Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kepakaran, kebijaksanaan Tun M masih diperlukan untuk pimpin negara

    Kepakaran, kebijaksanaan Tun M masih diperlukan untuk pimpin negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPAKARAN Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai negarawan masih diperlukan untuk memimpin pentadbiran kerajaan buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri dan mungkin kali ini yang terakhir.

    Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (Tanah Air), Mahdzir Ibrahim berkata, walaupun usia dan kudrat negarawan itu tidak sama seperti 10 atau 20 tahun lalu, kebijaksanaan dan pengaruh beliau mengurus pelbagai krisis yang rumit serta terdesak masih diperlukan.

    “Malah beliau sendiri telah menganggap penglibatan beliau pada kali sebagi suatu jihad dan ibadah dalam hidupnya demi memulihkan negara dari kepimpinan yang rosak dan merosakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu mendakwa masih ramai pihak yang mahu beliau menerajui negara sekali lagi selepas ditanya adakah beliau bersedia menjadi Perdana Menteri kali ketiga.

    Untuk rekod, beliau menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan politik berbeza dan di dua kerusi Parlimen berlainan.

    Kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri mulai 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

    Kali kedua pula dengan Pakatan Harapan (PH) mulai 10 Mei 2018 hingga 1 Mac 2020 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Langkawi.

    Mahdzir yang juga Penyelaras Parlimen Parit Sulong berkata, perkara itu akan menjadi realiti sekiranya rakyat memberikan mandat kepada GTA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menjadi kerajaan.

    Katanya, sekiranya dipilih menjadi kerajaan, GTA akan dianggotai pemimpin politik dan tokoh professional yang akan dapat memberi dukungan serta bantuan yang kuat kepada Dr Mahathir untuk mengemudi negara.

    “Kepada rakyat, ini peluang yang julung kali muncul, kita sebagai pengundi diberi peluang untuk memilih wakil rakyat dari kalangan Melayu Islam yang profesional, amanah, bersih dan cekap untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang lemah dan kotor ini,” ujar beliau.

    Justeru kata Mahdzir, menerusi gabungan pimpinan yang inklusif dan berkualiti itu pasti akan mempermudahkan lagi peranan Dr Mahathir untuk mentadbir kerajaan dan GTA juga akan menyediakan pelapis pimpinan yang mampu menggalas tugas besar dan sukar itu.

    Menurutnya, GTA adalah sebuah gerakan politik massa yang inklusif diseimbangkan dengan peranan golongan professional daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kakitangan awam, tokoh masyarakat dan cendekiawan.

    Jelas beliau, keseimbangan itu yang mengukuhkan konsep inklusiviti dalam GTA agar pendekatan politik dan professional dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki dan memperkemas semula pentadbiran kerajaan.

    “Dengan pendekatan ini juga ia akan dapat mempercepatkan proses membersihkan pentadbiran daripada elemen-elemen rasuah yang telah bersarang dalam kerajaan pada hari ini. Apabila proses pembersihan ini dapat dilakukan dengan segera, maka usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi dan bantuan kepada rakyat, dapat dilaksanakan dengan pantas.

    “Pentadbiran yang baharu bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah ‘backlog’ dan segala masalah ketirisan yang lain, malah dengan gabungan pimpinan yang baharu dan bersih ini akan dapat memulihkan kembali tahap keyakinan masyarakat dan pelabur ke tahap yang lebih tinggi kerana kestabilan politik Malaysia,” katanya.

  • Bapa pelakon remaja ditahan lagi, siasatan kes ugut dan pukul

    Bapa pelakon remaja ditahan lagi, siasatan kes ugut dan pukul

    BAPA kandung kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan Polis Daerah Klang Utara, semalam, dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

    Suspek berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara pukul 4.10 petang tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tangkapan terhadap suspek berkenaan adalah bagi membantu siasatan laporan polis dibuat oleh bekas isterinya.

    “Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya bagi memohon reman, esok,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Semalam, media melaporkan lelaki itu ditahan polis Klang Utara bagi membantu siasatan kes amang seksual dan cabul terhadap mangsa berusia 15 tahun terbabit.

