Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    PIHAK polis telah selesai merakamkan keterangan seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya. 

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu, selain remaja itu, polis turut merekodkan percakapan ibu mangsa, pegawai perubatan dan individu dari program YouTube yang telah menemu bual remaja terbabit.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menjalankan siasatan bersabit aduan yang dibuat oleh mangsa dan telah merakam semua keterangan saksi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Astro Awani.

    Wan Azlan memaklumkan, dengan keterangan saksi-saksi itu, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Sebelum ini, pelakon itu menerusi satu temu bual membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Susulan itu, polis menahan bapa kandung remaja terbabit Selasa lalu. 

    Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisis.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.

  • 3 ahli Parlimen, 2 ADUN akan sertai PBM sebelum PRU-15

    3 ahli Parlimen, 2 ADUN akan sertai PBM sebelum PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mendedahkan, lima wakil rakyat akan menyertai parti tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ahli Parlimen Ampang itu yang enggah mendedahkan identiti mereka memberitahu, lima wakil rakyat itu terdiri daripada tiga ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    “InshaAllah, saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN. Kesemua kerusi itu adalah melibatkan calon ‘incumbent’.

    “Ketika ini PBM ada empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida); Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon); Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (Ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

    “Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN iaitu tiga dari Perak dan dua dari Selangor, jadi akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat PBM Johor di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden Kanan PBM dan Pengerusi PBM Johor.

    Sementara itu, Zuraida berkata, PBM kini memiliki lebih 40,000 ahli dari 177 Bahagian yang telah didaftarkan setakat ini.

    “Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum mereka, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya.

    Beliau berkata, PBM juga juga mempunyai kepimpinan daripada golongan tua dan muda sekali gus itu faktor yang menguatkan parti tersebut.

    “Walaupun masih baharu tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” jelasnya yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

  • Tiga termasuk bekas Pengerusi PIBG, pemilik syarikat antara ditahan SPRM

    Tiga termasuk bekas Pengerusi PIBG, pemilik syarikat antara ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.

    Menurut sumber, perintah reman semala tiga hari bermula hari ini sehingga 12 September itu dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd. Sohaini ketika SPRM mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

    “Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 34 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor semalam ketika hadir memberi keterangan.

    “Mereka yang ditahan adalah kontraktor, pemilik syarikat pembekal bahan pembinaan serta bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor.

    “Mereka dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja pembinaan blok baharu di sekolah berkenaan sedangkan kerja-kerja itu tidak disempurnakan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • 3 PATI Myanmar bekerja di sangkar ikan ditahan

    3 PATI Myanmar bekerja di sangkar ikan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga pekerja sangkar ikan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas sangkar ikan PP-S72 di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Batu Maung pukul 6.05 petang semalam ketika melaksanakan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati lesen kultur laut sangkar tersebut telah tamat tempoh dan disyaki lesen palsu.

    Selain itu katanya, tiga pekerja sangkar warga Myanmar masing-masing berumur 24 hingga 26 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja.
     
    “Ketiga-tiga pekerja sangkar itu kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen sangkar ikan tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihati pemilik sangkar ikan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

    Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • OPR meningkat, peminjam perlu tambah ansuran bulanan

    OPR meningkat, peminjam perlu tambah ansuran bulanan

    PEMINJAM yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah perlu membayar kadar faedah lebih tinggi, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali kepada 2.50 peratus, tahun ini.

    Setiap kali OPR dinaikkan, pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.

    Penganalisis hartanah, Ahyat Ishak, berkata sebagai contoh, untuk pembiayaan perumahan sebanyak RM500,000 (90 peratus) dengan tempoh 30 tahun pada kadar keuntungan 3.75 peratus, jumlah bayaran setiap bulan ketika ini ialah sebanyak RM2,084.02.

    “Berdasarkan kadar semasa selepas kenaikan OPR, peminjam perlu membayar sekitar RM186.80 tambahan untuk kediaman berharga RM500,000 berbanding RM1,897.22 ketika OPR berada pada paras terendah 1.75 peratus,” katanya.

