Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penggodam ugut jual maklumat penjawat awam mulai Isnin ini

    Penggodam ugut jual maklumat penjawat awam mulai Isnin ini

    SEKUMPULAN penggodam yang menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa dapat menceroboh masuk Sistem Penyata Gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam bagi menunjukkan terdapat kelemahan pada sistem itu.

    Menerusi satu kenyataan e-mel ditujukan kepada media, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem terbabit dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separetd values (CSV), lapor Sin Chew Daily.

    Antara maklumat yang diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail sehingga 188.75 gigabyte (GB).

    Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, kumpulan terbabit turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji menteri dan ahli politik terkenal seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

    Kumpulan terbabit mendakwa sudah berhubung dengan kerajaan Malaysia melalui e-mel dihantar kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan antaranya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail; dan pejabat Ketua Audit Negara.

    Kumpulan itu menyatakan kerajaan diberi masa sehingga 12 September lalu untuk memberi maklum balas mengenai pendedahan mereka terhadap kelemahan sistem ePenyata Gaji, bagaimanapun tidak mendapat maklum balas diharapkan.

    Berikutan itu, mereka merancang menjual semua data yang diekstrak daripada ePenyata Gaji di beberapa pasaran pangkalan data terbuka mulai 19 September ini.

    Sin Chew Daily juga memetik Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman dilaporkan berkata, satu laporan polis sudah diterima dari Jabatan Audit Negara (JAN) berkenaan perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

    Sementara itu, Jabatan Akauntan Negara (JANM) dalam kenyataan, semalam memaklumkan pihaknya mengesyaki ada percubaan pencerobohan ke atas sistemnya membabitkan Sistem Penyata Gaji penjawat awam, baru-baru ini.

    “Bagaimanapun, JANM ingin menegaskan bahawa integriti sistem data maklumat kami masih utuh dan telah pun diperkukuhkan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

    JANM juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal ini untuk memastikan agar perkara ini tidak berulang.

    “Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

  • Pas akan bekerjasama dengan BN, Bersatu pada PRU-15

    Pas akan bekerjasama dengan BN, Bersatu pada PRU-15

    PAS akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, parti itu juga akan berkerjasama dengan semua parti Melayu Islam bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Putrajaya.

    “Kita harus melihat kembali dan belajar daripada kegagalan pemerintahan PH selama 22 bulan selain tidak mampu menunaikan manifesto kepada rakyat,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

    Perkara itu katanya, perlu dihayati dan dijadikan pengajaran sepanjang tempoh PH memegang tampuk pentadbiran yang turut ditolak rakyat.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 di Dataran Kompleks Islam di Putrajaya, hari ini.

    Idris berkata, Pas sememangnya konsisten menentang aktiviti rasuah dan parti itu tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukanya.

    “Tuduhan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menggambarkan Pas tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dengan BN dan mempertahankan pelaku rasuah adalah tidak tepat,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, PH menuding jari ke arah Pas sedangkan pemimpinya juga berhadapan dengan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di mahkamah membabitkan rasuah.

  • UMNO masih tidak aman, terus berpecah – Ku Li

    UMNO masih tidak aman, terus berpecah – Ku Li

    AHLI Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah berkata, UMNO sehingga kini masih tidak aman kerana perpecahan dalaman yang berterusan berlaku di peringkat negeri dan Pusat parti itu.

    “Ada pihak dalam parti yang tidak sebulat suara serta sering sahaja mencelah atas dasar kepentingan politik.

    “Keadaan ini berlaku ketika parti dipimpin oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Keadaan dulu dan sekarang berbeza kerana zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkuasa selain ada tiga belas parti mendokong pimpinan itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di Kota Bharu malam tadi.

    Katanya, apabila Ahmad Zahid ambil alih, parti itu kalah bukan saja di peringkat Pusat malah di tiap-tiap negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.

    “Ada perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri dan di peringkat Pusat. Dah tak aman, sampai sekarang tak aman. Ada saja orang nak mencelah tetapi begitulah politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di sini pada Jumaat.

    Menurut beliau, isu-isu semasa termasuk berkait kes-kes mahkamah yang membabitkan ahli politik ketika ini turut menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO.

    “Sebab itu, kami selalu merayu supaya ada solidariti untuk wujudkan perpaduan dalam kalangan kami yang tak boleh sesiapa pun mencelah. Kena bulat, kalau berpecah ataupun seorang dua bawa cerita lain tak kuatlah nak lawan musuh.

    “Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih sokong UMNO, UMNO akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” katanya.

  • Polis tangkap suami isteri selepas budak didera cuba lari ikut tingkap

    Polis tangkap suami isteri selepas budak didera cuba lari ikut tingkap

    POLIS telah menahan seorang wanita dan suaminya selepas seorang budak lelaki berusia lapan tahun ditemui dengan kesan lebam di seluruh badan dan cuba melarikan diri melalui tingkap sebuah bilik di tingkat empat sebuah kondominium di Ampang, Selangor, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, adik perempuan mangsa berusia enam tahun turut ditemui dengan kesan lebam di badan.