    Pada 12 September lalu, media melaporkan bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dipetik berkata, mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

    Sebelum ini, media melaporkan suspek berkenaan ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

    Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

    Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

  • ‘UMNO, Pas, Bersatu perlu bernaung bawah satu khemah – Tun Musa Hitam

    ‘UMNO, Pas, Bersatu perlu bernaung bawah satu khemah – Tun Musa Hitam

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyarankan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung menjadi satu kumpulan parti politik yang memperjuangkan bersama kepentingan orang Melayu serta Islam.

    Menurut bekas Timbalan Presiden UMNO itu, tiga parti dominan orang Melayu dan Islam tersebut perlu berbuat demikian supaya menjadi satu gabungan membela Melayu dan Islam.

    Walaupun tiga parti itu bergabung membentuk satu naungan di bawah ‘khemah’ politik yang sama, beliau berpendapat, langkah itu masih belum cukup ‘kuat’ dan meluas daripada segi pengaruh serta tarikan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    “Justeru disarankan UMNO, Pas dan Bersatu sekiranya bergabung di bawah ‘khemah’ yang sama, perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

    “Masalah ideologi mereka tak begitu jelas, bercampur aduk. Macam UMNO, mereka kata parti Melayu, Islam. Pas kata sama. Ada parti baharu pula seperti Bersatu juga katakan Melayu dan Islam. Ideologinya, bunyi macam sama.

    “Kalau boleh idea mereka ini bersama iaitu simple solid group dan menggelar parti ini mempromosikan kepentingan Melayu dan Islam. Secara prinsip dan dalam masa sama, kumpulan ini harus beri jaminan kepada bangsa dan agama lain yang akan diterima sebagai kumpulan rakyat Malaysia yang dilindungi.

    “Seperti PKR pula, parti itu terdiri daripada parti politik yang mengatakan mereka percaya akan multiracialisme (pelbagai bangsa)…ada daya penarik mereka sendiri bukan sahaja dalam kalangan bukan Melayu, ada muda mudi Melayu yang tertarik kepada kumpulan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Sembang Kopi anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) bertajuk Melayu; Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti di Kuala Lumpur, hari ini.

    Tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar, bertindak sebagai moderator.

    Mengulas lanjut ‘daya penarik’ parti bukan berpaksikan Melayu seperti DAP, Musa berkata, beliau pernah dijemput ke pelancaran buku Lim Kit Siang dan terkejut kerana mendapati ramai hadirin adalah orang Melayu dalam kalangan orang muda.

    Katanya, ini menunjukkan DAP dan PKR memiliki ideologi yang meluas sehingga dapat menarik orang Melayu-Islam menyokong parti bukan Melayu itu.

    “Saya nak beritahu dengan terus terang, waktu Lim Kit Siang melancarkan bukunya. Dia jemput, saya pergi…bila saya pergi orang cakap ‘kenapa kau pergi?’. Saya balas ‘kenapa tidak’.

    “Yang anehnya saya masuk dalam dewan itu, saya tengok banyak yang bertudung, budak Melayu. Ini serius, ramai betul. Ini tidak nampak macam mesyuarat DAP tetapi mereka penyokong dan ahli DAP. Itu keadaannya.

    “Sebabnya, DAP dan PKR saya nampak dia punya ideologi lebih luas daripada (parti) yang Melayu dan Islam. Kepada yang menganggap dirinya parti politik yang mewakili orang Melayu, Islam…mereka harus memperluaskan ideologi untuk diterima dalam kalangan orang Malaysia secara besarnya.

    “PKR kebanyakan boleh kita anggap sebagai liberal demokratik racial…itu pandangan saya. PKR, saya nampak merupakan kumpulan idealisme Malaysia,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Pada masa sama, Musa menyifatkan konsep ketuanan Melayu wujud disebabkan pegangan orang Melayu yang taasub.

    Beliau berkata, ia wujud ketika negara ini bergelar Tanah Melayu sekali gus membuatkan orang Melayu menggunakan konsep berkenaan bagi melindungi kepentingan bangsa berkenaan.

    Namun, katanya konsep sedemikian tidak lagi relevan terutama sekali selepas negara merdeka, yang menyaksikan segala-galanya berubah dan Malaysia kini bukan lagi sebuah negara Melayu sepenuhnya.

  • Laungan ‘bubar’ desak PM segerakan PRU-15

    Laungan ‘bubar’ desak PM segerakan PRU-15

    LAUNGAN bubar bergema di Stadium Titiwangsa ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan ucapan sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022.

    Situasi tersebut menarik perhatian Ismail Sabri dan terus bercakap mengenai perkara tersebut.

