Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wanita pekerja pusat jagaan ditahan dera kanak-kanak OKU

    Wanita pekerja pusat jagaan ditahan dera kanak-kanak OKU

    POLIS menahan seorang wanita selepas dipercayai melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah jagaan di Kuala Terengganu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, wanita berkenaan yang berusia 34 tahun dan juga kakitangan di pusat berkenaan ditahan di rumahnya, pukul 4.30 petang semalam.

    “Kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun itu dikatakan menjadi mangsa penganiayaan secara fizikal, antara Julai hingga Ogos lalu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, pihak pusat perlindungan sebelum ini membuat siasatan dalaman sebelum membongkar perbuatan suspek.

    “Susulan siasatan itu, kakitangan pusat jagaan tampil membuat laporan polis pada pukul 3.20 petang semalam,” katanya.

    Suspek katanya, kini direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Mangsa juga sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

  • Remaja 13 tahun bunuh rakan kerana enggan belajar di madrasah

    Remaja 13 tahun bunuh rakan kerana enggan belajar di madrasah

    SEORANG remaja berusia 13 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh rakannya kerana enggan belajar di sebuah madrasah.

    Kejadian yang berlaku di sebuah madrasah di daerah Nuh, India dilaporkan selepas mangsa dikesan hilang selama dua hari.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan The Indian Express, mayat pelajar berusia 11 tahun itu ditemui ditanam di aras bawah masjid di sekolah pengajian agama berkenaan pada Isnin lalu.

    Pegawai polis Varun Singla memaklumkan, suspek bertindak demikian dengan harapan pusat pengajian itu ditutup dan semua pelajar dibenarkan pulang ke rumah.

    “Remaja itu berpendapat apabila jasad ditemui, semua pelajar diarah pulang agar tidak menganggu siasatan pihak polis… bahkan suspek juga sudah mengemas pakaian dan bersedia untuk pulang,” kata Singla.

    Namun begitu, sebaik bapanya tiba di madrasah itu selepas mendengar berita kematian tersebut, dia menolak untuk membawa pulang anaknya, sebaliknya, meminta anak lelakinya itu untuk terus tinggal dan memberi perhatian pada pembelajaran, kata Singla.

    Segalanya terbongkar sewaktu proses siasatan dijalankan, remaja berkenaan mula gementar dan mengaku kepada pihak polis dua hari kemudian.

    Difahamkan, ini bukan kali pertama cubaannya untuk lari dari madrasah itu.

    Sebelum ini, dia pernah melarikan diri sebanyak dua kali namun dihantar semula ke sana.

  • Najib boleh guna ubat sendiri – Khairy

    Najib boleh guna ubat sendiri – Khairy

    DATUK Seri  Najib Razak boleh menggunakan ubat darah tingginya sendiri jika tidak mahu menggunakan ubat yang dibekalkan Kementerian Kesihatan, kata Khairy Jamaluddin.

    Menteri Kesihatan itu  berkata, beliau sudah memeriksa prosedur Jabatan Penjara dan perkara tersebut dibenarkan.

    “Dalam prosedur penjara, sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan KKM, saya difahamkan ia boleh dibenarkan dan tidak ada masalah.

    “Saya telah memaklumkan kepada keluarga sekiranya mereka nak bekalkan ubat jenama itu kepada Najib, tidak jadi masalah,” katanya pada sidang media di Hospital Pantai Kuala Lumpur, lapor FMT.

    Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid Ibrahim yang menggesa KKM memberikan kepada Najib ubat yang selalu digunakan untuk rawatan penyakit darah tingginya.

    Zaid turut berharap Khairy memastikan Najib diberi ubatan sesuai dengan penyakit Ahli Parlimen Pekan yang ketika ini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

    Sementara itu, Khairy berkata, Najib telah membawa ubatnya sendiri ke penjara.

    Justeru, Khairy berkata, tidak timbul isu KKM menafikan hak Najib kerana mengikut prosedur KKM, jika seseorang pesakit keluar dari hospital sudah menjadi prosedur untuk kementerian itu membekalkan ubat kepada pesakit.

    “Di HKL bekalkan benda (ubat) yang sama, kalau di penjara guna ubat itu. Itu yang ada pada HKL,” katanya.