    Katanya, budak lelaki itu bersendirian di rumah ketika cubaan melarikan diri dari sebuah kondominium di Ampang.

    “Mereka telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan berhubung kebajikan mangsa.

    “Kira-kira pukul 6 petang hari ini, kami menahan dua suspek iaitu ibu saudara berusia 33 tahun dan suaminya berusia 29 tahun. Dia tidak mempunyai sebarang rekod, tetapi lelaki itu mempunyai kesalahan jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

    Siasatan menunjukkan dua kanak-kanak itu ditinggalkan ibu berikutan kematian bapa mereka dua tahun lalu.

    “Mereka tinggal bersama suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa mereka meninggal dunia. Ibu mereka tidak mahu menjaga kedua-dua mangsa,” katanya.

    Kedua-dua suspek akan direman hari ini.

    Terdahulu, tular seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera diselamatkan selepas terperangkap pada belebas di tingkat empat sebuah kondominium dekat Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang, Selangor, ketika cuba melarikan diri.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak bomba pada pukul 4.41 petang.

    Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik berkenaan dan terperangkap di belebas tingkap berkenaan.

    “Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pukul 4.48 petang tadi mendapati pintu kediaman itu sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

    Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai didera berdasarkan kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan,” katanya lapor Agendadaily.

  • Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    SERAMAI enam lelaki ditahan polis India kelmarin kerana dituduh melakukan jenayah rogol beramai-ramai dan membunuh dua beradik perempuan yang mayatnya ditemukan tergantung pada pokok di luar kampung mereka, sehingga mencetuskan protes.

    Mangsa berusia 15 dan 17 tahun itu adalah daripada komuniti Dalit, etnik terendah dalam sistem kasta Hindu, yang kerap mengalami tahap keganasan seksual di negara mempunyai kadar jenayah terhadap wanita itu.

    Ketua polis tempatan, Sanjiv Suman berkata, semalam, suspek memikat mangsa ke padang di mana mereka menyerang mereka secara seksual dan kemudian membunuh gadis berkenaan dengan selendang mangsa.

    Berpuluh-puluh penduduk tempatan termasuk keluarga remaja terbabit mengadakan protes jalanan berhampiran kampung mereka di negeri utara Uttar Pradesh, bagi menuntut hukuman terhadap tertuduh.

    Seorang suspek utama, yang adalah jiran remaja perempuan itu sudah pun ditahan selepas pertempuran dengan polis yang menyebabkan dia ditembak di kaki, menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP.

    Laporan bedah siasat mengesahkan serangan seksual dan sesak nafas sebagai punca kematian, kata Sanjiv.

    Hampir 32,000 kes rogol dilaporkan di India pada 2021, menurut angka kerajaan, tetapi lebih banyak lagi dianggap tidak dilaporkan.

    Tahun lalu, pihak berkuasa Uttar Pradesh segera melakukan bedah siasat ke atas mangsa rogol Dalit yang dibunuh oleh seorang lelaki Hindu turut menyebabkan kemarahan yang meluas.

    Insiden terbaharu, mengimbau kepada kes rogol dan pembunuhan dua sepupu berusia 14 dan 15 tahun daripada komuniti Dalit pada 2014 di negeri sama, yang mencetuskan kekecohan.

    Gadis-gadis itu ditemukan tergantung pada pokok mangga dan polis pada mulanya menuduh lelaki kasta atas tempatan melakukan serangan seksual dan membunuh mereka tetapi siasatan polis tidak berjalan dengan lancar dan tiada siapa yang disabitkan kesalahan.

  • UMNO mahu bergerak solo, ini nasihat Ku Li

    UMNO mahu bergerak solo, ini nasihat Ku Li

    SENTIMEN mahukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) makin kuat ketika penggal Parlimen ke-14 menghampiri penghujungnya.

    Terbaharu pada Rabu lalu, beberapa ketua bahagian mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Melayu terbesar itu menutup pintu rundingan dengan PAS, berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi PRU15.

    Bagi bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, beliau sebenarnya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan solo atau bersendirian seperti dibangkitkan UMNO.

    “BN tidak pernah bergerak secara solo kerana terdapat parti-parti lain menjadi komponen dalam gabungan berkenaan, ada pakatan dengan setiap komponen.

    “Mereka membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon yang menawar diri bertanding bagi pihak parti-parti yang berkenaan atas satu simbol, semuanya menggunakan simbol BN,” katanya.

    Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) Kali Ke-24, di Kota Bharu, malam tadi.

    Bekas Menteri Kewangan itu turut mengingatkan, sekiranya pemimpin dalam sesebuah parti ada kepentingan berbeza-beza, ia akan membawa kepada pecah-belah dan disebabkan itulah, BN kalah di Johor pada PRU lalu.

    “Hal ini berlaku barangkali ada kepentingan sampingan, menyebabkan tidak ada tumpuan kepada apa yang dihadapi sehingga kalah PRU-14. Sebagaimana berlaku di Selangor dan Kelantan, perpecahan dalam parti Perikatan dan UMNO menyebabkan kita kalah PRU 1959.