    “Saya dengar dengan jelas, ‘top 5’ pun ada di sini, timbalan (Datuk Seri Mohamad Hasan) ada di sini, semua ada di sini. Dalam waktu terdekat kita akan berjumpa untuk bincang (tarikh pilihan raya umum),” katanya.

    Kata-kata Ismail kemudian mendapat sorakan Pemuda BN yang secara jelas mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

    “Kalau beginilah semangatnya, sikit lagi…tak lama lagi,” sambung Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, lapor Free Malaysia Today.

    Ismail bagaimanapun mengingatkan jentera Pemuda BN tidak terlalu gopoh mendesak PRU diadakan, agar ‘peristiwa hitam’ pada PRU-14 tidak berulang kali ini.

    “Yang penting apabila Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan kita mesti menang, itu paling penting. Kalau PRU diadakan dan kita tak mampu, kita akan kembali seperti PRU-14. Jadi, boleh menang,” soalnya.

    Ruang stadium yang dibanjiri lebih 10,000 perwakilan Pemuda BN itu kemudian menyahut, ‘Boleh!’.

    Himpunan jentera Pemuda BN seluruh Malaysia itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi komponen BN termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

    Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pengerusi-pengerusi BN negeri serta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang juga Bendahari BN Selangor.

  • Ibu tular pukul anak sendiri direman satu minggu

    Ibu tular pukul anak sendiri direman satu minggu

    SEORANG wanita yang disyaki tergamak mendera anak sendiri, ditahan polis dan direman selama seminggu bermula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, berkata wanita itu ditahan di rumahnya dekat Kok Lanas, Kota Bharu, pukul 3.30 petang semalam.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, pada Mac lalu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu menerima satu video daripada teman lelaki bekas isterinya yang memaparkan tindakan wanita itu memukul mangsa.

    “Pengadu berkahwin dengan suspek di Selatan Thailand pada 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

    “Sebelum ini mereka menetap di Tampin, Negeri Sembilan namun selepas bercerai pada 2020, suspek dan mangsa berpindah ke Kota Bharu, manakala seorang lagi anak mereka dibawa jagaan pengadu.

    “Laporan polis dibuat pengadu pada 10 Mac lalu sebaik melihat video berkenaan, namun dalam tempoh yang sama cuba menyelesaikan perkara itu dengan suspek,” katanya, lapor BH Online.

    Mohd. Rosdi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

    Menurutnya lagi, mangsa akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

    “Suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 23 September untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak,” katanya.

    Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 26 saat mengenai kejadian penderaan kanak-kanak lelaki dipercayai dilakukan ibu mangsa.

    Rakaman video itu dimuat naik melalui aplikasi Tiktok oleh bapa kandung mangsa itu memperlihatkan seorang kanak-kanak lelaki dipukul termasuk dilempar meja oleh suspek.

  • Dua lelaki pukul warga asing kini diburu polis

    Dua lelaki pukul warga asing kini diburu polis

    POLIS giat memburu dua lelaki tempatan yang dipercayai memukul seorang lelaki warga asing menggunakan senjata hingga mengakibatkan kecederaan dalam pergaduhan di Menglembu, Perak.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 6.22 petang semalam, mangsa yang disahkan warga Myanmar, 44, dipukul oleh tiga lelaki selepas disyaki mencetuskan provokasi ke atas tiga suspek terbabit.

    Menurutnya, kejadian berlaku selepas tiga suspek berkenaan yang kesemuanya berusia 20-an disyaki diganggu oleh mangsa ketika sedang makan dan minum di sebuah premis.

    “Mangsa disyaki mengganggu tiga suspek berkenaan yang sedang makan dan minum di sebuah kedai makan sebelum memprovokasi kemarahan semua suspek itu.

    “Tiga lelaki berkenaan memukul mangsa menggunakan kayu dan kerusi. Identiti ketiga-tiga suspek berkenaan bagaimanapun sudah dikenal pasti dengan usaha mengesan mereka kini giat dijalankan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa hanya cedera ringan di tangan serta kepala dan dirawat di hospital sebagai pesakit luar dengan seorang daripada suspek berkenaan yang juga lelaki tempatan sudah berjaya ditahan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

    Ujar beliau, kerjasama turut diharapkan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitannya supaya tampil menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Amy Crystal Anak Barahen di talian 014-3909719 untuk membantu siasatan lanjut.

