata, PN perlu menyapu bersih dan menang di keenam-enam negeri terbabit.

    “Kita akan ada PRN, ada enam buah negeri akan ada PRN. Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Mlelayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu, tapi malam ini dapat lihat pemimpin part-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara.

    “Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya yang menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan kakistokrasi, lapor Malaysiakini.

    Turut hadir pada program Malam Munajat Pakat Pertahan Pas Kelantan itu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan PN peringkat pusat dan negeri.

    Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau sangat berharap orang Melayu akan keluar mengundi seramai yang mungkin bagi memberikan kemenangan buat PN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Katanya ada sesetengah orang Melayu kini enggan keluar mengundi kerana bosan dengan percaturan politik tetapi ia perlu diatasi bagi mengelak parti lawan memenangi PRN yang dianggapnya sebagai “tidak layak” menjadi kerajaan.

    “Jika kita tidak keluar, ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya.

    Dalam ucapan itu bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut turut menyatakan kegembiraan kerana berpeluang datang ke Kelantan dan menyaksikan pembangunan hebat di negeri itu, termasuk adanya bangunan “pencakar langit.”

    “Saya bersyukur dapat bersama dan berada di stadium malam ini yang menunjukkan bahawa kita orang Melayu masih mempunyai kekuatan.

    “Saya juga gembira kerana hari ini saya dapat datang ke Kelantan dan amat gembira kerana dapat menziarah tempat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz (Nik Mat) dan keluarganya.

    “Tokoh sudah mencipta perjuangan parti Pas dan perjuangan kebangsaan orang Melayu di negara kita ini. Saya amat gembira dapat ke Kelantan dapat lihat pembangunan di Kelantan. Bangunan pencakar langit pun sudah ada di Kota Bharu,” kata Dr.Mahathir.

  • Pembaharuan Pentadbiran PH selepas 2018 merosot bawah Kerajaan Perpaduan – Syed Saddiq

    Pembaharuan Pentadbiran PH selepas 2018 merosot bawah Kerajaan Perpaduan – Syed Saddiq

    PEMBAHARUAN dilaksanakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas PRU 2018 kembali merosot bawah kerajaan perpaduan, kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan PH itu berkata, pentadbiran ketika itu yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mencapai beberapa pembaharuan dalam tempoh lapan bulan pertama berkuasa.

    “Ketika itu, pengisytiharan aset oleh anggota Jemaah Menteri sudah selesai. Hari ini, ia belum dilakukan. Masa itu, hampir semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama – bukan saja pengerusi, tetapi (juga) ahli lembaga pengarah, adalah profesional. Hari ini, mereka dikawal dan dikuasai lantikan politik bawah Umno dan juga PH,’’ katanya dalam wawancara bersama portal FMT.

    Kerajaan perpaduan pimpinan PH berdepan kritikan kerana kurang pembaharuan, termasuk keengganan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan pelantikan politik.

    Tetapi, pemansuhan Sosma atau melarang pelantikan politik bukan antara manifesto PH pada PRU15.

    Syed Saddiq berkata, selepas PH berkuasa pada 2018, Mahathir pada mulanya mengambil alih portfolio pendidikan, tetapi dikritik ramai kerana bertentangan manifesto gabungan itu, di mana perdana menteri tidak dibenarkan memegang jawatan menteri lain, khasnya portfolio kewangan. Akibatnya, Mahathir melepaskan portfolio itu.

    Tetapi kali ini, Syed Saddiq berkata, Perdana Menteri turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

    Katanya, penstrukturan semula Kementerian Wilayah Persekutuan yang kini sebuah jabatan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kini bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

    “Ketika itu, semuanya dipisahkan. Bahkan agensi diletak bawah kementerian berbeza supaya ada semak dan imbang sewajarnya,’’ katanya.

  • PRN : Tok Mat Hasan dan 3 bekas MB antara calon BN

    PRN : Tok Mat Hasan dan 3 bekas MB antara calon BN

    TIMBALAN  Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan antara pemimpin tertinggi Barisan Nasional bertanding pada PRN enam negeri, pada 12 Ogos.

    Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau akan mempertahan kerusi Rantau di Negeri Sembilan.

    Setiausaha Agung  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, juga mengumumkan Ketua BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Pendidikan, bertanding di kerusi Pedu.

    Dalam pada itu, dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masing-masing bertanding di Kijal dan Seberang Takir, lapo FMT.

    Ketua UMNO Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias, yang disebut-sebut mungkin menjadi calon MenteriBbesar, akan bertanding di kerusi Pertang, manakala Ketua UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin, pula bertanding di Gombak Setia.

    Asyraf juga mengumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan bertanding di Bertam.

    Selain itu, nama besar lain tercalon termasuk Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, bertanding di Kuang.

    Sementara itu, Najib Isa, anak kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, akan bertanding di Bagan Pinang.

  • BN tanding 108 kerusi DUN di enam negeri

    BN tanding 108 kerusi DUN di enam negeri

    BARISAN Nasional (BN) hari ini mengumumkan akan bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

    Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN malam ini berkata  63 peratus calon merupakan muka baharu, 18 peratus ialah penyandang dan selebihnya ialah mereka yang pernah bertanding sebelum ini. 

    “Kita juga mengemukakan 87 peratus daripada calon ini memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi termasuk yang berkelulusan ikhtisas atau profesional,” katanya. 

    Beliau berkata barisan calon yang ditampilkan itu mampu memastikan kestabilan politik di negara ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin. 

    “Saya telah temui tiap seorang daripada mereka, saya telah berikan amanah kepada mereka bahawa mereka dipilih yang terbaik daripada kalangan yang terbaik. Ini kerana kita berazam untuk membentuk kerajaan negeri yang berupaya menjamin pertumbuhan dan mempunyai keserasian serta persamaan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata antara objektif utama BN pada PRN kali ini adalah untuk mewujudkan pentadbiran di peringkat negeri yang mengutamakan kestabilan dan bukannya perpecahan.

    Beliau berkata BN juga mahu membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kesejahteraan dan tidak membiarkan rakyat hidup dalam kesempitan dan kesusahan.

    “Kita mahu bina kerajaan negeri yang berupaya memiliki nilai hormat sesama insan dan mengetepikan perbezaan kaum dan agama,” katanya. 

    Pengumuman malam ini menyaksikan BN menampilkan calon daripada UMNO berikutan parti komponennya MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

    PRN 2023 ini melibatkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56); dan Negeri Sembilan (36).

  • Polis nafi laporan sekumpulan lelaki Bangladesh serang wanita guna kayu hoki

    Polis nafi laporan sekumpulan lelaki Bangladesh serang wanita guna kayu hoki

    POLIS hari ini menafikan laporan sebuah akhbar berlakunya kejadian sekumpulan warga asing membawa kayu hoki menyerang seorang wanita dekat Prima Saujana, Kajang pada 6 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada kejadian seperti didakwa video bertajuk ‘Tular sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita’ yang dimuat naik ke akaun TikTok akhbar berkenaan.

    Katanya, kejadian terbabit sebaliknya berpunca disebabkan berlaku perebutan di antara warga asing ketika menjalankan pemeriksaan kesihatan.

    “Polis menerima laporan mengenai kejadian daripada pengadu, seorang doktor lelaki berusia 35 tahun pada 8.23 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, dua kumpulan lelaki warga Bangladesh telah hadir ke poliklinik milik pengadu untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

    “Kedua-dua kumpulan telah dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga merupakan warga Bangladesh.

    “Semasa kedua-dua kumpulan warga asing berada di hadapan poliklinik itu, berlaku pertengkaran antara mereka sehingga membawa keluar beberapa batang kayu hoki,” katanya, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, keadaan semakin tegang sehingga berlaku aksi tolak menolak dan salah seorang suspek telah masuk ke dalam poliklinik.

    Katanya, pekerja pengadu telah menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari poliklinik itu.