    “Kita tidak dapat mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon-calon Perikatan mahupun UMNO disebabkan tidak ikut kehendak sebahagian rakyat. Kita juga bercelaru dalam cara membawa kempen pada ketika itu.

    “Jadi, kalau ada perpecahan, maka orang tidak boleh tumpu kepada objektif sebenar kita masuk dalam pilihan raya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

    Katanya, ketika zaman Datuk Seri Najib Razak berkuasa, terdapat 13 parti mendokong pimpinan BN ketika itu, sebelum Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih teraju kepemimpinan selepas UMNO tewas PRU-14.

    “Pada PRU-14, kita bukan sahaja kalah di peringkat Pusat, tetapi juga di setiap negeri kecuali Perlis. Ada pula perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri apabila ada perebutan, di peringkat Pusat, peringkat negeri dan sebagainya sehingga tidak aman sampai sekarang.

    “Ada sahaja orang hendak mencelah dan disebabkan itulah, kita selalu merayu supaya ada solidariti dan perpaduan dalam kalangan kita. Sesiapa pun tidak boleh mencelah, kalau kita sepakat.

    “Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih menyokongnya ia akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” katanya lapor BH Online.

  • Srikandi Bersatu kenal pasti status pengundi

    Srikandi Bersatu kenal pasti status pengundi

    KETUA Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun meminta Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) diminta untuk mengenal pasti status pengundi di kawasan masing-masing.

    Azizah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Beaufort berkata, ini sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Status kedudukan pengundi sama ada dalam atau luar kawasan juga perlu dikenal pasti.

    “Ketua-ketua PDM bukan sahaja perlu mengenal pasti pengundi tetapi juga status pengundi sama ada ‘putih’, ‘kelabu’ (kawasan yang boleh dikatakan 50-50 peluang untuk menang) mahupun ‘hitam’.

    “Dalam masa sama, PDM juga perlu mengetahui status kedudukan pengundi sama ada berada dalam kawasan mahu pun luar kawasan. Ini akan membantu jentera parti agar lebih bersedia berhadapan dengan PRU15 dengan teratur dan lebih sistematik,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas dengan Ketua-ketua Srikandi cawangan dan pengerusi jentera PDM Parlimen Beaufort di Dewan PPS Sembulan, Kota Kinabalu, semalam.

    Sehubungan itu, Azizah mahu kepimpinan Srikandi di peringkat bahagian dan cawangan memiliki semangat solidariti dan jati diri yang kental dalam mengukuhkan jentera parti.

    “Semua Ketua PDM perlu menguatkan dan mantapkan lagi perancangan yang sedia ada. Kesiapsiagaan jentera Srikandi terutamanya Sri10 perlu lebih utuh dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 pada bila-bila masa,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut meminta jentera tidak melupakan pengundi muda dan harus memikirkan taktik memikat hati pengundi muda.

    “Saya berharap semua ketua-ketua PDM dan ketua-ketua Srikandi cawangan, akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

  • Mercedes rempuh pam minyak

    Mercedes rempuh pam minyak

    SEBUAH kenderaan jenis Mercedes berwarna putih merempuh sebuah pam minyak di sebuah stesen minyak di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum melanggar salah satu pam minyak di stesen tersebut.

    Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut

    Kemalangan pada awal pagi tadi itu menyebabkan kereta tersebut musnah di bahagian depan dan berlaku tumpahan minyak.

    Sementara itu, bomba tiba di tempat kejadian membersihkan tumpahan minyak dengan menggunakan sebuah aliran salur bantu mula.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Keadaan pam minyak yang dilanggar – Foto ihsan bomba
  • Lelaki terperangkap, rentung dalam kemalangan

    Lelaki terperangkap, rentung dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung selepas kenderaan Range Rover dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 7, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat, malam tadi.

    Kejadian tersebut membuatkan pemandu itu yang merupakan seorang lelaki dewasa berusia 42 tahun tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

    Sementara dua penumpang iaitu lelaki dewasa berusia 25 dan 28 tahun cedera dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 10.54 malam.

    Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dengan sebuah dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan PerkhidmatanKecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Range Rover dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ayub, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 12.30 tengah malam.

  • GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    Gerakan Tanah Air (GTA) bukan parti politik biasa sebaliknya adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik, kata Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Golongan tersebut (rakyat) adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    “Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mendakwa, kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai di antara mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik malah ramai pula yang tidak akan mengundi.

    “Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya.

    Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).

    “Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak kecewa ini, parti politik biasa tidak sesuai. Satu gerakan rakyat diperlukan bagi menyatukan mereka yang tidak berparti.

    “Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.

    Dr. Mahathir berkata, GTA mewakili golongan berkenaan selain pemimpin dan ahli gabungannya bersih daripada segala jenayah serta tiada berkepentingan peribadi.

    “Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain daripada parti politik biasa,” ujarnya.

    Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan, calon-calon GTA dalam PRU-15 nanti akan terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NG0), tokoh akademik, profesional dan parti politik.

    “Insya-Allah, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, perlembagaan, kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.