    Terdahulu tular video di media sosial memaparkan kejadian tersebut.

  • Pas tidak bersekongkol dengan perasuah, kata Tuan Ibrahim

    Pas tidak bersekongkol dengan perasuah, kata Tuan Ibrahim

    PAS tidak akan bersekongkol dengan sesiapa saja yang melakukan rasuah dan menyokong tindakan diambil kepada mereka yang terlibat, tegas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Menurutnya, Pas dan Perikatan Nasional (PN) tegas mempertahankan integriti dan menentang amalan rasuah.

    “Sekiranya beliau (Khalid Abd Samad) ada maklumat mengenai rasuah, maka mesti buat laporan agar boleh diambil tindakan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad yang menyatakan Pas kini sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah.

    Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam dilaporkan kesal dengan tuduhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, terhadap Pakatan Harapan (PH) jelas menyembunyikan sikap sebenar Pas yang lunak terhadap rasuah apabila Pas mempertahankan individu dan kumpulan pelaku rasuah yang dibuktikan bersalah di mahkamah.

  • “Jujurnya saya tak tahu sekiranya OPR naik lagi” – Tengku Zafrul

    “Jujurnya saya tak tahu sekiranya OPR naik lagi” – Tengku Zafrul

    KERAJAAN tidak mengetahui sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi memandangkan keputusan itu hanya ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara (BNM), jelas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

    “Seperti negara-negara lain, kerajaan tidak campur tangan dalam urusan menentukan OPR.

    “Jadi, secara jujur saya tidak tahu dakwaan sekiranya OPR akan naik lagi,” katanya, lapor FMT.

    Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, terdapat salah anggap kenaikan OPR yang didakwa mengkayakan pihak bank.

    “Apabila OPR naik, bank juga kena bayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, OPR negara masih rendah berbanding negara lain yang naik sehingga lebih 200 mata asas.

    Menurut Zafrul, ini berbeza dengan OPR negara yang pada tahap 2.5 peratus dengan BNM menaikkan 75 mata asas, sejak Januari lalu.

    “Adakah ini tinggi? Saya rasa kalau berbanding dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama sebanyak 6.9 peratus dan suku kedua adalah 8.9 peratus.

    “Harus diingati OPR negara sebelum pandemik Covid-19 adalah sekurang-kurangnya 3 peratus sejak 2013. Jadi, masih rendah dan dasar monetari masih lagi akomodatif,” katanya.

  • PKR Selangor belum putuskan calon PRU15

    PKR Selangor belum putuskan calon PRU15

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih belum memutuskan senarai calon mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini lebih menumpukan soal pentadbiran negeri berbanding PRU15 yang belum diketahui bila akan diadakan.

    “Apa yang penting sekarang adalah pentadbiran negeri yang ditumpukan sebanyak 70 peratus bagi mengatasi dua masalah penting iaitu banjir dan ekonomi.

    “PRU15 menjadi keutamaan namun tumpuan tersebut kita letakkan 30 peratus sahaja.

    “Biar mereka sibuk hal (PRU-15), tapi kita ada tanggungjawab untuk selesaikan masalah negeri,” katanya mengulas persediaan PRU-15 di Selangor, lapor Sinar Harian.

    Beliau ditemui pada program Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara hari ini.

    Pada 7 September lalu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil memberitahu PH masih dalam proses rundingan agihan kerusi dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

    Senarai calon PRU15 mewakili parti masing-masing dijangka diumumkan selepas itu.

  • Amanah tangguh pemilihan parti ke tahun hadapan

    Amanah tangguh pemilihan parti ke tahun hadapan

    PARTI Amanah Negara (Amanah) menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya perlu dibuat hujung tahun ini selama 18 bulan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

    Dr Mohd Hatta berkata penangguhan tersebut membolehkan pemilihan parti berkenaan dilaksanakan selewat-lewatnya April depan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah memberi kebenaran bagi penangguhan itu.

    “Ia bagi memberi laluan parti membuat persediaan menumpukan usaha bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU),” katanya kepada Bernama di luar Konvensyen Nasional Amanah 2022 di Seremban yang sedang berlangsung bermula semalam hingga esok.

    Pemilihan Amanah pertama kali telah diadakan pada Konvensyen Nasional Amanah Nasional 2019 pada 6 hingga 8 Disember 2019 di Shah Alam, Selangor bagi memilih Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2019-2022. – Bernama