Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anggota polis antara dua maut dalam nahas empat kenderaan

    Anggota polis antara dua maut dalam nahas empat kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis antara dua yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, Muar hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 4.48 pagi.

    Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua maut di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, hari ini

    Komander Operasi dari BBP Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abd Rahman berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Wira, sebuah lori kontena jenis Hino membawa muatan air kotak, dua treller membawa muatan besi dan kayu palet.

    “Terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, tiga daripadanya warga tempatan. Akibat kemalangan itu dua mangsa tersepit dalam lori dan kereta tersebut.

    “Mangsa yang maut adalah anggota polis, Senawi Jelani, 55, merupakan mangsa dalam kereta tersebut manakala seorang lagi adalah pemandu lori, K. Gunalan, 45,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara dua lagi mangsa katanya, lagi A. Annadurai, 20, yang merupakan warganegara India dan Zamri Hashim, 29, cedera dan mereka diserahkan kepada pegawai perubatan untuk menerima rawatan.

    “Operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 8.30 pagi,” katanya lagi.

  • Ular terperangkap dalam telinga wanita, enggan keluar tular

    Ular terperangkap dalam telinga wanita, enggan keluar tular

    SEBUAH video tular di internet merakamkan insiden seekor ular berwarna kuning terperangkap dalam telinga seorang wanita.

    Video yang tular di Facebook itu bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kejadian dan ia dipercayai berlaku di India.

    Berdasarkan rakaman, kelihatan ular berwarna kuning yang masih hidup beberapa kali membukakan mulutnya ketika tersekat pada lubang telinga wanita itu.

    Pada masa sama, seorang pengamal perubatan dirakam cuba mengeluarkan reptilia berkenaan ketika wanita berkenaan menunjukkan reaksi sedang menahan kesakitan.

    Namun usaha doktor itu menarik keluar ular terbabit dengan menggunakan sepit kecil berdepan kesukaran walaupun sudah menggunakan cecair kimia khas.

    Memburukkan keadaan, ular itu memilih untuk masuk semula badannya ke dalam telinga wanita malang itu.

    Bagaimanapun video itu berakhir tanpa memaklumkan dan menyatakan nasib wanita berkenaan.

  • Pemandu bas ditahan rogol kanak-kanak 3 tahun

    Pemandu bas ditahan rogol kanak-kanak 3 tahun

    SEORANG pemandu bas sekolah ditahan selepas didakwa merogol seorang kanak-kanak tiga tahun dalam sebuah bas sekolah di bandar Bhopal, India.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan NDTV, pemandu bas dan seorang lagi pembantu yang turut berada di dalam bas itu kini ditahan pihak berkuasa.

    Menteri Dalam Negeri Madhya Pradesh, Narottam Mishra memaklumkan siasatan terhadap pihak pengurusan sekolah kanak-kanak itu sedang dijalankan atas dakwaan cuba menyembunyikan kes ini.

    Perkara itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan selepas berasa curiga pakaian anaknya bertukar manakala pakaian lama diletakkan dalam beg.

    Wanita itu kemudian bertanya guru sekolah dan pengurusan tadika tetapi mereka menafikan perkara itu.

    Segalanya terbongkar selepas kanak-kanak itu mengadu sakit pada bahagian kemaluan dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya.

    Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 376-AB (rogol kanak-kanak perempuan di bawah umur 12 tahun) dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak India daripada Kesalahan Seksual (POCSO).

  • Bangunan empat tingkat runtuh, 5 maut 14 cedera

    Bangunan empat tingkat runtuh, 5 maut 14 cedera

    SEBUAH bangunan empat tingkat di ibu negara Jordan, Amman runtuh membunuh lima orang manakala 14 lagi cedera, semalam.

    Jurucakap pasukan keselamatan, Amer al-Sartawi berkata, angka kematian dalam tragedi runtuhan bangunan di daerah Weibdeh meningkat kepada lima orang manakala 14 lagi cedera.

    Terdahulu beliau menyatakan bahawa usaha mencari menyelamat masih berlangsung melibatkan pasukan pertahanan awam disokong pasukan dari pusat pemerintah wilayah dan polis.

    Bangunan itu dikenali kerana kafe, bar dan venue kesenian serta terkenal dalam kalangan ekspatriat.

    Menurut sumber jabatan pertahanan awam, masih terdapat sejumlah individu terperangkap dalam runtuhan itu tanpa menyatakan angka sebenar.

    Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Media, Faisal Shuboul berkata, masih tidak jelas punca bangunan itu runtuh.

    “Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh sudah mengarahkan Datuk Bandar Amman dan pegawai mencari punca runtuhan bangunan itu,” katanya.

  • Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris bidas Guan Eng

    Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris bidas Guan Eng

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyangkal dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa beliau antara tiga menteri PAS tidak cekap dalam menjalankan tugas dan perlu meletak jawatan.

    Katanya, dakwaan Lim bahawa beliau memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisah mereka kepada umum juga tidak benar.

    “Saya kira, posting Lim jauh tersasar dengan segala tuduhan yang dibuat.

    “Namun, saya kira ianya fitnah yang berat mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku, yang secara terperinci saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini.

    “Adakah salah jika saya menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam itu sendiri?

    “Adakah salah untuk saya sebagai menteri agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikit pun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?” katanya dalam catatan di Facebook menurut laporan Free Malaysia Today.

    Semalam, Lim dalam catatan di Facebook meminta Idris bersama Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong meletak jawatan.

    “Hadiah terbaik yang boleh diberikan oleh menteri-menteri yang tidak cekap ini kepada Malaysia ialah meletakkan jawatan dan membiarkan menteri yang berwibawa mengambil alih atau jika tidak, lebih banyak negara akan mengatasi kita.”

    Lim berkata, Idris tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya, selain menggugat perpaduan negara dan mengganggu gugat keharmonian agama.

    Katanya, Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisahnya kepada umum dan cuba mengganggu serta mengganggu gugat gaya hidup, hak adat dan amalan budaya orang bukan Islam.

    Idris mendakwa Lim sengaja mencetuskan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut orang bukan Islam menjauhi kepercayaan umat Islam.

    “Sedangkan di luar sana, cukup ramai non-Muslim yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormati pendirian dan pengamalan oleh umat Islam itu sendiri,”katanya.

    Katanya, pembangkang hanya tahu mencari kesalahan terhadap usaha baik kerajaan dan menuding semua kesalahan pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan kepada kerajaan terdahulu.

    Beliau berkata, ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan berbanding melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan pihak tidak bertanggungjawab.

    “Saya khuatir nanti rakyat melihat kamu seperti ayam berak kapur. Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis!”

    Idris berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai menteri agama dan melakukan penambahbaikan demi kemajuan umat Islam serta rakyat Malaysia mengikut bidang kuasanya.

  • Lelaki dakwa buat umrah untuk Ratu Elizabeth II ditahan

    Lelaki dakwa buat umrah untuk Ratu Elizabeth II ditahan

    SEORANG lelaki yang mendakwa datang ke Mekah untuk menunaikan umrah bagi pihak mendian Ratu Elizabeth II ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Media tempatan melaporkan pihak berkuasa Masjidil Haram menahan warga Yaman itu yang dalam klio video memaparkan dia memegang  kain rentang’ tertulis ‘Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II, kami memohon Tuhan menerimanya ke dalam syurga dan dalam kalangan orang beriman’.

    Video itu tular dalam media sosial di Arab Saudi dan netizen mendesak pihak berkuasa bertindak ke atas lelaki itu yang dianggap melampau.

    Dalam satu kenyataan pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan, lelaki itu ditahan dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan undang-undang.

    Arab Saudi melarang jemaah yang tiba ke Mekah membawa kain rentang atau melaungkan slogan.

    Meskipun amalan menunaikan umrah bagi pihak individu yang meninggal dunia ada dalam Islam, ia tidak merangkumi individu bukan Islam seperti mendiang Ratu, yang juga gabenor tertinggi Gereja England, gereja tertinggi bagi penganut Anglican seluruh dunia.

    Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun Khamis lalu, dan majlis pemakaman monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu dijadualkan pada Isnin depan. – AFP

  • 4 lelaki ‘Geng Pendang’ aktif pecah rumah ditahan polis

    4 lelaki ‘Geng Pendang’ aktif pecah rumah ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Pendang’ yang aktif melalukan jenayah pecah rumah di sekitar Seberang Perai sejak awal tahun ini menerusi Op Pintu di Kedah pada 10 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam operasi itu empat suspek warga tempatan berusia antara 29 sehingga 39 tahun turut ditahan di sekitar Pendang, Sungai Petani dan Alor Setar.