  • Shuib nafi suaranya dalam video tular, skandal dengan usahawan

    Shuib nafi suaranya dalam video tular, skandal dengan usahawan

    PELAWAK popular, Shuib Sepahtu menafikan suaranya dalam video usahawan, Watie Hanafiah yang sedang bermain golf yang tular dalam aplikasi TikTok, baru-baru ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Shuib menjelaskan, tidak adil menuduhnya mempunyai skandal dengan Watie, sebelum Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia lagi.

    “Saya menafikan apa yang berlegar dalam media sosial berhubung video yang menunjukkan Watie sedang memukul bola golf dan kedengaran seperti suara saya.

    “Ada netizen menuduh saya sudah lama mempunyai skandal dengan Watie sejak 2019.

    “Tuduhan ini sangat tidak adil untuk saya mahupun arwah Siti Sarah,” katanya menerusi nota suara dihantar kepada media.

    Shuib dalam laporan itu lagi berkata, video yang dimuat naik bertarikh April 2019, sedangkan dirinya mula memegang kayu golf pada Mei 2020.

    “Jika lihat semula tarikh tertera pada video yang tular itu pada April 2019, sedangkan saya hanya mula memegang kayu golf selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Ketika itu, kerajaan memberikan kelonggaran kepada sukan golf, jadi saya buat keputusan mencuba aktiviti baru bagi mengelakkan kebosanan, malah, saya ada menghubungi Sharnaaz Ahmad untuk menyatakan hasrat berkenaan.

    “Netizen yang tidak percaya boleh semak semula gambar yang dimuat naik dalam akaun Instagram,” katanya.

    Menjawab suara lelaki yang kedengaran seperti suaranya, Shuib berkata, ia mungkin berlaku secara kebetulan.

    “Kalau dengar semula rakaman ini memang perkataan ‘nice’ disebut mirip suara saya, tetapi individu dalam video berkenaan bukan saya.

    “Suara memang tak sama langsung. Mungkin satu ayat boleh kedengaran sama, tetapi itu bukan suara saya dan ia sangat kelakar.

    “Setakat suara, semua orang boleh tiru dan mungkin ia satu kebetulan yang tidak disangka-sangka,” katanya.

    Terdahulu, nama Shuib menjadi bualan netizen dalam aplikasi TikTok selepas tular video memperlihatkan seorang wanita sedang bermain golf berlatar belakang suara lelaki.

    Rata-rata netizen mendakwa suara dalam video berkenaan adalah Shuib, memandangkan pelawak itu kini sedang digosipkan menjalinkan hubungan dengan usahawan berkenaan.

    Gosip hubungan rapat Shuib dengan usahawan berkenaan mula tersebar selepas seorang pengguna TikTok memuat naik video, baru-baru ini.

    Menerusi video itu, pengguna itu mendakwa Shuib dan Watie memakai baju sedondon ketika menghadiri beberapa konsert, baru-baru ini.

    Shuib dan arwah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011. Bagaimanapun, arwah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos, tahun lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz akibat COVID-19.

  • Rosyam tak ada niat rendahkan martabat wanita

    Rosyam tak ada niat rendahkan martabat wanita

    PELAKON, Datuk Rosyam Nor tidak berniat untuk merendahkan martabat wanita, sebaliknya ingin memberikan kesedaran kepada wanita untuk bangkit dan bersemangat memajukan diri masing-masing.

    Memetik laporan Harian Metro, Rosyam ketika dihubungi berkata, kata-katanya dalam video yang tular di media sosial sejak semalam itu perlu dilihat dari sudut positif.

    “Program yang saya jalankan itu memberi semangat dan kesedaran kepada kaum wanita supaya bangkit dalam perniagaan.

    “Jadi, tidak timbul isu saya bercakap kasar atau menjatuhkan kaum wanita,” katanya kepada Harian Metro.

    Dalam video tular yang dimuat naik ke akaun TikTok Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun itu, Rosyam dikatakan menggunakan bahasa yang kasar.

    “Bangun lambat, bangun lambat semuanya lambat. Perempuan, ni, wanita ni semuanya lambat. Eh, bangkitlah, bangun daripada tidur!

    “Esok di WTCKL, program aku dan Datuk Seri Rina, dengan kementerian dia dekat belakang (menunjukkan nama kementerian), korang baca sendiri lah.

    “Esok, kalau sesiapa nak masuk, korang datang sahaja pada jam 9 pagi, korang jumpa aku, aku nak belasah kepala korang, baru kita bangkit,” kata Rosyam seperti dipetik dalam rakaman video itu.