    Mohd. Zaid berkata, suspek berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan di Sentul dan Setapak pada 1.15 pagi tadi.

    Katanya, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini dan telah direman selama empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam

    Sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norhafizah Borhanuddin di talian 018-3903410.

  • Reman enam polis : Mahkamah Rayuan tetap 15 Ogos untuk SPRM kemuka permohonan

    Reman enam polis : Mahkamah Rayuan tetap 15 Ogos untuk SPRM kemuka permohonan

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh mendengar permohonan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang menolak permohonan reman enam anggota polis.

    Ketika dihubungi Bernama, peguam Datuk Geethan Ram Vincent mengesahkan tarikh baharu telah ditetapkan untuk mendengar rayuan tersebut.

    Berikutan itu, dua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 20 Julai dan 14 Ogos telah dilapangkan.

    Geethan Ram mewakili tiga daripada enam anggota polis yang SPRM memohon reman kerana didakwa meminta dan menerima rasuah RM5,000.

    Bagi tiga lagi anggota polis, peguam Revin Kumar Shasai Kumar, Lavanyia Raja dan Eu Kah Mun telah dilantik secara individu untuk mewakili mereka.

  • Jakim kerjasama dengan PDRM, MCMC banteras ajaran sesat SiHulk

    Jakim kerjasama dengan PDRM, MCMC banteras ajaran sesat SiHulk

    UMAT Islam di Malaysia dinasihatkan tidak terlibat dan menjauhi penyebaran ajaran sesat yang dibawa Suhaini Mohammad atau SiHulk.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak didapati menyebarkan ajaran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

    Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.

    Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat juga digalakkan untuk segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    Katanya lagi, Jakim, pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan juga akan mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya ajaran sesat tersebut.

    Mohd. Naim turut mengharapkan kerjasama semua pihak dalam isu seperti itu bagi membantu menanganinya dengan lebih berkesan.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    “Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pihak Jakim telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN.

    “Antaranya kepada Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Bertembung tarikh PRN, Search tetap teruskan konsert

    Bertembung tarikh PRN, Search tetap teruskan konsert

    BERTEMBUNG tarikh pilihan raya negeri (PRN) pada bulan depan, Search teruskan konsert di Genting Highland.

    Pemain bass band itu, Nasir Daud yang sependapat dengan penganjur konsert bertegas, pemilihan lokasi yang tidak tersenarai dalam PRN, selain waktu pengundian singkat membolehkan pengunjung datang ke konsert tanpa banyak halangan.

    “Kami sudah buat banyak pertimbangan. Lokasi konsert juga tidak terlibat dalam senarai negeri yang terbabit dalam PRN memandangkan Genting terletak di Pahang yang tidak terlibat dengan PRN.

    “Kami tidak boleh tangguh kerana semua pembeli mungkin sudah menempah tiket penerbangan, mahu pun tempat penginapan untuk melancong sambil menonton persembahan mega ini.

    “Kami juga tahu, sekitar tengah hari semua sudah siap mengundi dan nak naik ke pusat peranginan ini pun hanya satu jam,” katanya lapor Kosmo! Online.

    Meskipun jatuh pada tarikh sama dengan PRN, tiket Konsert Fantasia Bulan Salju kini sudah terjual sehingga 60 peratus dan dianggarkan bakal habis dibeli dalam tempoh beberapa minggu lagi.

    Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIC Entertainment, Brian Lim selaku penganjur berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya ada peminat yang ingin mendapatkan bayaran balik tiket untuk pulang mengundi.

    “Semestinya kami menghormati keputusan peminat dan ada kemungkinan mereka tidak berkesempatan untuk ke konsert nanti.

    “Kami cuba yang sebaiknya untuk konsert ini. Jika mereka ingin bayaran balik, mereka boleh lakukan demikian,” kata Brian dalam sidang akhbar Konsert Fantasia Bulan Salju di ibu negala, semalam.