    Ditanya sama ada kenaikan terbaharu OPR akan mengekang rakyat membeli rumah, Ahyat berkata, perkara itu benar kerana kemampuan pemilikan kediaman terletak kepada penentuan kadar faedah yang ditetapkan bank.

    “Apabila kadar faedah rendah, kemampuan rakyat memiliki rumah sangat tinggi kerana mampu membayar lebih untuk kediaman sama. Ketika ini, kenaikan hampir RM200 ini boleh disifatkan tinggi.

    “Kadar faedah yang ditetapkan bank ini menentukan kemampuan rakyat untuk membeli kediaman. Jika sebelum ini, mereka mampu membeli kediaman berharga RM500,000, namun dengan kadar baharu sudah pasti kemampuan mereka terjejas.

    “Pengiraan ini sekadar asas kerana bank memiliki pengiraan sendiri untuk menentukan jumlah kenaikan bayaran bulanan,” katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, kenaikan OPR bertujuan mengurus penawaran wang dalam ekonomi serta mengawal permintaan agregat dalam ekonomi.

    Katanya, kenaikan sedikit sebanyak, walaupun secara tidak langsung, akan turut mempengaruhi tingkat harga barang dan perkhidmatan supaya tekanan peningkatan dapat diurus dengan baik.

    “Saya melihat kenaikan OPR tepat pada masanya dengan melihat kepada situasi terkini ekonomi Malaysia, terutamanya dalam indikator ekonomi utama, seperti nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan tahap pengangguran.

    “Begitu juga dengan perkembangan terkini situasi ekonomi global dan dasar monetari yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara, terutamanya negara maju,” katanya lapor BH Online.

    Daripada aspek pengguna pula, Irwan Shah berkata, bergantung kepada tahap pendapatan seseorang kerana secara umumnya, ada peningkatan dari segi kos pembayaran balik hutang.

    Mengulas mengenai kesan kenaikan ansuran bulanan bagi pembiayaan atau pinjaman, beliau menjelaskan, kadar OPR baharu sememangnya akan meningkatkan bayaran bulanan, tetapi masih lagi rendah berbanding dengan kos sebelum era pandemik.

    “Ini bukanlah satu tindakan mengetatkan dasar daripada BNM, tetapi hanyalah proses normalisasi.

    “Saya berpendapat tidak semestinya kenaikan OPR akan mengekang pemilikan kediaman. Jika ada sekalipun, hanyalah satu keadaan jangka pendek,” katanya.

  • Pelakon Lufya, anak hadir beri keterangan di IPD Petaling Jaya

    Pelakon Lufya, anak hadir beri keterangan di IPD Petaling Jaya

    PELAKON Lutfyah Sheikh Omar atau Lufya Omar telah hadir memberi keterangan bersama anaknya berhubung kes cubaan culik di sebuah taman permainan di Kota Damansara di Petaling Jaya, pada 26 Jun lalu.

    Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

    Menurutnya, Lufya hadir bersama anaknya pada Rabu untuk proses keterangan lanjut dan lakaran fotofit wajah suspek.

    “Polis sudah sudah selesai mengambil keterangan daripada pelakon wanita terbabit selepas dia sendiri tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan memberi kerjasama baik untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan.

    “Kanak-kanak itu telah dirujuk kepada Pusat Temubual Kanak-kanak (CIC) untuk diambil keterangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Forum Kesedaran Anti-Scam ‘Jangan Jadi Mangsa Scam’ di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, di Petaling Jaya, hari ini.

    Beliau berkata, lakaran fotofit suspek juga sudah diambil dan polis sedang mengesan lelaki terbabit.

    “Setakat ini suspek hanya seorang dan usaha mengesannya sedang dijalankan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

    Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu laporan lengkap berhubung seorang selebriti lelaki yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya maklum mengenai kes selebriti itu dan laporan lengkap berhubung kejadian membabitkan pelajar tahfiz berkenaan masih belum diperoleh daripada pihak sekolah tahfiz terbabit.

    “JAIS maklum (mengenai kes berkenaan)… saya sedang menunggu laporan lengkap dari pihak sekolah tahfiz berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Media melaporkan, selebriti berumur 40-an itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk permohonan tahanan reman semalam.