    Menurut Rosyam, ‘belasah’ yang dimaksudkannya adalah ‘mencuci otak’ (brainwash) dan memberi semangat kepada mereka untuk bangkit dalam perniagaan.

    “‘Belasah’ itu maksud saya mencuci otak. Program ini adalah untuk memberi semangat supaya kaum wanita bangkit dalam perniagaan. Jadi, tak timbul isu saya bercakap besar atau menjatuhkan kaum wanita.

    “Mereka yang menyertai program ini faham apa maksud saya dan tak ada masalah dengan perkataan itu,” katanya.

    Tambahnya, ‘bangun lambat’ juga adalah sekadar kiasan untuk menggesa golongan usahawan wanita merebut peluang.

    “Perkataan itu adalah metafora dan saya gunakan kepada golongan usahawan ini, bukan merujuk kepada wanita yang bangun lambat,” katanya.

    Video TikTok itu kemudiannya tular dan dimuat naik ke beberapa platform media sosial lain sekaligus menerima kecaman hebat netizen termasuklah selebriti antaranya, Che Puan Sarimah Ibrahim mempersoal tindakan itu.

    “Sekejap. Adalah ini untuk menggalakkan dan memberi motivasi? Direndahkan, dihina dan agresif? #whatisthis #rubbish,” tulisnya.

  • Jangan politik isu ‘wanita bangun lambat’, lihat kandungan program – Rina

    Jangan politik isu ‘wanita bangun lambat’, lihat kandungan program – Rina

    MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menuntut semua pihak tidak mempolitikkan isu wanita sebagai “suka bangun lambat”, yang tular baru-baru ini.

    Beliau berkata, seharusnya semua pihak termasuk pemimpin politik melihat isi kandungan penuh program ‘Wanita Bangkit’ dianjurkan kementeriannya.

    “Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan nak politikkan semua benda.

    “Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai (wanita) memerlukan pembelaan dan perlu dibantu,” katanya dalam laporan Free Malaysia Today.

    Kata laporan itu lagi, Rina juga mengajak Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atau mana-mana bersama-sama membantu wanita yang memerlukan bantuan.

    “Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan. Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,” katanya.

    Terdahulu, Rina dikritik hebat pemimpin pembangkang dan Umno susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.

    Tular video dimuat naik Rina di media sosial, memaparkan pelakon dan usahawan, Rosyam Nor, yang menyebut wanita sebagai “suka bangun lambat”, sambil disaksikan beliau dan pegawainya.

    Rosyam, yang mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula semalam, turut berkata akan “membelasah” mereka yang berjumpanya.

    Semalam, Hannah yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.

    Hari ini, Azalina Othman Said secara sinis mencadangkan kepada Rina supaya membuang perkataan “wanita” pada nama kementerian berkenaan susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.

    Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, video sebegitu menjadikan segala usaha kementerian itu dalam isu menentang keganasan terhadap wanita adalah sia-sia.

    Sementara itu, Rina berkata kenyataan Rosyam berhubung ‘wanita bangun lambat’ itu adalah cara pelakon itu sendiri.

    Katanya, apa yang penting sasaran program itu melebihi jangkaan peserta yang hadir di WTC semalam.

    “Yelah yang itu cara Rosyam Noor. Kita bagi tahu kena tengok program itu sendiri. Video itu dikeluarkan sehari sebelum program.

    “Program sasar 1,000 yang hadir, tapi pada hari tersebut yang hadir 1,600 orang. Maksudnya sampai buka satu dewan lagi untuk tampung kehadiran luar jangkaan,” katanya.

    Katanya, peserta hadir dalam program Wanita Bangkit itu menunjukkan mereka menyahut kata-kata orang luar terhadap mereka.

    “Bila orang hina kita, bila orang cakap kita, tetapi kita buktikan dan jadikan bahawa kita boleh. Sebenarnya kita lebih hebat lagi. Sebenarnya kita adalah wanita cekal, tabah dan boleh melonjak dengan lebih jauh. Kena tengok dari sudut positif,” katanya.

  • Parti Muda perlu bertanding di kerusi kuat UMNO jika mahu sertai PH

    Parti Muda perlu bertanding di kerusi kuat UMNO jika mahu sertai PH

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu bertanding di kubu kuat UMNO sekiranya mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Itu penegasan Ketua PKR Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang melihat Muda masih belum kuat dalam arena politik negara ketika ini.

    Menurut Sathia, kekuatan Muda setakat ini belum diuji sepenuhnya selain hanya tahu menyasarkan kerusi selamat dalam pilihan raya.