    Tambah beliau, turut dirampas daripada suspek adalah pelbagai barangan antaranya beg tangan berjenama, wang tunai, telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan kereta sewa Perodua Bezza yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

    Ujarnya, susulan operasi itu polis turut menahan seorang pemilik kedai emas berusia 52 tahun di Alor Setar, Kedah yang mengakui membeli dan meleburkan barangan kemas yang dijual keempat-empat suspek berkenaan.

    “Ekoran operasi ini juga, kita percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Seberang Perai sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Tanbah Mohd. Radzi, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan berasingan katanya, polis turut berjaya menahan seorang ahli kongsi gelap dan merampas pelbagai senjata termasuk sepucuk pistol di kawasan perindustrian Mak Mandin semalam.

    Ujarnya, suspek berusia 40 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 malam.

    Kata beliau, pemeriksaan lanjut polis kemudiannya menjumpai sepucuk pistol jenis Zoraki dan satu kelopak berisi empat butir peluru di bahagian kiri pinggang suspek.

    “Turut dirampas adalah sebilah parang, kapak kecil, pisau lipat dan keris yang ditemui di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

    “Selain itu, kita turut merampas dua peket lutsinar yang mengandungi serbuk jenis syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300,” katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek yang juga pelabur mata wang kripto turut memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan turut dikehendaki kerana terbabit dalam kes merusuh dengan senjata.

    “Suspek kini direman sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

  • Bapa pelakon direman lagi berhubung kes pukul guna penyangkut baju

    Bapa pelakon direman lagi berhubung kes pukul guna penyangkut baju

    BAPA kepada pelakon remaja perempuan yang sebelum ini direman atas dakwaan serangan seksual terhadap anaknya kini direman sekali lagi selama empat hari bagi membantu siasatan kes memukul remaja itu menggunakan penyangkut baju pada 2014.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperolehi selepas permohonan dilakukan di Mahkamah Majistret Shah Alam, tadi.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika ditemui selepas program townhall Polis Selangor di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

    Difahamkan, pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun itu membuat laporan polis pada 8 September lalu mendakwa suspek memukul mangsa menggunakan penyangkut baju pada tahun 2014.

    Sebelum ini, suspek itu ditahan sekitar pukul 2.25 petang pada 6 September lalu di kediamannya di Kedah sebelum dibawa dan direman sehingga semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

    Suspek lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

    Mengulas lanjut, Arjunadi berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes suspek di IPD Subang Jaya.

    “Kita sudah mengambil keterangan daripada saksi berkenaan bagi membantu siasatan tersebut bagaimanapun, jumlah saksi itu saya tidak boleh nyatakan,” katanya.

    Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

    Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

    Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah ada membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

  • Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    CADANGAN pemberian moratorium pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergantung kepada pihak bank.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berhasil.

    Menurutnya, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.

    Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.

    “Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya sebagaimana laporan Free Malaysia Today.

    Tambah Tengku Zafrul, setakat ini ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh hasil daripada peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik.

    Oleh itu katanya, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mungkin bukan penyelesaian terbaik buat masa ini,

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak termasuk kenaikan kadar OPR.

  • 2 pemimpin UMNO bahagian Pulau Pinang direman SPRM seleweng duit parti

    2 pemimpin UMNO bahagian Pulau Pinang direman SPRM seleweng duit parti

    DUA bekas pemimpin UMNO sebuah bahagian di Pulau Pinang direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang milik parti itu bernilai lebih RM600,000 pada 2018.

    Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 59 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

    Difahamkan, kedua-dua individu itu merupakan pengarah sebuah yayasan dan juga merupakan bekas bendahari dan setiausaha sebuah bahagian UMNO di Pulau Pinang.

    Kedua-dua suspek itu ditahan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang pukul 8.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber, suspek disyaki menyalahgunakan wang milik parti politik berkenaan dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun sebuah syarikat serta yayasan untuk kepentingan peribadi.

    Katanya, suspek disyaki menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan wang rasuah melalui pengeluaran wang daripada akaun bank milik parti politik untuk diri sendiri.

    “Suspek juga memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun syarikat milik mereka serta ke akaun sebuah yayasan,” katanya.

    Kedua-dua suspek diwakili peguam, Noorhisham Shaidi dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.