    Perbuatan selebriti terbabit terbongkar susulan dakwaan mangsa yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Dalam media sosial pula, isu berkenaan turut tular malah netizen dikatakan mula menyerang Instagram selebriti berkenaan dengan pelbagai pertanyaan.

    Ada juga mendakwa suspek adalah seorang penceramah bebas, pengacara program televisyen dan pelakon.

  • PBM tanding 14 kerusi Parlimen, DUN pada PRU-15

    PBM tanding 14 kerusi Parlimen, DUN pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, semua kerusi itu dimenangi wakil rakyat PBM pada PRU-14 sebelum menyertai parti itu antaranya adalah kerusi Parlimen Ampang dan Parlimen Tebrau.

    “Kita yakin calon PBM akan menang pada PRU-15 kerana sambutan yang diterima menerusi jelajah seluruh negara yang kita lakukan amat bagus.

    “Rakyat sudah kenal kami kerana ada antaranya sudah lama menjadi ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat setempat dan memberi bantuan kepada 16 keluarga di Tokong Lian Hua San Thai Zhi, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    Hadir sama Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden Kanan PBM dan Pengerusi PBM Johor.

    Zuraida berkata, walaupun PBM sebuah parti baharu dan kecil tetapi boleh dianggap kuat kerana didokong wakil rakyat berpengalaman, namun memerlukan gabungan politik untuk bersama dalam PRU-15.

    Jelas Ahli Parlimen Ampang itu, ini kerana PBM perlu turut serta dalam kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk selepas PRU-15 nanti.

    Ditanya mengenai keputusan PBM akan bergerak solo dalam PRU-15 sekiranya Barisan Nasional (BN) menolak permohonan mereka untuk menyertai gabungan politik itu, beliau berkata, perkara masih masih terlalu awal untuk diputuskan.

    Beliau berkata, keputusan itu akan dimaklumkan apabila sampai masanya nanti.

    Bulan lalu, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat enam parti sudah memohon masuk BN.

    Bagaimanapun, Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

    Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pula memaklumkan kesemua permohonan terbabit sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN.

  • Baca alasan penghakiman sebelum buat kesimpulan, kata Tengku Maimun

    Baca alasan penghakiman sebelum buat kesimpulan, kata Tengku Maimun

    AHLI politik dan masyarakat digesa membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutamanya selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah berdasarkan sentimen semata-mata.

    Tegasnya, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.

    “Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.

    “Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.

    “Keseluruhannya bolehlah dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa berdasarkan kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

    Tengku Maimun diminta mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

  • Pandemik jadikan peratusan kumpulan B40, B60 semakin besar – Muhyiddin

    Pandemik jadikan peratusan kumpulan B40, B60 semakin besar – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri tumpuan penduduk setempat apabila bersarapan dengan orang ramai di Warung Jati, Temiang Tanjung, Pagoh, Muar.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kemudian melawat Tapak Pasar Tani Lama, Bukit Pasir, Pagoh untuk Program Jualan Prihatin Perikatan Nasional (PN).

    Muhyiddin berkata, program yang sudah tiga kali diadakan di Parlimen Pagoh itu adalah respons PN terhadap masalah yang sedang dihadapi sebahagian besar rakyat pada masa ini khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

    “Seperti yang sudah banyak kali saya sebut, pandemik Covid-19 telah menyebabkan peratusan kumpulan B40 menjadi B60 semakin besar dan ini membuktikan semakin ramai rakyat susah pada ketika ini.

    “Program ini bertujuan meringankan beban kumpulan ini yang mana barangan keperluan utama iaitu beras, telur dan ayam proses dijual pada harga yang sangat murah iaitu RM20 sahaja.

    “Saya difahamkan sejumlah 1,000 kampit beras lima kilogram, 1,000 papan telur dan 1,000 ekor ayam proses disediakan untuk program ini.

    “Saya merasa bersyukur melihat ramai penduduk datang untuk membeli tiga barang keperluan utama ini.

    “Insya-Allah Program Jualan Prihatin ini akan diperluaskan ke kawasan yang mempunyai ramai penduduk miskin dan susah di seluruh negeri Johor dan negara tidak lama lagi,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.