    Hal itu merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang dimenangi Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

    “Selain Putrajaya, Muda boleh tanding di Rembau, Pekan, Bagan Datuk… ini semua kerusi kubu UMNO. Baru nampak, tunjukkan kekuatan anda di sana.

    “Kalau Muda nak masuk (PH) boleh, tapi tanding di 15 kerusi yang tak boleh menang langsung – dan selepas itu PH akan tengok Muda sebagai contoh yang baik,” ujarnya memetika laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut, Sathia berkata, PH tidak mahu calon ‘bidan terjun’ yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

    Sebaliknya, tegas beliau, pakatan itu memerlukan calon yang mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan yang akan ditandingi.

    “Kita tak mahu calon bidan terjun, kita nak calon yang tahu selok belok kawasan itu.

    “Kalau Muda tanding, contoh dia nak tanding kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), padahal kerusi yang Bersatu tanding tu kerusi PH.

    “Memang kerusi selamat, jadi pergilah ambil kerusi yang kita tak menang (ketika PRU-14),” katanya.

  • Tiada perubahan, BN tetap bergerak sendirian pada PRU-15, kata Tok Mat

    Tiada perubahan, BN tetap bergerak sendirian pada PRU-15, kata Tok Mat

    TIMBAlAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih memegang pendirian sama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara sendirian.

    “Ia merupakan keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini dan tiada perubahan setakat ini.

    “UMNO bukan saya… UMNO adalah parti, jadi parti kena buat keputusanlah. Apa sahaja pandangan saya tak penting, pandangan parti penting,” tegas Timbalan Pengerusi BN itu.

    “Jadi apa jua yang diputuskan perlu diputuskan oleh parti kerana bukan satu dua orang yang membuat keputusan dalam parti.

    “Ia diputuskan dalam satu mesyuarah dan badan tertinggi adalah Majlis Tertinggi (MT), maka kalau ada agenda dalam mesyuarat MT bulanan, kita akan bincang.

    “Buruk, baik, kelebihan-kelebihan ataupun apa jua jika kita nak menilai apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas tersebut,” katanya
    dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merdeka @Komuniti daerah Seremban di Senawang, hari ini.

    Mohamad mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan iaitu Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.

    Takiyuddin menjelaskan, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang Ahad lalu.

    Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan kesiap-siagaan parti adalah perkara penting dalam menghadapi pilihan raya ini.

    “Kita bersama (bekerjasama) ataupun tidak bekerjasama dengan sesiapa pun, jentera parti mesti dalam keadaan terbaik dan secara puratanya parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya, bersemangat tinggi.

    “Bagaimanapun ada beberapa aspek yang perlu kita tambah baik kerana seperti yang saya sebut sebelum ini kita memasuki pilihan raya ini umpama kita memasuki peperangan. Pengakhirannya kalah menang. Kalau perang hidup mati, kalau pilihan raya kalah menang jadi perlu bersedia betul-betul,” katanya.

  • 600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    SERAMAI 600 penduduk di beberapa kawasan di Sri Gading, di Batu Pahat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading setelah kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mangsa daripada 190 keluarga itu dipindahkan berikutan air naik selepas hujan lebat bermula pukul 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, selain bertembung dengan fenomena air pasang besar sekitar pukul 3 pagi.

    Beliau berkata empat kawasan yang terlibat banjir kilat ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

    “Pada awalnya, PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun sekolah itu juga dinaiki air dan mangsa kemudiannya dipindahkan ke SMK Seri Gading.

    “Usaha membantu memindahkan mangsa sedang dijalankan dan sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungkan daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain polis, operasi menyelamat mangsa banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).- BERNAMA

  • Prosiding 1MDB ditangguhkan, Najib masih di HKL

    Prosiding 1MDB ditangguhkan, Najib masih di HKL

    PROSIDING kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini dan esok dilapangkan, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi menerima rawatan dan menjalani beberapa ujian kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB, lapor Sinar Harian.

    Walaupun ubat darah tinggi yang asal diberikan, Muhammad Shafee berkata, tekanan darah anak guamnya belum berada di tahap memuaskan.

    Warta Rakyat kelmarin melaporkan, Najib dimasukkan ke HKL kerana menghadapi masalah kesihatan ekoran tekanan darah, perbicaraan rasuah 1MDB RM2.28 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri pada pagi semalam telah dikosongkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.