    Search yang dianggotai Amy, Hillary Ang, Nasir dan Man Kidal sebenarnya menjadi kumpulan rock Melayu pertama tanah air yang menjayakan konsert di lokasi berprestij Arena of Stars, Resorts World Genting

    Search akan menyajikan lebih 20 lagu khas buat penonton yang turut menampilkan bakat muda iaitu pemain dram, Naimi dalam sebuah segmen istimewa.

    Tiket sudah mula dijual pada 16 Mei 2023 bermula dari RM128 sehinggalah RM388 (VIP Fantasia).

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam negeri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

  • Wan Saiful gagal gugur tuduhan rasuah Jana Wibawa

    Wan Saiful gagal gugur tuduhan rasuah Jana Wibawa

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan gagal dalam usahanya untuk membatalkan dua tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa selepas permohonannya ditolak Mahkamah Sesyen.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendawa raya dan pembelaan.

    “Permohonan pembelaan ditolak dan kita akan meneruskan perbicaraan,” katanya, lapor FMT.

    Mahkamah juga menetapkan perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac, 29 hingga 30 April dan 20 hingga 22 Mei tahun depan. Seramai 27 saksi akan dipanggil.

    Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa menerima rasuah hampir RM7 juta.

    Beliau juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

    Wan Saiful didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank milik Nepturis Sdn Bhd.

    Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club di Kuala Lumpur pada April tahun lepas untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan Persekutuan.

    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara Julai dan September tahun lalu dalam usaha syarikat itu mendapatkan surat penerimaan bagi projek terbabit.

    Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit setiap kesalahan.

    Pada 30 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut dengan alasan ia cacat.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi berhujah bahawa kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak cacat, sebaliknya jelas dan boleh difahami.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    Ia diselubungi kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan diluluskan tanpa proses tender.

    Pakej rangsangan itu dilaksanakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

  • CAP gesa Pulau Pinang selesai segera masalah banjir kilat

    CAP gesa Pulau Pinang selesai segera masalah banjir kilat

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri itu.

    Presiden CAP, Mohideen Abd Kader berkata, kejadian banjir kilat telah berulang kali berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun masalah tersebut masih berlarutan sehingga kini, malah dilihat semakin serius.

    Jelas beliau, dalam kejadian awal bulan ini misalnya, kira-kira 10 kawasan melibatkan taman perumahan dan kampung di negeri itu dilanda banjir kilat yang menjejaskan kehidupan penduduk termasuk para pengguna jalan raya.

    “Menerusi tinjauan CAP, kami mendapati kemungkinan punca kejadian ini adalah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan kemusnahan hutan semula jadi yang menjadi tempat tadahan air ketika hujan.

    “Selain itu, sistem saliran yang sempit dan tidak diuruskan dengan baik juga menyebabkan ia tidak mampu menampung pengaliran air ketika hujan dari bukit-bukit yang diteroka dan tersekat oleh mendapan lumpur dan sampah-sarap,” katanya kepada pemberita hari ini.

    jurucakap
    Mohideen Abdul Kader

    Tambah Mohideen, masalah itu menjadi bertambah buruk kerana sistem saliran dan sungai gagal berfungsi dengan berkesan.

    Ujarnya, parit serta longkang dipenuhi semak-samun dan pelbagai bahan buangan manakala sungai dan muara sungai menjadi cetek akibat hakisan tanah.

    Kata beliau, pihaknya percaya jika punca-punca tersebut dibiarkan boleh menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi penduduk setempat.

    “Malah, ia boleh mengancam keselamatan mereka serta menyebabkan kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda,” katanya.

    Sehubungan itu, tegas Mohideen, CAP berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan pemaju sewenang-wenangnya memusnahkan hutan dan meneroka bukit di negeri ini tanpa mengambil kira kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

    “Demi masa depan yang lebih selamat daripada sebarang bencana, projek pembangunan yang boleh menyumbang kepada banjir kilat dan mengancam alam sekitar wajar dikaji semula dan dihentikan pelaksanaannya dengan segera,” katanya.